ADS

14 August 2011

Kayuhan Balik Kampung: Bahagian 1

Prolog
Tidak sampai selang sebulan ketika balik dari bertouring melalui Kayuhan Dua Tasik di Pahang pada Februari 2011, saya melakukan touring sekali lagi dan kali ini secara solo pula. Sejujurnya, telah lama saya berhasrat untuk melaksanakan impian ini. Syukur Alhamdulillah, impian yang bertahun tersemat di hati ini berjaya juga saya realisasikan tanpa sebarang masalah kecuali terdapat sedikit halangan cuaca hujan pada awal fasa kayuhan. Ikuti catatan pengalaman saya berkayuh dari rumah sewa di Shah Alam dan pulang ke kediaman ibubapa saya di Sabak Bernam, Selangor.

Nota:
Perkataan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Harap maklum.

04.03.2011
Pagi Jumaat yang mendung itu, mulanya saya bercadang untuk keluar awal dari rumah, tetapi setelah memikirkan keadaan jalanraya sekitar Shah Alam adalah sesak di waktu pagi kerana warga tempatan berpusu – pusu hendak keluar ke tempat kerja, mahupun menghantar anak – anak ke sekolah. Saya menangguhkan waktu bertolak ke selepas jam 0900 pagi. Pada jam 0918, saya keluar dari rumah dan memastikan semua kelengkapan dibawa serta basikal berada dalam keadaan baik. Di hadapan rumah, sempat saya memotret basikal dan kereta kesayangan, sebagai simbolik yang Proton Wira akan ditinggalkan dan menggunakan basikal untuk pulang ke kampung pada kali ini. “Selamat tinggal BEL6689” ...


Di hadapan rumah sebelum bertolak; basikal ucap selamat tinggal pada Proton Wira


Tepat jam 0920, selepas membaca doa memohon keselamatan dan rahmat dari Yang Maha Esa saya pun bergerak meninggalkan seksyen 24 Shah Alam. Dengan menggunakan jalan belakang di seksyen 24, saya melalui seksyen 17, seksyen 16, bulatan seksyen 16 berdekatan kawasan industri,  persimpangan lampu isyarat simpang empat Padang Jawa - JPJ Selangor dan masuk ke jalan menuju persimpangan lampu isyarat di bawah jambatan Lebuhraya Persekutuan berhampiran Bukit Raja Shopping Centre. Lebih kurang jam 0950, saya tiba betul – betul berhadapan Bukit Raja Shopping Centre dan akan memasuki jalan ke plaza tol Shapadu. 

Di kawasan itu, satu perkara yang agak menakutkan saya kerana terdapat satu susur masuk dan susur keluar ke/dari Kawasan Perindustrian Bukit Raja/Lebuhraya NKVE Plus. Ia merupakan laluan utama lori – lori kontena yang biasanya dipandu laju. Saya mengayuh dengan lebih pantas di situ, dengan sekali sekala menoleh ke belakang untuk memastikan saya berada dalam laluan dan keadaan yang selamat. Melepasi sahaja susur keluar itu, saya berasa sungguh lega dan tidak lama kemudian saya pun tiba di plaza tol Shapadu.


Berhampiran Bukit Raja Shopping Centre; beberapa ratus meter di hadapan terdapat satu susur masuk/keluar yang terdapat banyak lori kontena melaluinya pada kelajuan tinggi


Melepasi plaza tol Shapadu, saya menuruni bukit dan memasuki susur keluar ke sebuah persimpangan lampu isyarat simpang empat. Dari situ, saya menghala ke kanan menuju arah Setia Alam / pekan Meru. Lebih kurang empat kilometer berkayuh, tibalah di satu susur masuk menghala ke arah pasaraya hyper Giant. Bersebelahan pasar hyper tersebut, di sebelahnya terdapat stesyen bas bersepadu yang dikenali sebagai Kelang Sentral. Ini adalah kali pertama saya melalui jalan itu setelah ianya dibuka, sekadar untuk mencuba. Melepasi Kelang Sentral di bahagian kanan saya, saya kemudian memasuki Jalan Abdul Manan, yang ianya menjadi laluan utama saya untuk mengelakkan persimpangan lampu isyarat pekan Meru setiap kali hendak pulang ke Sabak Bernam. 

Beberapa ratus meter dihadapan, saya melepasi sebuah stesyen minyak Petronas yang belum dibuka di sebelah kiri. Ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat Jalan Abdul Manan - Jalan Haji Abdul Manan 1, tiba - tiba hujan turun dengan lebatnya. Hendak berpatah balik ke stesyen minyak yang belum dibuka, sudah terlalu jauh dan tidak berbaloi kerana sememangnya sudah basah kuyup dalam kehujanan. Saya terpaksa mengambil langkah pencegahan dengan memasukkan telefon bimbit dan dompet ke dalam beg kecil kalis air, kemudian menyalakan lampu keselamatan (blinker) dengan tujuan agar kenderaan di belakang menyedari kehadiran saya lebih - lebih lagi dalam keadaan hujan lebat sebegini. Perjalanan diteruskan, ketika saya tiba di persimpangan Persiaran Hamzah Alang (B2) - pekan Kapar, hujan masih lebat dengan kadar curahan yang sama ketika saya berada di Jalan Abdul Manan tadi. 

Memasuki sahaja Jalan Besar di pekan Kapar, bermakna saya kini telah memasuki Jalan Persekutuan No. 5. Pekan Kapar ditinggalkan dan selepas lebih kurang dua belas kilometer di hadapan, saya berhenti di stesyen minyak Petronas Sungai Sembilang. Pakaian yang basah kuyup membuatkan saya sedikit menggigil. Ohh, hampir terlupa yang rupanya saya belum bersarapan lagi pada pagi itu. Setelah meninggalkan basikal di luar, saya masuk ke kedai di stesyen minyak itu bagi membeli dua bungkus roti ban dan sebotol air soya. Hujan telah pun berhenti ketika saya tiba di situ, matahari kemudiannya perlahan - lahan muncul dan selang beberapa minit kemudian hari telah pun cerah disinari cahaya matahari. Puas berehat dan selesai bersarapan pagi, perjalanan disambung dan kini cuaca dirasakan terik pula. Aduhhh, selepas hujan lebat datang panaslah pula, sabar, sabar ...


Berhampiran persimpangan lampu isyarat Jeram

Melepasi puluhan kampung, deretan pekan kecil Sungai Buloh, beberapa taman perumahan berjajar dengan Jalan Persekutuan No. 5 dan juga yang terakhir iaitu Bandar Melawati, lebih kurang tujuh belas kilometer berikutnya saya tiba di pekan lama Kuala Selangor. Seperti biasa, tidak sah kunjungan saya ke Kuala Selangor jika tidak naik ke Bukit Melawati. Lokasi ini menjadi tempat 'wajib - singgah' buat saya setiap kali hendak pulang ke Sabak Bernam, tidak kiralah samada menaiki motorsikal di hujung tahun 1990-an mahupun selepas memiliki kereta sendiri pada tahun 2000.

 (1) Satu perusahaan kecil industri membuat periuk tanah, lebih kurang lima kilometer sebelum pekan Kuala Selangor. (2) Periuk tanah yang mempunyai corak hiasan menarik

Di Bukit Melawati ini, saya memotretkan gambar basikal saya dengan berlatarbelakangkan bangunan rumah api. Kemudian berehat di tepi jalan sambil memerhatikan gelagat pengunjung yang memberi makan kepada lotong - lotong yang terdapat di situ. Kadangkala, terasa geli hati juga melihat gelagat pengunjung yang ketakutan apabila makanan yang mereka pegang cuba dirampas oleh haiwan tersebut. Masih segar dalam ingatan saya, ketika dibawa mengunjungi Bukit Melawati ini semasa kecil, ayah saya pernah digigit ketika lotong ini cuba merampas barang makanan dalam plastik yang dipegangnya. Mujurlah tidak berlaku sebarang kecederaan kerana gigitan itu cuma hanya mengenai kepala tali pinggang yang beliau pakai. Nasib baik ...

 (1) Muzium Kuala Selangor, ditutup pada tengahari itu. (2) Catatan info mengenai rumah api (3) Basikal saya berlatarbelakangkan bangunan rumah api

 (1) Seorang pengunjung 'diusik' oleh sekumpulan lotong yang mahu merampas makanan dari tangannya (2) Seekor lotong yang kelihatan tenang sambil memegang manusia (3) Haiwan dan manusia, sama - sama berharmoni

Puas berehat di puncak Bukit Melawati, sudah tibalah masanya untuk saya menyambung perjalanan. Ketika turun dari bukit tersebut, kelihatan golongan lelaki telah berpusu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Saya yang pada ketika itu dikira sedang bermusafir, menyambung perjalanan dan berhasrat untuk menunaikan solat Zohor di mana - mana masjid dalam perjalanan. Melalui jambatan panjang melintasi Sungai Selangor, saya kini berada di bahagian seberang pekan Kuala Selangor menuju ke Tanjung Karang. Cuaca pada ketika itu terlalu panas dirasakan, membuatkan saya minum air pada kadar yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi. Lebih kurang hampir sebelas kilometer berkayuh, saya singgah di stesyen minyak Petronas Gulang - Gulang untuk berehat dan membeli lagi tambahan minuman. Tanpa rasa segan silu, saya mengalas beg di kepala, kemudian baring di siar kaki stesyen minyak tersebut lalu tanpa disedari telah tertidur. Sedar - sedar sahaja dari tidur, saya telah tertidur selama empat puluh lima minit, tanpa mengunci basikal terlebih dahulu !!

Sesudah berada dalam keadaan mamai akibat bangun tidur, saya kemudian mengunci basikal, membawa beg dan bergegas ke tandas berhampiran untuk membasuh muka. Diikuti dengan mengambil wuduk untuk bersolat Zohor kerana saya tidak menunaikan solat Jumaat pada hari itu. Selesai menunaikan kewajipan pada Yang Maha Esa, saya bersiap - siap dan kemudiannya menyambung perjalanan ke pekan Tanjung Karang yang terletak tidak sampai tiga kilometer dari stesyen minyak itu.

 Nama tempat yang agak 'scary' ...

 Satu lagi nama tempat yang unik di sekitar Tanjung Karang


Meninggalkan deretan bangunan pekan Tanjung Karang dan melalui jambatan melintasi Sungai Tengi, kini sasaran lokasi saya seterusnya ialah pekan Sekinchan yang terletak 14 kilometer di hadapan. Setelah tidak sampai sejam berkayuh dari Tanjung Karang, kini saya mula melihat pemandangan sawah bendang di bahagian kanan jalan, menandakan telah memasuki kawasan Sekinchan yang bolehlah dikatakan sebagai 'The Rice Bowl of Selangor'. Terdapat banyak deretan gerai menjual pelbagai buah - buahan di kiri - kanan sepanjang jalan ke pekan Sekinchan. Saya mengambil keputusan untuk berhenti di sebuah gerai berhampiran papantanda bertulis Sekinchan. Sempat jugalah saya membeli segelas air mangga buatan sendiri peniaga tersebut untuk membasahkan tekak. Di kesempatan yang sama, saya berpeluang untuk berfotografi sementara berehat & menikmati minuman.


Deretan kedai menjual buah - buahan memang terkenal di sepanjang kiri - kanan jalan menuju pekan Sekinchan dari hala Kuala Selangor


Memasuki Sekinchan, bermakna saya telah meninggalkan daerah Kuala Selangor dan kini memasuki daerah Sabak Bernam. Lokasi sasaran kayuhan saya seterusnya ialah pekan Sungai Besar yang terletak dua puluh dua kilometer dari Sekinchan. Saya berhenti di stesyen minyak Petronas Sekinchan untuk ke tandas, sebelum meneruskan perjalanan. Perut sudah terasa lapar, kerana belum terisi untuk makan tengahari. Saya akan mencari mana - mana gerai, kedai mahupun restoran dalam perjalanan untuk berhenti makan.


Papantanda sempadan daerah Sabak Bernam - Kuala Selangor


Melalui kawasan mukim Pasir Panjang, saya kemudiannya tertarik dengan satu papantanda pelancongan di tepi jalan bertulis Papitusulem. (Selepas membuat kajian berdasarkan laman web PBT Sabak Bernam sekembalinya dari kayuhan touring ini, saya mendapati yang Papitusulem adalah singkatan dari perkataan Parit Pitu Sungai Leman, 'pitu' dalam bahasa Jawa bermaksud tujuh)


Papitusulem = Parit Pitu Sungai Leman


Alamak, tutup lah pula gerai makan ni - REHAT !!

Tidak berapa lama di hadapan sebelah kiri jalan, saya ternampak satu gerai yang khusus dalam menjual produk masakan mentarang, sejenis hidupan kerangan di laut. Sejujurnya, sudah berpuluh tahun melalui jalan Sabak Bernam - Kuala Selangor dengan berkenderaan tidak pernah sekali pun saya berhenti untuk menjengah jualan mentarang ini, apatahlagi untuk merasa keenakan mentarang ini. Untuk info, gerai ini dimiliki dan diusahakan bersama oleh puan Faridah bersama suaminya. Oleh kerana saya belum makan tengahari untuk hari itu, saya meminta sepinggan nasi putih bersama mentarang bakar. Saya juga meminta semangkuk sup mentarang, untuk dibuat kuah kerana tidak biasa makan nasi tanpa berkuah. Pertama kali memakan mentarang, agak sukar untuk mentafsirkan rasanya, tapi apa yang boleh saya katakan ialah rasanya memang unik dan tidak sama dengan kerangan laut lain yang pernah saya makan. Cas yang dikenakan, samada RM10 mahupun RM12, lupalah pula aduhaiii ...

 (1) Pemandangan bahagian tepi gerai kak Faridah (2) Pandangan hadapan gerai kak Faridah


(1) Rupabentuk mentarang, dengan kerang di belakangnya sebagai perbandingan saiz (2) Mentarang sedang dibakar atas bara api (3) Menu makan lewat tengahari saya pada hari itu (4) Rupabentuk mentarang selepas dimasak, dalam gambar ini ialah mentarang rebus


Kawasan Pasir Panjang, Sungai Nibong, Simpang Lima serta Sungai Haji Dorani saya tinggalkan dan tidak sampai sejam dari gerai makan yang disinggahi semasa di Sungai Leman tadi, tibalah saya di pekan Sungai Besar. Di sini saya tidak berhenti kecuali di persimpangan lampu isyarat (mestilah berhenti kan), ini adalah kerana jarak cuma tinggal lima belas kilometer untuk tiba di Sabak Bernam.


Bukan Mawi World aje ada, Nisan World pun ada juga hehehe ...


Papantanda yang menjadi mangsa vandalisma, sekitar kawasan Simpang Lima


Tepat jam 1822, saya tiba di papantanda bertulis Sabak Bernam yang terletak di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Polis Sabak Bernam, setelah sembilan jam berkayuh dan berehat dalam cuaca panas terik mahupun hujan lebat. Berhenti seketika untuk mengabadikan kenangan berkayuh, kemudian saya meneruskan perjalanan menuju ke rumah ibubapa saya di Taman Kenangan yang terletak lebih kurang dua kilometer di hadapan. Catatan pada meter basikal saya menunjukkan kayuhan pada hari itu sejumlah 121.99 kilometer. Di rumah, emak saya menyambut dengan rasa terperanjat kerana menyangka saya hanya bergurau ketika menelefon beliau mengatakan hendak pulang ke kampung dengan berbasikal ...


Tiba di bumi Sabak Bernam tepat jam 1822 petang itu


(1) Jumlah jarak kayuhan: 121.99 km (2) Jumlah masa kayuhan (terkecuali waktu berhenti): 5:58:58 (jam/minit/saat) (3) Kelajuan maksima: 36.1 km/j (4) Kelajuan purata: 20.3 km/j


"The greatest way to live with honor in this world is to be what we pretend to be" - Socrates


4 comments:

gadisBunga™ said...

giler......bukan awak yg gile, tapi lebih 100km berkayuh dalam sehari tu - pergh..

anyway:

1 - agaknya ada tak basikal kene speedtrap?

2 - highway shapadu tu bukan ke skeri gile? nak kete pun kecut perut nak bersaing dgn lori kat situ. berani lah awak!

3 - jus mangga yang jual kat tepi jalan kat situ mmg terbaik!!!

4 - mak saya adalah penggemar mentarang. pantang lalu kawasan tu mesti beli punye! beli yg fresh dan balik masak kat umah lah. tapi so far tak penah lagi makan mentarang kat gerai. nampak gaya next time saya kene la duduk mkn kat situ, nyum!

5 - comel la pulak papan tanda yg kene vandalized tu. hahaha!!!

anyway, really enjoy reading your journey. keep on cycling and keep on writing ya!

CEOMesinTaip said...

fuhhhh...kalau iva tu tak sampai 5kilometer dah surrender..hehehehehe..butdaway TAHNIAH eh..hehe

Azizan Zolkipli said...

fuhhh, nasib bukan saya yang gila. legaa hehehe ... alamak, sebab ada point2 makanya saya pun kena balas secara point lah juga ekk ...

1) kalau ada basikal kena speedtrap, sayalah yang akan terlebih dahulu mencari pengayuh tu untuk dijadikan wakil Malaysia ahaksss ...

2) iye, benar. itu antara tempat paling 'scary' untuk saya berbasikal di Selangor ni selain dari kawasan Tanjung Harapan, Pulau Indah/Westport dan Olak Lempit - Dengkil. lori2nya memandu teramatlah lajunya huhuhu ...

3) jus mangga Sekinchan memang terbaekkklah. sampai 2 cup saya beli masa singgah tu. lepas minum, udah malas nak berkayuh sebab perut kembung air hahaha ...

4) wahhh, mak GB suka mentarang ekk. saya punya jenis ni lain sikit GB, suka makan kat tempat tu & pada masa tu juga. even gi pasar malam pun, makan kejap2 tu gak hehehe ... cubalah, macam2 menu aje: bakar/goreng/rebus/paprik & macam2 lagi ...

5) sampai ke hari ni saya masih tertanya2, camna diaorg boleh conteng papantanda tu. bukan rendah tu, saya nak lompat pun tak sampai tau huhuhu ...

Terima kasih banyak untuk GB kerana sudi meluangkan masa membaca coretan saya ni. maaflah atas segala kekhilafan, tak berbakat pun dalam penulisan ni cuma menulis apa yang teringat aje ... i will keep cycling & writing, insyaAllah ...

Azizan Zolkipli said...

Dinda Iva: Terima kasih atas kunjungan kamu. Ishhh, belum cuba belum tau. sekarang dah ramai kaum Hawa yang menceburi sukan berbasikal tau. kadang2 tu performance nya kalah prestasi saya aduiii ...