ADS

05 March 2012

'Cyclo Tourism': Klang, Bandar Diraja Selangor, Bahagian 6


Kesinambungan dari siri lalu.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar.

Kelab Diraja Klang

Dari pintu masuk utama Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, saya keluar semula ke Jalan Stesen dan menghala ke arah kiri hingga ke sebuah persimpangan berlampu isyarat, titik pertemuan Jalan Stesen, Jalan Dato Hamzah dan Jalan Istana. Saya menghala terus ke Jalan Istana dengan terdapat laluan pendakian pada tahap kecuraman minima. Lebih kurang empat ratus meter meninggalkan Galeri Diraja, saya menemukan sebuah tempat bernama Kelab Diraja Klang (selepas ini akan disebut sebagai KDR) di sebelah kiri jalan. Saya berhenti bergambar di sini, sambil menyangka ianya cuma sebuah kelab sukan dan sosial yang biasa terdapat di mana-mana komuniti.


Gambar 1. Peta perjalanan dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke KDR


Walaubagaimanapun, deria keenam saya sedikit terdetik dan seolah ingin memberitahu sesuatu kepada saya apabila membaca perkataan 'Diraja' pada kelab itu, juga setelah melihat rupabentuk logo kelab tersebut yang berbentuk seperti sebuah perisai (shield). "Mesti ada sesuatu yang istimewa mengenai kelab ini", bisik hati kecil saya.


Gambar 2. Logo KDR


Ketika mahu meninggalkan perkarangan kawasan, saya terpandang pada satu kain rentang bertulis "Royal Klang Club Celebrating Our 110th Anniversary 2011" dipasang pada bahagian hadapan kawasan meletak kereta ahli. "Wowww !" Tiba-tiba terpacul keluar secara spontan perkataan ringkas itu dari mulut saya. Umurnya lebih tua dari Bangunan Sultan Suleiman atau kini lebih dikenali sebagai Galeri Diraja itu. Siapa sangka, bangunan yang tiada dalam perancangan untuk disinggahi ini sebenarnya juga merupakan lokasi bersejarah dalam bandar Klang.

Memandangkan tidak mempunyai keahlian dalam kelab itu dan merasa kemungkinan akan diusir oleh pegawai keselamatan bertugas, saya meneruskan perjalanan ke lokasi yang dirancangkan, iaitu Istana Alam Shah.

Nota:
Ketika ingin menerbitkan artikel ini, saya membuat sedikit penyelidikan mengenai KDR. Berikut apa yang saya petik dan terjemahkan dari laman rasmi kelab tersebut.


Gambar 3. Gambaran laman web KDR (printscreen pada 2hb Mac 2012)

Mengikut info dari laman KDR, Kelab Klang ini diasaskan pada tahun 1901, di tapak lokasi seperti pada hari ini, untuk kegunaan aktiviti sosial dan rekreasi di zaman kolonial terutamanya penjawat awam dan peniaga warga British serta Eropah. Pada zaman awal penubuhannya hingga ke Perang Dunia Kedua pada tahun 1941, Kelab Klang merupakan pusat utama sukan, sosial dan aktiviti kebudayaan komuniti Eropah di Klang.

Ketika zaman pendudukan Jepun (1942 - 45), Kelab Klang telah digunakan sebagai mes  (mess) rekreasi tentera Jepun yang ditugaskan di Klang dan Port Swettenham. Mujurlah kelab ini melepasi keadaan huru hara dan terselamat tanpa sebarang kerosakan semasa jangkamasa perang.

Ketika British kembali pada tahun 1945, kelab ini sekali lagi menjadi pusat warga Eropah beraktiviti pada masa lapang di Klang. Sebelum pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, keahlian kelab ini hanyalah berasaskan 'Eropah Sahaja' (European Only) dengan dimana ahlinya terdiri dari peladang Eropah, ahli perniagaan dan golongan profesional, penjawat awam British (British Civil) dan pihak tentera. Presiden Kelab Klang biasanya merupakan Pegawai Daerah atau Pegawai Polis Senior. Walaubagaimanapun, peniaga terkemuka, kadang-kadang turut dilantik sebagai presiden.

Bermula tahun 1957, polisi 'Eropah Sahaja' (European Only) telah beransur berubah dan ahli warga Malaysia telah dimasukkan sebagai ahli melalui pemilihan yang teliti. Sesetengah warga Malaysia yang menjadi ahli kelab adalah golongan profesional dan ahli perniagaan, seperti Dr. Lim Sian Lock, yang menjadi presiden bukan Eropah pertama Kelab Klang pada tahun 1972.

Pada tahun 1999, DYMM Sultan Selangor telah mengurniakan gelaran "Diraja" kepada kelab ini, dan sehingga kini ianya dikenali pula dengan nama "Kelab Diraja Klang".

Istana Alam Shah

Dari KDR, saya kembali semula ke Jalan Istana melalui laluan pendakian sehingga berjumpa sebuah bulatan di sebelah kanan. Perjalanan diteruskan dan tidak jauh dari situ, di sebelah kiri jalan terdapat satu kawasan berpagar yang menampakkan bahagian dalaman, kawasan berlembah yang mempunyai tasik dan taman dijaga rapi, dengan terdapat  satu bangunan besar di puncak bukitnya. Rekaan bangunan tersebut menguatkan lagi jangkaan saya bahawa itu ialah kawasan istana.

Lebih kurang dua ratus enam puluh meter dari KDR, saya tiba di sebuah pintu besar. Pintu pagar bersama gerbang yang cukup besar, sesuai dengan imejnya sebagai sebuah istana negeri. Kiri dan kanan pintu gerbang terdapat kawasan berbumbung yang saya jangkakan tempat untuk pengawal keselamatan bertugas, serta sepasang meriam yang diletak khas menghiasi ruang masuk utama ke istana ini. Tiada kelibat pengawal keselamatan secara individu, mahupun pengawal berkuda seperti yang terdapat di pintu masuk utama Istana Negara. Kemungkinan istana ini tidak digunakan secara harian kerana terdapat dua lagi istana milik kesultanan Selangor iaitu di Shah Alam dan Putrajaya.

Gambar 4. Pintu masuk utama ke Istana Alam Shah

Di sebelah kiri bahagian pintu masuk terdapat jata negeri yang terletak di dinding, manakala di sebelah kanan pula tulisan jawi bersama rumi bertulis Istana Alam Shah.


Gambar 5. Jata negeri Selangor

Jata Negeri Selangor

Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan Jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri. Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.


Gambar 5. Jata negeri juga terdapat sebagai hiasan di pintu pagar

Gambar 6. Meriam pendek yang diletakkan di atas binaan beroda dibuat khas

Gambar 7. Tulisan kaligrafi jawi dan rumi di bahagian sebelah kanan pintu masuk utama

Mengikut info dari laman Majlis Perbandaran Klang, Istana Alam Shah yang asal telah dibina pada tahun 1905, sewaktu pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor yang kelima. Bangunan ini mempunyai lima belas buah bilik. Istana ini direka dengan menggunakan kayu dan marmar. Segala kos pembinaan dan rekabentuk istana telah ditanggung sendiri oleh baginda.


Gambar 8. Keadaan asal Istana Alam Shah sebelum diubahsuai. (Gambar ihsan dari laman ini)

Sultan Alauddin Sulaiman Shah bersemayam di situ selama tiga puluh lima tahun sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1938. Di istana itu juga, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor yang ke lapan telah dilahirkan pada tahun 1926.

Awal tahun 2000, istana ini telah dinaiktaraf sewaktu pemerintahan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ketika bergambar di kawasan luar istana, kelihatan beberapa pemandu kenderaan yang lalu lalang melihat saya dengan pandangan yang seolah pelik dengan kelakuan saya. Tidak pasti apa yang mereka fikirkan tentang saya, tetapi yang penting perbuatan saya ini tidak menyalahi undang-undang. Puas bergambar kemudian meneguk minuman yang dibawa untuk membasahkan tekak, saya melalui laluan menurun Jalan Istana menuju ke Bulatan Simpang Lima.

Nota:
Pengkisahan mengenai sekolah ACS Klang tidak dapat dimasukkan di dalam artikel ini untuk mengelakkan dari menjadi terlalu panjang. Haraf maaf ...


"I am always doing that which I cannot do, in order that I may learn how to do it." - Pablo Picasso

8 comments:

Janggel said...

Bangunan Istana Alam Shah yang lama tu nampak lagi menarik kan...

saya pernah masuk dan duduk sekejap dalam istana hinggap di Putrajaya tu....menakjubkan.

Azizan Zolkipli said...

Janggel: Betul, betul ! Yang lama lebih nampak klasiknya, macam bangunan kat Russia pun ada juga kalau sekali tengok ...

Wahhh, menariknya kamu pernah masuk di Istana Putrajaya tu. Pergi kesana tu sebab dapat gelaran Datuk ke hehehe ...

gadisBunga said...

kenapa yg lama nampak lagi cantik???

Azizan Zolkipli said...

gadisBunga: alamak, Wakjan tak dapat nak jawab lah yang tu ...

shah_rule said...

seronoknya berbasikal sana sini..
tapi pakai basikal besa je ke? tak penat? haha
anyway i used to like this sport since masa skolah. harap2 satu hari nak teruskan lagi.

Azizan Zolkipli said...

shah_rule: memang seronok ooo. jom aaa nanti kita gi sekali. apalagi, azam untuk teruskan minat tu !

Janggel said...

Hahaha Dato'? kekek mudah2han dimakbulkan doa itu amin.

Tak la, kawan saya tinggal kat rumah dayang istana...tu yg dapat masuk tu keke.

Azizan Zolkipli said...

Janggel: Amin ... Dayang istana ? Wahhhh, i like !! [sambil terus membayangkan dayang2 istana yang cun melecun macam dalam filem Melayu dulu2] hehehehe ...