ADS

17 December 2012

Kayuhan NJ: Hari 2, Bahagian 3

Kesinambungan dari episod lalu boleh dibaca di sini. 
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini

Nota: 
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah ihsan dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta penulisan serta gambar adalah terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. Terima kasih.
 
 
18hb Nov. 2011, Jumaat
 
Kampar ke Gopeng 

Dari Kampar, kami menuju ke Gopeng. Dalam perjalanan, kami melalui simpang jalan masuk ke Gua Tempurung. Laluan di situ lebih nyaman kerana terdapat banyak teduhan pokok-pokok besar di tepi jalan. Pada masa kami melalui kawasan tersebut, ia adalah musim durian dan banyak peniaga menjual hasil durian mereka. Satu interaksi menarik yang saya ingati semasa kami melepasi satu peniaga durian. “Bang, berhenti kayuh dulu, pekena durian ni”. Lalu salah seorang dari kami menjawab, “ishhh jangan, kang tak boleh kayuh sebab badan panas ..."


Gambar 1. Simpang masuk ke Gua Tempurung

Gambar 2. Salah satu antara gerai yang menjual durian sepanjang jalan menuju ke  Gopeng
 

Gopeng
 
Beberapa kilometer berkayuh meninggalkan Kampar, kami mula memasuki kawasan Gopeng. Paling menarik perhatian saya, dua batang paip besi panjang lama yang diletakkan atas struktur konkrit dan besi. Ianya kelihatan sebagai tinggalan sejarah yang dipelihara. Apabila saya selesai menamatkan kayuhan ini dan cuba mencari info dalam talian, rupanya ia adalah tinggalan paip lama pada masa kawasan Gopeng terlibat secara aktif dalam aktiviti perlombongan bijih timah beberapa puluh tahun lampau.


Gambar 3. Muzammil dengan aksi ‘Lawan Kuda’

Gambar 4. “Kat Perak pun ada Kota Bharu ? Ingatkan di Kelantan aje”, kata Ah Chong

Gambar 5. Tinggalan lama besi paip semasa aktiviti perlombongan berjalan rancak di Gopeng beberapa puluh tahun dahulu


Semasa memasuki Gopeng, Ah Chong mengatakan yang basikalnya terasa berat. Apabila diperiksa, rupanya tayar belakang beliau pancit. Kami berempat kemudian berhenti di stesyen minyak Petronas bagi Ah Chong menukar tiub tayar belakangnya. Selepas menukar tiub, perjalanan diteruskan dan sekali lagi tayar belakang basikalnya pancit. Kami berhenti sekali lagi, kali ini di stesyen minyak Shell pula bagi Ah Chong menukar tiubnya.


Gambar 6. Ah Chong menukar tiub tayar belakangnya, sementara rakan lain mengambil peluang untuk berhenti rehat


Gambar 7. Ah Chong dengan tekun menukar tiub basikalnya. Ooppss, sila jangan betulkan skrin/monitor anda !

Gambar 8. Abang Joe memasukkan tiub baru, manakala Ah Chong cuba mencari punca kebocoran tiub bagi diperbaiki dengan melekatkan patch penampal

Gambar 9. Ini bukan pomen servis kereta, tapi pomen servis basikal ( :


Simpang Pulai 

Gopeng kami tinggalkan menuju ke Simpang Pulai, sebelum menghadapi laluan pendakian ke Cameron Highlands atau lebih tepatnya ke Kampung Raja sejauh 61 kilometer. Hujan menyambut ketibaan kami berempat tidak jauh dari laluan masuk ke Plaza Tol Simpang Pulai, Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS). Kami mengambil keputusan untuk berhenti makan lewat tengahari merangkap awal malam di sebuah restoran tepi jalan bagi menambah tenaga. Basah kuyup akibat hujan membuatkan saya dan rakan-rakan menggigil kesejukan.

Sementara menunggu pesanan makanan, minuman panas yang tiba terlebih dahulu dihirup, membuatkan kesejukan badan beransur kurang. Kebiasaannya, bila makan kami suka memesan makanan menu yang sama bagi membolehkan tukang masak restoran memasak dengan segera dan kami tidak perlu menunggu lebih lama. Tetapi ini tidak berlaku ketika kami di restoran ini kerana pelanggan yang datang tidak ramai akibat hujan, membuatkan masing-masing memesan makanan kegemaran yang tersendiri.

Sempat juga saya mengemaskinikan status di laman Facebook, seperti berikut:

Renti di Restoran Sharidz b’hampiran smpg ke Tol Smpg Pulai utk mkn lewat t’ghari & awal mlm. Lepas ni laluan b’bukit sejauh 61 km je Kg Raja, CH. Aishhh, tumpor  teman ! Info kayuhan: 58.32 km DST, 3:25:21 TM [18.11.2011, 1638 hrs] ...”


Gambar 10. Menjamah kenikmatan makanan panas yang baru disediakan

Gambar 11. “Sambil-sambil makan, kita berfoto dahulu ...”

Gambar 12. “Menu makanan siapalah ni agaknya ?”


Sementara menunggu hujan reda atau berhenti, kami mempersiapkan kelengkapan lampu basikal masing-masing untuk menghadapi kayuhan malam dari Simpang Pulai ke Kampung Raja nanti. Sebaik sahaja hujan lebat bertukar gerimis, selepas membayar harga makanan dan minuman kami meninggalkan restoran dan ke kawasan berhampiran persimpangan lampu isyarat jalan Batu Gajah – Ipoh – Lebuhraya Simpang Pulai / Gua Musang dimana terdapat beberapa kedai runcit bertujuan bagi membeli bekalan makanan dan minuman. Ini adalah kerana tiada sebarang kedai sepanjang perjalanan naik ke atas nanti. Ada yang membeli roti, air mineral, minuman isotonik dan pelbagai lagi.
 

Memasuki Lebuhraya Simpang Pulai - Gua Musang (A181)

Tepat jam 6.00 petang kami berempat meninggalkan Simpang Pulai dengan masih berkeadaan hujan renyai-renyai. Jalan berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai sedang diperbaiki ketika itu, hasilnya ialah kesesakan lalulintas sepanjang beberapa kilometer dari persimpangan tersebut. Oleh kerana hari masih hujan, kami memasang lampu keselamatan belakang (blinker) agar dapat dilihat oleh pengguna jalanraya yang lain. Mujurlah bumi dibasahi hujan petang itu, jika tidak keadaan pastinya akan berhabuk ketika kami melalui beberapa jalan masuk ke kuari-kuari yang terdapat di Kawasan Industri Keramat Pulai.


Gambar 13. Memasuki kawasan ke jalan masuk beberapa kuari

Gambar 14. Bahu jalan yang lebar membolehkan dua basikal mengayuh bersebelahan


Gambar 15. 56 kilometer lagi ke Kampung Raja. Aduhaiii ..


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ...


Nota  penghargaan:
Penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembaca yang klik pada ruangan iklan. Terima kasih ( :
 

2 comments:

Ren said...

Wah naik Kemeren ke? Kelassss Wak Jan!

Azizan Zolkipli said...

@Janggel / Rain: Macam nak separa mangkat naik Simpang Pulai - CH itu hari. Dari Simpang Pulai jam 6 petang, sampai Kg. Raja CH jam 0430 pagi adoyaiii ...