ADS

Showing posts with label Kuala Lumpur. Show all posts
Showing posts with label Kuala Lumpur. Show all posts

07 June 2012

Kayuhan NJ: Hari 1, Bahagian 2

Imbasan episod lalu:

"Kami meninggalkan kawasan kafetaria dan kembali ke lokasi pejabat Muzammil bagi mengambil basikal-basikal kami. Sebelum memulakan perjalanan, seperti biasa sesi bergambar beramai-ramai dan juga solo sebagai kenangan sebelum secara rasminya Kayuhan NJ ini dimulakan ..." 

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. 

17hb Nov 2011, Khamis 

Bangunan MAA, Jalan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur ke Batu Caves
Setelah sesi fotografi, tepat jam 0900 pagi kami berempat meninggalkan bangunan MAA dengan Ah Chong mengepalai konvoi di barisan hadapan. Kami memasuki Jalan Dewan Bahasa Dan Pustaka secara melawan arah sebelum memasuki arah yang betul dengan melintas di sebuah lampu isyarat simpang tiga menghala ke arah tanah perkuburan lama.

Dari Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka, kami memasuki Jalan Maharajalela, Jalan Kinabalu dan kemudian Jalan Raja melintasi Dataran Merdeka di sebelah kiri kami dan Bangunan Sultan Abdul Samad di sebelah kanan kami. Dari Jalan Raja, perjalanan diteruskan melalui Jalan Raja Laut, Jalan Ipoh, Jalan Sentul, Jalan Sentul Pasar, Jalan 46/10 dan Jalan Taman Batu Muda. Di Jalan Taman Batu Muda ini, kami telah meninggalkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kini mula memasuki negeri Selangor Darul Ehsan.

Selamat tinggal Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ! Selamat datang Selangor !
Jalan Taman Batu Muda ditinggalkan dan kami kini memasuki Jalan Perusahaan 1 menghala ke arah Batu Caves. Di persimpangan berhadapan Batu Caves, kami menghala ke kiri memasuki sebahagian Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke arah sebuah bulatan untuk keluar pula ke Jalan Ipoh. Di Jalan Ipoh, bahu jalannya adalah besar dan di sini kami perlu lebih berhati - hati dengan kenderaan yang keluar masuk dari susur masuk / keluar. Kadang - kadang terdapat kenderaan yang dipandu laju dan secara tiba - tiba menghala ke susur keluar tanpa memberikan lampu isyarat terlebih dahulu.

Air Panas Selayang ke Rawang
Melepasi kawasan Air Panas Selayang, laluan mula beransur - ansur mendaki. Abang Joe berada paling hadapan diikuti saya, Ah Chong dan Muzammil paling belakang. Untuk info, di dalam perjalanan ini Muzammil membawa keempat - empat beg panniernya yang dipasang pada rack belakang dan hadapan basikal beliau. Pada hemat saya, semestinya Ah Chong dan Muzammil terpegun dengan kekuatan stamina abang Joe yang kuat berkayuh walaupun umurnya telah melebihi setengah abad. Ini dibantu pula oleh penggunaan kasut berklip pedal yang akan membantu dirinya mengoptimumkan tenaga semasa berkayuh, lebih - lebih lagi ketika melalui jalan mendaki.

Sampai di kemuncak pendakian, saya melihat pada odometer saya dan mendapati laluan pendakian tersebut adalah tepat berjarak satu kilometer. Abang Joe pula sudah tidak lagi kelihatan. Saya menerima SMS dari abang Joe, memberitahu beliau menunggu di sebuah stesyen minyak Petronas selepas sahaja kawasan menuruni bukit. Oleh kerana tidak mahu menunggu rakan - rakan di belakang di tempat yang terbuka dan panas di tepi jalan, saya kemudian mengayuh ke hadapan menuruni bukit dan berteduh di kawasan bawah jambatan.

Kaki Muzammil kejang !
Beberapa minit kemudian, saya ternampak Ah Chong dan beliau berhenti menemui saya. Katanya, Muzammil mengalami kekejangan otot di belakang. Saya menyuruh Ah Chong mara ke hadapan terlebih dahulu dan mencari abang Joe di stesyen minyak Petronas. Beberapa minit menunggu, akhirnya saya nampak Muzammil menuruni bukit dalam keadaan laju dan saya terus menahannya.

Kami berborak seketika tentang keadaan kaki beliau. Katanya, ia berpunca dari kurang latihan berkayuh kerana kesibukan dengan urusan kerja. Saya menambah lagi yang ia mungkin juga berpunca dari kurang rehat, kerana Muzammil baru sahaja menamatkan shif kerjanya hari itu pada jam 0700 pagi dan tidak sempat untuk tidur. Saya menghulurkan satu tiub 'deep heating rub' untuk disapukan pada kaki beliau. Selepas menyapunya, kami berdua menyambung perjalanan ke  stesyen minyak yang dijanjikan.

Perjalanan ke stesyen minyak tersebut melalui jalan menurun bukit melepasi Taman Rimba Templer dan Taman Rimba Kanching di sebelah kanan serta Taman Rimba Komanwel di sebelah kiri kami. Satu dari pengalaman yang tidak dapat kami berdua lupakan ketika di sini ialah terdapat satu lori treler yang dipandu laju dalam jarak hampir satu perpuluhan lima meter dari kami dan angin yang dibawa lori tersebut membuatkan basikal kami terhuyung hayang. Setelah melalui saat - saat mendebarkan dengan melintasi kawasan pembinaan di bahu jalan, Muzammil dan saya sampai di stesyen minyak Petronas tepi jalan tersebut.

Stesyen Minyak Petronas Rawang
Kelihatan Ah Chong dan abang Joe telah menanti, dengan terdapat tambahan seorang lelaki berbadan tegap bersama sebuah kereta Proton Wira berwarna kuning. Lelaki tersebut kelihatan ramah berbual dengan Ah Chong dan Abang Joe. Muzammil dan saya kemudian bersalaman dengan lelaki tersebut. Setelah berbual, barulah saya mengetahui yang lelaki tersebut mengaku yang dia adalah pengawal peribadi kepada pemain bolasepak negara yang diimport ke kelab Pelita Jaya FC di Indonesia, iaitu Safee Sali. Entah benar entahkan tidak, tidak dapat kami pastikan ...


Gambar 1. Bersama pemuda yang mengaku dirinya pengawal peribadi kepada Safee Sali (paling kanan)


Ketika di situ, sempat saya menghantar satu SMS ke laman sosial Facebook menggunakan aplikasi Maxisfb2mobile, bertulis: 

Pit stop pertama di Petronas Rawang. 37.51 km DST, 18.3 km/h AVG, 2:02:23 TM, 43.3 km/h MAX [17.11.2011, 1100 hrs]
 
Yang membawa maksud; jumlah jarak kayuhan 37.51 kilometer, purata kelajuan 18.3 km/j, masa kayuhan berjumlah 2 jam 2 minit 23 saat dan kelajuan maksima 43.3 km/j.

Puas berehat di stesyen minyak tersebut, kami meneruskan perjalanan. Sebelum itu, Ah Chong meminta kami meninjau kedai hardware untuk beliau membeli rantai kunci basikal dan cable tie. Di satu deretan kedai di sebelah kiri jalan, kami ternampak sebuah kedai hardware lalu singgah ke situ. Berjaya mendapatkan apa yang Ah Chong inginkan, perjalanan disambung dan kami kini memasuki pekan Rawang. Terdapat satu laluan mendaki pendek yang terpaksa kami lalui sebelum jalan kembali landai.

Beberapa kilometer di hadapan, kelihatan abang Joe berhenti menunggu kami bertiga di sebuah hentian bas. Rupa - rupanya dalam perjalanan, beliau sempat berhenti di gerai menjual buah - buahan di tepi jalan bagi membeli sesikat pisang. Lokasi yang teduh, ditambah dengan sesikat pisang yang dibelanjai oleh abang Joe menyempurnakan lagi hentian kami pada hari yang terik itu hehehe ...


Gambar 2. Hentian rehat sambil memakan pisang ( :


Selesai menghabiskan pisang yang dibeli dan membasahkan tekak, kami meneruskan perjalanan dan tidak beberapa jauh di hadapan, saya meminta mereka untuk berhenti bagi mengambil foto grup di satu papantanda sempadan daerah.


Gambar 3. Meninggalkan daerah Gombak dan memasuki daerah Hulu Selangor.


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

 
"Do not go where the path may lead, go instead where there is no path and leave a trail" 
- Ralph Waldo Emerson 

29 May 2012

Kayuhan NJ: Hari 1, Bahagian 1

Selamat sejahtera ke atas kamu, kamu dan kamu ! Apa khabar ? Harap semuanya baik-baik sahaja. Maafkan saya, rasanya sudah lebih sebulan tidak berkumandang di laman sesawang ini, sejak entry terakhir pada 18hb April mengenai Majlis Pelancaran Buku Pedalling Around The Peninsula dan penceritaan pra Kayuhan NJ pada 29hb Mac 2012 lalu.

Bagi yang terlupa, ataupun baru sahaja mengikuti penceritaan ini, episod pengenalan boleh dirujuk di sini. OK, tanpa basa-basi lagi, saya nak tebas sawang di laman sesawang ini. Zasss, zasss, zasss ...

Ambil feel dulu ... Beberapa jam sebelumnya ...

"Tidak saya ingati, jam berapa kami bertiga tidur pada malam itu. Mungkin sekitar jam 0300 pagi jika tidak silap. Sebelum kami tidur, beberapa persiapan terakhir telah dilakukan. Ah Chong meminjamkan alas tidur (sleeping mat) dan beg tidur (sleeping bag) kepada abang Joe untuk dibawa. Abang Joe pula sempat membeli sebuah lampu suluh berkuasa tinggi dengan bateri 'boleh - cas semula' (rechargeable) dari Ah Chong yang boleh diletakkan pada handlebar basikal ..."

"Ah Chong kemudian meminta diri untuk meninggalkan kami berdua kerana dia hendak masuk ke bilik menyambung tidur yang terganggu tadinya. Bagi kami berdua, juga perlukan rehat sebelum berkayuh pada paginya nanti. Sebaik lampu ditutup, beberapa minit kemudian tiada lagi perbualan antara saya dan abang Joe dan kemudian pandangan saya pun terus gelap gelita, zZzZzZ
..."

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik.

17hb Nov 2011, Khamis.

Lorong Mewah 4, Bandar Tun Razak.

Saya dan abang Joe bangun ketika hari belum cerah pada pagi Khamis itu. Kami saling bertukar giliran untuk menggunakan bilik air, juga bergilir menggunakan bilik paling hadapan di rumah Ah Chong bagi menukar pakaian dan bersolat Subuh. Ibu Ah Chong membuatkan kami minuman sebagai sarapan untuk kami bertiga.

Selesai minum, membuat persiapan terakhir serta memeriksa agar tiada barangan yang tertinggal, kami membawa basikal masing-masing keluar dan bersedia di perkarangan rumah Ah Chong. Sempat juga bergambar kenangan sebelum masing-masing meninggalkan Bandar Tun Razak (selepas ini akan ditulis sebagai BTR). Setelah memohon untuk memulakan perjalanan dari ibu Ah Chong, lebih kurang jam 0715 pagi kami memulakan perjalanan dengan didahului oleh Ah Chong di hadapan dan saya seperti biasa di bahagian paling belakang.


Gambar 1. Bergambar di perkarangan rumah jiran Ah Chong


Dari Lorong Mewah 4 Bandar Tun Razak, kami memasuki Persiaran Mewah dan berhenti sebentar di stesyen minyak BHP Jalan Jujur bagi menambah tekanan angin tayar basikal masing-masing. Dari Jalan Jujur kami kemudian memasuki Jalan Bangsawan, Jalan Budiman diikuti Jalan Yaacob Latif atau dulunya pernah dikenali sebagai Jalan Tenteram.

Di pangkal Jalan Yaacob Latif kami melepasi Flat Sri Labuan di sebelah kiri serta Balai Bomba dan Penyelamat BTR (BBPBTR) di sebelah kanan jalan. Meneruskan perjalanan, kami turut melepasi Institut Latihan DBKL, Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kompleks Renang Kuala Lumpur, Kompleks Sukan BTR, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur,  Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL), Sekolah Menengah Sains Alam Shah (SMSAS), Institut Perguruan Ilmu Khas (IPIK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras (SMKC), kesemuanya berada di sebelah kiri jalan mengikut turutan.

Manakala di sebelah kanannya pula, kami melepasi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berhadapan Kompleks Sukan BTR diikuti Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik (IPGPT) yang terletak bertentangan SMTKL. Kami turut melepasi Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah yang keduanya terletak bersebelahan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terletak tidak jauh dari Medan Selera Velodrom dan diakhiri dengan Velodrom Kuala Lumpur yang terletak bertentangan SMKC pada pangkal sebelah kanan Jalan Yaacob Latif.

Keadaan trafik mulai sesak ketika kami melalui susur keluar dari Jalan Yaacob Latif ke Jalan Loke Yew. Kesesakan yang normal bagi penduduk kotaraya Kuala Lumpur seawal pagi, dimana semua berpusu-pusu keluar untuk mencari rezeki dan tiba di lokasi tempat bekerja sebelum waktu yang ditetapkan. Kami mengambil laluan paling kiri di bahu jalan, dan sesekali mencelah di antara kesesakan trafik terutama ketika melalui pertembungan antara jalan utama dan susur keluar ke beberapa jalan sekitar. Keadaan trafik yang sesak melegakan kami kerana tidak perlu khuatir akan kenderaan yang memandu laju, cuma kami perlu lebih berhati-hati untuk mengelak dari terlanggar atau melanggar penunggang motorsikal yang juga mencelah seperti kami.

Dari Jalan Loke Yew, Ah Chong membawa kami memasuki jalan belakang yang tidak pernah saya lalui, apatahlagi mengetahui namanya. Yang pasti, kami melepasi tanah perkuburan lama dan tiba-tiba sahaja keluar di Jalan Dewan Bahasa, menuju ke Bangunan MAA dimana ianya menjadi lokasi pertemuan kami dengan seorang lagi peserta kayuhan ini iaitu Muzammil. Kami tiba di perkarangan bangunan MAA tepat jam 0800 pagi. Saya menghubungi Muzammil untuk mengetahui beliau dimana, dan dia meminta kami ke tingkat paling atas bangunan tersebut iaitu di mana pejabatnya berada. Oleh kerana saya pernah beberapa kali ke situ, saya  menjadi jurupandu arah membawa Ah Chong dan abang Joe.

Sesampainya kami di atas, masing-masing bersalaman dan saya memperkenalkan abang Joe kepada Muzammil kerana mereka belum pernah bersua sebelum ini. Menurut Muzammil, beliau baru sahaja menamatkan tugasnya hari ini pada jam 0700 pagi, setelah bertugas pada shif malam. Beliau kemudiannya mengajak dan membawa kami bersarapan pagi di kafetaria yang terdapat di bangunan tempat kerjanya.

Setelah meninggalkan basikal-basikal kami pada dua orang rakan Muzammil untuk minta dijagakan, kami melangkah keluar dari perkarangan pejabat lalu masuk ke dalam lif untuk ke tingkat di mana terdapatnya kafetaria bagi pekerja-pekerja bangunan MAA itu. Seingat saya, terdapat tidak sampai lima peniaga makanan di kafetaria tersebut. Masakan yang dijual nampak masih panas lagi menyelerakan, saya memilih spagheti yang digandingkan dengan seketul hash brown dan beberapa ketul kentang rebus bercili. Ala menu western lah pulak hehehe ...


Gambar 2. Sarapan pagi saya, pinggan yang di sebelah bawah, yang di atas tu siapa punya entah, lupa pula ...


Selepas bersarapan, ada yang mengambil kesempatan untuk berak 'memerut' di tandas berhampiran kafetaria. Selesai membayar harga makan - minum, saya menghantar satu sms menggunakan perkhidmatan Facebook melalui telefon bimbit (Maxisfb2mobile) dengan mesej berikut:

"Baru lepas b’sarapan di Menara MAA. Akan memulakan p’jlnan touring sedikit masa lagi selepas sessi bergambar. Bismillah ... [17.11.2011, 0833 hrs] ..."

Kami meninggalkan kawasan kafetaria dan kembali ke lokasi pejabat Muzammil bagi mengambil basikal-basikal kami. Sebelum memulakan perjalanan, seperti biasa sesi bergambar beramai-ramai dan juga solo sebagai kenangan sebelum secara rasminya Kayuhan NJ ini dimulakan.


Gambar 3. Tiada tripod, tempat duduk motorsikal dan kotak rokok pun berguna ...
 
Gambar 4. Basikal Bridgestone saya dipasangkan dengan no. plet 0N3 L355 C4R pada bahagian belakang basikal
 
Gambar 5. Abang Joe, bersama basikal Giant model XTC Race nya

Gambar 6. Ah Chong disisi basikal Jamis Allegro 2X nya
 

B   E   R   S   A   M   B   U   N   G


 
"Only passion, great passions, can elevate the soul to great things." - Elias
 

29 March 2012

Kayuhan NJ: Pra kayuhan

Edisi pengenalan mengenai kayuhan ini boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah dari saya sendiri, Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik.

Untuk kembara berbasikal kali ini, saya menggunakan pendekatan untuk tidak membuat rakaman perjalanan secara kebiasaan yang dilakukan iaitu menggunakan buku catatan dan juga pen, sebaliknya hanya mengharapkan khidmat pesanan ringkas (sms) yang berintegrasi dengan penggunaan akaun Facebook bersama aplikasi 'fb2mobile' oleh sebuah syarikat telko tempatan.

Disamping ingatan yang kadang-kadang tidak berapa baik ini, memori saya turut dibantu oleh gambar-gambar dari koleksi Ah Chong dan Muzammil. Kombinasi inilah saya gunakan bagi menghasilkan pengkisahan untuk perjalanan Kayuhan NJ di dalam blog ini. Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya rasmikan pengkisahan ini …


16hb Nov 2011, Rabu.

Seksyen 24, Shah Alam
Hari itu adalah hari Rabu, sehari sebelum kembara berbasikal Kayuhan NJ kami bermula. Pagi itu saya habiskan dengan membeli dan melengkapkan keperluan yang diperlukan untuk kembara kali ini. Selain itu, membuat persiapan terakhir pada 'jentera kayuhan' (basikal) dan 'menguji kayuh' (bukan uji pandu tau !) untuk mengesan sebarang kerosakan sebelum ianya digunakan dalam kayuhan nanti.

Petang dan malamnya pula, saya bergelut melawan masa untuk menghabiskan artikel blog bagi menyertai sebuah pertandingan menulis "26 fakta tentang seorang kaki jalan bernama ...". Ia adalah anjuran cik Fatt, penulis blog Backpacker Busuk, sebuah blog kembara yang mula mendapat perhatian peminat aktiviti berkembara tempatan termasuk saya sendiri.

Tujuan utama saya memasuki pertandingan tersebut, dengan harapan agar peminat kembara tanahair mula menyedari kewujudan aktiviti berkembara basikal yang semakin berkembang kebelakangan ini, juga untuk menzahirkan kesedaran tentang peri pentingnya kita menjelajah negara kita, dimana terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang mungkin tersembunyi atau terlepas pandang.

Alhamdulillah, artikel tersebut yang saya berikan judul "26 fakta tentang seorang basikalis 'touring' bernama Azizan Zolkipli" telah pun meraih dua hadiah, iaitu kategori menjawab soalan nombor tertentu yang mana penyumbang hadiah menjadi juri memilih pemenang dan satu lagi iaitu kategori 'Reader Choice'. Artikel mengenai kemenangan itu, boleh dibaca di sini.

Selesai sahaja memuatnaik pertandingan tersebut dengan cara mengemaskinikan entry terbaru blog Ceritera Touring, satu post diadakan di status Facebook saya dengan memberikan peta laluan perjalanan disamping menyatakan hasrat untuk berkembara berbasikal. Ianya menerima reaksi yang hangat dari kenalan di laman sosial itu, lantas ada yang mendoakan keselamatan serta kejayaan disamping memberikan pelbagai saranan tempat untuk saya singgahi semasa perjalanan nanti.


Status di wall Facebook sebaik sahaja menghantar pertandingan menulis.

Lagi ucap selamat serta saranan dari kenalan Facebook


Selepas mematikan komputer riba (laptop lah tu !), bantuan diminta kepada rakan serumah untuk menghantar saya berserta basikal ke Kampung Baru Subang. Ia bertujuan untuk mengambil seorang lagi rakan kembara, iaitu abang Joe. Sebelum bertolak dari Shah Alam, saya menghubungi beliau untuk bertanyakan lokasi rumahnya. Beliau memberikan panduan, dan berkata akan menunggu di tepi jalan berhampiran sebuah kedai tayar.

Shah Alam ke Kampung Melayu Subang
Dari Shah Alam, selepas melalui Lebuhraya Persekutuan kami memasuki jalan Lapangan Terbang SSAAS, kemudian memasuki jalan lama yang betul-betul terletak bersebelahan pagar lapangan terbang. Di penghujung jalan tersebut, bertemulah kami dengan kedai tayar dan kelibat abang Joe. Selepas menaikkan basikal ke kenderaan, kami bertiga meninggalkan kawasan Subang menghala ke Bandar  Tun Razak, rumah Ah Chong.

Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur
Kami tiba sekitar jam 0100 pagi di rumah Ah Chong. Satu panggilan terpaksa dibuat memandangkan hari telah lewat malam dan Ah Chong telah pun melelapkan matanya. Sejurus pintu dibuka, Ah Chong keluar menyambut kehadiran kami bertiga. Sebaik sahaja menurunkan basikal dari kenderaan, saya cuba untuk memasang rack pada basikal abang Joe. Tidak kelihatan eyelet pada bahagian belakang rangka basikalnya ! Mujurlah saya ada membawa rack mudah alih yang dipasang pada tiang tempat duduk (seatpost) basikalnya.

Rack mudah alih ini senang dipasang dan dibuka pada mana-mana basikal, cuma keburukannya ialah ia hanya berkapasiti untuk membawa beban sehingga  sembilan kilometer sahaja. Rakan serumah kemudiannya meminta diri untuk pulang, saya kemudian menasihatkannya agar berhati-hati memandu dan berhenti di tempat yang selamat jika merasa mengantuk.

Tidak saya ingati, jam berapa kami bertiga tidur pada malam itu. Mungkin sekitar jam 0300 pagi jika tidak silap. Sebelum kami tidur, beberapa persiapan terakhir telah dilakukan. Ah Chong meminjamkan alas tidur (sleeping mat) dan beg tidur (sleeping bag) kepada abang Joe untuk dibawa. Abang Joe pula sempat membeli sebuah lampu suluh berkuasa tinggi dengan bateri 'boleh - cas semula' (rechargeable) dari Ah Chong yang boleh diletakkan pada handlebar basikal.

Ah Chong kemudian meminta diri untuk meninggalkan kami berdua kerana dia hendak masuk ke bilik menyambung tidur yang terganggu tadinya. Bagi kami berdua, juga perlukan rehat sebelum berkayuh pada paginya nanti. Sebaik lampu ditutup, beberapa minit kemudian tiada lagi perbualan antara saya dan abang Joe dan kemudian pandangan saya pun terus gelap gelita, zZzZzZ ...


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ...


 
"Since there is nothing so well worth having as friends, never lose a chance to make them." - Francesco Guicciardini

12 September 2011

Kayuhan Z (Zaza): Bahagian 3 (Akhir)

Siri akhir, kesinambungan dari bahagian pertama dan kedua

Kata Pengantar:

Saya’ dalam catatan perjalanan ini, merujuk pada Subki selaku penulis yang menyumbang untuk artikel ini. Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan atau rujukan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Susunan gambar dalam artikel ini adalah kompilasi dari album gambar rakaman lensa peribadi Ah Chong, Muzammil dan Wakjan. 

Log Perjalanan dan Rakaman Lensa 

Hari Ketiga (Akhir), 2hb Mei 2011: 

*Batu 4 Teluk Kemang – Shell Sepang 

Waktu mula: Jam 1051 pagi
Waktu tiba: Jam 1302 tengahari
Masa terkumpul: 1:40:40 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 19.2 km/j
Kelajuan maksima: 40.5 km
Jarak terkumpul: 32.22 km
Suhu semasa tiba: 39 darjah Celcius

Nota:

Setelah siap berkemas dan bergambar kenang - kenangan, kami memulakan hari ketiga dengan bersarapan pagi di restoran masakan Melayu yang berada diseberang jalan tidak jauh dari tapak perkhemahan kami.


 Pasangan sehati sejoli, Ah Chong & Aliep yang baru bangun dari tidur dan menjengah ke luar khemah


 Mengemaskan tapak perkhemahan yang sudah semacam dilanggar geruda ( :


Tapak perkhemahan, dari sudut yang lain pula


Pagi itu kami didatangi oleh seorang wanita mat saleh yang berbasikal


Wakjan bersama Catherine, yang datang ke Malaysia dengan kapal layar peribadi milik teman lelakinya


 Tak dapat mandi laut, main pasir pun jadilah ...


 
 Kedua - dua basikal Bridgestone di pantai Bt. 4 Port Dickson


 Pak Abas, Zaza, Subki & Ah Chong pun nak merasa main pasir juga ...


 Foto grup kami berlapan bertujuh


Hari ketiga kami dimulai dengan cuaca cerah & terik


 Yang empunya nama kayuhan, Z = Zaza


Bersarapan pagi di kedai makan seberang jalan dari tapak perkhemahan kami


Warga emas berbangsa India yang kerap kali ditemui oleh Wakjan setiap kali berhenti makan di sini ketika bertouring
 

Setelah selesai bersarapan, kayuhan diteruskan menuju ke Shell Sepang. Sinaran cahaya matahari menambahkan lagi azab untuk kami meneruskan kayuhan di hari terakhir. Namun begitu cuaca yang panas sama sekali tidak melemahkan semangat kami untuk berkayuh. Checkpoint pertama kami ialah di stesen Esso Lukut untuk membeli sedikit makanan dan mengisi botol minuman masing - masing.


 'Kembar' dua generasi ...


 Pantang berhenti aje tidur, pantang tidur aje berhenti: Muzammil & Wakjan


 Meinggalkan Lukut dan mula memasuki 'zon pendakian' menghala ke Bukit Pelandok


Selesai mengisi minuman dan membeli makanan, perjalanan diteruskan dengan melalui melalui Jalan Lukut - Sepang. Jalan ini sememangnya agak mengelirukan, terutama bagi mereka yang tidak biasa melalui jalan ini. Saya dan Zaza telah tersalah jalan disebabkan tidak nampak papan tanda untuk ke Sepang semasa tibanya di Pekan Lukut. Walaupun begitu, kami bernasib baik kerana Pak Abas sempat mengarahkan kami berdua untuk berpatah balik. Kayuhan diteruskan ke Sepang untuk mengharungi jalan yang berbukit dan berliku di sepanjang jalan tersebut.

Kawasan yang menguji kesabaran, kecekalan mental dan fizikal kami ialah di Bukit Pelandok dan Tanah Merah. Saya dimaklumkan oleh Pak Abas yang Zaza sudah keletihan yang amat dan mereka berehat seketika di Tanah Merah. Saya meneruskan kayuhan ke Shell Sepang dan tiba dengan selamat bagi menyertai Anas yang sudah lama menunggu. Beberapa minit kemudian Zaza dan Pak Abas tiba disusuli oleh Wakjan dan Muzammil.

Kami mengambil keputusan untuk makan tengahari di medan selera berhampiran Shell tersebut (R & R Sepang). Sampainya kami di sini, semuanya sabar menantikan ketibaan Ah Chong dan Aliep yang tidak kunjung tiba. Sekian lama menunggu, barulah muncul keduanya. Rupa – rupanya, mereka berdua telah tersesat jalan dam memasuki ke arah Kampung Bukit Pelandok dan Kg. Cheah. Kedua mereka telah dijadikan bahan ketawa oleh kami yang mengusik mengatakan mereka masuk ke sana untuk melawat tempat peliharaan ‘haiwan ternakan’ yang ‘haram’ hehehe ... Selepas makan, Wakjan seperti kebiasaannya telah berbaring lalu tidur sebentar, untuk ‘mencari ilham’ ujarnya.


Berhenti di hentian R & R Sepang


 Menambah tenaga masing - masing untuk meneruskan kayuhan


Menu makan tengahari disini biasa - biasa sahaja, namun segalanya menjadi istimewa tatkala perut yang sudah kelaparan. Setelah menghabiskn makan kami meneruskan kayuhan seterusnya iaitu ke Bandar Baru Bangi.

*R & R Sepang – Bandar Baru Bangi (mengikuti laluan Jenderam – Salak Tinggi - Pusat Penyelidikan Atom – UKM)

Waktu mula: Jam 1515 petang
Waktu tiba: Jam 1718 petang
Masa terkumpul: 3:36:34 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 20.3 km/j
Kelajuan maksima: 45.1 km/j
Jarak terkumpul: 73.43 km
Suhu semasa tiba: 32 darjah Celsius

Nota:

Kayuhan yang mulanya panas bertukar menjadi redup, nyaman dan kemudiannya mendung. Di sepanjang jalan tersebut kami dihidangkan dengan suasana kampung yang mendamaikan ditambah pula kawasan hutan yang menghijau.


 Melalui kawasan kampung dan tumbuhan hijau yang mendamaikan


Sempat berhenti di gerai tepi jalan untuk membeli jeli kelapa 


Di hari terakhir, semua girang gembira  untuk sampai di Kuala Lumpur. Masing – masing saling bertukar posisi dan formasi pada waktu ini. Namun kegembiraan ini dibantutkan oleh hujan dan ribut petir  di tengah jalan. Kami mengambil keputusan untuk berteduh di sebuah kedai mamak di Bandar Baru Bangi.




Melalui jalan berliku - liku sebelum tiba di kawasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Langit gelap di hadapan tanda hujan akan turun


Berhenti rehat di sebuah restoran di Bandar Baru Bangi sementara menunggu hujan teduh


Masing - masing memesan air '3 layer tea' untuk membasahkan tekak


Waktu yang terluang itu tidak disia-siakan begitu sahaja oleh saya & Ah Chong untuk tidur sebentar bagi ‘mencari ilham’. Kami diberitakan yang Wakjan dan Muzammil singgah sebentar di rumah kawan Muzammil.


*Bandar Baru Bangi – Bandar Tun Razak

Waktu mula: Jam 1905 malam
Waktu tiba: Jam 2230 malam
Masa terkumpul: 4:45:23 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 19.7 km/j
Kelajuan maksima: 45.1 km/j
Jarak terkumpul: 93.94 km
Suhu semasa tiba: 27 darjah Celcius

Nota

Setibanya Wakjan dan Muzammil, kami mengambil keputusan untuk meredah hujan yang semakin reda. Perjalanan diteruskan dengan tiga pecahan kumpulan; kumpulan pertama iaitu saya, Zaza, Pak Abas dan Anas, kumpulan kedua Alip dan Ah Chong manakala kumpulan ketiga Wakjan dan Muzammil. Setelah berkayuh beberapa kilometer, hujan bertambah lebat di lebuhraya Cheras – Kajang. Kumpulan saya mengambil keputusan untuk berhenti di sebuah hentian bas memandangkan jarak penglihatan yang kurang ditambah pula kenderaan yang memandu laju dan sememangnya mengundang bahaya kepada kami.

Setelah beberapa minit kemudian, kami disapa  oleh kumpulan kedua iaitu Ah Chong dan Aliep yang mengajak kami untuk berteduh di stesen Minyak Petronas yang terletak tidak jauh dari hentian bas tempat kami berteduh. Setibanya di stesen Petronas, kami terus membeli air panas Nescafe 3 dalam 1 untuk menghangatkan badan yang sememangnya sudah sejuk akibat basah lenjun manakala perut yang lapar pula dialas dengan secawan mee segera.


Berhenti makan di stesyen minyak Petronas jalan Cheras (menghala ke KL) sementara menunggu hujan berhenti


 Acara makan - minum, kemudiannya turut disertai oleh Subki & Pak Abas


Di kesempatan ini, saya mengeluarkn kopi, gula, biskut empat segi dan sup krim cendawan (mushroom cream soup) untuk dijadikan makanan tambahan kepada rakan – rakan kayuhan. Sup krim cendawan yang disuakan pada Pak Abas mulanya ditolak oleh namun setelah mencuba beberapa sudu beliau mula tertarik dengan rasa sup tersebut.


Mengajak bangla attendant pam minyak untuk bergambar bersama, sebelum beliau dipergunakan oleh kami


Sesudah mengambil gambar bersama kami, Bangla tersebut pula diminta untuk mengambil gambar kami hehehe ...


Setelah selesai makan – minum dan hujan makin reda, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan yang cuma berbaki hanya beberapa kilometer sahaja. Setelah berbincang sebaiknya, kata putus diambil dengan Pak Abas dan Anas akan meneruskan kayuhan ke Batu Cave dan Gombak manakala saya dan Zaza akan menyertai Wakjan, Muzammil, Ah Chong serta Aliep untuk terus ke Bandar Tun Razak, lokasi rumah Ah Chong.

Walaupun hujan renyai – renyai dan keadaan trafik yang agak sesak, kami menguatkan semangat untuk sampai ke destinasi yang dituju. Tepat jam 2230 malam kami semua selamat tiba di rumah Ah Chong. Kami berbual seketika di perkarangan rumah Ah Chong ketika masing – masing mengemas barang dan basikal  ke kereta Wak Jan.

Dengan ini, maka kayuhan Z (Zaza) berakhir di sini. Banyak kenangan dan pengalaman yang dapat saya kutip sepanjang mengikuti kayuhan kali ini.

Sinopsis Kayuhan Hari Ketiga:

Jumlah masa terkumpul: 4:45:23 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 19.73 km/j (dari statistik tiga rakaman bacaan)
Kelajuan maksima: 45.1 km/j
Jumlah jarak terkumpul: 93.94 km

Sinopsis Kayuhan Untuk Keseluruhan Perjalanan:

Jumlah masa terkumpul: 19:29:26 (Jam/Minit/Saat)
Jumlah jarak terkumpul: 382.65 km
Purata berkayuh sehari sejauh 127.55 km untuk jangkamasa  6.3 jam: 9.6 minit: 8.6 saat sehari


"Any experience can be transformed into something of value" - Vash Young