ADS

07 March 2012

'Cyclo Tourism': Klang, Bandar Diraja Selangor, Bahagian 7

Bahagian sebelumnya boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. 

ACS Klang 

Dari kemuncak bukit di Jalan Istana, saya mengikuti laluan menurun dan lebih kurang lima ratus lima puluh meter di hadapan tiba di sebuah bulatan besar berlampu isyarat yang dinamakan Bulatan Simpang Lima. Mungkin dinamakan sedemikian kerana terdapat lima simpang, itu tidaklah pula saya usul periksa kerana harus fokus pada keadaan trafik di situ.


Gambar 1. Laluan perjalanan dari Istana Alam Shah ke Bulatan Simpang Lima


Saya tidak bercadang untuk mengikuti laluan utama bagi kembali ke bandar Klang dan seterusnya pulang ke Shah Alam. Sebaliknya ingin mengikuti jalan dalam yang pernah saya lalui suatu ketika dahulu dan kini telah ingat-ingat lupa akan jalan tersebut. Melepasi dua buah lampu isyarat, saya memasuki arah kiri menuju Jalan Raya Barat sehinggalah sampai ke sebuah simpang tiga berlampu isyarat yang terdapat sebuah stesyen minyak Mobil berhampiran. Jika menghala ke kiri, akan membawa ke Jalan Tebuk Pulai. Dari situ, perjalanan diteruskan dengan hasrat untuk mengikuti satu jalan pintas menaiki laluan berbukit menuju ke bangunan Majlis Perbandaran Klang di seberang kanan jalan.


Gambar 2. Laluan perjalanan: dari susur masuk di Bulatan Simpang Lima ke ACS Klang


Tetapi tiba-tiba hati bertukar fikiran, mahu cuba mengikuti Jalan Raya Barat kerana ingin mengetahui lokasi mana yang boleh ditembusi oleh jalan ini. Tujuh ratus lima puluh meter meninggalkan persimpangan masuk ke Jalan Raya Barat dari Bulatan Simpang Lima, saya terpandang di sebelah kiri kawasan berpadang dan berpagar tembok batu dengan bangunan di dalamnya kelihatan seperti sebuah sekolah. Dinding-dinding pagarnya terhias cantik dengan tulisan kata-kata hikmat dari tokoh terdahulu. Merasakan ianya menarik untuk bergambar, saya menghabiskan masa beberapa minit berfotografi dengan menjadikan basikal saya sebagai subjek utama dan berlatarbelakangkan tembok pagar tersebut.


Gambar 3. Thomas Alva Edison; pencipta phonograph, kamera gambar bergerak (motion picture camera) dan mentol lampu elektrik.
 
Gambar 4. Aristotle, seorang ahli falsafah Greek purbakala dan juga pengajar Neoplatonism
 
Gambar 5. Esok pasti ada ... Esok pasti datang ...


Gambar 6. Doug Firebaugh; seorang pengarang, jurucakap dan juga pakar pengajar media sosial pemasaran rangkaian MLM

Gambar 7. Solomon Ibn Gabirol, merupakan merupakan penyair Ibrani Andalusia (Andalusian Hebrew) dan ahli falsafah Yahudi (Jewish philosopher)


Semasa bergambar, terdapat sebuah papantanda dan dari situ saya ketahui yang sekolah ini bernama Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) Klang. Logo sekolah yang unik menggunakan warna utama biru dan kuning dihiasi gambar buku, sauh kapal, seekor harimau dan seekor burung berwarna putih bersama tulisan ACS di tengahnya, juga slogan bertulis "Sapientia Potentia Est" yang menarik minat saya. Setahu saya, jika sekolah yang mempunyai slogan sebegitu mungkin berupa sekolah warisan dari zaman kolonial dahulu.


Gambar 8. Papantanda yang memberitahu saya nama sekolah ini


Selesai bergambar di tembok dinding terakhir, saya meneruskan perjalanan melalui Jalan Raya Barat dengan sifat ingin tahu yang meluap, teruja untuk mengetahui di mana saya akan melalui laluan seterusnya. Perasaan yang sama juga dirasakan untuk mengkaji lebih lanjut tentang sejarah sekolah ACS ini.


Gambar 9. Lord Chesterfield; Earl of Chesterfield keempat, dua kali menjadi duta ke The Hague, setiausaha negeri, perunding Perjanjian Vienna kedua 1731 dan leftenan Ireland


Berikutan slogan pada logo sekolah yang sedikit menimbulkan syak wasangka tentang sejarah sekolah ini, pencarian saya di internet semasa mahu menerbitkan artikel ini telah menjumpai sesuatu yang menakjubkan. Mengikut Wikipedia,  Sekolah ini merupakan sekolah yang tertua di Selangor dan ketiga tertua di Malaysia; selepas Penang Free School di Pulau Pinang dan Malacca High School di Melaka.

Memetik sedikit artikel di laman Wikipedia:

"Sekolah Anglo-Chinese (ACS) adalah separa bantuan kerajaan iaitu terdiri dari Sekolah Kebangsaan Methodist dan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, terletak di Jalan Melawis dan Jalan Raya Barat, daerah Klang. Ia adalah sekolah yang tertua di negeri Selangor dan tertua ketiga di Malaysia. ACS telah ditubuhkan dan ditubuhkan pada 10 Mac, 1893, dan dibuka secara rasmi oleh Sir William Hood Treacher."

Sedikit sejarah mengenai sekolah ACS ini:

1892 - Pegawai Daerah Klang, Walter W Skeat dan Loke Yew menghadapi halanganmengumpul wang untuk bangunan sekolah. Mereka akhirnya berjaya menyewa premis rumahPenghulu Mohid di Jalan Rembau untuk memulakan sekolah baru. Pendaftaran awal ACSadalah 14 orang pelajar. Ia mempunyai seorang guru. Sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh Sir William Hood Treacher pada tahun 1893.

1896 - Sekolah ini menjadi sebuah sekolah awam British. Ia dinamakan Sekolah Anglo-Cina (ACS) pada tahun 1915. Pada tahun 1920, bangunan asal yang diperbuat daripada kayu,hampir dimusnahkan oleh kebakaran. 

1921 - Sebuah bangunan baru telah didirikan di Jalan Raya Barat, seperti lokasi pada hari ini. Ia telah dibuka oleh Oliver Marks, seorang residen Selangor. Sultan Alaeddin Sulaiman turut hadir pada majlis perasmian sekolah. Tahun itu, apabila Reverend Abel Eklund dan isterinya, Ruth Eklund tiba di Klang, terdapat 15 murid wanita di ACS.

1922 - Kumpulan pertama pelajar mengambil Peperiksaan Senior Cambridge.

1924 - Majalah sekolah baru, yang dinamakan 'The School Review', telah diterbitkan. Ruth Eklund mengasaskan Sekolah Perempuan Methodist (MGS), sekolah 'semua-gadis' (all girls) yang terletak behampiran sekolah ACS. 

1925 - Pergerakan Pengakap Klang yang pertama, ditubuhkan. 

Bacakan lanjutan sejarah mengenai Sekolah ACS ini di sini. 

Mengetahui sejarah sekolah ACS, membawa saya pada penemuan tokoh tempatan bernama Loke Yew. Loke Yew, atau nama penuhnya Wong Loke Yew mengikut info Wikipedia adalah seorang ahli perniagaan terkenal dan dermawan semasa era Malaya - British. Dia dianggap sebagai orang paling kaya di Malaysia pada zamannya dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Kuala Lumpur , juga salah seorang pada pengasas sekolah Victoria Institution. Ketahui tentang sejarah dah sumbangannya pada negara, di laman ini. 

Episod seterusnya, pengkisahan terakhir dalam perjalanan di Klang, Bandar Diraja Selangor iaitu tentang bagaimana saya menemui lokasi Kota Raja Mahadi. Teruskan bersiaran !


"If we do not plant knowledge when young, it will give us no shade when we are old." - Lord Chesterfield

7 comments:

Ren said...

Wah tak habis lagi jelajah klang! Lepas ni ke mana pulak ye wakjan?

Azizan Zolkipli said...

Janggel: Lepas ni, lokasi terakhir iaitu Kota Raja Mahadi. tapi, selepas tu ada lagi kesana jelajah klang berdua dengan seorang rakan pergi mencari Klang Heritage Walk pula ...

gadisBunga™ said...

klang heritage walk tuh - saya berminat!

Azizan Zolkipli said...

gadisBunga: tapi ... Klang Heritage Walk tu masing2 pergi dengan tiada kamera lah huhuhu ... jadi, tak dapat nak buat artikel pasal tu. tapi, kalau nak buat trip leisure jalan kaki, Wakjan boleh anjurkan nanti ...

mytravellicious said...

cool coool...

Anonymous said...

terima kasih kerana sudi menulis serba sedikit tentang SMK Methodist (ACS) Klang. tapi tembok tu dah runtuh, dah buat baru ... so semua tulisan tu dah jadi kenangan sekarang :)

tembok yang baru pun ... dah nak runtuh sekali lagi :D

Azizan Zolkipli said...

@Anonymous

Pertama2nya, terima kasih kerana sudi menjengah lawan sesawang saya yang dah lama sangat bersawang ni huhuhu ...

Alahaiii, kenapa ekk diruntuhkan ya tembok tu ? Mungkin memberi peluang kepada pembangunan agaknya. Ehhhh, tembok baru pun nak runtuh lagi lah pulak ... Kurang berkualiti kah mutu pembinaannya huhuhu ...