ADS

26 May 2011

Kayuhan Dua Tasik di Pahang: Tasik Chini - Sungai Chini

14.02.2011, Isnin ...
Bersambung dari bahagian lalu

Puas merakamkan gambar di segenap kawasan resort, jeti dan bahagian tepi tasik, saya kembali ke gazebo tempat kami berteduh. Pagi itu saya cuma bersarapan dengan bihun segera yang dimasak dan meminum lebihan air mineral malam tadi. Selain dari menjimatkan kos, ia juga bertujuan untuk menghabiskan ration makanan kecemasan yang dibawa. Elehhh, macamlah mee segera tu berat sangat untuk dibawa hahahaha ...

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Gambar dengan resolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Semua gambar yang dimuatkan di sini adalah hak milik Shukri dan uncle Chew,  segala hakcipta terpelihara.


Mengabadikan kenangan basikal saya di tepi Tasik Chini


Bihun segera versi Tasik Chini, hmmm nyummm nyummm ...


Selesai memenuhkan perut, saya ke tandas awam berhampiran untuk mandi dan membersihkan diri. Dengan membawa sebuah botol kosong dan messtin (periuk aluminium empat segi dengan tangkai boleh lipat) untuk digunakan sebagai gayung, saya menghabiskan masa yang lama membersih dan menyegarkan badan. Ahhh, nyaman terasa semasa mandi sambil membayangkan selepas ini akan mengharungi lagi cabaran getir berkayuh dalam cuaca yang panas. Selesai mengeringkan diri serta menukar pakaian, saya kembali ke gazebo untuk mengemaskan peralatan dan barangan yang hendak dimuatkan semula di basikal. Penat sahaja membawa khemah yang berkilogram beratnya, tetapi sekali pun tidak digunakan aduhaiii ... Selesai berkemas dan menyediakan basikal untuk kayuhan, saya menyambung kembali tidur sementara Shuk serta uncle Chew bersiap. Mengantuk sebab malam tadi kena kayuh overtime hingga jam 0300 pagi maaa ...

Lebih kurang jam 1250, kami bertiga meninggalkan perkarangan gazebo untuk memulakan perjalanan pulang ke Temerloh. Sebelum beredar dari kawasan resort, kami bergambar kenangan di papantanda Tasik Chini yang kelihatan sudah usang. Jam menunjukkan tepat jam 1300 apabila kami mula memulakan kayuhan. Tentangan yang pertama iaitu sebuah bukit yang agak curam menanti kami sebaik sahaja mula berkayuh. Sabar ajelah, hari ini kan hari yang terakhir. Oopss sebelum terlupa, jarak perjalanan kami pada hari terakhir ini disasarkan sejauh lebih kurang sembilan puluh lima kilometer ...


Bergambar kenangan di hadapan papantanda Tasik Chini.


Tentangan demi tentangan bertubi - tubi mengasak kami pada tengahari itu, laluan pendakian dengan bahu jalan yang sempit dan berselekoh terpaksa kami lalui. Tiba di satu simpang tiga, kami memasuki arah kiri menghala jalan untuk ke jeti Kampung Gumum. Kawasan itu merupakan plan asal saya untuk bermalam tetapi disebabkan kami sampai di kawasan Tasik Chini pada waktu malam dan laluan ke Kampung Gumum akan melalui kampung orang asli yang banyak anjing, plan asal kami terpaksa ditukar ke bermalam di Lake Chini Resort. Laluan permulaan di situ mula melemahkan semangat kami, pendakian yang panjang dan lurus sayup mata memandang serta bahang jalan tar akibat panas matahari telah mula memperlahankan rentak kayuhan kami. Tiba di kemuncak pendakian iaitu satu lagi simpang tiga untuk jalan masuk ke Kampung Gumum, laluan telah bertukar kepada jalan menurun yang curam.

Di sini masing - masing telah menjadi seronok dan seakan lupa dunia, menuruni bukit dengan kelajuan semaksima mungkin tetapi masih mengekalkan tahap keselamatan peringkat tertinggi iaitu peka akan keadaan sekeliling. Iyelah, mana tahu jika terdapat sebarang kenderaan yang akan datang dari arah bertentangan dan memasuki sebahagian laluan kami. Akibatnya jika tidak terperosok ke bukit di sebelah kanan, maka ke gaung yang tinggi jauh di sebelah kiri sahajalah jawapannya. Untuk info, saya tidak pernah melalui jalan ini dan hanya menganggarkan laluan ini melalui bantuan Google Maps. Namun saya cukup yakin yang jalan ini akan bertembung semula dengan laluan utama berdasarkan gerak hati.

Selesai melalui beberapa laluan menuruni bukit, perjalanan kami diakhiri dengan jalan landai. Terdapat sedikit kerosakan jalan sepanjang beberapa ratus meter tetapi tidak sampai satu kilometer pada anggaran saya, dimana jalan bertar telah menjadi laluan berbatu kelikir sederhana besar serta berpasir. Kemungkinan disebabkan oleh aliran air ketika waktu hujan atau dinaiki air akibat berkedudukan rendah seolah lembah. Kemahiran tinggi diperlukan untuk mengawal roda depan basikal, jika tersalah memilih laluan berpasir akan mengakibatkan kita boleh terjatuh bersama basikal. Juga jika terlanggar bucu batu yang tajam, kemungkinan tayar kami akan pecah. Tidak lama kemudian, kami memasuki sebuah kampung dan dari paras wajah penduduk di situ saya merasakan ia adalah sebuah perkampungan orang asli tersusun dengan bantuan kerajaan. Sangkaan saya betul kerana kemudiannya menjumpai sebuah papantanda projek yang mempunyai lambang pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) atau sekarang disebut sebagai JAKOA.

Kami meninggalkan kawasan perkampungan orang asli dan mula memasuki kawasan estet kelapa sawit. Jalan disini juga landai dan sedikit redup, kami mula berbasikal beriringan bertiga kerana kenderaan amat jarang melalui laluan ini. Jika ada pun, cuma beberapa motorsikal penduduk tempatan dan kenderaan pacuan empat roda milik syarikat ladang kelapa sawit. Di akhir perjalanan, laluan yang kami susuri ini kemudiannya bercantum dengan laluan utama berhampiran sebuah selekoh. Hmm, terjawab jualah persoalan tentang dimanakah laluan yang kami masuki itu bertemu. Saya mula mengingati persimpangan tersebut kerana pernah melalui jalan utama untuk ke Tasik Chini pada awal tahun 2010 ketika mengendalikan program berkayak Sungai Pahang - Tasik Chini anjuran kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL).

Dari persimpangan berhampiran selekoh itu, saya membawa Shuk dan uncle Chew untuk berhenti makan tengahari di sebuah kedai makan. Terdapat dua deretan kedai di situ, dimana terdapat beberapa kedai runcit, kedai makan, kedai telefon bimbit dan ada beberapa lot premis yang masih belum dibuka. Kami memilih untuk makan di kedai paling hujung yang tidak saya ingati namanya. Ohh ya, jika tidak silap saya kawasan tersebut bernama Kampung Salong. Tamat acara makan - minum dan membayar, kami berehat seketika sebelum menyambung perjalanan menghala ke Chenor. Dari kedai makan tersebut, kami menuju sebuah simpang tiga yang terletak lebih kurang empat ratus meter. Di simpang tiga tersebut, kami menghala kiri ke arah Chenor. Simpang ke kanan akan membawa kita semula ke Lebuhraya Tun Razak atau dipanggil 'Segamat Highway' oleh pengguna yang biasa melalui jalan tersebut.

Di sini jalan agak landai, namun terdapat juga sedikit laluan pendakian yang pendek. Antara nama kampung yang kami lalui ialah Kampung Salung Hilir, Salung Tengah, Semanggang, Duri dan Kampung Melayu. Mungkin setelah menambah tenaga dengan hidangan makanan tengahari, masing - masing meningkatkan kelajuan dan lebih kurang tiga belas kilometer kemudian, kami tiba di kawasan Rehat dan Rawat (R & R) yang terletak bersebelahan Sungai Chini dalam jangkamasa tidak sampai sejam. Malang bagi kami kerana R & R tersebut ditutup dan pintu pagar luarnya berkunci. Pada mulanya, saya bercadang hendak berhenti di situ tetapi kerana telah ditutup kami mengubah haluan memasuki sebuah jalan kecil di tepi Sungai Chini menghala ke sebuah kunci air unik milik Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS). Di sini masing - masing mengambil peluang untuk berehat dan solat. Selain berehat dan bersolat, sempat juga saya meninjau keadaan di jeti Sungai Pahang dan kunci air Sungai Chini dimana terdapat beberapa individu sedang memancing.


Hentian ad - hoc R & R di tepi sungai Chini


Air dari Sungai Chini yang mengalir keluar ke arah Sungai Pahang


Navigational Lock Gate oleh JPS memudahkan bot kecil memasuki Sungai Chini dari arah Sungai Pahang


Jambatan merentasi Sungai Chini, terletak di tengah antara R & R dan Navigational Lock Gate


B  E  R  S  A  M  B  U  N  G ...







4 comments:

gadisBunga™ said...

saya pernah lalu segamat highway tu sebab nak ke tasik chini dan felda chini awal tahun ni. drive pun saya dah rasa bosan dan sedikit takut sebab jalannya panjang dan sunyi. kalau malam apatah lagi..

rupanya r&r tu mmg selalu tutup ye? saya pun pernah nak singgah, tapi tgk2 tutup rupanya.

apa2 pun, saya tetap kagum. berkayuh lebih 90km! hebat lah!

Azizan Zolkipli said...

gadis bunga: terima kasih atas jengahan anda. orang pertama reviu & komen tu !!

nak katakan selalu tutup, tak tahu juga sebab seumur hidup baru dua kali lalu di situ. pertama kali masa Jan 2010, kami dan crew darat Eksplorasi Berkayak Sg. Pahang - Tasik Chini anjuran kelab OGKL pernah singgah di situ untuk berhenti minum, menggunakan tandas serta surau disitu. masa tu elok aje dibuka dan ramai juga orang yang singgah.

barangkali sebab kurang sangat pelawat mahupun orang lalu lalang situ menyebabkan ianya ditutup kot ...

takdelah hebat mana pun, terpaksa aje tu huhuhu ...

deanbikes@gmail.com said...

syabas ..

Azizan Zolkipli said...

deanbikes: terima kasih ...