ADS

20 March 2012

Eksplorasi Duo Kuala Langat: Bahagian 2 (Akhir)

Kesinambungan dari bahagian lalu

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Gambar dengan resolusi lebih besar boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Keseluruhan gambar adalah koleksi album Adnan yang dirakam menggunakan kamera Panasonic DMC-FZ3 miliknya, segala hakcipta terpelihara.

Bukit Jugra 

- Setelah menolong beberapa pelajar mengambil gambar mereka sekumpulan, tibalah masa kami berdua untuk bergambar dengan abjad besar bertulis JUGRA di puncak bukit tersebut.

- Kemudian, Adnan mengambil peluang untuk tidur di bangku panjang simen di kawasan berbumbung, sementara saya berbual bersama beberapa penggiat sukan paragliding bagi mendapatkan info mengenai hobi tersebut.

- Tidak lama selepas itu, Adnan bangun dari tidur setelah puas melelapkan mata. Beliau kemudian menyertai saya dan yang lain-lain untuk melihat persiapan beberapa peserta sebelum melakukan penerjunan.

-  Kami melihat persiapan terakhir seorang budak lelaki belasan tahun yang melakukan penerbangan solonya buat kali yang keempat. Setelah mendapat kekuatan dan arah angin yang sesuai, beliau terjun dari puncak bukit Jugra dengan diawasi oleh ayahnya melalui penggunaan radio amatur untuk berkomunikasi sesama mereka.

 
Gambar 1. Bergambar kenangan berlatarbelakangkan abjad besar JUGRA

Gambar 2. Adnan sempat melelapkan mata, kemudian menyertai kelompok penggiat aktiviti paragliding

Gambar 3. Persiapan seorang remaja dibantu oleh ayahnya sebelum melakukan penerjunan

Gambar 4. Menunggu kekuatan dan arah angin yang sesuai sebelum melakukan penerjunan

Gambar 5. "Zam zam, ala kazammm ..."

Gambar 6. Adnan bertanyakan persiapan peralatan sebelum melakukan penerjunan


Bukit Jugra ke Pantai Kelanang

- Setelah bersalaman bersama semua penggiat aktiviti paragliding dan memohon diri untuk pulang, kami turun dari bukit Jugra.

- Di persimpangan Sungai Raba, kami berdua sempat berhenti di sebuah gerai yang menjual minuman jus jambu. Puas membasahkan tekak, perjalanan disambung menuju  Pantai Kelanang.


Gambar 7. Singgah di gerai menjual minuman jus jambu untuk membasahkan tekak


Pantai Kelanang

- Setibanya di Pantai Kelanang, kami berehat sebentar di satu kawasan sebelum menuju ke medan selera untuk makan tengahari.

- Ketika sedang menikmati menu makan tengahari, tiba-tiba hujan lebat turun membuatkan semua pelanggan yang berada di kawasan terbuka lari bertempiaran ke bawah kawasan berbumbung.

- Hujan masih lebat ketika kami membayar harga makanan dan minuman. Oleh kerana tidak mahu menunggu lebih lama, kami redah sahaja hujan tersebut untuk menuju ke arah Pantai Morib.


Gambar 8. Menikmati makan tengahari di medan selera Pantai Kelanang


Pantai Kelanang ke Pantai Morib

- Dalam perjalanan menuju Pantai Morib, hujan telah pun reda dan ada kawasan yang langsung tidak dibasahi hujan.

- Kami melalui jalan berturap selorong di atas benteng yang memisahkan kawasan daratan dan lautan. Perjalanan dihiburkan dengan kehijauan kawasan berpaya di sebelah kiri jalan dan kawasan paya bakau di kanannya.

- Di suatu kawasan berpantai putih, terdapat pepohon bakau mati yang menjadikan lanskap di situ sangat cantik. Kami berdua berhenti untuk sesi fotografi.


Gambar 9. Pohon bakau tumbang yang menarik perhatian kami. Nota: Akar pokok bakau ini telah patah ketika kali terakhir saya ke sini pada Feb 2012 lalu [uhuk uhuk sob sob]

Gambar 10. Adnan menjadi 'model tidak berbayar' saya untuk kayuhan kali ini ( :

Gambar 11. Masih di lokasi sama, tapi pada sudut yang berlainan


Pantai Morib

- Setelah berfotografi di kawasan berpantai yang terdapat pohon-pohon bakau mati itu, perjalanan disambung dan lebih kurang tiga puluh minit berkayuh kami tiba di Pantai Morib.

- Sebelum memasuki lebih dalam, kami berdua bergambar di batu penanda lama dan pintu gerbang, sebagai saksi telah sampai ke situ.

- Kami kemudian ke arah taman rekreasi yang baru dibina di Pantai Morib, untuk melihat keadaan persekitaran dan menikmati pemandangan. Seperti biasa, sesi fotografi sebagai saksi kami telah sampai ke situ.

- Di penghujung kawasan rekreasi, terdapat satu batu penanda bersejarah berwarna kuning di dalam sebuah bulatan. Ia bertulis 46 INDIAN BEACH GROUP. Bacakan tentang sejarahnya di sini dan sini.



Gambar 12. Kedua basikal kami di batu penanda Pantai Morib

Gambar 13. Bergambar di pintu gerbang Pantai Morib

Gambar 14. Kawasan rekreasi baru yang terdapat mercutanda bertulisan PANTAI MORIB

Gambar 15. Batu penanda pendaratan askar British ke Malaya pada 9hb September 1945

Gambar 16. Gambar dekat batu peringatan bersejarah


Pantai Morib - Banting - Shah Alam

- Keterbatasan masa kerana Adnan bertugas pada shift malam hari itu membuatkan kami tidak dapat menghabiskan masa lebih lama di Pantai Morib.

- Kami pulang semula ke Banting, dan kemudian memasuki kawasan Kampung Jenjarom sebelum keluar di Jalan Kebun, Bukit Rimau diikuti Lebuhraya KESAS dan LKSA diakhiri dengan tiba di Seksyen 24.

 
Gambar 17. Tiba di pekan Banting dari Pantai Morib, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Shah Alam


Shah Alam 

- Tiba di Sekyen 24 lebih kurang jam 1830 petang, bermakna Adnan mempunyai lebih sejam untuk berehat dan bersiap sebelum memulakan tugasnya pada jam 2000 malam. Selepas bersalaman, kami bersurai menuju ke kediaman masing-masing dengan Adnan meneruskan perjalanannya menuju seksyen 18.

Info kayuhan kami untuk hari itu, tercatat pada speedometer jenama Topeak model Comp 130 pada basikal saya seperti yang berikut:

- Jumlah jarak kayuhan = 128.61 kilometer.

- Jumlah masa kayuhan = 6 jam 21 minit 32 saat, terkecuali waktu berhenti.

- Kelajuan maksima = 46.8 kilometer sejam

- Kelajuan purata = 20.2 kilometer sejam

- Jumlah keseluruhan jarak kayuhan peribadi = 7862.7 kilometer (bersamaan 4885 batu / miles)

- Jumlah keseluruhan masa kayuhan peribadi = 458 jam 29 minit (bersamaan 19 hari 1 jam 17 minit)


"Great thoughts speak only to the thoughtful mind, but great actions speak to all mankind." - Theodore Roosevelt

2 comments:

syahrul said...

Best jugak tgk belah2 pantai morib, harap sy boleh kayuh ke sana satu hari nnti..;)

Azizan Zolkipli said...

syahrul: jalan dalam tepi pantai Kelanang ke pantai Morib tu, memang sangat awesome !