ADS

09 August 2011

Kayuhan Dua Tasik di Pahang: Sungai Chini - Temerloh

Bersambung dari catatan perjalanan siri yang lalu

14.02.2011, Isnin

Selesai berehat di kunci air unik milik JPS dan menikmati pemandangan Sungai Chini yang mengalir ke Sungai Pahang. Kami bertiga meneruskan perjalanan dalam misi menuju ke Chenor sebelum mengakhiri perjalanan di Temerloh. Dari laluan yang landai dengan panorama rumah kampung di tepi jalan, kami mula berhadapan dengan laluan berbukit. Tidak banyak perkara yang saya ingati sepanjang laluan, kerana hanya terdapat beberapa rumah sahaja yang kami lalui selain dari beberapa kampung - kampung dalam kawasan pedalaman.

Dalam perjalanan, kami sempat singgah di sebuah kedai runcit tepi jalan. Di situ tiada sebarang papantanda memberitahu tentang nama tempat tersebut. Kesemua kami membeli air minuman untuk menambah stok masing - masing. Memang hari itu agak panas berbanding hari - hari sebelumnya yang cuma mendung sahaja. Selain kami, terdapat juga beberapa penunggang motorsikal yang singgah di situ untuk membeli barangan keperluan disamping berehat sebelum meneruskan perjalanan mereka.

Laluan perjalanan belum pun berbaki separuh dari jumlah keseluruhan untuk hari itu. Selang beberapa jam, kami melalui satu kawasan penempatan yang terdapat satu sekolah rendah yang agak besar. Saya mula mengecam tempat itu sebagai Kuala Wau, dimana pernah ke situ sewaktu mengendalikan ekspedisi berkayak Sungai Pahang - Tasik Chini anjuran Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) pada awal tahun 2010. Beberapa kilometer selepas itu, terdapat satu bukit yang agak curam. Laluan tersebut adalah gabungan dua bukit yang dibahagikan dengan satu selekoh ditengahnya. Saya yang pada mulanya berkayuh menaiki bukit, akhirnya berhenti setelah melihat jauh di hadapan terdapat satu lagi bukit. "Ingatkan sudah habis satu bukit ni, rupanya ada satu lagi bukit", bisik hati saya. Saya kemudiannya menolak basikal hingga menjumpai kawasan rata. Perbuatan saya ini turut diikuti oleh Shukri dan uncle Chew yang turut sama menolak basikal mereka hehehe ...

Setelah berada di puncak bukit, jalan tersebut kemudiannya membawa kami menuruni laluan menurun yang agak panjang sebelum bertukar kepada laluan naik - turun pula. Keadaan di kiri dan kanan pada waktu itu, dipenuhi oleh hutan tebal dengan tiada satu pun kawasan penempatan yang kami temui. Fikiran saya tiba - tiba menerawang seketika, mengatakan yang saya mungkin tidak akan melalui laluan tersebut pada waktu malam dengan berkereta jika tiada sebarang sebab kukuh untuk melaluinya.

Beberapa kilometer di hadapan, terdapat sebuah bukit yang curam terpaksa kami lalui. Masih segar dalam ingatan, meter kelajuan saya mencatatkan kelajuan maksima 58.8 km/j ketika melalui kawasan tersebut. Kebetulan setiap kilometer terdapat batu penanda jalan, saya dapat rasakan yang kami mengambil masa tidak sampai empat puluh lima saat untuk mendapatkan jarak sejauh satu kilometer !! Dengan bebanan beg dan barang - barang keperluan yang dibawa, agak merbahaya untuk berkayuh dengan kelajuan yang tinggi dan ini memaksa kami lebih berhati - hati dengan permukaan jalan. Beberapa kilometer kemudiannya jalan masih berbukit dan beralun, tetapi dengan kecuraman yang semakin beransur kurang.

Lebih kurang jam empat suku petang, kami bertiga tiba di sebuah jambatan bengkok yang panjang. Panasnya hendak melalui kawasan situ, hanya kami dan Tuhan sahajalah yang tahu. Sudahlah menghadapi laluan berbukit, kawasan lapang terbuka yang tiada teduhan mengurangkan lagi jatidiri kami. Uncle Chew yang memecut terlebih dahulu, menunggu saya dan Shuk di hadapan. Sempat lagi kami berdua bergambar di sini sebagai tanda kenangan, sebelum menyertai kembali uncle Chew yang menunggu di hadapan.


 Jambatan bengkok dengan laluan mendaki


Shuk kelihatan sayup - sayup di hadapan


 Uncle Chew menunggu kami berdua di hujung jambatan sambil berteduh dari bahang matahari (sebelah kiri, kawasan teduh)


Puas berehat sebentar di kawasan yang teduh, kami mara menuju ke arah Chenor. Dalam perjalanan, terdapat satu gerai makan yang berada di tepi jalan. Kami bertiga berhenti seketika untuk minum dan menjamah sisa kuih muih yang dijual. Seperti biasa, ketika di sini kami turut disapa oleh orang tempatan yang kagum dengan perjalanan berbasikal kami. Bermula dari sini, kami telah memasuki kawasan ladang - ladang getah dan kelapa sawit milik peneroka tanah rancangan mahupun persendirian. Kelihatan Sungai Pahang telah semakin nampak dari kejauhan, saya bersorak girang dalam hati kerana tahu yang tidak lama lagi laluan akan menjadi landai apabila Sungai Pahang semakin dekat dengan jalanraya yang akan kami lalui.


Sungai Pahang telah pun kami nampak dari kejauhan


Kami mula memasuki kawasan kampung, dengan kini banyak rumah - rumah lama di sekitar kiri dan kanan jalan. Perkara yang tidak dapat saya lupakan sewaktu melalui kampung ini, adalah sapaan dari penduduk kampung dengan ucapan "Hello", mungkin mereka menyangka saya pengembara dari negara luar. Memandangkan warna kulit saya yang seakan kacukan Pan - Afrika ahaksss ... Beberapa kali juga saya disapa sedemikian, baik oleh kanak - kanak mahupun orang dewasa. Semakin kami menghampiri Chenor, semakin dekat tebing Sungai Pahang dengan laluan kami.


 Jarak dengan tebing Sungai Pahang semakin dekat apabila kami semakin menghampiri Chenor


Pada satu ketika, saya terperasan yang matahari petang itu begitu unik sekali, dengan warna merah membulat yang begitu cantik. Saya memberi isyarat tangan pada Shuk menunjukkan pada beliau akan keadaan matahari yang cantik, pada masa sama memberi isyarat untuk meningkatkan kelajuan. Ini adalah kerana, saya masih mengingati di hadapan terdapat sebuah jambatan panjang melintasi Sungai Pahang yang akan kami lalui. Adalah cantik jika kami dapat berpeluang mengambil gambar kenangan di atas jambatan tersebut berlatarbelakangkan panorama matahari terbenam.

Dalam lebih kurang sepuluh kilometer terakhir menuju Chenor, masih saya ingati yang kami mengambil masa cuma dua minit untuk menghabiskan kayuhan sejauh satu kilometer pada tiap - tiap kilometer. Setelah jerih berkayuh, saya kemudian sampai di atas tengah jambatan sekitar jam 1915 malam. Kehadiran saya di situ disapa oleh sekumpulan anak muda yang sedang lepak beramai - ramai. Mereka juga menyapa saya dengan sapaan "Hello", mungkin menyangka saya seorang pengembara asing. Matahari yang tadinya bulat merah, kini telah tidak kelihatan di sebalik awan ufuk timur. Terasa hampa tidak dapat merakamkan pemandangan menarik, walaupun setelah berusaha keras berkayuh selaju mungkin untuk mengejar saat - saat itu. "Apa hendak dibuat, sudah tiada rezeki kami", bisik saya dalam hati ... Tidak sampai tiga minit minit kemudian, saya disertai oleh Shuk dan uncle Chew dan kami berhenti di tepi jalan pertengahan jambatan. Saya menceritakan pada Shuk tentang bagaimana saya disapa semasa tiba berhampiran sekumpulan belia di situ. Beliau turut menceritakan tentang pengalaman beliau, yang mana ditegur dalam bahasa Kelantan. Kami berdua kemudiannya ketawa terbahak - bahak apabila mengenangkan pengalaman masing - masing. Memang kini sahih, saya seperti orang Afrika dan Shuk pula seperti awal - awal dichop berasal dari Kelantan hahahaha ...


 Berehat seketika di atas jambatan melintasi Sungai Pahang berhampiran Kampung Paya Ladang, Chenor


Puas berehat dan melihat panorama matahari terbenam serta pemandangan Sungai Pahang, saya mengetuai konvoi di depan menghala turun dari jambatan menuju ke pekan kecil Chenor. Kami melalui Klinik Kesihatan Chenor di sebelah kanan jalan, yang merupakan tempat bermalam peserta - peserta ekspedisi kayak OGKL pada tahun 2010. Dari situ saya menghala terus, bertujuan mencari restoran mahupun kedai makan. Pekan Chenor seolah pekan koboi atau pekan mati pada malam itu, dengan tiada satu pun kedai dibuka. Ini membuatkan saya menghala ke arah deretan kedai makan yang menghadap Sungai Pahang demi mencari tempat makan. Usaha kami tidak sia - sia, terdapat  satu kedai makan dibuka pada malam itu. Kami meletakkan basikal, kemudian duduk di satu meja. Satu kakitangan restoran datang bertanyakan pesanan menu kepada kami. Satu perkara yang menghampakan kami, hanya menu nasi lemak sahaja yang terdapat pada malam itu. "Nasi lemak pun nasi lemak lah, janji ada makan, cukup" ...


 Baru tiba di satu kedai makan di Chenor, berhadapan Sungai Pahang


 Berbual dengan warga tempatan semasa menunggu pesanan makanan tiba


 Satu - satunya menu makanan di restoran tersebut pada waktu itu ialah nasi lemak


Sementara menunggu pesanan makanan kami disiapkan, kami sempat berborak dengan warga tempatan yang kebetulan merupakan pemilik restoran tersebut. Mengikut katanya, beliau adalah pesara tentera yang pulang ke kampung dan kini baru beberapa minggu sahaja membuka perniagaan restoran tersebut. Perbualan kami berkisar tentang pengalaman beliau semasa dalam tentera serta kehidupan dan sosio - ekonomi penduduk tempatan. Beliau yang nampaknya semakin mesra dengan kami, tiba - tiba memanggil seorang kakitangannya untuk meminta menggorengkan ikan pekasam kepada kami. Pucuk dicita, ulam mendatang. Pelawaannya kami sambut tanpa segan silu ( :

Selesai menghabiskan juadah serta membayar harga makanan dan minuman. Kami dibekalkan pula sengkuang setiap orang sebiji untuk dimakan. Mengikut abang tersebut (maaf, saya terlupa nama beliau), petua ini beliau amalkan semasa berkhidmat dalam tentera. Selain dari itu, beliau juga memberikan panduan untuk kami keluar dari Chenor menghala ke Temerloh. Sesudah bersalaman, kami menuju ke arah basikal kami bagi menyalakan lampu keselamatan hadapan mahupun belakang dan terus meninggalkan tempat itu. Anggaran Chenor ke Temerloh adalah lingkungan dua puluh lapan kilometer dan itulah baki perjalanan bagi kami bertiga untuk hari tersebut, mahupun sepanjang tiga hari kayuhan kami. Beberapa minit meninggalkan kawasan Chenor, kami melalui kawasan kampung dengan terdapat banyak rumah di sepanjang kiri dan kanan jalan. Terdapat beberapa laluan pendakian yang kami terpaksa harungi, mujurlah tidak securam apa yang kami lalui pada petang itu. Jalan lengang dengan hampir tiada kenderaan lalu lalang, dengan kebanyakannya cerah disirami cahaya dari lampu jalan.

Dari jalan negeri bernombor C23 itu, kami selangkah ke hadapan memasuki jalan persekutuan nombor 2. Terasa lega apabila berada di laluan tersebut apabila mengetahui yang kami tidak sampai lagi dua puluh satu kilometer untuk ke Temerloh . Dari simpang tiga tersebut, setelah berkayuh beberapa kilometer di hadapan kami berhenti singgah di sebuah stesyen minyak untuk ke tandas. Jika sebelum ini kami dibiasakan dengan keadaan jalan yang sunyi dan tidak terdapat banyak laluan trafik. Kini senario telah berbeza sama sekali dengan kehadiran jumlah kenderaan yang seakan tidak putus - putus melalui jalan persekutuan. Terdapat juga kenderaan yang membunyikan hon dan menyalakan lampu tinggi kepada konvoi kami, mungkin sebagai amaran supaya kami berhati - hati, lebih - lebih lagi di beberapa kawasan gelap dan mempunyai bahu jalan sempit.

Setelah melepasi persimpangan lampu isyarat menuju ke Hospital Temerloh, berlaku satu peristiwa yang mungkin Shuk dan saya takkan lupakan sampai bila - bila. Ketika itu uncle Chew sudah jauh meninggalkan kami berdua di belakang. Pengalaman dimaki hamun oleh seorang lelaki tidak dikenali yang berada di satu kawasan gelap. Tiba - tiba, kami berdua mendapat jeritan berbunyi begini: "Woiii, beli motorsikal lah woiii ... Kedekut ke ? Takde duit ke, naik basikal" ... Perkara ini membuatkan kami terpinga - pinga seketika, seakan tidak faham dengan motif ayat itu diucapkan. Tetapi saya bersyukur yang kami tidak diapa - apakan, biarlah hamba Allah itu berkata demikian asalkan kami tidak dicederakan. Tidak sampai sekilometer dihadapan, terdapat sebuah papantanda bertulis Temerloh, berhampiran sebuah jambatan panjang melintasi Sungai Pahang. Saya mengajak Shuk untuk bergambar di situ, sebagai tanda kami hampir menamatkan cabaran berkayuh selama tiga hari. Selesai bergambar, kami meneruskan perjalanan menaiki jambatan tersebut melalui lorong sikal yang disediakan.




Tiba di penghujung jambatan, ternampaklah akan kami tempat meletak kereta iaitu di R & R Bukit Rangin tepat jam 2345 malam. Saya dan Shuk kemudiannya mendapatkan uncle Chew, mengucapkan tahniah sesama sendiri. Setelah berehat seketika, kami membawa basikal ke bahagian tempat meletak kereta di mana kami berada pada hari pertama kayuhan. Oleh kerana sepanjang kayuhan kami tidak berpeluang memasang khemah, saya kemudiannya memasang khemah untuk tidur pada malam itu. Seolah melepaskan gian kerana terpaksa membawa khemah yang boleh tahan beratnya, tapi tidak dapat menggunakannya hahahaha ... Saya mengambil keputusan tidak mahu mandi pada malam itu, kerana hari telah larut malam dan mata terlalu mengantuk ditambah dengan badan yang terlalu penat. Uncle Chew memasukkan basikal miliknya kedalam kenderaan Perodua Kembaranya dan tidur di bahagian hadapan dengan merebahkan kerusi kenderaan. Setelah meletakkan kedua - dua basikal di wakaf berhampiran dan mengunci, saya masuk ke khemah, baring dan tiba - tiba keadaan terus menjadi gelap. Tertidur, zZzZzZ ... Krohhhh, krohhhhh . ... 

15.02.2011, Rabu:

Hari silih berganti,  memang pada trip touring ini saya lebihkan sehari sebagai persediaan jika terdapat sebarang kes kecemasan. Pagi Rabu yang cerah saya dan tenang, saya bangun dari tidur dan mendapati yang uncle Chew dan Shuk telah bangun dan siap membersihkan diri. Tidak jauh dari kami, kelihatan sebuah Proton Wira putih yang tidak asing lagi, iaitu kenderaan logistik kami. Tidak diketahui jam berapa Ah Chong telah sampai di situ. Saya kemudian ke tandas awam berhampiran untuk membersihkan diri dan menggunakan tandas. Makcik penjaga tandas belum lagi datang melaksanakan tugas beliau. Walaubagaimanapun, saya tetap meletakkan duit syiling di atas kaunter sebagai ihsan atas penggunaan tandas, bukan mahal pun bayaran untuk mandi baru RM0.50. Selesai melaksanakan 'rutin' harian, saya menukar baju dan kembali ke arah khemah.

Segala barangan di dalam khemah dikeluarkan, untuk membolehkan kami meruntuhkan khemah. Kemudian saya mengejutkan Ah Chong yang sedang lena tidur di dalam kereta. Kedua - dua basikal diletakkan di atas rak bumbung kenderaan, barangan kami dipunggah masuk ke bonet sementara menunggu Ah Chong ke tandas untuk menyegarkan dirinya.


 Khemah yang dibawa ke sana-sini hanya digunakan pada malam terakhir, itupun setelah menghabiskan kayuhan di Temerloh


Apabila segalanya selesai kami berempat ke kedai makan berhampiran. Ah Chong dan saya memesan menu ikan patin masak tempoyak kegemaran kami untuk sarapan pagi pada hari itu. Pengalaman menikmati masakan ini ketika berada di daerah Temerloh dan Bera, membuatkan kami seakan ketagihan menu tersebut. Manakan tidak, untuk harga masakan ikan patin sangkar masak tempoyak bersaiz sederhana (rujuk pada gambar), kami dikenakan bayaran RM9 ke RM10 untuk setiap ketul. Lebih murah jika dibandingkan dengan harga di bandaraya Kuala Lumpur jika mengambil kira kualiti rasanya. Bagaimanapun kami tetap mengambil langkah berjaga - jaga dengan bertanyakan harga masakan pada penjual sebelum terkena bayaran yang tinggi. "Prevention is better than cure" bak kata nasihat ...


Bergambar dgn ikan patin masak tempoyak sblm ianya habis dikerjakan oleh kami ( :


Potongan ikan patin masak tempoyak yang dipesan oleh kami


Selesai makan, kami beristirehat sebentar membiarkan makanan turun di dalam perut. Kemudian masing - masing membayar harga makanan/minuman, diikuti sessi bersalaman sesama sendiri sebelum bersurai dan pulang semula ke Kuala Lumpur dengan dua kenderaan. Ah Chong, Shuk dan saya menaiki Proton Wira BEL6689 manakala uncle Chew berseorangan dalam Perodua Kembaranya. Untuk perjalanan pulang, saya telah ditugaskan untuk memandu kerana Ah Chong mengadu beliau tersangatlah mengantuknya hehehe ... Lebih kurang sejam setengah kemudian, kami sampai di Bandar Tun Razak untuk menghantar Ah Chong ke rumahnya, kemudian saya ke menghantar Shuk pulang di Petaling Jaya diakhiri dengan saya yang tiba di Shah Alam pada petang Rabu itu.

Alhamdulillah, kami memanjatkan syukur pada Yang Maha Esa. Selesai sudah perjalanan kami berempat pada mulanya dan kemudian tiga peserta sahaja pada akhirnya. Tiada sebarang insiden berlaku sepanjang perjalanan kami selama tiga hari. Sesungguhnya banyak pengalaman hidup serta pengetahuan yang telah kami perolehi sepanjang perjalanan ini. Saya mewakili rakan - rakan kayuhan lain ingin merakamkan jutaan terima kasih pada saudara mara dan rakan taulan yang menyokong perjalanan kami berempat; juga sebarang pertolongan, kata nasihat, sapaan, perbualan, lambaian tangan, bunyian hon, amaran lampu tinggi, maki - hamun/cacian/perli sepanjang kami berada di jalanan. Segala yang kami alami ini akan dijadikan panduan bagi menempuh hidup di dunia yang penuh cabaran ini. Semua yang buruk dan tidak baik adalah dari kami, segala yang baik sesungguhnya dari Tuhan Yang Maha Esa. Wassalam ...

Info kayuhan hari ketiga:
Jumlah jarak: 96.80 kilometer
Masa kayuhan (terkecuali waktu berhenti): 05:44:51 (jam/minit/saat)
Kelajuan purata: 16.6 km/j
Kelajuan maksima: 58.8 km/j

Info kayuhan keseluruhan perjalanan:
Jumlah jarak: 302.25 kilometer
Jumlah jam kayuhan (terkecuali waktu berhenti): 18:07:33 (jam/minit/saat)


"Tell me and I forget. Teach me and I remember. Involve me and I learn" 
- Benjamin Franklin


2 comments:

gadisBunga™ said...

selamat akhirnya....!

biasanya kalau kita buat benda pelik (dalam kes ni berbasikal lah) mesti ada yg terus serkap jarang. itu yg sampai disuruh beli moto kot kan?

saya yg suka ketik2 kamera pun penah dgr komen 'eh ko ni, gambo daun jatuh pun ko nak amik?'. hahaha!

anyway, bulan puasa ni ada trip memana ke?

Azizan Zolkipli said...

hai Gadis Bunga !!
yezzzaaa, selamat hehehe ...

agaknya lah kot, agak terperanjat lah masa mula2 kena camni adoyaiiii ...

bulan puasa ni, just main dekat2 ajelah. samada di KL, Shah Alam mahupun Putrajaya