ADS

17 June 2013

Kayuhan Dua Wak: Hari 1, Bahagian 2


Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan atau rujukan lanjut. Pembesaran imej boleh dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Artikel sebelumnya boleh dibaca di sini.

Kampung Sungai Sembilang 

Di Kampung Sungai Sembilang, kami berhenti seketika di kunci air untuk melihat lokasi para nelayan melabuhkan bot-bot perikanan mereka. Terdapat sebuah papantanda yang memberitahu kami wujudnya sebuah persatuan nelayan di situ. Sedang kami berehat, terlihat seorang kanak-kanak perempuan berbasikal kearah kami. Wak Rahim sempat mengusik budak tersebut dengan mengajukan beberapa soalan hingga menjadikan kanak-kanak tersebut tersipu malu.

Dari kunci air, perjalanan diteruskan dan tidak sampai empat ratus meter di hadapan, kami tiba di sebuah simpang tiga lalu membelok kearah kiri. Laluan terus itu membawa kami ke sebuah kawasan pantai berpasir. Air Selat Melaka dalam keadaan pasang (high tide) tetapi tenang pada ketika itu, menimbulkan suasana yang sungguh mendamaikan. Air pasang menyembunyikan keadaan pantai yang sebahagian besarnya berlumpur, yang mana ianya menjadi habitat kepada beberapa jenis haiwan cengkerang. Kawasan berlumpur ini terdapat dari kawasan selatan Selangor (Morib) membawa ke arah utara Selangor (Sabak Bernam) dan menjadi punca rezeki pencari-pencari haiwan cengkerang seperti kerang, mentarang, lala, remis, lokan, kepah, pepahat dan juga belangkas.

Banyak pengunjung melakukan aktiviti masing-masing; ada yang berkelah, memancing, bermain layang-layang, berkhemah, mandi laut dan berBBQ. Paling tidak pun, cuma bersantai bersama yang tersayang. Dari kawasan Sungai Sembilang, kami berbasikal di laluan berpasir pantai itu menghala kearah utara. Laluan berpasir menyukarkan kayuhan kami, dimana jika tersalah haluan akan menyebabkan tayar kami tenggelam di dalam pasir atau membuatkan roda hadapan hilang imbangan. Pandangan mata kami bertiga, terarah kepada sebatang pokok tunggal di tepi pantai. Kami berhenti di situ serentak, mungkin minda kami bersetuju yang pokok ini cantik untuk sesi fotografi. Wak meluru laju kearah pokok itu, sambil bergaya dengan aksinya tersendiri dan meminta gambarnya diambil. Tidak mengapa, model ini tidak mengenakan sebarang bayaran, getus saya dalam hati (hehehe …)


Gambar 1. Air pasang yang tenang, memberikan mood kedamaian
 
Gambar 2. Berlatarbelakangkan aktiviti pengunjung yang pelbagai
 
Gambar 3. Model upahan tidak berbayar saya sedang beraksi
 
Gambar 4. Basikal saya, dan air pasang Selat Melaka


Kami meneruskan perjalanan setelah selesai berfotografi. Laluan yang kami lalui hanyalah sebuah lorong di hujung sebelah atas pantai dan bersempadankan dengan deretan pokok. Kadangkala, kami atau kenderaan lain terpaksa beralah ke tepi apabila salah satu dari kami berada di laluan tersebut. Laluan berpasir itu tamat apabila kami berada di sebuah restoran makanan laut. Kami berhenti bergambar di papantanda restoran itu. Jika tadi kami memasuki pantai itu dari arah Sungai Sembilang, kini kami telah berada di kawasan yang dinamakan Pantai Remis.


Gambar 5. Memasuki laluan berpasir ke Pantai Remis
 
Gambar 6. Restoran makanan laut yang menjadi tumpuan pengunjung di Pantai Remis


Pantai Remis 

Keadaan lebih meriah di kawasan Pantai Remis berbanding kawasan pantai di Sungai Sembilang, mungkin kerana adanya kemudahan infrastruktur yang lebih teratur. Terdapat ramai peniaga menjual haiwan kerangan dan ikan segar, tidak ketinggalan gerai dan penjaja bergerak yang menjual makanan serta minuman. Kemudahan yang disediakan di sini ialah pondok rehat, tandas awam, kawasan letak kereta yang luas dan juga medan selera. Kami meninggalkan kemeriahan ini dengan menerokai kawasan utara Pantai Remis pula. Keadaannya sama seperti di bahagian selatan dan tengah pantai ini, dimana aktiviti yang sama dilakukan cuma bilangan pengunjungnya agak kurang.

Laluan berpasir dan bertanah tamat di satu persimpangan, yang kemudian memaksa kami menukar haluan mengikuti laluan bertar pula. Laluan bertar itu membawa kami ke satu kawasan yang mempunyai persekitaran kawasan kebun, paya nipah, dan sebuah kolam perikanan yang kami tidak pasti apakah aktiviti yang diusahakan di situ samada menternak ikan ataupun udang. Melepasi kolam perikanan, kami melalui satu laluan lurus yang membawa kami di sebuah restoran makanan laut, sedang direnovasi untuk diperbesarkan. Tidak jauh dari situ, sebuah medan selera yang rasminya dikenali sebagai Medan Ikan Bakar Pantai Jeram.


Gambar 7. Sebuah rumah yang tidak berpenghuni
 

Gambar 08. Berlatarbelakangkan jeti perikanan dan Medan Ikan Bakar Pantai Jeram.


Jeram

Kami menjumpai sebuah laluan tanah merah di hujung kawasan meletak kereta medan ikan bakar tersebut, tetapi mengambil keputusan untuk tidak melalui laluan itu dan sebaliknya melalui laluan bertar memasuki kawasan kampung. Kawasan kampung yang aman damai, dengan keadaan trafik yang lengang amat menyenangkan kami. Kawasan penempatan dan ladang kecil kelapa sawit dilepasi, dan tanpa disangka ternampaklah sebuah tanah tinggi di sebelah kanan kami. Kami bertiga merasa takjub dengan penemuan itu. Masakan tidak, dari Kapar hingga ke Jeram semua kawasan yang kami lalui hanyalah tanah rendah landai dan tiba-tiba, satu bukit tunggal wujud di situ.


Gambar 09. Sebuah bukit berhutan di penjuru hujung ladang kelapa sawit
 

Gambar 10. Wak Rahim, berlatarbelakangkan sebuah bukit


Perjalanan kami diteruskan dengan melalui sebuah kawasan taman perumahan. Ternampak oleh kami seorang makcik berada di laman seberang jalan rumahnya. Wak Rahim memberikan salam, dan mula bertanyakan kepadanya tentang sejarah bukit itu. Perbualan menjadi semakin rancak apabila beliau menjemput kami bertiga duduk di sebuah meja simen berpayung. Saya mendengar perbualannya sambil berselang seli berfotografi. Dari apa katanya, bukit itu bernama Bukit Jeram dan pernah mempunyai penempatan suatu ketika dulu. Terdapat juga sebuah perigi yang dikatakan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau, cuma keadaan persekitarannya yang kini semak menyukarkan pengunjung untuk mencari lokasinya.

Menurut makcik itu lagi, suatu masa dahulu pekan kecil Jeram ini pernah didatangi oleh kumpulan sarkis yang mempunyai seekor harimau untuk dipertontonkan kepada pengunjung. Ngauman seekor harimau tidak diketahui yang datang dari arah Bukit Jeram telah membuatkan harimau sarkis itu menjadi takut lalu tidak mahu membuat persembahan. Mungkinkan itu amaran keras dari seekor harimau yang tinggal di Bukit Jeram itu ? Entah benar entahkan tidak, kami bertiga mendengar cerita tersebut dengan seribu tanda tanya.


Gambar 11. Wak Rahim mendengar cerita makcik itu dengan sepenuh perhatian
 

Gambar 12. Di sebalik semak inilah dikatakan terdapat sebuah perigi lama.
 

Gambar 13. Makcik, Wak Rahim, kak Ija dan ketiga-tiga basikal kami
 

Gambar 14. Makcik menceritakan kisah lama dengan penuh kesungguhan


Puas mendengar kisah dari makcik itu, kami meminta izin untuk beredar. Ini adalah kerana kami juga turut mengejar masa bagi menikmati pemandangan matahari terbenam di atas puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor. Jalan di hadapan rumah makcik itu akan membawa kami terus ke jalan besar, sebaliknya kami memilih untuk melalui jalan dalam di antara kawasan perumahan tersebut bagi menjelajahi dan mengetahui di manakah penghujungnya laluan  dalam tersebut. Ketika melalui jalan dalam tersebut, kami bertiga melihat sebuah rumah yang mempunyai rekabentuk bumbung yang unik, bersegitiga hampir menyerupai rumah Minangkabau di Negeri Sembilan.



Gambar 15. Sebuah rumah dengan rekabentuk bumbung yang unik
  

B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ...


Nota:
Motivasikan penulis untuk terus berkarya bagi berkongsikan pengalamannya dengan cara klik pada iklan di artikel ini. Penulis mengucapkan setinggi - tinggi terima kasih pada anda yang telah berbuat demikian ( :