ADS

Showing posts with label Perak. Show all posts
Showing posts with label Perak. Show all posts

21 January 2013

Kayuhan NJ: Hari 2, Bahagian 4

Kesinambungan dari episod lalu boleh dibaca di sini.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah ihsan dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta penulisan serta gambar adalah terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. Terima kasih.


Lebuhraya Simpang Pulai - Gua Musang (A181)

Di suatu kawasan, abang Joe yang pada mulanya sekadar menjadi sweeper (pengiring paling belakang) telah mula memintas kami bertiga. Mungkin kerana terlalu bosan mengekori kami dari belakang yang terlalu perlahan. Ternyata pada umur 50an, kudratnya kayuhannya seolah pemuda berusia 30an. Saya cuba mengekorinya secara rapat tetapi tidak dapat mendekatinya dan ketinggalan beberapa puluh ratus meter di belakang.


Gambar 1. Sekali sekala, abang Joe memecut laju memintas dan meninggalkan kami jauh di hadapan


Sampai di satu kawasan lapang dan terbuka, terbentang di hadapan satu bukit yang panjang. Di situ kami berhenti rehat di tepi jalan sementara menunggukan kedatangan Ah Chong dan Muzammil. Tidak beberapa lama kemudian, mereka berdua pun datang. Di sini, saya merasakan badan terlalu panas akibat berkayuh melalui laluan berbukit meskipun matahari telah mula tenggelam dan keadaan telah beransur kelam.

Tanpa segan silu, saya membuka baju dan cuma mengenakan vest pemantul cahaya yang menjadikan ianya kelihatan masih tetap memakai baju. Mengikuti jejak saya, Ah Chong dan Muzammil turut berbuat demikian. Masing-masing ketawa pada mulanya, tetapi apakan daya panas badan membuatkan kami berasa runsing dan tidak selesa semasa berkayuh.


Gambar 2. Ah Chong dan Muzammil mengikuti stail saya, tidak memakai baju dan cuma mengenakan vest pemantul cahaya sahaja


Menuju Pos Slim

Dari situ, kami berempat menyambung kembali kayuhan dan melalui laluan curam panjang yang pertama untuk jalan A181 hari itu. Laluan tersebut mempunyai jalan yang lebar, dengan terdapat dua lorong pada kedua-dua hala dan mempunyai pembahagi jalan di tengahnya. Di sini, kami terpisah kepada dua kumpulan iaitu kelompok hadapan saya dan abang Joe manakala di belakang Ah Chong dan Muzammil. Saya tidak dapat mengikuti belakang Ah Chong dan Muzammil kerana basikal hanya dilengkapi dengan cassette 7 kelajuan (7 speed), kelajuan yang perlahan akan membuatkan saya terpaksa bekerja lebih keras dan ini akan menggunakan lebih tenaga berbanding basikal mereka berdua.

Saya tinggalkan keduanya kerana yakin, Ah Chong dan Muzammil dapat menjaga keselamatan mereka sendiri dan mereka tidaklah berkayuh berseorangan. Pada suatu ketika, abang Joe seolah sangat energetic. Tindakannya mengekori sebuah lori dari bahagian belakang membuatkan saya terdetik, "orang tua ini tiada jantungkah ...". Beberapa  ratus meter di hadapan, abang Joe menunggu saya di tepi jalan. Saya pun menanyakan beliau, "abang tak penat ke kayuh laju-laju ikut belakang lori tu ?" Jawabnya, "tak, lagi ringan sebab dapat cucuk angin ..."

Saya dan abang Joe mensasarkan untuk berhenti di Pos Slim bagi menunggu kedatangan Ah Chong dan Muzammil yang berkayuh agak perlahan di belakang. Tetapi malangnya, akibat kegelapan malam dan tiada lampu jalan, kami telah terlajak di hadapan dan tidak menemukan simpang jalan masuk ke penempatan orang asli tersebut. Perjalanan diteruskan hinggalah kami menemui sebuah pondok yang dijadikan tempat berniaga oleh suku kaum orang Asli. Saya mencadangkan pada abang Joe agar kami berhenti di situ untuk berkumpul semula (regroup) sementara menunggu ketibaan mereka berdua. Sementara menunggu, abang Joe berbaring dan saya memasak air bagi menyediakan minuman.


Gambar 3. Ah Chong dan abang Joe berbaring seketika di pondok jualan orang Asli


Kesejukan semakin mencengkam tulang kami. Minum air panas yang saya sediakan, sekurang-kurangnya dapat memanaskan badan dan memberikan sedikit tenaga untuk meneruskan kayuhan. Tanpa rakan-rakan lain ketahui, sebenarnya penyediaan air minuman ini adalah satu taktik bagi menaikkan semangat kayuhan disamping memberikan kami sedikit masa untuk berehat memulihkan tenaga. Setelah berkayuh sekian lama dari Bidor ke Simpang Pulai, dan kini melalui laluan pendakian, sedikit sebanyak pastinya akan melemahkan semangat seseorang. Mujurlah apabila berkayuh pada waktu malam, cuaca tidak panas dan jalan yang akan dilalui tidak boleh dinampak pada jarak jauh oleh semua.

Selesai minum, berkemas dan bangun dari tidur, perjalanan diteruskan menghala ke Kampung Raja. Pada beberapa bahagian, terdapat laluan menurun bukit dan ini dapat menjimatkan tenaga kami serta berpeluang berehat sebentar dari mengayuh. 

Lagi 30 kilometer ke Kampung Raja

Setelah beberapa lama mengayuh, kami tiba di sebuah batu tanda yang memberitahu tinggal 30 kilometer menuju ke Kampung Raja. Itu bagi kami adalah titik tengah kerana jarak dari Simpang Pulai ke Kampung Raja ialah sejauh 61 kilometer. Di situ, kami berhenti rehat seketika sebelum menyambung perjalanan. Apa yang saya ingati, selepas itu boleh dikatakan kami berempat berhenti di setiap 1 kilometer untuk berehat. Cuaca yang semakin sejuk berikutan aras dari laut semakin tinggi, ditambah dengan hujan rintik-rintik dan perut yang lapar menambahkan lagi kesengsaraan kami. Mujurlah masing-masing membawa bekalan makanan dan minuman yang dibeli dari sebuah kedai runcit di Simpang Pulai.


Gambar 4. Berhenti rehat serta makan-minum bagi menambah tenaga ketika jarak perjalanan berbaki 30 kilometer.


Tayar basikal Ah Chong pancit ) :

Puas makan dan berehat secukupnya, kami menyambung perjalanan bagi menghabiskan baki kayuhan untuk hari itu. Mata saya telah mula mengantuk, akibat dari berkayuh lebih masa dan telah menjangkaui waktu tidur. Tiba di satu kawasan, Ah Chong tiba-tiba berhenti dan mengisyaratkan kami untuk turut berhenti. Rupa-rupanya, tayar hadapannya pancit. Kami mencari kawasan yang selamat untuk berada di tepi jalan, di sebuah kawasan yang mempunyai laluan sedikit lurus agar mudah dinampak oleh pengguna jalanraya yang lain.

Sedang Ah Chong membuka tayar hadapan keluar dari rim basikalnya, sebuah van yang sedang dalam perjalanan turun ke Simpang Pulai tiba-tiba menukar arah, berpatah balik ke atas dan menghampiri kami. Kami berempat mulai risau, menyangkakan kami akan dirompak pada malam itu. Seorang lelaki Melayu bertubuh gempal keluar dari vannya, menghampiri kami seraya memberikan salam. "Assalamualaikum. Ada apa-apa masalah ke ?" "Ha'a, tayar basikal saya pancit ni bang," ujar Ah Chong. "Ohhh, takpe saya suluhkan korang nak tukar tayar ni, lagipun dapat juga saya berehat dan hisap rokok untuk hilangkan mengantuk" kata beliau lagi.

Lelaki itu mematikan enjin vannya, tetapi tidak mematikan lampu hadapan semata-mata untuk menerangi Ah Chong yang sedang menukar tiub hadapan tayar basikalnya. Saya yang melihatkan tindakan ini, berperasaan bercampur baur antara sedikit terharu dan gembira. "Ada juga orang baik dalam dunia ni, sanggup menolong orang lain dalam kesusahan ketika waktu dah mencecah sepertiga malam dan di laluan yang berliku serta sepi ini," detik saya dalam hati.


Gambar 5. Mujurlah ada lelaki baik hati yang menerangi kami dengan lampu kenderaannya


Dalam pada masa Ah Chong menukar tiub, sempat juga kami berbual-bual bersama beliau. Katanya, dia baru sahaja balik dari Raub dengan mengikuti laluan baru Sungai Koyan - Ringlet untuk menghantar minuman kesihatan keluaran syarikat tempat dia bekerja. Selepas ini, dia akan meneruskan perjalanan pulang ke kediamannya di Kampar. Perbualan kami berselang seli dengan hembusan asap rokok yang keluar dari mulut lelaki itu, mungkin bagi menghilang kesan mengantuk akibat memandu berseorangan dalam jarak yang jauh pada waktu malam.


Gambar 6. Berbual dengan lelaki yang memberhentikan vannya demi untuk mencerahkan kami berempat


Selesai menukar tiub, kami berempat memohon untuk menyambung perjalanan lalu mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengan lelaki tersebut. Kami memohon maaf kepadanya disebabkan tidak boleh berhenti terlalu lama kerana ingin menyelesaikan segera kayuhan dan ingin menghindari kemungkinan kekejangan kaki (cramp) akibat cuaca yang semakin sejuk.

Lampu oren ( :

Dari jauh, di sebalik sebuah bukit kami ternampak satu cahaya oren yang kadang-kadang ada dan kadang-kadang menghilang. Mungkinkah itu lampu di menara pemancar ? Hmm, jika lampu menara pemancar biasanya berwarna merah. Atau mungkinkah ianya sebuah lampu jalan ? Tetapi persoalannya, kenapa ia sekejap ada dan sekejap menghilang. Jika sebelum ini kami berhenti di setiap kilometer, seolah mendapat satu suntikan semangat, kami menjangkaui 2 kilometer dan ada kalanya lebih dari itu. 

Lebih kurang jangkaan belasan kilometer berkayuh, kami sampai di lokasi yang mempunyai 'lampu oren' tersebut. Ia adalah pejabat JKR Kinta, satu-satunya lokasi mempunyai lampu jalan sepanjang kami berkayuh selepas perjalanan berbaki lagi 30 kilometer menuju Kampung  Raja. Kami berhenti seketika di pintu pagarnya yang berkunci, berehat dan bergambar kenangan. Tibanya di situ seolah menambah semangat kayuhan kami kerana kami tahu jarak ke Kampung Raja tidak sampai 17 kilometer lagi.


Gambar 7. Di hadapan pintu pagar JKR Kinta


Sempadan Perak - Pahang

Dari JKR Kinta, kami meneruskan perjalanan dan lebih kurang 30 minit berkayuh kami berempat tiba di sebuah laluan yang kiri dan kanannya adalah bukit yang dipotong. Terasa sungguh gembira apabila dapat melihat sebuah papantanda biru yang berjata negeri Pahang dan dibawahnya bertulis SEMPADAN NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR. Kesempatan itu digunakan untuk berehat seketika dan yang paling penting, merakamkan kenangan berjaya tiba di situ. Dari situ, batuan tanda memberitahu kami yang perjalanan berbaki 14 kilometer menuju Kampung Raja.


Gambar 8. Ah Chong, Muzammil dan abang Joe di papantanda sempadan negeri Pahang


Kejayaan hampir tiba !

Masing-masing semakin bersemangat, dan kelajuan kayuhan sedikit meningkat. Namun, kejayaan tidak datang begitu sahaja, rupa-rupanya masih terdapat laluan pendakian walaupun jarak ke Kampung Raja semakin dekat. Pada satu kawasan berhampiran kebun sayur, kami berempat berhenti tidur akibat terlalu mengantuk. Jam pada waktu itu menghampiri 0330 pagi, saya Ah Chong dan Muzammil tanpa mempedulikan perkara lain masing-masing terus berbaring di tepi jalan untuk melelapkan mata walaupun dalam keadaan sejuk dan titis hujan halus membasahi kami. Abang Joe yang kelihatan duduk di atas palang pada mulanya kerana menunggu kami, juga kemudian tidur dengan meletakkan tangan di atas handlebar basikalnya.

Setelah hampir 30 minit melelapkan mata, masing-masing bangun untuk meneruskan perjalanan. Beberapa kilometer dihadapan, kami ditemukan dengan simpang tiga dimana ke arah kanan menghala ke Kampung Raja manakala jika terus menuju ke Lojing atau Gua Musang. Setelah memasuki simpang ke kanan, laluan terus menurun sejauh 3 kilometer dengan kecuraman lebih kurang 10%. Beberapa minit kemudian, ternampaklah akan kami sebuah papantanda berlatarbelakang putih bertulis Kampung Raja di sebelah kiri . Akhirnya ! Perjalanan hari kedua kami berjaya menemukan titik noktahnya. Di papantanda itu, kami berempat bergambar kenangan, sebagai simbolik kejayaan kami menawan laluan pendakian Simpang Pulai - Cameron Highlands.


Gambar 9. Ah Chong dan abang Joe bergambar kenangan di papantanda Kampung Raja
 
Gambar 10. Ah Chong, sangat berpuas hati setelah berjaya tiba di checkpoint hari kedua


Jika diingat-ingat kembali, agak getir perjalanan hari kedua kami. Hujan yang kadangkala turun lebat membataskan masa dan jarak kayuhan, tiga kali tayar pancit sedikit merendahkan momentum dan semangat kami, memulakan perjalanan dari Simpang Pulai selewat jam 1800 petang dengan melalui jalan pendakian yang berliku dalam keadaan kelam malam, sejuk mencengkam tulang dan hujan gerimis serta berkayuh dalam keadaan mengantuk. Ianya satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan dan dijual beli.

Checkpoint hari kedua kayuhan: Surau Kampung Raja

Lamunan itu terhenti dan kemudiannya saya menawarkan diri berada di hadapan bagi mengetuai rakan-rakan menuju ke surau Kampung Raja, tempat yang telah direncanakan sebagai checkpoint hari kedua kami. Pintu surau berkunci, dan ini menghancurkan harapan kami untuk berehat dengan selesa. Mahu ataupun tidak, kami terpaksa tidur di luar surau. Satu kawasan bersimen lapang dan rata berhampiran tempat mengambil wuduk menjadi pilihan kami untuk tempat berehat. Sebuah motorsikal yang diletakkan di situ kami alihkan, agar tidak menghalang kedudukan kami. Kami juga menyusun posisi yang sesuai supaya tidak menganggu jemaah-jemaah yang bakal menghadiri solat Subuh berjemaah beberapa jam kemudian. 

Sempat saya mengambil odometer di basikal bagi melihat info kayuhan kami. Untuk hari kedua ini, kami telah berkayuh sejauh 120.21 kilometer dari Bidor, mengambil masa jam kayuhan selama 10 jam 4 minit 44 saat, kelajuan maksima 34.3 km/j dan kelajuan purata 11.9 km/j. Odometer saya letakkan kembali pada basikal, sebaik sahaja membentang sleeping mat dan memasukkan diri kedalam sleeping bag, saya terus terlena dalam keletihan. zZz krohhh krohhh krohhhhh ...


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ... 


Nota:
* Penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan pada pembaca yang sudi klik pada iklan dalam artikel ini. Terima kasih ( :

15 January 2013

Le Tour de Perak: Bahagian 1


Perjalanan kembara berbasikal berdua oleh Azizan & adik bongsunya Azri. Melintasi beberapa daerah di negeri Perak, melawati beberapa tempat menarik / bersejarah dan juga merasai kenikmatan hidangan tempatan. Perjalanan yang pada mulanya dirancang untuk dibuat dalam masa 5 hari, telah dipadatkan kepada 3 hari atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Trip compressed !!

Info Kayuhan:

* 22.06.2010, Selasa 

* Jarak kayuhan: 161.04 km

* Masa diambil: 8 jam 42 min 41 saat (tidak termasuk waktu berhenti rehat)

* Laluan: [Sabak Bernam, Selangor (daerah Sabak Bernam)] ~ [Hutan Melintang (daerah Hilir Perak)] ~ [Seberang Perak (daerah Perak Tengah)] ~ [Kayan – Lekir – Seri Manjung - Pantai Remis (daerah Manjung)] ~ [Sg. Kerang - Trong - Changkat Ibol (daerah Larut, Matang & Selama)]

* Hentian R & P (Rehat & Pisang) setiap 50 km: Kayan, Pantai Remis & Trong.

* Touring mode: Fully loaded

Ucapan terima kasih tak terhingga buat saudara Afrizal yang membelanja kami makan tengahari di restoran milik mertuanya di Seri Manjung. Juga tidak lupa pada pakcik Rahman yang menumpangkan kami di 'istana hinggap' dalam kebunnya serta membelanjai kami makan malam & sarapan pagi di Changkat Ibol. Hanya Allah SWT lah yang dapat membalas budi baik kalian. Diucapkan terima kasih pada orang ramai yang memberikan semangat & dorongan sepanjang perjalanan, dalam bentuk ucapan mahupun lambaian tangan ataupun bunyi hon hehehe ...

Nota:
Harap maaf tiada log koordinat GPS ataupun catatan terperinci kayuhan kerana dengan berbuat demikian dirasakan agak menghalang keseronokan 100% kembara ni.

Untuk album gambar penuh, layari di sini 


 Bridgestone, bersedia untuk bertouring


Jamis X - Trail 2.0 juga bersedia untuk touring


 Bekalan pisang, konon-kononnya tidak mahu makan nasi sepanjang perjalanan ...


 Baru melepasi jambatan Sg. Bernam, yang menjadi sempadan negeri Selangor - Perak


Di atas jambatan yang melintasi Sg. Perak


Kata-kata pengingat untuk sentiasa mengutamakan keselamatan


Jambatan Raja Permaisuri Bainun, Sungai. Dinding, Lumut.


Memasuki daerah Larut, Matang & Selama


Setibanya di Changkat Ibol. Merehatkan basikal hehehe ...


Kemudahan penginapan yang sungguh selesa. Terima kasih pakcik Rahman !!


Pakaian sempat dicuci & dikeringkan


Jumlah jarak kayuhan hari pertama


Jumlah masa mengayuh hari pertama (tidak termasuk waktu berhenti)


B E R S A M B U N G ... di sini



24 December 2012

Batu tanda 0 kilometer


Batu tanda merupakan penanda jalan yang diperbuat dari simen dan diletakkan di permukaan tanah tepi jalanraya. Objektif utamanya ialah untuk memberikan maklumat jarak sesuatu destinasi yang ingin dituju kepada para pengguna jalanraya.

Terdapat dua jenis batu tanda yang saya perhatikan, jenis lama iaitu pada permukaannya cuma terdapat dua bahagian; di bahagian atas nama tempat manakala bahagian bawah pula jarak ke tempat tersebut, dalam unit kilometer. Rujuk gambar 3.

Bagi batu tanda jenis baru, biasanya akan terdapat 3 bahagian; atas, tengah dan bawah. Bahagian atas akan diletakkan nombor rujukan bagi jalan tersebut baik ianya Jalan Persekutuan mahupun jalan negeri. Jalan Persekutuan (Federal Route) hanya mengunakan nombor dari satu ke empat digit, dengan tiada sebarang huruf dihadapannya. Sebagai contoh: 1, 12, 123 dan 1234. Jalan negeri pula akan terdapat huruf dihadapan setiap nombor, dimana setiap huruf mewakili setiap negeri dimana ianya sama dengan nombor pendaftaran kereta. Sebagai contoh; A1 untuk jalan di negeri Perak, B12 di negeri Selangor, C123 di negeri Pahang dan lain lain lagi.

Bahagian tengah pula, nama tempat atau beserta jaraknya. Bagi bahagian tengah, kadang-kadang diletakkan lebih dari satu info jarak. Sila rujuk gambar 2. Bahagian bawah pula memberikan nombor rujukan batu tanda di laluan tersebut.

Kebiasaannya, nombor terkecil pada setiap batu tanda ialah 1, iaitu satu kilometer lagi untuk sampai ke sesuatu tempat yang dituju. Walaubagaimanapun, terdapat keunikan di beberapa lokasi yang meletakkan 0 kilometer sebagai menunjukkan yang kita telah pun sampai di destinasi yang dituju. Secara peribadinya, sepanjang kembara berbasikal saya dan juga rakan kayuhan telah menemui tiga buah batu tanda 0 kilometer. 


Pangkor 0 km
 
Ianya terletak lebih kurang empat ratus meter dari terminal jeti utama pulau Pangkor. Saya menemuinya di hari pertama ketika membuat kayuhan solo Sabak Bernam - Lumut - Pulau Pangkor - Sabak Bernam pada 22hb Nov. 2008 lalu.


Gambar 1. Pangkor 0 km. [Klik untuk pembesaran imej]



Butterworth 0 km
 
Kedudukan batu tanda ini terletak tidak sampai lima kilometer dari Terminal Feri Sultan Abdul Halim, Butterworth. Saya dan Muzammil menemuinya secara tidak sengaja ketika kami berhenti seketika bagi memeriksa koordinat sebuah hotel bajet yang ingin kami cari untuk bermalam menggunakan bantuan alat GPS (Global Positioning System). Ianya berlaku di hari pertama kayuhan yang kami gelarkan sebagai Slowly Slowy Go Down (SSGD) pada tarikh 4hb Nov. 2010 lalu.


Gambar 2. Butterworth 0 km [Klik untuk pembesaran imej]



Kuala Lipis 0 km

Antara batu tanda 0 yang paling terkenal, ianya telah menghiasi banyak artikel pelancongan baik di majalah mahupun dokumentari. Tidak kurang juga pada gambar-gambar peribadi setiap pengunjung yang telah datang ke pekan Kuala Lipis, Pahang. Terletak bersebelahan Pejabat Pos Kuala Lipis, ianya menjadi nostalgia kepada penduduk tempatan sebagai salah satu kesan sejarah pendudukan British telah berlaku di situ. Gambar ini dirakam di hari kedua ketika saya membuat kayuhan solo Kampung Raja (Cameron Highlands) - Pos Betau - Felda Sungai Koyan - Kuala Lipis - Felda Kechau - Merapoh - Gua Musang - Kampung Raja pada tarikh 24 hingga 27hb Nov. 2012 baru-baru ini.


Gambar 3. Kuala Lipis 0 km [Klik untuk pembesaran imej]



Pada pembaca yang mempunyai maklumat tentang batu tanda 0 kilometer selain di atas, diharap dapat memberikan info tentangnya di email saya azizanzolkipli@gmail.com. Maklumat yang akan anda berikan adalah sangat saya hargai.

* Penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembaca yang sudi klik pada iklan pada laman ini. Terima kasih ( :

17 December 2012

Kayuhan NJ: Hari 2, Bahagian 3

Kesinambungan dari episod lalu boleh dibaca di sini. 
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini

Nota: 
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah ihsan dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta penulisan serta gambar adalah terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. Terima kasih.
 
 
18hb Nov. 2011, Jumaat
 
Kampar ke Gopeng 

Dari Kampar, kami menuju ke Gopeng. Dalam perjalanan, kami melalui simpang jalan masuk ke Gua Tempurung. Laluan di situ lebih nyaman kerana terdapat banyak teduhan pokok-pokok besar di tepi jalan. Pada masa kami melalui kawasan tersebut, ia adalah musim durian dan banyak peniaga menjual hasil durian mereka. Satu interaksi menarik yang saya ingati semasa kami melepasi satu peniaga durian. “Bang, berhenti kayuh dulu, pekena durian ni”. Lalu salah seorang dari kami menjawab, “ishhh jangan, kang tak boleh kayuh sebab badan panas ..."


Gambar 1. Simpang masuk ke Gua Tempurung

Gambar 2. Salah satu antara gerai yang menjual durian sepanjang jalan menuju ke  Gopeng
 

Gopeng
 
Beberapa kilometer berkayuh meninggalkan Kampar, kami mula memasuki kawasan Gopeng. Paling menarik perhatian saya, dua batang paip besi panjang lama yang diletakkan atas struktur konkrit dan besi. Ianya kelihatan sebagai tinggalan sejarah yang dipelihara. Apabila saya selesai menamatkan kayuhan ini dan cuba mencari info dalam talian, rupanya ia adalah tinggalan paip lama pada masa kawasan Gopeng terlibat secara aktif dalam aktiviti perlombongan bijih timah beberapa puluh tahun lampau.


Gambar 3. Muzammil dengan aksi ‘Lawan Kuda’

Gambar 4. “Kat Perak pun ada Kota Bharu ? Ingatkan di Kelantan aje”, kata Ah Chong

Gambar 5. Tinggalan lama besi paip semasa aktiviti perlombongan berjalan rancak di Gopeng beberapa puluh tahun dahulu


Semasa memasuki Gopeng, Ah Chong mengatakan yang basikalnya terasa berat. Apabila diperiksa, rupanya tayar belakang beliau pancit. Kami berempat kemudian berhenti di stesyen minyak Petronas bagi Ah Chong menukar tiub tayar belakangnya. Selepas menukar tiub, perjalanan diteruskan dan sekali lagi tayar belakang basikalnya pancit. Kami berhenti sekali lagi, kali ini di stesyen minyak Shell pula bagi Ah Chong menukar tiubnya.


Gambar 6. Ah Chong menukar tiub tayar belakangnya, sementara rakan lain mengambil peluang untuk berhenti rehat


Gambar 7. Ah Chong dengan tekun menukar tiub basikalnya. Ooppss, sila jangan betulkan skrin/monitor anda !

Gambar 8. Abang Joe memasukkan tiub baru, manakala Ah Chong cuba mencari punca kebocoran tiub bagi diperbaiki dengan melekatkan patch penampal

Gambar 9. Ini bukan pomen servis kereta, tapi pomen servis basikal ( :


Simpang Pulai 

Gopeng kami tinggalkan menuju ke Simpang Pulai, sebelum menghadapi laluan pendakian ke Cameron Highlands atau lebih tepatnya ke Kampung Raja sejauh 61 kilometer. Hujan menyambut ketibaan kami berempat tidak jauh dari laluan masuk ke Plaza Tol Simpang Pulai, Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS). Kami mengambil keputusan untuk berhenti makan lewat tengahari merangkap awal malam di sebuah restoran tepi jalan bagi menambah tenaga. Basah kuyup akibat hujan membuatkan saya dan rakan-rakan menggigil kesejukan.

Sementara menunggu pesanan makanan, minuman panas yang tiba terlebih dahulu dihirup, membuatkan kesejukan badan beransur kurang. Kebiasaannya, bila makan kami suka memesan makanan menu yang sama bagi membolehkan tukang masak restoran memasak dengan segera dan kami tidak perlu menunggu lebih lama. Tetapi ini tidak berlaku ketika kami di restoran ini kerana pelanggan yang datang tidak ramai akibat hujan, membuatkan masing-masing memesan makanan kegemaran yang tersendiri.

Sempat juga saya mengemaskinikan status di laman Facebook, seperti berikut:

Renti di Restoran Sharidz b’hampiran smpg ke Tol Smpg Pulai utk mkn lewat t’ghari & awal mlm. Lepas ni laluan b’bukit sejauh 61 km je Kg Raja, CH. Aishhh, tumpor  teman ! Info kayuhan: 58.32 km DST, 3:25:21 TM [18.11.2011, 1638 hrs] ...”


Gambar 10. Menjamah kenikmatan makanan panas yang baru disediakan

Gambar 11. “Sambil-sambil makan, kita berfoto dahulu ...”

Gambar 12. “Menu makanan siapalah ni agaknya ?”


Sementara menunggu hujan reda atau berhenti, kami mempersiapkan kelengkapan lampu basikal masing-masing untuk menghadapi kayuhan malam dari Simpang Pulai ke Kampung Raja nanti. Sebaik sahaja hujan lebat bertukar gerimis, selepas membayar harga makanan dan minuman kami meninggalkan restoran dan ke kawasan berhampiran persimpangan lampu isyarat jalan Batu Gajah – Ipoh – Lebuhraya Simpang Pulai / Gua Musang dimana terdapat beberapa kedai runcit bertujuan bagi membeli bekalan makanan dan minuman. Ini adalah kerana tiada sebarang kedai sepanjang perjalanan naik ke atas nanti. Ada yang membeli roti, air mineral, minuman isotonik dan pelbagai lagi.
 

Memasuki Lebuhraya Simpang Pulai - Gua Musang (A181)

Tepat jam 6.00 petang kami berempat meninggalkan Simpang Pulai dengan masih berkeadaan hujan renyai-renyai. Jalan berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai sedang diperbaiki ketika itu, hasilnya ialah kesesakan lalulintas sepanjang beberapa kilometer dari persimpangan tersebut. Oleh kerana hari masih hujan, kami memasang lampu keselamatan belakang (blinker) agar dapat dilihat oleh pengguna jalanraya yang lain. Mujurlah bumi dibasahi hujan petang itu, jika tidak keadaan pastinya akan berhabuk ketika kami melalui beberapa jalan masuk ke kuari-kuari yang terdapat di Kawasan Industri Keramat Pulai.


Gambar 13. Memasuki kawasan ke jalan masuk beberapa kuari

Gambar 14. Bahu jalan yang lebar membolehkan dua basikal mengayuh bersebelahan


Gambar 15. 56 kilometer lagi ke Kampung Raja. Aduhaiii ..


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ...


Nota  penghargaan:
Penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembaca yang klik pada ruangan iklan. Terima kasih ( :