ADS

Showing posts with label S240. Show all posts
Showing posts with label S240. Show all posts

16 November 2012

S24O Bukit Ramli - 3 Jun 2012 (Bahagian ketiga: Akhir)

Kesinambungan dari bahagian lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. Terima kasih.

Ahad, 3hb Jun 2012

Kaki Bukit Ramli.

Setibanya kami berdua dia persimpangan Jalan Awin - jalan besar, kami berehat seketika melepaskan lelah dah bergambar kenangan. Setelah berehat dan membasahkan tekak dengan tidak sampai lima minit, kami meneruskan perjalanan menuju ke sebuah persimpangan untuk menghala ke pekan Meru.

Tidak sampai dua kilometer berkayuh, kami dikejutkan dengan pemandangan sebuah kereta terbakar hangus di tepi kanan jalan. Ianya menarik perhatian kami berdua untuk berhenti dan bergambar. Entah apalah punca kebakaran ini berlaku, lebih malang lagi bagaimanalah keadaan pemandu atau penumpang kenderaan kereta tersebut. Dari pengamatan saya, kereta ini adalah dari jenis Proton Saga.

Saya memfotokan keadaan ini untuk entry blog milik saya yang satu lagi (Aku, Basikal Dan Sesuatu), dan turut menyuruh Mawi memanjat ke atas bumbung bagi mendapatkan aksi yang lebih dramatik. Model tidak berbayar saya memanjat ke atas bumbung dengan berhati-hati, manalah tahu kebakaran itu mungkin melemahkan struktur logam bahagian bumbung tersebut.


Gambar 1. Bahagian depan kereta yang terbakar

Gambar 2. Bahagian sisi tepi dan belakang kereta yang terbakar

Gambar 3. Mawi memanjat bumbung kenderaan untuk mendapatkan sudut lebih dramatik


Persimpangan sempadan daerah Klang & Kuala Selangor
 
Puas bergambar, kami meninggalkan lokasi kebakaran kereta dan laluan berubah kepada pendakian jarak pendek sebelum dihidangkan pula dengan laluan menuruni bukit yang membawa kami ke sebuah simpang tiga. Sebuah papantanda di tepi jalan memberitahu kami yang ke kiri akan membawa ke pekan Meru manakala ke kanan menuju ke Puncak Alam atau Kuala Selangor.

Rupa-rupanya, persimpangan itu menjadi tanda persempadanan antara daerah Klang dan Kuala Selangor. Kami meluangkan sedikit masa untuk sesi fotografi di situ.


Gambar 4. Basikal kami diletakkan di daerah Klang

Gambar 5. Tidak sampai beberapa saat, Mawi berada di daerah Kuala Selangor.


Majlis kenduri kahwin di Jalan Jambu, Meru
 
Kami meninggalkan kawasan persempadanan dua daerah tersebut, dengan memasuki Jalan Meru Tambahan dan mensasarkan Jalan Jambu untuk menuju majlis kenduri kahwin rakan Facebook saya, Anita. Satu demi satu jalan yang dinamakan dengan nama buah-buahan kami lalui dan tidak lama kemudian sampailah kami ke persimpangan Jalan Jambu.

Kami masuk ke Jalan Jambu dan tiba di satu majlis perkahwinan di sebelah kanan jalan. Saya bertanyakan pada seorang petugas majlis di kenduri itu, setelah memberi nama pengantin berserta nama bapanya lelaki itu memberitahu kami rumah yang dicari itu hanya terletak dua persimpangan utama dari situ. Selepas mengucapkan terima kasih, kami berdua berlalu pergi dan setelah dua persimpangan utama kami lepasi, tibalah keduanya di majlis kenduri kahwin yang sebenarnya ingin kami hadiri.

Hadirin masih ramai biarpun tiba hampir jam 1530 petang. Kehadiran kami menjadi tumpuan beberapa mata yang memandang, dan itu membuat  saya dan mungkin juga Mawi menjadi sedikit segan. Kami meletakkan basikal di bawah sepohon pokok yang rendang di antara beberapa buah kereta tetamu yang diletakkan di situ dan menguncinya.

Berjaya mendapatkan sebuah meja kosong, kedudukan meja kami tidak jauh dari rumah pengantin. Semasa kami makan, satu keluarga turut menumpang meja makan kami bagi menikmati hidangan. Kami berkenalan dan berborak-borak, rupanya lelaki itu merupakan bapa saudara kepada pengantin perempuan, Anita.

Sedang kami makan, tiba-tiba Anita datang menghampiri kami. Beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran saya dan Mawi, seterusnya meminta maaf kerana tidak dapat melayan kami kerana kesibukan berjumpa dengan saudara mara dan tetamu yang hadir serta sessi bergambar kenangan.

Setelah selesai menikmati hidangan, dan juga membiarkan makanan yang dihadam jatuh ke bahagian bawah perut (Burppp, Alhamdulillah ...) tibalah masanya untuk kami beredar. Waktu ketika itu menghampiri jam 1600 petang, jika diikutkan aktiviti S24O kami telah terbatal kerana memulakan perjalanan petang semalam pada jam 1600 petang, bermakna telah 24 jam dilalui dan masih belum pulang ke rumah. Tetapi, biarlah waktu 24 jam itu sekadar menjadi panduan asas berS240 dan biarlah kami menikmati setiap detik tanpa perlu terburu-buru mengejar masa.

Saya berniat untuk bergambar dengan pasangan pengantin bagi mengabadikan perkenalan dan kedatangan kami ke majlis kenduri kahwin ini, tetapi terpaksa menunggu beberapa minit sebelum dapat peluang untuk berfoto. Saya meminta pertolongan jurugambar rasmi majlis bagi merakamkan gambar kami berempat. Setelah sessi fotografi diadakan, saya dan Mawi saling bersalaman dengan pengantin lelaki dan mengucapkan selamat pengantin baru pada keduanya.


Gambar 6. Aksi spontan dan bersahaja keluarga pengantin ketika acara bergambar beramai-ramai diadakan.

Gambar 7. Gambar kenangan saya dan Mawi menghadiri majlis kenduri kahwin pasangan pengantin


Mencuba jalan pintas Setia Alam ke Bukit Bandaraya

Dari Jalan Jambu, kami kemudian memasuki Jalan Kopi yang menembusi hingga ke jalan Meru - Kapar (Persiaran Hamzah Alang). Dari situ kami memasuki Jalan Haji Abdul Manan 1 yang kemudiannya keluar ke Jalan Abdul Manan. Selepas stesyen minyak Petronas yang baru didirikan di sebelah kanan jalan, kami memasuki simpang berlampu isyarat di sebelah kanan dan melalui Klang Sentral serta pasaraya besar Giant di sebelah kiri kami.

Saya mengambil keputusan untuk melalui jalan ini bagi mengelakkan keadaan merbahaya persimpangan yang bersimpang siur dari pekan Meru menghala ke Setia Alam dan Klang. Banyak kenderaan besar seperti lori kontena yang melalui jalan tersebut dan keadaan itu adalah merbahaya bagi kami berdua.

Selepas pasaraya besar Giant, kami melalui satu pusingan U dan kemudian memasuki Setia Alam. Saya agak biasa dengan jalan di situ kerana terdapat pasangan rakan rekreasi pendakian gunung tinggal di Setia Alam. Selain faktor keselamatan kerana hendak mengelakkan kenderaan besar dan jalan yang sibuk, faktor saya mengambil laluan ini adalah untuk mencuba satu laluan pintas offroad yang dikatakan dapat menembusi kawasan Bukit Bandaraya dari Setia Alam.

Menurut seorang rakan kayuhan iaitu abang Nazari, terdapat jalan pintas di bawah laluan kabel penghantaran elektrik bervoltan tinggi dengan jalan masuknya tidak jauh dari plaza tol Setia Alam. Faktor inilah yang mendorong saya untuk mencuba sendiri laluan tersebut.


Gambar 8. Setia Eco Park, antara perumahan elit yang terdapat dalam kawasan Setia Alam


Tidak jauh dari plaza tol Setia Alam, ternampaklah akan kami berdua sebuah laluan sebelah kiri jalan betul-betul di bawah kabel penghantaran voltan tinggi. Ianya seolah-olah menjadi laluan alternatif utama penduduk tempatan, melihatkan pada kesan tanahnya. Kami berdua melalui jalan tersebut, dan sempat berhenti seketika untuk bergambar.

Jika mengambil gambar dengan tidak memasukkan struktur besi pemegang kabel voltan talian tinggi tersebut, kehijauan padang rumput tersebut dilihat seolah padang ragut lembu tenusu di New Zealand (chewaaahhh ...)


Gambar 9. Mawi mendahului di hadapan mencuba laluan pintas menuju ke Bukit Bandaraya

Gambar 10. Jika tiada struktur besi dan kabel penghantaran voltan tinggi ini, lanskap yang menarik pasti akan kita perolehi

Gambar 11. Laluan yang jelas, kering dan berumput memudahkan perjalanan kami walaupun dengan beg pannier di kiri kanan kami.


Dengan jarak 1 kilometer ataupun kurang, kami berdua tiba di penghujung laluan pintas tersebut. Hujungnya mempunyai tanah yang ditimbunkan dan ini sedikit menyukarkan laluan kami.


Gambar 12. Timbunan tanah di bahagian hujung laluan sedikit menyukarkan perjalanan kami.

Gambar 13. Perjalanan melalui jalan pintas hampir selesai !


Tasik di kawasan Bukit Bandaraya

Dari laluan pintas itu, kami mula memasuki kawasan perumahan di Bukit Bandaraya. Tidak jauh di hadapan, terdapat sebuah tasik di sebelah kiri jalan. Saya yang agak biasa dengan kawasan di situ kerana pernah mencuba laluan offroad 'Band of MTB Rider', kemudian mengajak Mawi untuk melalui jalan tersebut.

Sebelum merasai pengalaman di laluan itu, terlebih dahulu kami bergambar di tepi tasik. Semasa bergambar, ternampaklah akan kami seorang surirumah warga etnik Orang Asli sedang mencuci pakaian di tepi tasik, betul-betul di seberang hadapan tempat kami meletakkan basikal.


Gambar 14. Kedua basikal kami dengan berlatarbelakangkan pemandangan tasik serta hutan yang menenangkan.

Gambar 15. Mawi dibawa oleh saya untuk merasai pengalaman laluan offroad sekitar tepi tasik

 
Gambar 16. Seorang pemuda Orang Asli di laluan kami, mungkin sedang mencari sebarang hasil hutan.

Gambar 17. Dengan serba kepayahan, kami melalui jalan offroad tersebut

Di penghujung laluan tepian tasik, saya membawa Mawi ke jalan lain yang berselari dengan jalan besar ke Bukit Bandaraya dan di sebelah kirinya terdapat beberapa rumah penempatan Orang Asli hutan Bukit Cherakah. Jalan tersebut kemudiannya bercantum dengan penghujung laluan offroad 'Band of MTB Rider'.

Menuju jalan pulang

Dari laluan offroad itu, kami naik semula ke laluan asal bertar (Persiaran Gunung Nuang) yang membawa kami ke persimpangan tiga menuju Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) - Seksyen 8 untuk pulang ke kediaman Mawi yang terletak di Seksyen 11 Shah Alam.


Gambar 18. Penghujung laluan offroad yang bercantum dengan trek 'Band of MTB Rider'

Gambar 19. Kembali ke ketamadunan, jalan bertar dan bersimen


Kami berdua tiba di kediaman Mawi yang terletak di Seksyen 11 Shah Alam tepat jam 1830 petang. Setelah berehat sebentar dan dihidangkan minuman oleh Mawi, saya kemudiannya menuju pulang ke kediaman yang terletak di seksyen 24.



Gambar 20. Satu lagi rencana laluan yang dirancang berjaya ditempuhi oleh basikal Bridgestone saya tanpa sebarang masalah

Gambar 21. S240 ke Bukit Ramli merupakan laluan paling jauh sejak basikal Surly Long Haul Trucker (Surly LHT) ini dibeli dan dipasang

Selesai aktiviti S240 kami yang pertama !

Walaupun ianya memakan masa keseluruhan 26 jam, lebih 2 jam dari aktiviti S24O yang sepatutnya. Segala payah jerih dan kepenatan berkayuh terbalas dengan kepuasan tidak terhingga. Berpuas hati kerana dapat membawa basikal dengan beg pannier melalui kawasan berbukit - bukau di laluan Lebuhraya Guthrie (GCE), Puncak Perdana - Alam Budiman, laluan 'dragonback' yang selalu diperkatakan, jalan dalam di kampung Bukit Cherakah dan yang paling utama iaitu laluan pendakian menuju puncak Bukit Ramli disamping dapat menikmati pemandangan malam sekitar kawasan Meru, Kapar dan Klang dari tempat tinggi.

Bagi basikal jenama Surly model Long Haul Trucker milik Mawi, itu adalah jarak terjauh yang pernah dilalui sejak ianya mula dibeli lalu dipasang. Saya mendoakan agar Mawi terus maju jaya dalam aktiviti berkembara basikal yang baru diceburinya ini. Amin Ya Robbal Alamin ...


T    A    M    A    T

11 October 2012

S24O Bukit Ramli - 3 Jun 2012 (Bahagian kedua)

Kesinambungan dari bahagian lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota: Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. Terima kasih. 


Ahad, 3hb Jun 2012 

Puncak Bukit Ramli 

- jam 0820 pagi: Hendak menyambung tidur, malangnya mata tidak mahu terpejam. Mungkin kerana perut sudah mula berkeroncong minta diisikan, mana mungkin mendapatkan tidur yang lena ! Kami berdua mengeluarkan bahan-bahan makanan dan minuman serta peralatan memasak untuk menyediakan sarapan pagi. Proses memasak dilakukan di lantai bersimen luar perkarangan surau.


Gambar 1. Antara barangan makanan - minuman dan peralatan yang dibawa

Gambar 2. Periuk belanga, dapur memasak dan bahan api dalam tin

Gambar 3. Masterchef Mawi sedang bermain masak-masak


- jam 0950 pagi: Sarapan pagi selesai disediakan, dua minuman iaitu kopi o kaw dan minuman coklat beserta nasi goreng ikan bilis perasa ikan bilis siap sedia untuk dihidang dan dinikmati.


Gambar 4. Siap siaga untuk bersarapan pagi. Bismillah ...


- jam 1030 pagi: Sedang kami melepak setelah menghabiskan sarapan pagi, kelihatan beberapa orang penunggang mountain bike menaiki puncak Bukit Ramli dari arah laluan curam yang kami elak dari laluinya malam tadi. Seorang daripadanya menghampiri kami berdua lalu menegur saya, "Wakjan ekk ?" "Ya", jawab saya. "Saya kawan Facebook Wakjan, En Mka", katanya. "Berjumpa kita di sini ekk", tambahnya lagi. Ketika berbual-bual, beliau turut menampakkan minat dengan peralatan memasak dan stail kembara berbasikal kami.

- Kenalan saya itu, encik Muhd Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai En Mka dalam laman sosial Facebook kemudian meminta kami mengambil gambar kenangan mereka sekumpulan bersama kenderaan Perodua Kancil berwarna biru yang diubahsuai untuk membawa penunggang acara basikal menurun bukit (downhill) yang suatu masa dahulu cukup popular di Bukit Ramli.


Gambar 5. En Mka dan rakan-rakan kayuhan bergambar kenangan


- melihatkan mereka bergambar dengan kenderaan biru tersebut, saya dan Mawi turut ingin merakamkan kenangan di Bukit Ramli bersama 'Kancil" yang diubahsuai itu. Salah seorang dari mereka menawarkan diri untuk mengambil gambar kami berdua.

 
Gambar 6. Kami juga mahu bergambar kenangan bersama 'kenderaan biru'
  
Gambar 7: Mawi bersama En Mka dan rakan-rakan kayuhan
 
Gambar 8. Pasangan sehati berdansa berbasikal.
  
Gambar 9. Sebuah kenderaan pacuan empat roda membawa dua buah basikal MTB. Tidak diketahui arah tuju mereka.
 
Gambar 10. Bergambar solo untuk merakamkan kenangan tiba di puncak Bukit Ramli
 
Gambar 11. Berlegar-legar sementara menunggu untuk menuruni bukit ke laluan lain


- jam 1200 tengahari: Peralatan memasak kesemuanya telah dicuci, dijemur agar kering dan disimpan. Kini, masa untuk menyegar dan mencuci badan di bilik mandi yang terdapat bersebelahan surau. Kami berdua bercadang untuk turun dari puncak Bukit Ramli jam 1400 petang, selepas menunaikan fardu Zohor terlebih dahulu.


Gambar 12.  Bersedia untuk meninggalkan Bukit Ramli



- jam 1345 petang: Kelihatan tiga orang pemuda membawa basikal mereka, salah seorang darinya saya cam mukanya. Ya, sudah pasti ! Dia adalah salah seorang rakan kembara gunung, tidak pernah saya mengembara bersamanya cuma sebagai penggiat aktiviti rekreasi luar kami memang saling mengenali walaupun tidak mengetahui nama sebenar masing-masing.

- Menurutnya, mereka ingin membersihkan laluan downhill yang terdapat di situ memandangkan sebahagian daripadanya telah pun rosak akibat tanah runtuh dan bersemak. Saya kemudiannya meminta jasa baik beliau untuk merakamkan gambar kenangan kami berdua bersama basikal masing-masing dan 'kenderaan biru' Bukit Ramli.



Gambar 13. Bergambar kenangan di Bukit Ramli bersama basikal masing-masing dan 'kenderaan biru


- jam 1400: Tepat jam 2 petang, kami berdua menuruni puncak Bukit Ramli. Sayonara Bukit Ramli, Wak Ramli, Fairus dan air nenas cincau !


Gambar 14. Beberapa minit sebelum meninggalkan puncak Bukit Ramli


- jam 1415 petang: Kami berdua tiba di persimpangan masuk ke Jalan Awin. Berehat sebentar dan bergambar kenangan sebelum melalui jalan besar untuk ke Meru.

Gambar 15. Menolak basikal di permulaan laluan masuk ke Jalan Awin yang sedikit berpasir
Gambar 16. Di persimpangan masuk ke Jalan Awin, berlatarbelakangkan laluan pendakian naik menuju ke Bukit Ramli.


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ...



Nota terima kasih:
Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

05 October 2012

S24O Bukit Ramli - 3hb Jun 2012 (Bahagian pertama)

Lanjutan dari kisah lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. Terima kasih.

Ahad, 3hb Jun 2012 

Puncak Bukit Ramli 

- jam 0000 tengah malam ke 0130 pagi: Tidak diingati sehingga jam berapa saya dan Mawi menonton televisyen, lalu kemudian memindahkan basikal dan segala barangan ke surau bersebelahan kedai makan apabila diberi kebenaran oleh Fairus untuk bermalam di situ. Surau itu dua tingkat, dengan bahagian bawah dijadikan rumah penginapan bagi keluarga Wak Ramli. Apapun, malam itu apabila jam menghampiri satu setengah pagi barulah saya dapat melelapkan mata. 

- jam 0630 ke 0700 pagi: Saya bangun dan bermalas-malasan sebentar di tempat tidur, kemudian menjengah keluar melihat basikal yang masih berada di tempatnya sejak malam tadi ("fuhhh, lega basikal tidak hilang..."), lalu bergegas ke bilik mandi untuk membasuh muka dan berwudhuk sebelum menunaikan solat Subuh. Selepas bersolat, mata tidak boleh tidur lagi dan mulalah terfikir untuk bersiar-siar menikmati suasana pagi. 

- jam 0700 - 0800 pagi: Keluar menikmati keindahan pagi di puncak Bukit Ramli. Melihat-lihat ke sekeliling ladang nenas di persekitaran bukit. 


Gambar 1. Seawal pagi Fairus membersihkan perkarangan kedai makannya
Gambar 2. Sebatang pokok tongkat ali ditanam di Bukit Ramli
 
Gambar 3. Nama jenis pokok nenas yang ditanam di sekitar Bukit Ramli
  
Gambar 4. Jalan naik ke puncak Bukit Ramli, yang kami lalui berdua pada malam sebelumnya
 
Gambar 5. Tanaman pokok nenas dan keratan daun, tidak pasti, mungkin untuk disemai barangkali.
  
Gambar 6. Perca kain diletakkan pada setiap buah nenas. Tujuan ? Jangan tanya saya ( :
  
Gambar 7. Banner acara kayuhan Cycle4Care yang telah dilaksanakan pada 6hb Mei 2012 lalu
 
Gambar 8. Asap yang keluar dari serombong Stesyen Janakuasa Elektrik Kapar, kelihatan jelas di waktu awal pagi
 
Gambar 9. Bangunan baru dibina di Bukit Ramli, kelihatannya seperti hendak dibuat chalet
 
Gambar 10. 'Blue hour' di waktu pagi atas Bukit Ramli
 
Gambar 11. Tanaman nenas berlatar belakangkan langit membiru
 
Gambar 12. Cantik kan kebiruan langit hari itu ?


- jam 0810 pagi: Puas kesana kemari, saya pulang semula ke surau. Cadangnya, hendak menyambung tidur kembali. Hari Ahad yang indah dan tenang lalalalala ...


Gambar 13. Keadaan bahagian dalam surau tempat kami bermalam
  
Gambar 14. Selepas melihat Mawi masih tidur, selepas gambar ini diambil saya pun menyambung kembali tidur ( :

B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

 *Nota ingatan kasih:
Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :
Episod seterusnya boleh dibaca di sini.