ADS

09 March 2012

'Cyclo Tourism': Klang, Bandar Diraja Selangor, Bahagian 8 (Akhir)

Syukur, pengkisahan perjalanan kembara berbasikal di Bandar Diraja Selangor, Klang ini telah pun sampai ke penghujung. Bacakan seterusnya penemuan terakhir saya untuk perjalanan di bandar Klang ini, iaitu Kota Raja Mahadi. 

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. 

Kota Raja Mahadi 

Bingkisan dari bahagian terdahulu: 

Selesai bergambar di tembok dinding terakhir, saya meneruskan perjalanan melalui Jalan Raya Barat dengan sifat ingin tahu yang meluap, teruja untuk mengetahui di mana saya akan melalui laluan seterusnya. Perasaan yang sama juga dirasakan untuk mengkaji lebih lanjut tentang sejarah sekolah ACS ini.

Meninggalkan simpang masuk ke sekolah ACS sejauh lebih kurang lima ratus meter, Jalan Raya Barat ini membawa saya hampir ke sebuah simpang tiga, dengan bahagian kirinya terdapat sebuah lokasi yang saya camkan iaitu medan selera Taman Rekreasi Pengkalan Batu, cuma ia dihalangi oleh laluan jalan keretapi. Berhampiran simpang itu, di bahagian atasnya adalah lintasan Jambatan Kota dan jambatan konkrit yang dibina berselari dengannya. Maka dengan itu kini tahulah saya dimana Jalan Raya Barat ini bermula dan berakhir. Untuk info, di sebelah satu lagi jalan ini ia akan bercantum dengan Jalan Tengku Diaudin, ke bahagian bandar Klang Selatan.


Gambar 1. Perjalanan dari simpang masuk Sekolah ACS ke simpang tiga berhampiran Jambatan Kota


Tiba-tiba, kelihatan seorang penunggang motorsikal membelok ke kanan dari arah simpang tiga tersebut. Terdapat satu jalan bertar kecil menaiki kawasan berbukit curam, menghala ke lokasi yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Selepas melihat tiada kenderaan berhampiran dan memastikan keselamatan, saya menjejaki laluan penunggang motorsikal tersebut. Laluan yang curam mengakibatkan saya terpaksa menukar gear yang paling ringan, mujurlah jalan berbukit tersebut tidak sampai seratus meter pun.


Gambar 2. Jalan berbukit membawa ke satu kawasan meletak kereta


Jalan tersebut membawa saya ke sebuah lokasi meletak kereta. Tidak jauh dari situ, saya terpandang sebuah binaan semacam gerbang berwarna putih, mengingatkan saya pada bentuk dan warna Kota Kuala Kedah. Dengan rasa ingin tahu, saya membawa basikal menaiki beberapa anak tangga kecil untuk melihat dengan lebih dekat. Terdapat sebuah plet info berbahasa Inggeris di situ, menerangkan tentang nama dan sejarah ringkasnya. Alangkah girangnya hati saya, apabila mengetahui yang binaan tersebut merupakan Kota Raja Mahadi.


Gambar 3. Pintu gerbang Kota Raja Mahadi dilihat dari arah tempat meletak kereta bangunan Majlis Perbandaran Klang

Gambar 4. Gerbang Kota Raja Mahadi, dilihat dari jarak dekat

Gambar 5. Plet info pelancongan berbahasa Inggeris, mengesahkan lokasi ini ialah Kota Raja Mahadi


Sebenarnya, telah lama saya ingin menjejaki lokasi kota ini. Malangnya, gagal menemukannya akibat papantanda yang tidak lengkap. Memang terdapat beberapa papantanda bertulis Kota Raja Mahadi sekitar Bandar Klang, namun setiap kali saya cuba menjejakinya dengan berkereta ianya seolah tidak lengkap dan hilang begitu sahaja di pertengahan perjalanan. Pahit tetapi benar, kebanyakan lokasi bersejarah di Malaysia juga begitu. Terdapat papantanda petunjuk arah tetapi apabila dijejaki ianya tiba-tiba hilang begitu sahaja tanpa dapat menemukan lokasinya. Akhirnya, terpaksa menanyakan arah jalan pada penduduk tempatan. Lebih malang lagi, apabila penduduk tempatan juga tidak mengetahui akan kewujudan lokasi bersejarah tersebut.

Saya membawa basikal masuk ke dalam kawasan gerbang tersebut, rupanya ia terletak dalam kawasan laman sisi bangunan Majlis Perbandaran Klang. Memasuki lagi ke dalam di sebelah kiri, saya menjumpai sebuah kubur berpagar dengan rantai. Kubur bernisan yang pastinya milik seorang beragama Islam itu, membuatkan saya tertanya-tanya apakah hubungannya dengan kota ini. Dari plet penerangan yang diletakkan berhampiran kubur tersebut, maka jelaslah akan saya siapakah gerangannya yang disemadikan di situ.


Gambar 6. Pemandangan dari arah siarkaki bangunan Majlis Perbandaran Klang

Gambar 7. Kubur yang terdapat berhampiran pintu gerbang Kota Raja Mahadi

Gambar 8. Kubur, dilihat dari arah berlainan

Gambar 9. Tulisan di batu nisan. Anda pandai membaca tulisan jawi ?

Gambar 10. Penerangan tentang pemilik kubur dan sejarah tentang peristiwa yang berlaku di Kota Raja Mahadi.


Info, seperti yang tertulis pada plet dalam gambar di atas.

Di sini terletaknya kubur Allahyarham encik Mohd Akib, ketua Orang Batu Bahra, seorang panglima Raja Mahadi yang berperang dengan saudaranya Raja Abdullah pada tahun Hijrah 1283 bersamaan dengan tahun Masehi 1866.

Raja Mahadi serta pengikut-pengikutnya Orang Batu Bahra berkubu di dalam kota ini. Dan Raja Abdullah serta pengikut-pengikutnya pula berkubu di Balai Polis Klang yang ada sekarang ini. Bilamana encik Mohd Akib menerkam masuk ke barisan orang-orang Bugis yang sedang menyerbu hendak masuk ke dalam kota ini, ia telah ditembak oleh Wak Sigalah, seorang pahlawan Bugis dengan terkul dan kena pada dadanya serta mati di situ. Sebilah pedang jenawi, satu perisai dan sebilah keris telah ditemui berhampiran dengan mayatnya.

Setelah selesai disemadikan, maka Raja Mahadi pun melantik Encik Nonggok saudara tua Allahyarham encik Mohd Akib sebagai pahlawan menggantikan tempat Allahyarham itu. Maka, ketika itu juga Raja Mahadi menggelarkan encik Jumaat Orang Perbaongan (satu jajahan dekat Berandan Langkat Sumatera) menjadi Imam Perang digelar Panglima Perang Kanan. Encik Salleh Panglima Perang Kiri mati dalam perang itu juga ditembak oleh orang Bugis bilamana ia sedang mengisi peluru meriam di atas kota ini.

Diambil ceritanya dari Allahyarham Wan Mohd Amin bin Wan Mohd Said Dato’ Amar Diraja, Penghulu Istiadat Selangor oleh Raja Nong bin Raja Husin Engku Panglima Diraja Selangor.

Menyedari yang kawasan bersejarah ini berada dalam kawasan taman bangunan Majlis Perbandaran Klang, juga tidak pasti adakah basikal boleh dibawa ke situ. Saya berpatah balik hendak keluar dari arah kubur tersebut menuju ke bahagian luar pintu gerbang. Di gerbang itu, sempat saya meneliti binaan struktur dinding dan juga kayu yang dijadikan pintu pagar. Mungkin kayu pintu asal telah reput dan kini diperbuat semua oleh pihak Majlis Perbandaran Klang ini. Bahagian engsel yang menghubungkan struktur kayu dan dinding itu menarik perhatian saya untuk bergambar, tetapi tidak pasti adakah ianya bahagian asal kota ini ataupun baru dipelihara.


Gambar 11. 1293. Tahun Hijrah ?
 
Gambar 12. Pandangan pintu pagar dari arah dekat
 
Gambar 13. Engsel bahagian atas pintu

Gambar 14. Engsel bahagian bawah pintu

Gambar 15. Tumbuhan telah menumpang sebahagian sudut kota lama ini


Setelah puas meneliti kesemua bahagian binaan gerbang kota, tibalah masa untuk saya meninggalkan kawasan ini dan pulang ke Shah Alam dengan memasuki bandar Klang Utara terlebih dahulu. Perjalanan setengah hari yang cukup memuaskan hati, dengan pelbagai penemuan yang tidak diduga. Sempat saya membuat satu pusingan lengkap mengelilingi bandar Klang sebelum menghala pulang ke Shah Alam. Dalam perjalanan pulang juga, tersua satu papantanda menarik di pintu masuk sebuah restoran makanan laut.


Gambar 16. 'Business as usual'


Pada malamnya ketika berada di rumah, saya membuat pembacaan mencari info tentang Kota Raja Mahadi dan menemuinya di laman web PADAT (Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor), seperti di bawah. 

Kota ini telah dibina oleh Raja Mahadi Ibni Almarhum Raja Sulaiman pada tahun 1866. Kota ini telah terlibat dalam 2 siri perang saudara pada kurun ke -19. Perang saudara pertama telah terjadi berpunca dari penganugerahan Sungai Klang serta kawasan-kawasan di kedua tebing sungai tersebut kepada Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar.  Di bawah pentadbiran beliau, bekas kawasan kepunyaan Raja Sulaiman, bapa Raja Mahadi ini menjadi kaya raya. Kemakmuran yang di capai oleh Raja Abdullah telah membuatkan Raja Mahadi iri hati lalu menuntut haknya ke atas bekas kawasan bapanya itu.

Pada tahun 1866 tercetuslah perang saudara pertama di antara kedua pihak. Raja Mahadi telah membuat tempat pertahanannya di bukit ini. Beliau mendirikan benteng daripada tanah serta melengkapkannya dengan meriam-meriam dari Kuala Selangor. Kotanya yang kukuh ini telah menolong beliau dalam perang tersebut. Setiap serangan telah dapat dipatahkan. Perang saudara ini berjalan selama 1 tahun sehinggalah Raja Abdullah mengundurkan tenteranya. 

Perang saudara kedua telah berlaku pada tahun 1868 apabila Tengku Kudin dari Kedah datang sebagai orang tengah dalam pergaduhan tersebut. Raja Mahadi menolak usaha untuk berdamai lalu Tengku Kudin dengan tenteranya telah menyerang dan mengalahkan Raja Mahadi yang bertahan di Kota ini. Tengku Kudin telah menawan kota ini dan menjadikan ia sebagai tempat kediaman beliau hingga ke tahun 1898. Pada tahun masihi 1899 meriam-meriam di kota ini telah dipindahkan untuk menghiasi Istana Mahkota Puri yang terletak di tapak Istana Alam Shah,
Klang sekarang. 

Bacakan mengenai Perang Klang di sini untuk mengetahui sejarah lanjut yang berkaitan dengan bandar Klang suatu ketika dahulu, termasuklah bagaimana kesan campur tangan penjajah British meresap masuk ke bumi Selangor.

Bagi mendapatkan peta lokasi perjalanan saya, anda bolehlah merujuk pada peta Google yang diletakkan di bawah.


Lihat perjalanan Cyclo Tourism: Klang, Bandar Diraja Selangor di dalam peta lebih besar



"A great work is made out of a combination of obedience and liberty." - Nadia Boulanger

9 comments:

acid mustafa said...

wah.. Azizan, hang macam ahli kaji sejarah daa. Ada Phd dalam historian ke?.. tahniah beb. syok baca.

Ada tak dalam sejarah lama melayu ni nama Raja Achid?

hehe

salam
Abg Acid

Azizan Zolkipli said...

@acid mustafa: PHD tarak, apatahlagi degree dalam sejarah ni. entahlah, saya minat betul ilmu alam digandingkan dengan sejarah dan sains ni.

dan lagi suka bila ia bergabung dengan hobi berbasikal saya ni ...

tak jumpa pula pencarian nama 'Raja Achid' dalam Google, 'Raja Rachid' adalah. tapi kalau 'Acid splasher', haaa itu banyak dalam paper/laman web hehehe jangan marah ( :

Anonymous said...

assalamualikum abang , saya ada kerja khusus sejarah pt3 tentang bangunan/pembangunan bersejarah . Saya ingin melihat sendiri Kota Raja Mahadi bersama kawan , nak pergi ke sana menaiki bas boleh ke ? sorry soalan lari tajuk .hahaha

Anonymous said...

Assalamualaikum bang , Saya ad kerja khusus sejarah pt3 . Kota Raja Mahadi boleh masuk ke ? bas pergi ke sana ad ke ? sorry tanya soalan pelik . hahaha

Azizan Zolkipli said...

@Anonymous: Waalaikumussalam wrt dik. Boleh aje nak datang, naik bas boleh naik komuter pun boleh pastu kena jalan kaki sikit aaa ...

ZZ said...

belehkah kamu tulis alamat kota raja mahadi kepada saya

Unknown said...

Assalammuaikum Encik,saya ada kerja khusus sejarah pt3 tentang bangunan/pembangunan bersejarah I need to know the cost and building Material.
hassananur@gmail.com

Azizan Zolkipli said...

@ 陈伟川 Encik/cik, alamatnya adalah seperti berikut:

MAJLIS PERBANDARAN KLANG
BANGUNAN SULTAN ALAM SHAH
JALAN PERBANDARAN
41675 KLANG, SELANGOR DARUL EHSAN

Tel : +603 - 3375 5555, +603 - 3371 6044
Faks : +603 - 3372 0344

Azizan Zolkipli said...

@Nur Hassana Lee Abdullah:

Waalaikumussalam wrt.
Maafkan saya, Nur Hassana, saya tidak mempunyai info seperti yang diinginkan itu.
Harap maklum. Terima kasih.