ADS

03 December 2012

Kayuhan NJ: Hari 2, Bahagian 1


Kesinambungan dari episod lalu boleh dibaca di sini.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah ihsan dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta penulisan serta gambar adalah terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. Terima kasih.


Jumaat, 18hb Nov. 2011

Kampung Pasir, Bidor.

Pagi itu, setelah puas berehat walaupun dengan waktu tidur cuma beberapa jam sahaja masing-masing bangun tidur awal dan mandi pagi. Mungkin lebih bersedia untuk kayuhan di hari kedua ini, yang mana semua akan menempuh laluan ‘jersi raja bukit’ dari Simpang Pulai, Perak ke Kampung Raja di Cameron Highlands, Pahang.

Hari kedua merupakan laluan sukar berbanding hari lain. Plan sepatutnya ialah kami akan berhenti bermalam di R & R Tapah yang terletak antara pekan Tapah dan Temoh. Oleh kerana masalah kekejangan kaki Muzammil dan cuaca hujan semalam, keadaan ini tidak mengizinkan kami menuruti plan asal dan bermakna kami telah di belakang jadual. Jarak dari Bidor ke Tapah lebih kurang 20 kilometer dan dari pekan Tapah ke R & R Tapah lebih kurang 6 kilometer. Tidaklah berapa jauh kami di belakang jadual seperti yang dirangka.

Saya sempat meminjam komputer desktop Nur Syahirah, anak kedua bongsu Tok Salim untuk berada dalam talian bagi mengemaskinikan status dan juga membalas komen rakan-rakan di laman sosial Facebook. Status yang ditulis pada pagi itu, seperti berikut:

Selamat sejahtera ke atas kamu ! Pagi Jumaat yang mulia dan cerah di Bidor, Perak. Pagi ini akan memulakan perjalanan Bidor – Tapah – Simpang Pulai, sebelum laluan merebut jersi ‘raja bukit’ Simpang Pulai – Kampung Raja Cameron Highlands. Kayuhan hari ini ditujukan khas buat encik Nazrol Jamaludin (tagged) sebagai individu yang merencanakan laluan ini, tetapi beliau tidak dapat bersama disebabkan kekangan tugas. Doakan kami selamat & berjaya bro ! [18 Nov 2011, 07:47] ...”

Ya ! Status itu untuk memaklumkan lokasi terkini, laluan seterusnya dan juga didedikasikan kepada rakan kayuhan saya di Shah Alam iaitu Nazrol yang mana beliaulah mencadangkan laluan yang kami ambil ini. Walaubagaimanapun, beliau tidak dapat menyertai kerana pada hari itu akan ke Pulau Pinang demi untuk menjalankan tugasannya menghadiri satu mesyuarat. Untuk info dan ingatan, Kayuhan NJ ini diambil sempena nama beliau, Nazrol Jamaludin

Saya yang terlebih dahulu telah bersiap-sedia menukar pakaian dan mengemaskan barangan, melihat rakan-rakan yang lain pula membuat persiapan. Semasa kami bersiap memasang beg pannier pada basikal masing-masing, isteri pada tuan rumah iaitu saya panggil sebagai Tok Natrah sibuk menyediakan sarapan pada pagi itu.

Selepas semua selesai mempersiapkan barangan pada basikal, Tok Salim memanggil kami untuk bersarapan pagi bersama. Menu pagi itu; nasi lemak, kuih karipap, rendang ayam, telur dadar bersama minuman Milo panas. Alhamdulillah, makanan dan minuman yang sedap dan panas untuk memulakan hari di pagi yang indah.


Gambar 1. Menu makanan dan minuman sarapan kami pagi itu



Semasa makan, Tok Salim dan Tok Natrah sempat berkenalan dengan rakan-rakan kayuhan saya. Beliau sangat kagum dengan abang Joe yang seusia dengan Tok Salim kerana pada umur sebegitu masih mampu berkayuh pada jarak yang jauh dan masa yang panjang.

Selesai makan, ada yang sempat ke tandas untuk bersedia sebelum berada di jalanan. Kami memastikan tiada barang peribadi tertinggal, dengan membuat pemeriksaan berganda (double check). Kami berhasrat untuk membuat sesi foto kenang-kenangan bersama tuan rumah. Dengan meletakkan kamera yang diset menggunakan pemasa automatik (self timer) di atas dinding luar rumah, kami berempat bersama Tok Salim dan Tok Natrah berada bersama di ruang meletak kenderaan rumah untuk sesi fotografi.


Gambar 2a. Gambar kenang-kenangan kami bersama tuan rumah. Dari kamera Muzammil

Gambar 2b. Gambar kenang-kenangan kami bersama tuan rumah. Dari kamera Ah Chong


Setelah bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah, kami meninggalkan perkarangan rumah menuju jalan besar. Lokasi rumah Tok Salim tidak jauh dari plaza tol Bidor, dan ini membuatkan jalan besar lengang kerana berada luar dari laluan utama iaitu Jalan Persekutuan No. 1. Saya dan Ah Chong antara individu terakhir meninggalkan rumah, sebelum itu sempat saya memberitahu laluan pada Muzammil dan Abang Joe kerana di pekan Bidor terdapat satu simpang tiga berlampu isyarat, jika ke kiri akan ke laluan kami datang malam tadi dan ke kanan akan menuju ke Tapah dan boleh juga ke Teluk Intan.

Sebaik sahaja mahu memasuki jalan besar, saya terpandang akan satu keadaan yang kiranya agak menarik untuk dirakamkan. Seorang lelaki warga emas, sedang bersandar pada batu tanda bertulis jarak ke Bidor 1 kilometer dan seakan merenung jauh. Batu tanda itu telah kelihatan lusuh dengan tulisan yang pudar. Bersama beliau, sebuah basikal yang diletakkan di tepi jalan lebih kurang 4 meter jarak darinya. Saya ingin meminjam kamera DSLR milik Muzammil bagi mendapatkan ‘depth of field’ yang diinginkan, malangnya Muzammil telah jauh ke hadapan.

Saya kemudiannya meminjam kamera Ah Chong untuk merakamkan situasi ini. Saya berpura-pura mengambil gambar basikal, sebenarnya cuma untuk memasukkan lelaki tersebut ke dalam gambar. Selepas itu, saya cuba memberanikan diri meminta izin lelaki tersebut untuk mengambil gambarnya dengan batu tanda tersebut pada jarak dekat, malangnya beliau enggan membuat demikian. Tanpa diduga, lelaki warga emas tersebut kemudian merintih dengan nada sedih; “kesian Pakcik duduk sorang-sorang, bila cuti anak Pakcik pun bukan hendak balik”, katanya.

Situasi ini mengejutkan Ah Chong dan saya. Ah Chong mengambil langkah, memujuk lelaki tersebut sambil berkata, “mungkin diaorang tu sibuk kot Pakcik. Ada masa nanti, diaorang balik lah tu”. Ah Chong bertanya lagi, mungkin untuk meredakan suasana sedih lelaki itu. “Rumah Pakcik, kat mana ?”. Lelaki itu kemudian menunjukkan pada Ah Chong lokasi rumahnya dengan tangannya.

Setelah Ah Chong berbicara seketika, kami berdua bersalaman dengan lelaki tersebut, memohon untuk menyambung perjalanan yang tergendala sebentar. Di dalam minda saya, bermain pelbagai persoalan dan saya percaya Ah Chong mengalami keadaan yang sama. Terfikir juga di ingatan, bagaimanakah nanti nasib saya ketika berusia sedemikian. Adakah saya berkempatan untuk menjalani usia emas ? Peristiwa tadi benar-benar menyentakkan fikiran saya ...


Gambar 3. Basikal Bridgestone saya, lelaki warga emas, batu tanda Bidor 1 km dan basikal milik lelaki tersebut, dalam versi hitam putih

Gambar 4. Basikal saya, berlatarbelakangkan lelaki tersebut dalam percubaan untuk mengambil gambar lelaki itu pada jarak dekat, dalam versi hitam putih

Gambar 5. Basikal, berlatarbelakangkan lelaki warga emas dalam versi warna asal

Gambar 6. Lelaki warga emas menunjukkan rumahnya pada Ah Chong

Gambar 7. Nostalgia batu tanda Bidor 1 kilometer, meninggalkan kenangan yang tidak dapat saya dan Ah Chong lupakan



Saya dan Ah Chong kemudian melajukan kayuhan, bagi mengejar Muzammil dan abang Joe. Abang Joe telah tidak kelihatan, hanya Muzammil yang menunggu di pekan Bidor. Saya tidak khuatir abang Joe akan sesat kerana beliau mahir dengan jalan sekitar Perak, kerana tidak silap saya isterinya berasal dari kawasan sekitar Teluk Intan.

Kayuhan Muzammil pada hari ini lebih mantap dari hari semalam, yang mana pada hari sebelumnya beliau asyik mengalami kekejangan kaki. Bekerja pada syif malam yang tamat pada jam 7 pagi, kemudiannya menyertai kayuhan kami saya agak menjadi punca beliau kerap mengalami kekejangan sepanjang hari semalam. Ditambah dengan sudah lama tidak berkayuh pada jarak yang jauh dan masa yang panjang.

Dari pekan Bidor menuju ke Tapah, saya dan Muzammil mendahului dan meninggalkan Ah Chong beberapa ratus meter di hadapan. Beberapa kilometer sahaja untuk tiba ke pekan Tapah, Muzammil dan saya berhenti di tepi jalan apabila melihat kelibat Ah Chong tidak kelihatan di belakang kami. Saya kemudiannya mendapat satu sms dari abang Joe mengatakan yang beliau telah sampai dan berhenti di stesyen minyak Petronas pekan Tapah. Apabila Ah Chong sampai, kami mengambil masa beberapa minit untuk berehat lalu menyambung perjalanan bagi mendapatkan abang Joe yang telah sedia menunggu di Tapah.


Gambar 8. Saya dan Muzammil berehat seketika menantikan kehadiran Ah Chong


Tiba di stesyen minyak Petronas Tapah, kami bertiga mencari kelibat abang Joe. Saya kemudian pergi ke tandas untuk membuang air kecil, kemudian memasuki stesyen minyak untuk membeli air mineral. Ah Chong yang berhajat untuk menghisap rokok, meminta diri untuk berada jauh dari kawasan stesyen minyak. Semasa kami berada di stesyen minyak, seorang pemuda datang mendekati kami sambil menghulurkan salam dan memperkenalkan diri. Namanya sudah saya lupa, walau begitu wajahnya masih saya ingati. Beliau pada masa itu memakai baju seragam TNB, dan berkata ia bertugas sebagai seorang pembaca meter di kawasan Tapah.

Beliau mengatakan turut menyertai aktiviti berbasikal dan memiliki sebuah mountain bike. Rakan-rakan kayuhan di Tapah katanya terdiri majoritinya dari petugas di Jabatan Penjara Tapah, PDRM Tapah dan juga Hospital Tapah. Mereka biasanya berkayuh beramai-ramai pada waktu malam dari Tapah menuju ke Penjara Tapah dan berpatah balik dengan iringan sebuah kenderaan. Apabila ditanya, kami menerangkan tentang laluan perjalanan kami dari Kuala Lumpur (KL) ingin ke Cameron Highlands dan akan kembali mengikuti laluan Teluk Intan – Sabak Bernam – Kuala Selangor.

Pemuda itu menasihatkan kami agar tidak berkayuh pada waktu malam di kawasan Tapah ke Changkat Petai kerana di situ adalah gelap dan terdapat banyak estet kelapa sawit, kemungkinan untuk berlakunya sebarang kes jenayah. Kami mengucapkan terima kasih atas nasihat beliau. Sebelum pulang untuk menyambung tugasnya, pemuda tersebut sempat membelikan kami minuman isotonik 100 Plus 500ml sebanyak empat botol untuk setiap kami berempat. Kami berasa terharu dengan pemberian tersebut, dan menyifatkan ianya sebagai semangat setiakawan (brotherhood) di antara penggiat aktiviti berbasikal. Terima kasih diucapkan, moga Tuhan memberkati kehidupanmu !

Kami menyambung perjalanan setelah berehat dan menambah bekalan minuman, lalu mendapatkan Ah Chong di tempat beliau merokok. Tidak dapat kami temui beliau pada mulanya, rupa-rupanya beliau berada di luar sebuah kedai antara deretan kedai di situ. Pekan Tapah kami tinggalkan, dalam perjalanan menuju ke pekan kecil seterusnya iaitu Temoh.

Tidak jauh melepasi Hospital Tapah, kami berjumpa dengan seorang lelaki India yang menggunakan basikal tua. Selepas Muzammil memintas beliau, lelaki tersebut menaikkan kelajuan kayuhannya, mungkin berasa teruja dengan kehadiran kami berempat. Kami turut mengekorinya, dengan berasa seronok kerana kayuhan kami kini berteman warga tempatan. Semasa berkayuh, sempat kami bertanyakan kepadanya. “Ane, mau pergi mana”, tanya kami. “Saya mau balik Batu 4, Batu 4”, jeritnya. Laluan yang landai, kemudiannya bertukar menjadi berbukit. Pada ketika itu, lelaki India tersebut menghadapi sedikit kesukaran kerana basikalnya tidak mempunyai gear. Tetapi apabila menuruni bukit, beliau mempunyai kelebihan kerana basikalnya yang berat menambah momentum kelajuan.


Gambar 9. Lelaki India yang berbasikal, menjadi rakan kayuhan kami buat sementara waktu

Gambar 10. Berinteraksi dengan ‘peneman’ sementara kayuhan kami


Sampai di kawasan kampung Batu 4 Tapah, beliau menyimpang ke kiri jalan seraya melambai-lambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal kepada kami berempat. Semasa menuju pekan Temoh, kami melepasi kawasan R & R Tapah, lokasi yang sepatutnya kami bermalam. Syukur kerana kami tiba lewat, sekaligus dapat bermalam di tempat lebih baik di Bidor. R & R Tapah itu kelihatan bertutup, dan seperti tiada satu kedai pun yang dibuka. Walaupun berada di belakang jadual, namun bermalam di Bidor merupakan satu keputusan wajar yang saya ambil sebagai ketua kumpulan dan ianya tidak perlu disanggah lagi.

Simpang ke Chenderiang yang merupakan lokasi ke Airterjun Lata Kinjang dan pekan Temoh kami lepasi. Pekan Temoh merupakan satu destinasi yang pernah kami berhenti semasa Kayuhan Slowly2 Go Down dari Butterworth ke Kuala Lumpur pada tahun 2010 lalu. Destinasi sasaran seterusnya, pekan Kampar.


Gambar 11. Menghampiri pekan kecil Temoh.


Sepanjang berkayuh menuju Temoh dan Kampar, kami melepasi beberapa tasik di tepi jalan. Tasik-tasik itu dijadikan tempat membela itik. Tidak pasti adakah tasik itu semulajadi ataupun lombong tinggal. Jika ianya lombong tinggal, itu tidak menghairankan kerana negeri Perak ini suatu ketika dahulu terdapatnya aktiviti perlombongan yang pesat. Kebanyakan pekan yang kami lalui, keadaannya semakin malap lebih-lebih lagi pekan kecil seperti Temoh. Ini mungkin akibat pembinaan Lebuhraya Utara Selatan yang menjadikan penggunaan Jalan Persekutuan No. 1 ini semakin kurang digunakan oleh pemandu-pemandu kenderaan. Jika kedai-kedai yang masih dibuka pun, hanya untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada penduduk setempat.


Gambar 12. Papantanda ingatan ‘lembut’ bagi pemandu kenderaan

 B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

No comments: