ADS

01 March 2012

'Cyclo - Tourism': Klang, Bandar Diraja Selangor, Bahagian 5

Sambungan dari bahagian lalu

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. 

Gedung Raja Abdullah 

Dari penghujung selatan Jambatan Kota, saya melawan arah laluan trafik sejauh lebih kurang dua ratus meter memasuki Lorong Perbandaran.  Di sebelah kanan saya ialah bangunan Majlis Perbandaran Klang, tidak jauh dari situ terdapat satu simpang tiga. Setelah memastikan keselamatan dengan tiada kenderaan di simpang tersebut, saya menghala terus memasuki Lorong Perbandaran hingga ke hujung dan bertemu dengan simpang tiga pertembungan Jalan Kota dan Lorong Perbandaran.

Memasuki Jalan Kota, saya menghala terus hingga terdapat satu susur masuk ke kiri menghala Jalan Jambatan Kota dan satu lagi ke kanan menghala Jalan Tengku Diaudin. Di Jalan Tengku Diaudin sebelum tiba di persimpangan lampu isyarat saya memasuki arah kiri di Jalan Raya Timur. Di kiri saya ialah bangunan Balai Bomba dan Balai Polis Klang Selatan, Gedung Raja Abdullah terletak betul-betul bersebelahan dengan balai polis.
 

Gambar 1. Berhati-hati melawan arus trafik di kawasan bertanda merah

Gambar 2.  Gedung Raja Abdullah, dilihat dari udara. Ihsan Google Maps


Sebaik sahaja saya sampai, alangkah malangnya, tempat itu masih bertutup. Mungkin untuk kerja-kerja pemuliharaan. Apa yang pasti, sudah beberapa tahun saya melalui kawasan sekitar bangunan tersebut dengan harapan dapat melawat kesan sejarah silam bandar Klang tetapi hasrat tersebut masih tidak dapat direalisasikan. Mungkin terdapat penjelasan kenapa ia masih belum dibuka kepada umum untuk lawatan ...

Saya hanya dapat bergambar di hadapan pintu masuk utama ke bangunan tersebut, sambil berharap ianya akan dibuka segera bagi tatapan generasi kini.


Gambar 3. Pintu masuk utama ke Gedung Raja Abdullah yang berkunci

Gambar 4. Pintu gerbang seakan mengalukan kehadiran pengunjung


Mengikut info dari laman web Jabatan Warisan Negara, bangunan ini dibina pada tahun 1856 sebagai tempat penyimpanan bijih timah dan bahagian atasnya sebagai tempat kediaman. Pada 1853, Raja Abdullah bin Raja Jaafar iaitu adinda kepada Raja Jumaat, Lukut telah dikurniakan pangkat “Orang Besar Klang” oleh baginda Sultan Muhammad Shah dan dengan itu beliau berjaya membuka beberapa buah lombong bijih timah di Ulu Sungai Klang, sekarang dikenali sebagai Kuala Lumpur. Raja  Abdullah merupakan wakil Sultan yang diperintahkan mengutip hasil dan memperdagangkan bijih timah yang dihasilkan di Lembah Klang.
 

Gambar 5. Plet pengisytiharan Gedung Raja Abdullah menjadi bangunan warisan negara


Semasa berlakunya Perang Saudara di Selangor pada tahun 1866 di kawasan ini, gudang ini telah dijadikan sebagai kubu pertahanan pengikut Raja Mahadi yang berkubu di Kota Raja Mahadi tidak jauh dari kawasan ini (di perkarangan Pejabat Majlis Perbandaran Kelang sekarang). Residen Inggeris pertama, J.G. Davidson menjadikan gedung ini sebagai Pusat Pentadbiran Daerah yang kemudiannya dijadikan Balai Polis Daerah hingga tahun 1970.

Ia bercirikan senibina Anglo – Indian abad ke 19 dengan gabungan senibina tempatan. Bangunan kayu bertiang konkrit ini dibina secara memanjang dan tinggi dengan tingkat bawah berlantaikan simen manakala tingkat atas berlantai kayu. Sesuai dengan fungsinya sebagai gedung simpanan bijih timah, bangunan ini dibina mudah tanpa elemen-elemen hiasan seperti rumah-rumah tradisi lain. Terdapat beberapa ruang berbilik di tingkat bawah namun tingkat atasnya dewan besar dibiarkan terbuka dengan serambi di sekelilingnya.


Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz
 
Kecewa kerana tidak dapat memasuki Gedung Raja Abdullah, saya meneruskan perjalanan ke hentian seterusnya iaitu di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz. Dari gedung tersebut, saya berpatah balik melepasi  Balai Polis dan Balai Bomba Klang Selatan di sebelah kanan  lalu masuk semula ke Jalan Tengku Diaudin dengan menghala ke arah kiri. Tidak jauh, terdapat satu persimpangan berlampu isyarat. Jika ke kanan, akan melalui jambatan dua lorong di Jalan Tengku Kelana. Saya mengambil jalan ke hala jam dua belas. Di penghujung jalan, ternampaklah akan sebuah bangunan serba putih bertiang Roman dua tingkat betul-betul di hujung persimpangan Jalan Tengku Diaudin dan Jalan Stesyen.
 

Gambar 6. 'Rumah Putih' bandar Klang


Di hadapan sebelah kiri pintu masuknya terdapat sebuah batu tanda penerangan lokasi pelancongan dalam bahasa Inggeris,  sebuah papan tanda aras tinggi mengalukan kedatangan pelawat ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz serta sekeping plat kecil bertulisan hitam pada latarbelakang perak tentang hari dan masa melawat. Manakala di bahagian kanan pintu masuk, tulisan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dalam bahasa rumi dan Jawi  serta tidak jauh dari situ terdapat bendera besar Selangor di hujung tiang berwarna putih.


Gambar 7. Maklumat pelancongan dalam bahasa Inggeris

Gambar 8. Papan tanda aras tinggi mengalukan kedatangan pengunjung

Gambar 9. Info hari dan masa lawatan

Gambar 10. Tulisan rumi berselang tulisan jawi di sebelah kanan pintu masuk


Selepas memastikan hari dan waktu melawat yang betul, saya masuk kedalam mencari tempat bagi meletakkan basikal.  Tidak jauh dari pintu masuk, berdiri satu pondok kawalan dengan didalamnya terdapat seorang pengawal berbangsa Nepal sedang bertugas. Saya mencari lokasi sesuai dan selamat untuk mengunci basikal di tempat meletak kenderaan pelawat, lalu ternampak akan sebatang pokok palma yang bersaiz sederhana dan redup untuk meletakkan  basikal.

Tanpa membuang masa, kunci dikeluarkan dan basikal ‘digari’ pada batang pokok palma tersebut. Ketika melangkahkan kaki ke arah bangunan, pengawal tersebut memanggil dan mengarahkan agar basikal saya diletakkan di tempat yang dikhususkan. Terjadi satu konflik antara kami berdua. Saya menegaskan terpaksa mengunci  basikal pada pokok palma tersebut untuk mengelakkan basikal dari dikunci. Kata beliau dengan nada sopan, saya harus meletakkan basikal di kawasan yang telah disediakan. Tambahnya lagi, dia akan dimarahi jika secara tiba-tba Sultan Selangor membuat lawatan secara rahsia ke galeri tersebut.

Demi menghormati tugas pengawal keselamatan dan juga tidak mahu berlaku sebarang pertelingkahan, saya mengalihkan basikal ke kawasan meletak motorsikal dan tetap mengunci tetapi cuma pada bahagian rangka serta roda basikal. Sebelum beredar, sempat juga berpesan kepada pengawal keselamatan tersebut supaya menjaga ‘buah hati’ saya sebaik mungkin sambil mengucapkan terimakasih untuk beliau. Memang benar kata orang yang pengawal keselamatan berbangsa Nepal sangat jujur dan setia dalam bertugas, tetapi dia masih tetap seorang manusia, bukan ? Dan manusia tidak lepas dalam melakukan kesilapan dan juga kelalaian …

Memasuki sahaja bahagian hadapan, saya melihat ke atas dan terpandang angka 1909 di bahagian bawah cucur atap bangunan. “2011 tolak 1909, bersamaan 102. Wahhh, dah tua juga umur bangunan ni,” bisik hati saya.


Gambar 11. Pemandangan suatu sudut bangunan galeri
 
Gambar 12. Bangunan ini telah berusia lebih 100 tahun !


Dalam perjalanan ke suatu sudut, saya ternampak sekeping gambar di dinding mengenai upacara merasmikan bangunan ini oleh Sultan Selangor. Berhampiran gambar itu juga terdapat plet info mengenai bangunan ini.
 

Gambar 13. Tiga info dalam satu sudut 
 
Gambar 14. Sultan Selangor ketika merasmikan galeri ini
 
Gambar 15. Plet pengesahan Bangunan Sultan Suleiman sebagai warisan kebangsaan
 
Gambar 16. Info ringkas bangunan asal galeri ini


Selepas mengambil beberapa keping gambar, saya memasuki bahagian yang menempatkan sebuah kaunter.  Saya mundar-mandir di situ, sambil mencari info-info berguna dan lokasi yang baik untuk bergambar. Terlihat akan sebuah lorong untuk ke bahagian tengah galeri ini. Di situ saya terlihat dua patung singa berdiri megah kiri dan kanan di kawasan yang mempunyai lanskap menarik.


Gambar 17. Kaunter yang terdapat di bahagian tengah bangunan

Gambar 18. Pemandangan bahagian tengah, kawasan terbuka di luar bangunan

Gambar 19. Galeri ini telah dirasmikan oleh Sultan Selangor pada 19hb Oktober 2007

Gambar 20. Dua ekor singa, berdiri gagah mengawal bahagian luar bangunan

Gambar 21. Info tentang dua ekor singa yang dihadiahkan kepada Almarhum Sultan Salahuddin 


Setelah berpanas melihat keadaan sekeliling di bahagian luar galeri, saya kembali ke kawasan kaunter. Terdapat seorang petugas wanita di kaunter berkenaan, saya menanyakan bayaran masuk. Beliau memberitahu yang kemasukan adalah percuma, sambil memberikan satu buku panduan pelawat berwarna perang bergambar sebuah mahkota kebesaran di kulit hadapannya. Kata beliau lagi, “tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar ketika berada di dalam galeri pameran.” Aduh, kata-katanya begitu meruntun hati saya. Tidak dapatlah hendak berkongsikan foto pengalaman ini bersama rakan-rakan lain, hati saya merintih.

Sebelum memasuki galeri pameran, saya sempat meninjau sekeliling jikalau ada terdapat lagi info atau kawasan menarik yang saya terlepas pandang. Kelihatan di sisi kemudahan lif (lif barang), saya ternampak sekeping gambar bangunan ini bersama dua keping info sejarahnya yang disusun rapat bertiga. Manakala di dinding belakang lif, terdapat  gambar seorang lelaki berbangsa Inggeris bersama info mengenai dirinya.


Gambar 22. Lukisan serta info Bangunan Sultan Suleiman (kini Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz)
 
Gambar 23. Kronologi sejarah Bangunan Sultan Suleiman dari dulu hingga kini


Bangunan Sultan Suleiman

Bangunan Sultan Suleiman ini telah dibina pada tahun 1909 semasa pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Suleiman Shah (1898 - 1938), hasil rekaan arkitek Inggeris bernama Arthur B. Hubback. Rekabentuk bangunan ini adalah unik dari segi rekabentuk pintu, tingkap, kisi-kisi dan anjung serta warnanya, maka ia digelar "Rumah Putih" oleh penduduk Klang.

Nama "Bangunan Sultan Suleiman" telah diisytiharkan oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 22hb Februari 1989. Bangunan ini didirikan sebagai Pejabat Pentadbiran Kerajaan Inggeris, tetapi telah dijadikan Markas Tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Setelah tamat perang, ia dijadikan sebagai Pejabat Daerah Klang bagi urusan tanah. 
 
Polis Diraja Malaysia Kontijen Negeri Selangor telah menduduki bangunan ini pada tahun 1973 hingga tahun 1985 apabila Pejabat Daerah Klang berpindah ke bangunan barunya di Jalan Kota. Pada tahun 1987, Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah mengambil alih bangunan ini sehingga 2002.

D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah berkenan Bangunan Sultan Suleiman ini dijadikan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan kerja-kerja baikpulih telah dilaksanakan pada tahun 2005.
 
 
Gambar 24. Arthur Benison Hubback, dan senarai bangunan rekaannya
 
 
Manakala info pada gambar seorang lelaki berbangsa Inggeris itu pula bertulis:
 
Arthur Benison Hubback ialah arkitek bangunan ini. Dibina pada tahun 1909, bangunan ini dahulunya dikenali sebagai 'Rumah Putih Klang'. Pada tahun 1989, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah menamakan bangunan ini sebagai 'Bangunan Sultan Suleiman'.

Diantara hasil kerja A.B. Hubback ialah:
- Bangunan Sultan Suleiman,
- Stesen Keretapi Kuala Lumpur,
- Stesen Keretapi Ipoh,
- Bangunan Pentadbiran Stesen Keretapi Kuala Lumpur,
- Panggung Bandaraya Kuala Lumpur,
- Bangunan Pentadbiran Bandar Ipoh,
- Masjid Jamek,
- Masjid Ubudiah Kuala Kangsar,
- Perpustakaan Negeri Sembilan,
- Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur,
- Carcosa Sri Negara, Kuala Lumpur,
- Beberapa bangunan di sekitar Medan Pasar, Kuala Lumpur,
- Pejabat Pos Kuala Lumpur, dan
- Teminal Kowloon Canton Hong Kong

Di akhir pembacaan saya mengenai senarai bangunan yang pernah direka oleh A.B Hubback ini, saya mulai membayangkan satu persatu dari beberapa bangunan yang pernah saya lawati dahulu. Patutlah terdapat semacam satu 'chemistry' di antara rekaan bangunan-bangunan tersebut, rupanya ia direkabentuk oleh arkitek yang sama. Minda saya terasa puas dapat menghubungkan info-info sejarah tersebut dan dalam diam mula menanam minat untuk mengetahui pula sejarah insan yang bernama Arthur Benison Hubback ini. Saya meninggalkan kawasan berhampiran lif dan kaunter tersebut untuk masuk ke galeri pameran di pintu masuk utama.
 
Di pintu masuk, saya disambut oleh seorang pengawal keselamatan, juga berbangsa Nepal. Pakaiannya menarik perhatian saya, seolah zaman dahulukala. Dengan berkemeja dan berseluar pendek warna perang cair, juga bertopi. Mengingatkan saya kepada imej pasukan bersenjata seperti di dalam filem Leftenan Adnan. Beliau sama seperti wanita yang bertugas di kaunter, mengingatkan saya agar tidak berfoto  semasa berada dalam galeri pameran.
 
 
Gambar 25. Pemandangan sudut hadapan galeri pameran. Maaf, tidak dibenarkan mengambil gambar di galeri pameran. Jangan marah ( :
 
 
Tidak diingati masa sebenar yang diambil untuk melawat galeri tersebut, tetapi saya anggarkan sekitar sejam setengah. Dalam jangkamasa lebih kurang satu jam tiga puluh minit itu, saya telah melawat ke semua bahagian pameran. Terdapat tujuh bahagian pameran terdapat di galeri tersebut. Pengunjung seakan dibawa kembali ke zaman dahulu; bermula dari era Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kecil, semasa bertugas dalam unit ketenteraan dan pentadbiran awam, sehinggalah pelantikan beliau sebagai Sultan Selangor yang ke 8 pada tahun 1960 dan Yang Dipertuan Agong ke 11 pada 1999.
 
Secara ringkasnya, ketujuh-tujuh ruang pameran galeri tersebut dapat disimpulkan sebagai berikut:
 
Ruang 1: Susur galur keturunan kesultanan Selangor
 
Ruang 2: Zaman awal Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
 
Ruang 3: Mahkota kebesaran dan Keluarga Diraja
 
Ruang 4: Tugas Diraja
 
Ruang 5: Yang Dipertuan Agong ke 11
 
Ruang 6: Koleksi Diraja
 
Ruang 7: Kawasan pameran sementara

Sebaik sahaja saya memasuki laman ruang pameran terakhir, di pintu keluar saya disapa oleh seorang gadis genit dengan ucapan 'terima kasih dan semoga datang lagi' seraya membukakan pintu untuk saya. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana membukakan pintu. Di luar galeri pameran, saya merasakan 'unit pemerosesan minda' seolah panas dan berasap akibat menerima terlalu banyak input sepanjang lawatan ke situ. Walaupun cuma membuat lawatan secara rambang di situ kerana hendak mengejar masa untuk ke lokasi lain, tetapi banyak yang saya perolehi. Ya, saya pasti akan datang lagi ke situ. Kali ini, dengan jangkamasa yang lebih panjang. Azam saya di dalam hati ...
 
Nota:
Laman web Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz boleh dilayari di sini. Berminat untuk melawat ? Peta lokasi disediakan di sini.

Cerita seterusnya; singgahan ke Kelab Diraja Selangor, Istana Alam Shah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) Klang. Tungguuu ... !!


Wherever you go, go with all your heart - Confucius

4 comments:

LOVEmeONLY said...

selamat pagi.. maaf saya copy pic tanpa dapatkan kebenaran awak..
~ mohon copy pic ~ tq n sori

Azizan Zolkipli said...

LOVEmeONLY: Assalamulaikum. Takpe, tiada masalah. Harap dapat dimanfaatkan penggunaan gambar2 itu untuk membantu awak. Saya benarkan dan halalkan ...

LOVEmeONLY said...

TERIMA KASIH

Azizan Zolkipli said...

@LOVEmeONLY: Sama2 awak ...