Prakata
Kayuhan touring kami kali ini, diberikan nama ‘Kayuhan Dua Tasik di Pahang’ bersempena laluan kami yang memasukkan lawatan ke Tasik Bera dan Tasik Chini di dalam peta laluan. Perjalanan dimulakan dari Temerloh ke Tasik Bera, kemudian ke Tasik Chini lalu kembali semula ke Temerloh. Peta perjalanan kami boleh dilihat di sini. Catatan ringkas perjalanan kami adalah disusun mengikut kronologi harian dan juga destinasi.
Nota: Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada gambar. Segala gambar yang digunakan dalam artikel ini adalah dari rakaman lensa saudara Fairos dan Shukri, hak cipta terpelihara. Ucapan terima kasih tidak terhingga saya ucapkan pada mereka berdua.
11.02.2011, Jumaat
*Shah Alam – Petaling Jaya – Bandar Tun Razak*
Saya mendapat sms dari Fairos (selepas ini akan disebut sebagai Ah Chong) terlebih awal mengatakan yang beliau akan pulang lewat dari tempat kerjanya pada malam itu, mungkin untuk membereskan apa yang perlu sepanjang ketiadaannya selama beberapa hari. Sekitar jam 2200, saya meninggalkan kediaman di Shah Alam bersama dua buah basikal yang dibawa di atas rak basikal di bumbung kereta (bicycle roof rack), kemudiannya mengambil Mohd Shukri (selepas ini akan disebut sebagai Shuk) di Petaling Jaya, diikuti ke Bandar Tun Razak untuk mengambil Ah Chong pula.
Semasa di rumah Ah Chong, sempat juga kami dihidangkan minuman sementara menunggu beliau melakukan persiapan terakhir sebelum kami bertolak dari rumahnya.
12.02.2011, Sabtu
*Bandar Tun Razak – Gombak – Temerloh*
Kami bergegas meninggalkan perkarangan rumah Ah Chong tepat jam 0000, melalui Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) yang sedikit sesak pada malam itu, barangkali oleh orang ramai yang ingin mengambil peluang pulang ke kampung. Hari Selasa bertarikh lima belas haribulan Februari 2011 merupakan cuti hari Maulidur Rasul, kesempatan ini mungkin digunakan oleh orang ramai untuk menyambung cuti hujung minggu sehingga hari Selasa. Semasa sedang memandu, sempat juga saya memberikan sms pada seorang lagi rakan yang akan turut mengikuti kayuhan untuk memberitahu kami akan tiba di tempat yang dijanjikan selewat – lewatnya pada jam 0030. Kami berhenti di sebuah stesyen minyak di MRR2 bagi mengisi bahan api kenderaan, dan menyambung perjalanan untuk memasuki lebuhraya Kuala Lumpur – Karak.
Misi seterusnya, untuk berjumpa seorang lagi peserta ‘ad – hoc’ kayuhan touring kami, iaitu uncle Chew (selepas ini akan disebut sebagai uncle). Untuk info, uncle diperkenalkan oleh saudara Subki yang merupakan rakan kayuhan semasa kami melaksanakan kayuhan touring yang diberi nama Slowly – Slowly Go Down pada November 2010 lalu. Subki bertemu dengan uncle ini semasa mereka masing – masing berkayuh ke Genting Sempah, yang kemudian memberikan nombor telefon saya untuk dihubungi apabila mendapati uncle Chew menyuarakan hasrat untuk bertouring. Uncle menghubungi saya bertanyakan info mengenai bilangan hari serta barangan yang perlu dibawa, tanpa banyak karenah beliau bersetuju untuk mengikut kayuhan kami ini.
Kami berjumpa dengan uncle di tempat yang dijanjikan, iaitu di stesyen minyak BHP selepas tol Gombak Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak. Beliau memandu sebuah Perodua Kembara berwarna putih, dengan basikal diletakkan di bahagian belakang tempat duduk yang telah dilipat. Sebelum memulakan perjalanan, saya berhasrat untuk membeli minuman dan sedikit kudapan untuk menghilangkan rasa mengantuk tetapi kedai di stesyen minyak tersebut telah pun ditutup.
Perjalanan dimulakan, dengan saya merancang untuk berhenti di stesyen minyak Petronas yang terletak dalam Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak untuk membeli kudapan. Sesampainya kami berempat di situ, kami memasuki bahagian dalam stesyen minyak tersebut untuk ke tandas serta membeli kudapan. Selepas membasuh muka dan mengunyah gula – gula, hilanglah sedikit sebanyak rasa mengantuk dan perjalanan diteruskan melalui lebuhraya Kuala Lumpur – Karak sehingga memasuki tol Bentong.
Melepasi kedua – dua susur masuk ke Bentong, jalan terbahagi dua iaitu satu ke Lebuhraya Pantai Timur manakala satu lagi mengikuti jalan lama iaitu laluan Persekutuan No. 2. Kami memilih jalan lama yang melalui pekan Karak, Lanchang, persimpangan ke Mentakab, dan terus ke hentian rehat Bukit Angin, Temerloh yang terletak betul – betul bersebelahan jambatan melintasi Sungai Pahang. Untuk keselamatan dan kemudahan, kami memilih kawasan meletak kereta berhampiran beberapa pondok yang diterangi lampu jalanan dan berhampiran sebuah tandas awam serta surau. Ah Chong, Shuk dan uncle memilih untuk tidur di dalam kenderaan dan saya pula lebih selesa untuk tidur di katil buaian (hammock) yang diikatkan antara dua batang pokok. Ternyata pilihan saya agak kurang baik kerana terdapat banyak nyamuk di situ tetapi mujurlah krim penangkis serangga (insect repellent) ada dibawa bersama.
Pagi itu, awal – awal sebelum matahari terbit tidur kami telah terganggu oleh satu bunyi bising. Rupa – rupanya ia adalah bunyi tong sampah besar beroda sedang diheret oleh seorang kaki tangan pembersihan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sedang menyapu kawasan hentian rehat tersebut. Seorang demi seorang antara kami bangun dari tidur, dan kemudian ke tandas berhampiran untuk mandi dan membersihkan diri. Oleh kerana wakil penjaga tandas belum lagi sampai, jadi dapatlah kami menggunakan tandas secara percuma pada pagi itu.
Selesai mandi dan membersihkan diri, kami menyiapkan basikal masing – masing seawal jam 0730 pagi. Kedai makan berhampiran tiada satu pun lagi yang dibuka, menyebabkan kami menunggu sambil berbual – bual, bergambar kenangan dan membelek basikal masing - masing sementara kedai makan dibuka. Dalam pada itu, sempat juga saya meminta khidmat Ah Chong untuk membaiki caliper brek basikal Jamis X Trail 2.0 milik saya yang akan dibawa oleh Shuk.
jam 0747: Ah Chong sedang menyediakan minuman peribadinya untuk keperluan semasa berkayuh
Seekor kucing turut menyertai kami untuk mempersiapkan basikal
Persiapan basikal dan barangan sebelum kami memulakan kayuhan
jam 0818: Ah Chong memperbaiki sistem brek cakera basikal Jamis X Trail sambil diperhatikan Wakjan
Uncle Chew meminta khidmat Wakjan untuk bergambar bersama basikal beliau
jam 0820: Wakjan sedang meneliti sistem gear ‘antik’ yang terdapat pada basikal berjenama Bridgestone uncle Chew.
Ketika waktu menghampiri jam 0900, satu demi satu kedai makan dibuka. Selesai memperlengkapi basikal kami dengan peralatan yang diperlukan dan barangan yang hendak dibawa. Kami membawa basikal ke hadapan sebuah kedai makan, kemudiannya mengalihkan kedua – dua kenderaan kami ke tempat meletak kereta berhadapan deretan kedai makan serta berhampiran jalan utama. Di Gerai Adik Hanizan yang bernombor sepuluh, semua mengambil dan memesan makanan serta minuman masing – masing. Bau makanan nasi campur yang dijual nampaknya begitu menyelerakan, ditambah lagi dengan keadaan makanan yang segar dan panas dimasak dari dapur.
jam 0914: Gerai bernombor sepuluh di hentian rehat Bukit Angin, tempat kami bersarapan pagi sebelum memulakan perjalanan
Menu makanan sarapan pagi Ah Chong
jam 0914: Macam – macam perangai semasa bersarapan pagi
Waktu menghampiri jam 1000 ketika kami meninggalkan kedai makan tersebut. Sebelum memulakan perjalanan, kami bersepakat untuk bergambar kenangan.
jam 1003: Bergambar kenangan berkumpulan sebelum memulakan perjalanan
Tempat yang sama, tetapi menggunakan kamera dan sudut lain pula
*Temerloh – Bandar Bera (dahulunya dikenali sebagai Kerayong)*
Tepat jam 1005, kami memulakan perjalanan menuju ke Kerayong dalam laluan ke Tasik Bera. Banyak juga kenderaan yang melalui jalan tersebut, mungkin kerana ianya jalan utama untuk mereka yang ingin ke Bahau, Negeri Sembilan melalui jalan pintas. Kami menyusuri pemandangan indah sungai Pahang yang selari dengan jalanraya. Ini kali kedua saya melalui jalan tersebut, kali terakhir ialah pada Januari 2010 ketika mengelolakan peserta – peserta kelab Orang Gunung Kuala Lumpur semasa program berkayak Sungai Pahang ke Tasik Chini. Kami melintasi banyak kedai menjual ikan patin (silver catfish) dan tilapia di sepanjang jalan, juga kami nampak banyak sangkar ikan di tebing sungai tersebut.
jam 1016: Salah satu sangkar ikan yang terdapat di tebing sungai Pahang
jam 1018: Enam puluh tujuh kilometer menuju ke Tasik Bera
jam 1022: Sebahagian bahu jalan menuju ke Kerayong adalah lebar
jam 1023: Nama kampung yang mungkin agak menggelikan hati kami. Ooppss, maaf ...
jam 1023: Banyak gerai menjual ikan patin dan tilapia yang kami lalui sepanjang jalan
jam 1037: Ikut suka, rasa dan hati ...
Setelah tiga puluh dua minit berkayuh, kami tiba di halangan pertama iaitu laluan pendakian dan jalan berliku. Mujurlah laluan tidak begitu curam dan jumlah jarak pendakian yang agak pendek. Beberapa kawasan di sini mempunyai bahu jalan yang sempit dan kami perlu berhati – hati dengan kenderaan yang datang dari arah belakang.
jam 1037: Mula memasuki laluan pendakian
jam 1040: Bahu jalan yang sempit di beberapa kawasan ketika melalui kawasan pendakian
Melepasi kawasan pendakian dan laluan berliku, jalan kembali landai dan lurus. Dua puluh minit selepas kami mula – mula melalui zon pendakian, kami tiba di sebuah jambatan melintasi sungai yang menjadi sempadan bagi daerah Temerloh dan Bera. Di sini kami bergambar kenangan bersama.
jam 1055: Shuk dan Wakjan di sempadan daerah Temerloh – Bera
jam 1100: Perjalanan berbaki lima belas kilometer untuk ke Kerayong, atau kini dikenali sebagai Bandar Bera
Memasuki daerah Bera, kami meneruskan perjalanan hingga di sebuah persimpangan, jalan terus menghala ke Mengkarak Stesyen dan kiri menghala ke Bandar Bera atau nama lamanya Kerayong.
jam 1122: Melepasi persimpangan ke Mengkarak Stesyen dan Bandar Bera.
Tepat jam 1130, kami berempat tiba di sebuah kawasan yang boleh saya katakan sebagai ‘Bera Waterfront’ kerana mempunyai dataran dan pemandangan berlatarbelakangkan sungai Pahang. Kami berhenti beberapa minit di sini, untuk bergambar kenangan dan berehat. Terdapat satu tulisan BERA besar di seberang sungai, melambangkan kami sedang berada dalam daerah Bera. Saya kemudian menghantar sms kepada seorang rakan yang berjanji untuk bertemu di bandar Bera, iaitu abang Mohamad Ridzuan Ismail. Beliau merupakan rakan kembara backpackers saya dan kami pernah bersama – sama mengembara ke negara Cambodia, China serta Inner Mongolia.
jam 1135: barisan basikal kami dengan latarbelakang tulisan BERA besar di seberang sungai Pahang
Kawasan siar kaki untuk pengunjung menikmati pemandangan, dengan jeti di tebing sungai Pahang.
jam 1138: Aksi spontan kami bertiga sedang berbual, dirakamkan secara kandid oleh Shuk
Saya mendapat sms balas dari abang Ridzuan, memberitahu beliau akan lambat sedikit tiba di bandar Bera. Dia menyuruh saya ke sebuah restoran yang terletak berhampiran dataran bandar Bera. Kami meninggalkan kawasan ‘waterfront’ sekitar jam 1145 untuk menuju bandar Bera atau nama lamanya Kerayong. Dalam perjalanan, kami melepasi satu kenduri kahwin dan beberapa orang di situ menjerit menyuruh kami singgah ke kenduri tersebut. Malangnya, kami sedang dalam perjalanan mengejar masa untuk bertemu abang Ridzuan, kalau tidak pelawaan itu mungkin tidak kami lepaskan. Makan percuma beb, siapa yang akan menolak ?
Lebih kurang jam 1210, kami berempat tiba di bandar Bera. Saya bersama yang lain singgah di sebuah kedai runcit untuk membeli makanan dalam tin dan beberapa makanan lain untuk persediaan seandainya tiada sebarang kedai dibuka di Tasik Bera nanti. Semasa membeli barangan inilah saya bertemu abang Ridzuan bersama salah seorang rakan sekerjanya. Abang Ridzuan sedang berada di daerah Bera kerana dihantar bekerja di salah satu projek syarikat tempat kerjanya. Beliau berdua kemudian mengajak kami makan di sebuah restoran terletak di hujung deretan kedai dan menghadap ke dataran bandar Bera. Kami berempat membawa basikal ke sana, dan berenam sama – sama memasuki restoran tersebut. Saya kemudiannya mencari kedai motor untuk membeli tali getah (bungee cord) yang akan digunakan sebagai pengikat barangan pada basikal Shuk dan saya sendiri. Puas mencari sekitar deretan kedai di bandar Bera, saya menemukan sebuah kedai basikal dan mujurlah tali getah tersebut dijual di situ pada harga diskaun RM10 untuk tiga unit.
Di restoran tersebut, saya hanya memesan menu ringkas iaitu nasi ayam. Mungkin kerana keletihan dari berkayuh menyebabkan saya kurang berselera untuk makan. Walaubagaimana sekalipun, kami perlu makan untuk menambah tenaga bagi menyambung kayuhan. Didapati yang menu makanan kedai makan di Temerloh hinggalah ke bandar Bera, menu utama ialah masakan berlaukkan ikan patin. Ah Chong dan beberapa yang lain dilihat mengambil lauk ikan patin sebagai menu makan tengahari mereka.
jam 1230: Singgah makan tengahari di restoran Anjung Seri Bera, terletak berhadapan Dataran Bandar Bera.
Abang Ridzuan bersama rakan sekerjanya ceria menyambut kedatangan kami ke Bera
Ikan patin, menjadi menu masakan utama penduduk sekitar daerah Temerloh dan Bera
Uncle Chew yang kebetulan pesara sebuah syarikat tinjauan dan pembinaan (survey and construction), berbual dengan abang Ridzuan serta rakannya mengenai pengalaman kerjaya masing – masing
Menyedari waktu menghampiri jam 1400, kami bingkas bangun dari meja untuk membayar harga makanan dan minuman. Makanan dan minuman kami tengahari pada hari itu ditaja sepenuhnya oleh abang Ridhuan. Terima kasih banyak saya ucapkan, hanya Allah SWT yang akan dapat membalas budi baik beliau. Di depan restoran tersebut, kami bergambar kenangan dan kemudian bersalaman sebelum saling mengucapkan selamat tinggal. Kumpulan terbahagi kepada dua, kami berempat akan meneruskan perjalanan yang berbaki empat puluh kilometer untuk ke Tasik Bera manakala abang Ridzuan serta rakan sekerjanya akan terus pulang ke pejabat mereka yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor.
jam 1406: Bergambar kenangan beramai – ramai bersama abang Ridzuan serta rakan sekerjanya. Tiada dalam gambar, Shuk yang bertindak selaku jurugambar
jam 1410: Meninggalkan bandar untuk meneruskan perjalanan ke Tasik Bera.
B E R S A M B U N G ...
There are three musts that hold us back: I must do well. You must treat me well. And the world must be easy - Albert Ellis
No comments:
Post a Comment