Alhamdulillah,
setelah merehatkan sebentar siri Kayuhan NJ dan menerbitkan pula pengkisahan ‘S24O
ke Bukit Ramli’. Penulis akhirnya menjaya mendapatkan kembali mood yang diperlukan bagi menulis cerita
Kayuhan NJ. Harapan agar ianya akan dapat dihabiskan agar jalan ceritanya tidak
tergantung begitu sahaja. Terima kasih kepada semua pembaca kerana masih setia
mengikuti ( :
Kesinambungan
dari episod lalu boleh dibaca di sini.
Awalan
penceritaan boleh dibaca di sini.
Nota:
Tulisan
berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan
dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah ihsan dari Ah Chong
dan Muzammil. Semua hakcipta penulisan serta gambar adalah terpelihara dan
sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik.
Terima kasih.
17hb Nov. 2011, Khamis
Tanjung Malim ke Slim River
Selesai
menjamu selera dan membayar harga makanan-minuman, kami bersepakat untuk ke
stesyen minyak Petronas yang terletak di sebarang jalan bagi menunaikan
kewajipan solat. Memandangkan waktu pun menjelang senja, kami hanya akan
berkayuh kembali setelah menunaikan solat fardu Maghrib. Alhamdulillah,
kewajipan berjaya dilaksanakan. Sebelum memulakan perjalanan, kami bertiga
(kecuali abang Joe) memakai vest pemantul
cahaya sebagai langkah keselamatan untuk menghadapi situasi malam
Perjalanan
diteruskan dengan melalui Jalan Persekutuan No. 1 setelah segalanya selesai.
Kami melepasi persimpangan menuju Proton City, Bandar Behrang dan persimpangan
masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Behrang Stesyen. Bahu jalan yang
pada mulanya besar bersama laluan dua lorong, kemudian bertukar menjadi
selorong dan bahu jalan yang tidak sampai tiga puluh sentimeter lebar ketika
kami melepasi kawasan Behrang Stesyen. Lampu jalan yang pada mulanya banyak
menerangi laluan kami, turut berkurangan dan pada beberapa lokasi hanya
terdapat di persimpangan jalan sahaja.
Cabaran
ketika melalui laluan Behrang Stesyen - Slim River ini ialah pada permukaan
bertar bahu jalannya yang tidak lebar, ditambah dengan pemasangan pemantul
cahaya (reflector) jenis bulat yang menyempitkan lagi laluan yang telah sedia
sempit itu. Pemantul cahaya itu juga licin dan boleh mengakibatkan kemalangan jika
terlanggar. Kawasan tepi jalannya yang rendah dari aras jalan cuma bertanah
atau berumput. Keadaan itu diburukkan lagi apabila lori treler melalui jalan
tersebut, lebih-lebih lagi jika terdapat kenderaan yang dating dari arah
bertentangan. Kami terpaksa lebih berhati-hati dengan tidak melanggar sebarang
pemantul cahaya kerana jika terjatuh pastinya akan dilanggar oleh lori-lori.
Pasar malam Slim River
Untuk
menghadapi situasi ini, kami berempat berkayuh secara berhampiran kerana ini
akan membuatkan pengguna jalanraya lain lebih perasan akan kehadiran kami di
jalanraya melalui kerlipan cahaya lampu keselamatan belakang (blinker) kami. Setelah dua puluh
kilometer dengan masa satu jam sepuluh minit meninggalkan Tanjung Malim, kami
akhirnya sampai di Slim River.
Gambar 1. Ketika berhenti rehat di stesyen minyak Esso, Slim River |
Setibanya
kami di Slim River, saya menghantar sms untuk mengemaskinikan status Facebook,
seperti berikut:
“Pit stop di Esso Slim River. Info: 115.30 km
DST*, 6:27:03 TM* [17.11.2011, 2035 hrs]”
Nota:
DST
merupakan singkatan kepada jarak (distant)
dalam unit kilometer; TM bermaksud masa (time)
dalam unit jam: minit: saat,
Pucuk
dicita ulam mendatang, kebetulan terdapat pasar malam di kawasan berhampiran.
Selepas meminta rakan lain menjaga basikal, saya dan Muzammil berkunjung ke
pasar malam itu. Setelah mundar-mandir dari hadapan hinggalah ke hujung pasar
malam tersebut, apa yang saya beli adalah seketul hotdog bagi mengisi perut yang telah berkeroncong. Berbeza apabila
berkayuh di waktu siang dan malam. Jika pada waktu siangnya, kita akan lebih
banyak minum air dari makan akibat cuaca yang panas. Pada waktu malamnya pula, kurang
minum air tetapi perut akan menjadi lebih cepat lapar. Ini adalah kerana tenaga
tambahan diperlukan untuk mentenagakan kayuhan disamping memanaskan badan lebih-lebih
lagi jika cuaca dingin akibat hujan.
Semasa
kami berehat di tepi stesyen minyak tersebut, seorang lelaki menegur kami.
Rupa-rupanya, beliau juga adalah peminat aktiviti berbasikal yang berkayuh
bersama kumpulan yang dinamakan sebagai Tanjung Malim Bikers. Beliau sempat
berpesan kepada kami untuk berhati-hati di laluan antara Slim River ke Bidor
dimana di lokasi tersebut terdapat banyak kes samun. Kami mengucapkan terima
kasih kepada lelaki tersebut dan berjanji akan lebih berhati-hati apabila
melalui kawasan tersebut.
Gambar 02. Bergambar bersama rakan kayuhan yang baru kami kenali di Slim River |
Slim River menuju ke Bidor.
Destinasi
kami seterusnya ialah Tapah. Plan asal saya ialah untuk berhenti bermalam di
sebuah R & R yang terletak pertengahan antara pekan Tapah dan Temoh. Namun
oleh kerana masa nampaknya sudah semakin suntuk, akibat pembaziran masa
menunggu hujan reda. Saya terpaksa menukar plan untuk bermalam di Bidor, yang
terletak lebih kurang 20 kilometer dari pekan Tapah.
Terlebih
dahulu, saya menghantar satu sms
kepada rakan rumah sewa saya di Shah Alam, memberitahu kepadanya tentang
meminta kebenaran untuk bermalam di rumah keluarganya yang terletak di Kampung
Pasir, Bidor. Beliau membalas yang dia sudah menelefon keluarganya dan telah
memberikan lampu hijau untuk kami bermalam di rumahnya. Fuhhh, lega rasanya
setelah mendapat kebenaran tersebut …
Perjalanan
kami teruskan, dari Slim River menuju ke Bidor laluan satu lorong menjadi dua
lorong dan beberapa tempat seperti Trolak dan Sungkai kami lepasi. Kaki
Muzammil masih lagi terkena kekejangan (cramp)
dan ketika di laluan pendakian, kami bergilir-gilir berkayuh sambil membantunya
dengan cara menolak di bahagian belakang badan beliau. Antara laluan pendakian
yang panjang dan sedikit curam yang saya ingati adalah ketika menghampiri
persimpangan masuk ke Felda Gunung Besout.
Waktu
menghampiri jam 11 malam dengan tinggal tidak sampai 20 kilometer ke Bidor (seingat saya),
kami berhenti rehat di tepi sebuah lokasi yang baru dibangunkan. Oleh kerana gelap
malam dan tiada sebarang papantanda untuk kami rujuki, tidaklah kami ketahui
lokasi kami berhenti. Dilihat dari bentuk pembangunan tersebut, ia mungkin
sebuah sekolah atau hospital yang baru didirikan. Maafkan saya andai tersalah
meneka bangunan itu ...
Gambar 3: Berhenti rehat di kawasan yang tidak kami ketahui |
Kami
berempat tiba di kediaman Tok Salim yang terletak di Kg. Pasir, Bidor menghampiri
jam 1.00 pagi. Untuk info, insan yang saya panggil sebagai Tok Salim ini atau
nama sebenarnya Abd Halim merupakan adik kepada nenek di sebelah ayah saya. Beliau
merupakan bekas pesara kerajaan yang memilih Bidor untuk dijadikan lokasi
kediamannya.
Disebabkan
tiba terlalu lewat, kami tidak tergamak untuk mengejut keluarganya dan
bercadang untuk tidur sahaja di bahagian laman berbumbung sisi rumahnya. Untuk
ke tandas, saya mengesyorkan pada rakan-rakan lain untuk menggunakan tandas di
surau berhampiran. Masing-masing mengeluarkan sleeping mat serta sleeping
bag, dan mengemaskan beg untuk tidur. Tidak lupa juga untuk mengunci
basikal pada tiang di laman meletak kereta untuk keselamatan agar tidak dicuri.
Saya
menelek-nelek bacaan pada odometer basikal, dan kemudian menghantas sms untuk mengemaskini status Facebook
saya:
“Alhamdulillah, setelah
b’panas-hujan-angin-ngantuk-lenguh-kaki krem-basah lenjun dll kami b’empat slmt
tiba di Bidor. Info hari p’tama: 152.88 km DST*, 8:47:53 TM*, 43.2 km/h MAX*,
17.7 km/h AVG* [18.11.2011, 0103 hrs]”
Nota:
DST
merupakan singkatan kepada jarak (distant)
dalam unit kilometer; TM, masa (time)
dalam unit jam – minit - saat; MAX, kelajuan maksima (maximum) dalam unit km/j dan AVG purata kelajuan (average) dalam unit km/j.
Sedang
bersiap-siap untuk tidur, saya ternampak kelibat seseorang menarik langsir dan
mengintai dari tingkat rumah. Tiba-tiba, lampu di laman luar rumah dinyalakan
dan pintu masuk utama dibuka. Rupa-rupanya, ia adalah Tok Salim dan kemudian ia
menjemput kami semua untuk masuk. Setelah saya bersalaman dengannya, ia berkata
kenapa saya tidak mengetuk pintu atau memanggilnya. Saya hanya mengatakan yang
kami tiba terlalu lewat dan tidak mahu mengganggu tidurnya. Beliau mengatakan
yang dia dan isteri telah menyiapkan tempat tidur untuk kami di ruang tamu.
Selepas berkata demikian, beliau turut menyuruh rakan-rakan yang lain untuk
masuk ke rumah. Nampak gayanya, sleeping
bag dan sleeping mat yang dibawa
tidak dapatlah digunakan untuk malam ini …
B E
R S A
M B U
N G
2 comments:
Oh terkenang Slim River., tempat jd hantu ...
@Janggel / Rain: Hah, jadi hantu ? Bior bebetul mike ni. Buat teman takut je huhuhu ...
Post a Comment