ADS

Showing posts with label Melaka. Show all posts
Showing posts with label Melaka. Show all posts

05 September 2011

Kayuhan Z (Zaza): Bahagian 2

Bersambung dari siri sebelumnya

Kata Pengantar:
Saya’ dalam catatan perjalanan ini, merujuk pada Subki selaku penulis yang menyumbang untuk artikel ini. Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan atau rujukan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Susunan gambar dalam artikel ini adalah kompilasi dari album gambar rakaman lensa peribadi Ah Chong, Muzammil dan Wakjan.

Log Perjalanan dan Rakaman Lensa

Hari Kedua, 1hb Mei 2011:

“Selamat ulangtahun kelahiran, Zaza !!” …

*Pantai Puteri – Bandar Melaka – Simpang Masjid Tanah

Waktu mula: Jam 1030 pagi
Waktu tiba: Jam 1555 petang
Masa terkumpul: 2:40:29 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 17.2 km/j
Kelajuan maksima: 43.1 km/j
Jumlah jarak terkumpul: 46.17 km
Suhu semasa tiba: 32 darjah Celcius

Nota

Bersiap – siap barangan dan bersedia untuk menempuh hari kedua kayuhan. Menjamah sedikit sarapan sebagai penambah tenaga dan kalori yang diperlukan untuk mengharungi kayuhan seterusnya. Masing – masing menikmati makanan kegemaran ramai penduduk Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, nasi campur bersama minuman teh tarik, milo tarik dan pelbagai lagi.


 Mengemaskan peralatan masing - masing sebelum memulakan perjalanan pada pagi itu


Subki bersama 'peminat - peminat' kecilnya


Entah apalah yang disedihkan oleh Aliep tu ?


 Muzammil mencuba basikal 'jipang' kanak - kanak tempatan


Bergambar kenangan di laman tempat kami bermalam; Pentas Budaya Pantai Puteri


Setelah siap bersarapan, kami meneruskan perjalanan ke Makam Hang Tuah yang terletak di Tanjung Kling tidak berapa jauh dari kawasan Pantai Puteri. Selesai menziarahi dan bergambar di situ, kami meneruskan perjalanan ke Bandar Melaka melalui Pantai Klebang. Ketika di Pantai Klebang, tanpa dijangkakan kami bertemu dengan sanak saudara Ah Chong a.k.a Abang Boy yang kebetulan sedang bercuti di Melaka. Di kesempatan singkat itu kami berpeluang untuk bergambar kenangan bersama ahli keluarga Ah Chong.


 Bersarapan di medan selera (pasar) berhampiran


Singgah di Makam Hang Tuah, Tanjung Kling


 Pak Abas bersama Aliep sedang melakonkan aksi Hang Tuah dan Hang Jebat bertikam


Aliep sedang membayangkan kecantikan Tun Teja


'Tak Melayu Hilang Di Dunia' ...


Setibanya di Pantai Klebang


Bersama sanak saudara Ah Chong yang kebetulan sedang bercuti di Melaka


 Aliep berlatarbelakangkan layang - layang yang dijual di Pantai Klebang 


Selesai bergambar kami meneruskan kayuhan ke Bandar Melaka menyusuri Jonker Street. Seterusnya singgah di ‘bangunan merah’ tinggalan Belanda iaitu The Stadthuys. Di sini, beberapa orang dari kami sempat ke gerai cendol dan air batu campur (ABC) yang berniaga di siar kaki berhampiran Sungai Melaka di seberang jalan bangunan The Stadthuys. Sungguh enak cendol jagung, cendol kacang merah, cendol pulut, cendol campur dan ABC. Amatlah rugi pada sesiapa yang sampai disini tetapi tidak menikmati cendolnya.


 Pintu gerbang yang menandakan lokasi Jonker Street


 Singgah sebentar di Jonker Walk World Heritage Park


 Muzammil dan Wakjan membuat 'aksi kerbau'


'Aksi kerbau' secara beramai - ramai pula


 Puas bergambar dengan kerbau, bertukar ke naga pula


 Terpaksa mencelah antara kesesakan lalulintas di Jonker Walk berikutan cuti Hari Pekerja


Gerai cendol dan ABC di seberang jalan hadapan bangunan The Stadthuys


 Berehat sebentar di hadapan menara 'bangunan merah' The Stadthuys


Puas menikmati kesedapan cendol, kami ke Bandar Hilir untuk melawat tempat – tempat bersejarah di sini iaitu Kota A Farmosa. Kebetulan cuti umum Hari Pekerja menambahkan lagi kesesakan di Bandar Hilir. Kami terpaksa mencelah – celah untuk meloloskan diri dan basikal. Banyak acara yang dianjurkan pada hari tersebut, antaranya ialah Pameran Motor Antik dan Klasik. Puluhan motor yang pelbagai jenis menyertai pameran ini. Antara motor yang saya ingati ialah Triumph, Norton, BMW dan lain - lain lagi.


 Sebahagian dari motor yang menyertai Pameran Motor Antik dan Klasik


Rakan yang dikenali, encik Kudin, turut menyertai Pameran Motor Antik dan Klasik ini


Di Kota A Farmosa, kami sekadar bergambar di hadapan pintu kota. Memandangkan waktu sudah suntuk dan matahari terik di atas kepala. Kayuhan diteruskan dan kali ini kami terpecah kepada dua kumpulan, saya dan Pak Abas dihadapan meninggalkan Zaza, Wak Jan, Aliep, Anas, Ah Chong dan Muzammil di belakang.


 Foto grup di hadapan Porta Di Santiago, salah satu peninggalan tertua senibina Eropah di Asia. Ia merupakan rumah bagi pintu pagar kecil (gate house) dan merupakan satu - satunya peninggalan kota A Famosa yang masih tinggal


 Bersama seorang pengembara dunia (world tourer) yang berkelana seorang diri


Saya dan Pak Abas singgah sebentar di stesyen minyak Petronas Klebang sementara menunggu kawan – kawan lain sampai. Setelah beberapa minit menunggu, saya diberitahu oleh Pak Abas bahawa mereka sedang menikmati ‘Coconut Shake’ yang terkenal di Klebang. Pak Abas dan saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Pengkalan Balak seperti yang dijanjikan setelah memaklumkan kepada Zaza melalui telefon.


 Aliep sempat tidur semasa kami berhenti untuk membeli coconut shake


KOCS: Klebang Original Coconut Shake


Panjang barisan untuk mendapatkan coconut shake Klebang ni !!


Proses penyediaan coconut shake oleh peniaga


 Pekena coconut shake bawah papantanda pun OK juga ( :


 Menikmati coconut shake secara berjemaah


Kami melalui Tanjung Kling, Sungai Udang, Masjid Tanah dengan menempuh jalan yang berbukit-bukit dan berliku - liku untuk sampai ke destinasi yang dituju iaitu simpang Masjid Tanah. Perjalanan agak memenatkan, tetapi dibalas dengan permandangan yang menarik di sepanjang laluan tersebut.


 Memasuki daerah Melaka Tengah ketika dalam perjalanan menuju Pengkalan Balak


*Simpang Masjid Tanah – Pengkalan balak

Waktu mula: Jam 1605 petang
Waktu tiba: Jam 1640 petang
Masa terkumpul: 3.08.13 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 17.8 km/j
Kelajuan maksima: 43.1 km/j
Jarak terkumpul: 55.86 km
Suhu semasa tiba: 33 darjah Celcius

Nota:

Setibanya di Pengkalan Balak, kami dimaklumkan bahawa kawan - kawan yang lain sudah berada kira – kira dua puluh kilometer di belakang sambil menikmati air kelapa. Sementara menunggu ketibaan mereka, perut yang kelaparan diisi. Menu yang pelbagai jenis di antaranya nasi goreng paprik, tomyam, sup dan lain – lain. Begitulah juga dengan minumannya yang pelbagai ...


 Menghampiri kawasan Pengkalan Balak


Kedai makan tempat kami menjamu selera di pantai Pengkalan Balak


Kayuh 'lebih', makan pun kena 'lebih' juga hehehe ...


*Pengkalan Balak – Masjid Sungai Raya

Waktu mula: Jam 1835 petang
Waktu tiba: Jam 1920 malam
Masa terkumpul: 3:59:38 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 19.2 km/j
Kelajuan maksima: 43.1 km/j
Jarak terkumpul: 76.84 km
Suhu semasa tiba: 29 darjah Celcius.

Nota:

Setelah selesai mengisi perut dan menikmati suasana pantai yang mendamaikan. Saya dan Pak Abas seperti biasa menjadi skuad barisan hadapan untuk ke destinasi seterusnya iaitu di R & R di tengah – tengah laluan tersebut (Medan Selera Tg. Agas, bersebelahan jambatan melintasi Sungai Linggi). Namun begitu, saya dan Pak Abas terlepas akan destinasi tersebut. Oleh yang demikian, kami meneruskan kayuhan sehingga ke Masjid Sungai Raya. Ketika berkayuh, azan Maghrib sedang berkumandang. Kami berhenti seketika untuk menghormati waktu maghrib. Ketika singgah sebentar untuk menunaikan solat di sini, saya disapa oleh seorang ahli tabligh. Kami diberikan sedikit ‘ceramah’, namun kami mengiyakan sahaja percakapan beliau.


 Berhenti seketika untuk menikmati panorama matahari terbenam dan sessi fotografi


Ah Chong konon - konon tengah lalu situ. Berlakon aje ni ( :


 Aliep dan Wakjan pun nak berlakon juga hahaha ...


 Semakin menghampiri kawasan Kuala Sungai Baru


 Haaa ... Dah sampai pun di Kuala Sg. Baru ...


 Berhenti seketika di Tg. Agas, sebaik sahaja memasuki Negeri Sembilan setelah melepasi jambatan yang melintasi Sungai Linggi


*Masjid Sungai Raya – Port Dickson
Waktu mula: Jam 2014 malam
Waktu tamat: Jam 2140 malam
Masa terkumpul: 5:12:13 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 19.2 km/j
Kelajuan maksima: 43.1 km/j
Jarak terkumpul: 99.97 km
Suhu semasa tiba: 29 darjah Celcius

Nota:

Setelah menunaikan solat, saya dan Pak Abas meneruskan kayuhan ke Port Dickson, lokasi penginapan kami untuk malam kedua. Kayuhan malam  memerlukan perhatian yang lebih disebabkan jarak penglihatan kami mahupun pengguna jalan raya lain adalah terbatas. Ketika berkayuh, saya telah dihubungi oleh Wak Jan bagi meminta pertolongan untuk mencari tapak perkhemahan di kawasan Blue Lagoon / Lagun Biru. Namun atas nasihat Pak Abas, kami tidak ke sana dan mengambil keputusan untuk bermalam di Teluk Kemang.

Ketika kami sampai di Teluk Kemang, kelihatan ianya dipenuhi oleh ribuan manusia yang datang untuk berhibur, berkhemah mahupun beriadah. Kebetulan semasa itu, sedang berlangsungnya Pesta Laut Port Dickson. Kami membatalkan niat untuk bermalam di Teluk Kemang, seterusnya menyambung kayuhan hingga ke pantai Batu Empat Port Dickson. Setibanya kami di situ, barang – barang dipunggah dan ground sheet dibentangkan sementara menunggu ketibaan rakan – rakan lain ke lokasi kami.

Kopi panas disediakan untuk menghangatkan malam yang semakin dingin sambil memasang khemah masing. Setelah selesai berurusan, semua kelihatan kepenatan dan mengambil keputusan merehatkan diri untuk menghadapi kayuhan keesokan harinya. Kira – kira jam 0000 tengah malam, hujan turun dengan lebat beserta angin kencang. Namun kejadian itu tidak menghalang untuk kami meneruskan tidur masing – masing.


 'Gerabak akhir' (peserta kayuhan paling belakang), bergambar kenangan di papantanda Pantai Teluk Kemang


'Gerabak tengah' (peserta kayuhan di bahagian tengah konvoi) sudah pun lama sampai ketika 'gerabak akhir' tiba di pantai  Bt. 4 Port Dickson


Aliep tidur di luar dengan menggunakan sleeping mat tanpa menunggu khemah dipasang terlebih dahulu, mungkin kerana terlalu keletihan


 Khemah yang menempatkan peserta - peserta kayuhan di 'gerabak akhir' 


Sinopsis Kayuhan Hari Kedua

Jangkamasa kayuhan: 5:12:13 (Jam/Minit/Saat, terkecuali waktu berhenti)
Kelajuan purata: 18.35 km/j (berdasarkan 4 rekod bacaan)
Kelajuan maksima: 43.1 km/j
Jumlah jarak terkumpul: 99.97 km

Jumlah jarak terkumpul hari pertama dan kedua: 288.71 km
Jumlah jangkamasa terkumpul hari pertama dan kedua: 14:44:03 (Jam/Minit/Saat, terkecuali waktu berhenti)


"Happiness is itself a kind of gratitude" - Joseph Wood Krutch



30 August 2011

Kayuhan Z (Zaza): Bahagian 1

Prolog 
Lokasi: Kuala Lumpur (KL) – MelakaPort Dickson (PD) - KL
Tarikh: 30hb Apr ~ 2hb Mei 2011
Penyertaan: Uchu Zaza, Subki, Pak Abas, Anas, Wakjan, Ah Chong, Muzammil dan Aliep.

Kayuhan ini adalah diilhamkan oleh Uchu Zaza yang mahu merasai pengalaman bertouring di hari kelahiran beliau. Oleh yang demikian, saya memulakan perbincangan dengan Wakjan untuk menetapkan laluan dan kami bersetuju untuk memilih laluan KL – Melaka - PD - KL. Saya mewakili warga Batu Caves yang disertai oleh Uchu Zaza, Pak Abas & Anas manakala pihak Wakjan disertai oleh Ah Chong, Muzammil dan Aliep.

Kata Pengantar:
‘Saya’ dalam jurnal perjalanan ini, merujuk pada Subki selaku penulis yang menyumbang untuk artikel ini. Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan atau rujukan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Susunan gambar dalam artikel ini adalah kompilasi dari album gambar rakaman lensa peribadi Ah Chong, Muzammil dan Wakjan. Kayuhan ini turut dinamakan sebagai 'Kayuhan Cap Buruh' oleh Ah Chong sempena mengambil nama cuti Hari Buruh / Pekerja 2011.

Log Perjalanan dan Rakaman Lensa

Hari Pertama, 30hb Apr 2011:

*Taman Melati – Al Esfan (Batu Caves)

Waktu mula: Jam 0630 pagi
Waktu tiba: Jam 0645 pagi
Masa terkumpul: 0:15:46 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 22.1 km/j
Kelajuan maksima: 30.6 km/j
Jarak terkumpul: 5.78 km

Nota:
Berkumpul di Esfan sebelum mula berkayuh ke stesyen minyak Petronas jalan Cheras berhampiran Kem PGA (menuju ke Kajang).


*Al-Esfan – Stesyen minyak Petronas jalan Cheras (Berhampiran Kem PGA)

Waktu mula: Jam 0730 pagi (Waktu anggaran)
Waktu tiba: Jam 0850 pagi
Masa terkumpul: 1:23:24 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 20.5 km/j
Kelajuan maksima: 39.4 km/j
Jarak terkumpul: 28.49 km

Nota:

Sebelum sampai di stesyen minyak Petronas jalan Cheras, kami singgah di stesyen minyak Esso jalan Cheras disebabkan hujan turun dgn lebatnya. Tidak dapat meneruskan kayuhan kerana jarak penglihatan rendah (low visibility). Berhenti lebih kurang 10 minit sebelum meneruskan kayuhan dan bertemu dengan kumpulan kedua (Ah Chong, Wakjan, Muzammil dan Aliep) di stesyen minyak Petronas jalan Cheras.


Aliep, Muzammil, Wakjan dan Ah Chong memulakan perjalanan dari Bandar Tun Razak, rumah Ah Chong.


 Sebuah kereta Proton Saga melanggar pembahagi jalan lalu terbabas ke arah stesyen minyak Petronas Jalan Cheras (hala Kajang)


Dua kumpulan mula bertemu di stesyen minyak Petronas Jalan Cheras.


 Bergambar kenangan antara kesemua ahli konvoi sebelum memulakan perjalanan


*Stesyen minyak Petronas Jln Cheras ke stesyen minyak Petronas Mantin (melalui Kajang – Semenyih – Beranang)

Waktu mula: Jam 0910 pagi
Waktu tiba: Jam 1131 pagi
Masa terkumpul: 3:17:03 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 20.6 km/j
Kelajuan maksima: 44.8 km/j
Jarak terkumpul: 67.64 km
Suhu semasa tiba: 35 darjah Celcius

Nota:

Taklimat ringkas oleh Ah Chong dan Wakjan. Bacaan doa selamat dilakukan oleh Pak Abas sebelum memulakan kayuhan. Buat beberapa kilometer, konvoi masih bergerak dalam satu kumpulan besar dan selepas itu mula berpecah pada beberapa kumpulan kecil tapi masih lagi berpasangan (splitted, but in pair)

Perjalanan menggunakan laluan jalan lama Kajang – Semenyih – Beranang – Mantin. Jalan yang rolling agak memenatkan. Walaupun demikian oleh kerana berkayuh beramai – ramai, penat – lelah kayuhan tidak dirasakan. Melalui jalan ini, saya berkayuh berdua bersama Pak Abas dengan kelajuan lebih kurang 25 km/j. Cuaca yang agak panas menemani perjalanan kami. Setibanya di Mantin, hujan turun dengan lebatnya.



Pada peringkat awal, konvoi masih lagi berkayuh dalam satu kumpulan


Melepasi Stadium Kajang


 Konvoi mula terpisah kepada beberapa kumpulan bermula dari pekan Semenyih.
Wakil penjual nasi lemak kukus RM1 ?


Memasuki kawasan Beranang


 Deretan kedai lama yang terdapat di Beranang


Papantanda menghala ke kedai basikal yang terdapat di Beranang


Jalan Enam Kaki ...


 Meninggalkan Selangor dan mula memasuki Negeri Sembilan


 Perjalanan berbaki 23 kilometer untuk ke Seremban


Gerai makan tepi jalan berhampiran Staffield Country Resort (SCR)


Menu yang kami nikmati di gerai makan pada tengahari itu; cendol, ABC dan mee bandung


Telatah masing - masing ketika menjamu selera di warung tepi jalan Beranang - Mantin


*Stesyen minyak Petronas Mantin ke stesyen minyak Shell jalan Seremban - Mantin ke Panchor Jaya (Seremban)

Waktu mula: Jam 1300 tengahari
Waktu tiba: Jam 1554 petang
Masa terkumpul: 4:44:55 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 19.6 km/j
Kelajuan maksima: 52.8 km/j
Jarak terkumpul: 93.10 km
Suhu semasa tiba: 32 darjah Celcius

Nota

Setelah recharge (makan tengahari), kami memulakan perjalanan ke Seremban bagi menghadiri majlis kenduri kahwin sahabat kepada Wakjan (pasangan Wan Nazry dan Aiwa). Tayar basikal Aliep pancit ketika melepasi pekan Mantin, setelah tiub baru ditukar perjalanan disambung kembali. Perjalanan di sini agak mencabar disebabkan pendakian yang agak tinggi iaitu 170 meter  dari aras laut ditambah pula dengan keadaan cuaca yg panas. Setelah berjaya menakluk bukit Mantin, kami menuruni jalan berbukit memasuki Bandar Seremban.


 
 Tayar belakang basikal Aliep pancit ketika melepasi pekan Mantin. Kebocoran kali pertama untuk perjalanan di hari permulaan


 "Apa yang penting ? Kerjasamaaa" ...


 Kemuncak pendakian di laluan Bukit Mantin. Jejantas di atas adalah laluan Lebuhraya LEKAS


 Tiba di stesyen minyak Shell jalan Seremban - Mantin (hala Seremban)


 Bergambar kenangan. Bukan selalu dapat bergambar dengan Pak Abas ni ( :


Serikandi Kayuhan Z yang tidur untuk mengecas kembali daya kayuhannya


 Bila dapat berehat, semua muka ala sinyummm ...


Di Seremban, kami sedikit tersesat akibat GPS Muzammil yang seakan memperolok – olokkan kami dalam usaha mencari lokasi rumah pengantin. Mujurlah dengan pengalaman Aliep yang pernah bekerja di sana, dapatlah beliau menjadi penunjuk arah dan diperkuatkan lagi bersama bantuan peta ke lokasi rumah pengantin. Alhamdulillah, kami selamat tiba di rumah kenduri  pada jam 1554 petang. Setelah menjamah ‘sedikit’ makanan, kami meneruskan perjalanan dengan perut yang agak penuh. Tuan rumah pengantin berbesar hati memberi sebungkus nasi minyak bersama lauknya sekali. Ini menambahkan lagi beban beg pannier saya memandangkan tiada rakan lain dapat mengisikan bungkusan tersebut kerana beg mereka sudah dipenuhi dengan barang masing – masing. 

Mula memasuki bandar Seremban


Sebuah kedai basikal di bandar Seremban


Entah bila masa lah diaorang jumpa artifak bersejarah ni ...


 Menghadiri majlis kenduri kahwin pasangan pengantin, encik Wnazry Ismail dan puan Nor Aiwa Ahmad. Burrppp, Alhamdulillah ...


Bergambar kenangan bersama pasangan pengantin, encik Wnazry (paling kiri) dan puan Nor Aiwa (no. 3 dari kanan)


*Panchor Jaya (majlis kenduri kahwin) – Masjid Rembau

Waktu mula: Jam 1625 petang
Waktu tiba: Jam 1905 malam
Masa terkumpul: 4:44:55 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 19.5 km/j
Kelajuan maksima: 52.8 km/j
Jarak terkumpul: 122.01 km
Suhu semasa tiba: 30 darjah Celcius.

Nota:

Saya berkayuh berdua bersama Pak Abas, memandangkan tiada rakan lain yang mahu mengikuti beliau dan kami mengambil keputusan untuk berpisah dari ahli – ahli yang lain. Jalan yang luas membolehkan kami mengayuh dengan agak selesa tanpa gangguan dari kenderaan lain. Setelah berkayuh lebih kurang sejam setengah, saya dan Pak Abas mengambil keputusan untuk berhenti di pintu masuk utama ke Kolam Air Panas Pedas sementara menunggu rakan – rakan yang lain sampai. Di sini, kami bergabung semula, bergambar kenangan dan berehat selama lebih kurang lima belas minit. Perjalanan diteruskan ke Rembau dan kami tiba di masjid Rembau pada jam 1905 malam. Di masjid ini, rakan – rakan mengambil masa untuk bersolat dan ada juga yang sempat mandi bagi membersihkan diri.


 Meninggalkan kawasan Panchor Jaya untuk ke destinasi seterusnya di Rembau


2 kilometer ke Kolam Air Panas Pedas, 12 kilometer ke Rembau


 Bergambar kenangan di hadapan dindingtanda (bukan papantanda tau) Wet World Air Panas Resort, Pedas


 Pintu masuk utama ke Wet World Air Panas Resort, Pedas


Nasihat keselamatan jalanraya pada papantanda, terima kasih pihak JKR ( :


Semakin menghampiri pekan Rembau


 Atas: Pemandangan Masjid Rembau.
Bawah: 'Membelanda' tempat meletak kenderaan milik imam dan siak masjid


*Rembau (Masjid) – Tampin - Alor Gajah - Masjid Tanah – Sg. Udang - Pantai Puteri

Waktu mula: Tidak direkodkan
Waktu tiba: Jam 0050 tengah malam
Masa terkumpul: 9:31:50 (Jam/Minit/Saat)
Kelajuan purata: 19.8 km/j
Kelajuan maksima: 52.8 km/j
Jarak terkumpul: 188.74 km
Suhu semasa tiba: 26 darjah Celcius

Nota:

Perjalanan yang disulami gelap malam membuatkan jarak penglihatan kami agak terbatas. Kami meneruskan perjalanan sehingga simpang ke Melaka sementara menunggu ahli – ahli lain sampai. Dikhabarkan, tayar basikal Zaza telah pancit. Setibanya mereka berenam, perjalanan diteruskan ke Alor Gajah melalui lebuhraya AMJ.


 Dalam perjalanan menuju ke simpang Tampin - Alor Gajah. 'Tolo' = telur dalam dialek Negeri Sembilan


 Melalui satu bulatan untuk ke arah Alor Gajah, jalan ke kiri menuju susur masuk tol Alor Gajah / Simpat Empat, Melaka.


Memasuki daerah Melaka Tengah ketika melalui lebuhraya AMJ


Saya dan Pak Abas singgah sebentar untuk bergambar di papan tanda kampung ‘Ayer Pa’abas’. Ketika di situ, kami nyaris dilanggar oleh motorsikal mat rempit yang cuba lari dari dikejar polis. Berderau darah saya, hanya Tuhan sajalah yang tahu. Alhamdullillah, semuanya selamat …

Beberapa minit kemudian, saya dikejutkan dengan sebuah kereta Perodua Viva milik kawan saya yang tiba – tiba datang menyapa. Kami diikuti (escorted) oleh kereta beliau sehingga tiba di Pantai Puteri. Perjalanan ke Pantai Puteri  melalui Masjid Tanah dan Sungai Udang amat memeritkan memandangkan permukaan jalannya yang berbukit. Ditambah pula perut sudah berkeroncong tanda lapar dan tenaga sudah mulai habis. Jalan yang dilalui kebanyakannya gelap, namun kami gagahi jua untuk meneruskan perjalanan ke Pantai Puteri.

Setelah beberapa jam berkayuh, kami tiba di kedai makan berhampiran Loji Penapisan Petronas. Kami meluangkan masa kira – kira sejam untuk makan bagi menambah tenaga. Setelah selesai makan, kami meneruskan kayuhan ke destinasi dituju lebih kurang berbaki tiga kilometer untuk menghabiskan perjalanan. Alhamdulillah kami sampai di Pentas Budaya Pantai Puteri kira – kira jam 0100 pagi.


 Menu makanan Ah Chong untuk tambahan kalori bagi menyudahkan kayuhan ke destinasi terakhir


Setibanya di Pentas Budaya Pantai Puteri, saya membentangkan ground sheet dan tidak lama kemudian Zaza terus tertidur, mungkin kerana terlampau penat setelah seharian berkayuh. Rakan yang terakhir sampai pada pagi itu ialah Wakjan dan Muzammil.

Sinopsis Kayuhan Hari Pertama

Jangkamasa kayuhan: 9:31:50 (Jam/Minit/Saat, terkecuali waktu berhenti)
Kelajuan purata: 19.8 km/j (berdasarkan 6 rekod bacaan)
Kelajuan maksima: 52.8 km/j
Jumlah jarak terkumpul: 188.74 km


"What we see depends mainly on what we look for" - John Lubbock