Nota:
Tulisan berwarna biru (dan merah) boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Semua gambar yang digunakan dalam artikel ini adalah hak milik penulis serta tidak boleh diambil dan digunakan untuk sebarang tujuan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.
08.03.2011, Selasa
Awal pagi itu bumi Sabak Bernam didatangi hujan yang lebat seawal subuh hinggalah melebihi jam 0900. Perancangan asal mahu bertolak pulang seawal jam 0830, tetapi memandangkan hujan belum berhenti mengakibatkan saya menunda plan asal.
Lebih kurang jam 0930, saya bersiap - siap membuat pemeriksaan terakhir untuk memastikan tiada barang hak milik yang tertinggal. Emak saya sempat memberikan sebotol air belimbing yang diproses sendiri hasil dari tanaman di kebun milik ayah. Sebelum memulakan perjalanan, saya meminta adik untuk mengambil gambar kenangan saya dan basikal bersama ibu dan juga basikal miliknya. Lebih kurang pada jam 0940 pagi, setelah bersalaman saya pun memulakan perjalanan pulang Sabak Bernam - Shah Alam, menggunakan jalan yang sama semasa saya balik sebelumnya.
Adik saya, Azlan yang stress kerana kereta kesayangannya comot seolah kereta rally hehehe ...
Dari rumah di Taman Kenangan, saya ke stesyen minyak BHP berhampiran untuk menambah tekanan angin tayar basikal. Seterusnya menghala arah pekan Sabak Bernam untuk singgah di sebuah sekolah rendah kerana sebelum ini telah berhajat untuk berfotografi di salah sebuah penulisan kata hikmat di dinding pagar sekolah tersebut. Ketika berfotografi, beberapa orang guru yang sedang makan di kantin khas guru berhampiran kelihatan memanjangkan leher masing - masing untuk melihat kelakuan saya ketika berfotografi.
"Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah" - Lao Tze
Puas berfotografi, saya menyambung perjalanan melalui pekan Sabak Bernam dan kemudiannya memasuki laluan Jalan Persekutuan No. 5. Untuk info, Jalan Persekutuan No. 5 merupakan jalan utama bagi kawasan barat semenanjung Malaysia. Berjarak 655.8 kilometer (407 batu), ia menghubungkan Ipoh di utara hinggalah ke Skudai di selatan. Mula dibina pada tahun 1905, ianya kemudian siap pada tahun 1909. Pada kebanyakan bahagian, jalan ini dibina mengikut piawai jalan JKR R5, membolehkan kelajuan maksima kenderaan sehingga 90 km/j.
Sebahagian dari info mengenai Jalan Persekutuan No. 5 dari Wikipedia
Cuaca pagi itu sungguh redup dan nyaman. Terdapat sebahagian tepi jalan yang digenangi air oleh hujan lebat sejak subuh tadi, membuatkan saya kadangkala terpaksa memasuki kanan sedikit bahagian jalan untuk mengelakkan lopak - lopak air tersebut. Perkara ini saya lakukan dengan hati - hati bagi mengelakkan dilanggar oleh pengguna jalanraya yang lain. Lebih kurang 19 kilometer berkayuh dari rumah, saya tiba berhampiran persimpangan lampu isyarat ke jalan Sungai Panjang. Ternampak gerai jualan mangga yang kosong, oleh kerana tertarik dengan papantanda jualannya maka saya pun berhenti untuk sesi fotografi.
'Tambah belian selepas merasai di hadapan' ...
Saya teruskan berkayuh melalui kawasan Kampung Sungai Haji Dorani, Simpang Lima, Sungai Nibong, hinggalah ke kawasan pertengahan antara Pasir Panjang dan Sungai Leman. Jam pada ketika itu baru jam 1130 pagi dan sesudah berkayuh sejauh lebih kurang enam belas kilometer dari simpang lampu isyarat ke Sungai Panjang tiba - tiba perut saya mula berkeroncong. Cuaca yang sedikit dingin mungkin membuatkan perut saya menjadi lekas lapar, padahal belum pun masuk waktu untuk makan tengahari bagi warga tempatan dan kawasan - kawasan yang sewaktu dengannya. Tidak lama kemudian, ternampaklah oleh saya dari kejauhan warung mentarang kak Faridah di sebelah kanan jalan. Pucuk dicita, ulam mendatang. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah pepatah yang palig tepat menggambarkan keadaan saya ketika itu.
Saya menunggu sehingga tiada kenderaan lalu lalang di kedua arah, lantas menyeberang jalan untuk ke gerai kak Faridah. Pada ketika itu hanya beliau sahaja yang berniaga tanpa ditemani suaminya. Ketika ditanya kemana suaminya, kak Faridah memberitahu yang suaminya telah ke pasar untuk membeli lauk dan sayuran. Saya lantas memesan mentarang masak tumis, dengan meminta beliau agar memperbanyakkan kuah kerana maklumlah saya ni jenis yang tidak boleh maka nasi dalam keadaan 'nasi kering' tidak berkuah. Sementara menunggu beliau memasak, kesempatan yang ada saya gunakan untuk membuat sedikit sessi photoshoot. "Glemerlah kak Faridah lepas ni", saya berseloroh ...
Arah lawan jam dari atas, kiri: Mentarang untuk dijual; pelbagai bekas digunakan untuk menyimpan mentarang yang diletakkan bersama air laut; artikel yang pernah muncul dalam akhbar tempatan; satu lagi kisah gerai mentarang kak Faridah yang terpampang di dada akhbar.
Gerai mentarang dari pelbagai sudut
Kak Faridah sedang menyiapkan mentarang tumis pesanan saya
Puas berfotografi, saya kemudiannya kembali ke meja makan. Beberapa minit kemudian, masakan mentarang tumis saya dihidangkan oleh kak Faridah bersama sepinggan nasi putih. Saya tidak memesan sebarang minuman, kerana air belimbing pemberian emak saya masih belum dihabiskan. Sesudah menjamah dan menghabiskan makanan, saya berehat sebentar sebelum membayar harga makanan. Lebih kurang jam dua belas tepat, saya meninggalkan gerai mentarang tersebut menghala ke destinasi terhampir, pekan Sekinchan.
Menikmati keenakan mentarang tumis yang saya pesan
OK, tibalah masanya untuk mengucapkan selamat tinggal ...
Hampir lapan kilometer berikutnya , saya melepasi pekan Sekinchan dan tiba di papantanda sempadan daerah Sabak Bernam pada jam 1217 tengahari. Di sini bermakna saya akan meninggalkan daerah Sabak Bernam dan masuk ke daerah Kuala Selangor.
Meninggalkan daerah Sabak Bernam untuk memasuki daerah Kuala Selangor
Selamat jalan ... di jalanraya ...
Destinasi saya seterusnya ialah pekan Tanjung Karang, yang terletak lebih kurang sepuluh kilometer dari papantanda sempadan daerah Sabak Bernam - Kuala Selangor ini. Ketika di sini, cuaca adalah amat terik tetapi berangin yang menambahkan lagi kesukaran kayuhan. Ini disebabkan di sebelah kiri jalan terbentang luas sawah bendang yang membolehkan laluan angin tanpa sebarang sekatan. Di pertengahan perjalanan antara Tanjung Karang ke Kuala Selangor, saya sempat berhenti di dua kawasan. Satu di tepi sebuah parit yang mempunyai himpunan banyak pokok teratai dan yang kedua iaitu berhadapan pusat pameran dan servis Perodua berhampiran kawasan Kampung Sungai Gulang - Gulang di mana terdapat satu bangkai kereta yang telah kemalangan lalu terbakar.
Keindahan bunga teratai dapat dilihat di parit - parit tepi jalan sepanjang laluan Sekinchan - Tanjung Karang
Sebuah kereta yang hangus terbakar berhadapan pusat jualan dan servis Perodua Kampung Sungai Gulang - Gulang. Entah bagaimanalah nasib individu atau keluarga ini ...
Saya meninggalkan kawasan tempat berlakunya kemalangan tersebut dengan rasa sedikit ngeri dan takut, namun perasaan itu terpaksa dibuang jauh - jauh memandangkan saya masih belum tiba ke kediaman di Shah Alam. Keadaan kereta yang teruk itu membuatkan saya sedar yang sesungguhnya kematian itu adalah pasti, dan ianya tidak dilambatkan mahupun dicepatkan sesaat sekalipun ...
Empat belas kilometer meninggalkan pekan Tanjung Karang, saya akhirnya tiba di stesyen minyak Petronas Kuala Selangor pada jam 1345 tengahari. Saya mengambil peluang singgah di sini bagi membeli sedikit roti bersama sebotol air minuman untuk menambahkan tenaga. Kebetulan terdapat dua meja petak kecil bersama beberapa kerusi diletakkan di luar siarkaki berhampiran pintu masuk stesyen minyak tersebut. Saya mengambil tempat di meja paling jauh dari pintu masuk, sebelum itu menguncikan siap - siap basikal saya lalu tidur buat beberapa minit untuk berehat. zZzZzZ ... krohhh krohhh ...
Jika objek ini ditemui di kediaman anda, bermakna anda telah mencurinya dari stesyen minyak Petronas Kuala Selangor ( :
Meja petak kecil bersama bangku yang diletakkan di ruang siar kaki stesyen minyak, sekaligus menjadi lokasi selamat untuk saya berehat @ tidur sementara
Puas berehat bagi menambah tenaga serta 'daya kayuh', saya meneruskan perjalanan dan destinasi seterusnya iaitu pekan Kapar yang terletak lebih kurang dua puluh sembilan kilometer dari Kuala Selangor. Di pertengahan jalan antara keduanya, saya melalui kawasan Asam Jawa, Sungai Buloh, Jeram, Sungai Sembilang, Sungai Janggut, dan Sungai Serdang sebelum sampai di pekan Kapar. Saya tiba di papantanda Kapar tepat jam 1542 petang dengan bacaan meter merakamkan perjalanan dari Sabak Bernam telah berjumlah 97.19 kilometer.
Tiba di Kapar pada jam 1542 petang
Jumlah jarak perjalanan Sabak Bernam - Kapar
Dari kawasan papantanda Kapar tersebut, saya melalui deretan kedai di pekan Kapar sebelum memasuki jalan negeri B2 iaitu Persiaran Hamzah Alang, kemudiannya memasuki laluan pintas di Jalan Haji Abdul Manan 1 dan Jalan Haji Abdul Manan lalu keluar di jalan negeri B1 iaitu Jalan Meru. Di simpang masuk ke Persiaran Setia Prima, Setia Alam, saya berhenti seketika di sebuah papantanda yang menarik utk sesi fotografi.
live - learn - work - play
Dari persimpangan Persiaran Setia Prima itu, saya kembali ke Jalan Meru dan memasuki Lebuhraya Selat Kelang yang bagai mimpi ngeri bagi saya kerana banyak lori kontena yang dipandu laju di situ. Kemudian memasuki Persiaran Bistari iaitu laluan menuju ke i-City dan seksyen 7 Shah Alam. Dari Persiaran Bistari, saya memilih untuk ke Persiaran Permai diikuti Persiaran Kayangan, Jalan Padang Jawa, Bulatan Kemajuan, Persiaran Kemajuan, Persiaran Jubli Perak, Jalan Petola 24/8 sebelum mengakhiri kayuhan di iaitu tiba di Jalan Labu Air 24/9 pada jam 1730 petang.
Maka, berakhirlah sudah pengkisahan Kayuhan Balik Kampung saya ini. Untuk info kayuhan bagi perjalanan Sabak Bernam - Shah Alam ini, saya terlupa untuk mencatatkan jumlah jarak kayuhan, kelajuan purata dan kelajuan maksima. Diharapkan agar kejadian sama tidak akan berulang lagi di lain kayuhan, insyaAllah ...
(2) Peta laluan perjalanan Sabak Bernam - Shah Alam saya boleh dilayari di pautan ini atau secara terus di gambarajah disertakan di bawah.
Maka, berakhirlah sudah pengkisahan Kayuhan Balik Kampung saya ini. Untuk info kayuhan bagi perjalanan Sabak Bernam - Shah Alam ini, saya terlupa untuk mencatatkan jumlah jarak kayuhan, kelajuan purata dan kelajuan maksima. Diharapkan agar kejadian sama tidak akan berulang lagi di lain kayuhan, insyaAllah ...
- T A M A T -
(1) Ohh ya, sebelum terlupa saya ingin mengucapkan terima kasih pada makcik saya (Siti Mariam Mohamed Salim) di atas kesudian beliau meminjamkan kamera SLR digital Canon EOS 400D bersama lensa Tamron 18 - 270 mm nya. Terima kasih daun keladi, lain kali boleh pinjam lagi ( :Nota:
(2) Peta laluan perjalanan Sabak Bernam - Shah Alam saya boleh dilayari di pautan ini atau secara terus di gambarajah disertakan di bawah.
No comments:
Post a Comment