ADS

15 August 2011

Kayuhan Balik Kampung: Bahagian 2

Lanjutan dari siri terdahulu

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar

06.03.2011, Ahad.
Dari duduk di rumah tak berbuat apa - apa, adalah lebih baik saya keluar berjalan - jalan menjengah kawasan sekitar. Pada petang hujung minggu itu, saya mengambil keputusan untuk ke pantai di Bagan Nakhoda Omar atau lebih dikenali sebagai BNO oleh warga Sabak Bernam. Jarak dari kediaman ibubapa saya di Taman Kenangan ke pantai BNO adalah sejauh lapan belas kilometer.

Saya bertolak meninggalkan rumah pada tepat jam 1800 petang, memasuki Jalan Persekutuan No. 5 dengan jarak tidak sampai tiga kilometer sebelum beralih ke Jalan Bagan Terap (B53) melalui pekan Sabak Bernam dan menuju ke hala Sekendi / Sungai Air Tawar.


Haaa, inilah opah saya, Halimah Binti Salleh. Dia juga merangkap emak kepada emak saya hehehe ...


Di persimpangan lampu isyarat Jalan Bagan Terap (B53) dan Jalan Sungai Air Tawar (B55), saya mengambil ke arah kanan menuju Bagan Nakhoda Omar (BNO). Lebih kurang empat puluh lima minit selepas bertolak meninggalkan Sabak Bernam, saya sampai di persimpangan memasuki pantai Bagan Nakhoda Omar. Sepatutnya saya sampai lebih awal dari masa ini, tetapi kerana beberapa kali berhenti untuk berfotografi ianya menjadikan jarak sejauh lima belas kilometer menjadi empat puluh lima minit.


 Seri: Enam belas sama ...


 Pelihara kampung kita dari gejala sosial ...


 Persimpangan masuk ke pantai BNO


Memasuki jalan bertar menuju ke pantai BNO, saya terlihat seorang pakcik sedang mengerjakan kebun kecilnya yang terletak di tebing sebuah parit. Basikal tua yang dinaikinya, menjadi subjek fotografi yang menarik pada pandangan saya. Selesai mengambil gambar, beliau terperasan akan gelagat saya. Saya kemudian menghampirinya, memberikan ucapan salam dan berjabat tangan. Apabila ditanya beliau tentang kegunaan foto saya ini, saya cuma menjawab "untuk suka - suka aje pakcik, koleksi sendiri" ... Beredar dari situ, saya kemudiannya ke pengkalan nelayan berhampiran sebuah pintu kunci air. Terdapat sebuah jeti konkrit yang saya fikir ianya dibina oleh kerajaan, disamping beberapa jeti kayu yang dimiliki pihak persendirian. Kawasan berhampiran juga terdapat beberapa rumah yang dihuni oleh orang Melayu, yang saya jangkakan punca pendapatan utama mereka ialah dengan menangkap ikan di laut.


 Seorang pakcik sedang mengerjakan kebun kecil di tepi parit


Bot - bot nelayan tempatan yang diparkir di jeti konkrit.


Puas bergambar dengan bot - bot nelayan di jeti, saya meneruskan kayuhan menuju ke pantai. Terdapat sederet rumah yang dibina di tebing sungai berhampiran, dengan tiang rumah masing - masing dibina tinggi untuk mengelakkan rumah dari ditenggelami ketika air pasang. Boleh dikatakan keseluruhan rumah dihuni oleh kaum Cina, yang juga kelihatan bergantung pada hasil laut sebagai punca pendapatan utama mereka. Beberapa minit kemudian, saya pun tiba di kawasan pantai. Pantai tersebut penuh sesak dengan pengunjung, ada yang datang untuk makan di restoran yang terdapat di situ, ada yang datang membawa anak - anak untuk bermain layang - layang dan tidak kurang juga pasangan muda - mudi yang memadu kasih di situ. 

Kelihatan matahari hampir tenggelam di ufuk barat. Nun sayup - sayup di sana saya nampak sebuah bot nelayan bersama dua orang awak - awak sedang menangkap kerang menggunakan alatan khas berupa bakul besi yang diikatkan pada sebatang kayu / logam ringan.


Pemandangan nelayan menangkap kerang berlatarbelakangkan pemandangan matahari terbenam


Seorang anak kecil leka bermain ombak laut, sambil dipantau oleh ayahnya dari jarak dekat


Matahari beransur - ansur turun, seolah mengucapkan selamat malam pengunjung BNO


Seorang gadis kecil turut menikmati pemandangan matahari terbenam


 Pemandangan matahari terbenam dan bot nelayan yang pulang dari menangkap kerang


Apabila langit semakin hampir gelap lebih kurang jam 1930 malam, saya pun pulang meninggalkan kawasan pantai BNO, kembali menuju ke Sabak Bernam dengan jalan sama seperti saya datang sebelumnya. Sempat singgah di surau stesyen minyak Petronas Bagan Nakhoda Omar untuk bersolat Maghrib dan kemudiannya menyambung perjalanan pulang. Laluan menuju ke persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Air Tawar - Jalan Bagan Terap agak gelap kerana bukan semua lorong masuk ke jalan kampung mempunyai tiang lampu. Walaubagaimanapun suluhan lampu dari kenderaan yang datang dari arah belakang membantu kayuhan saya dengan lebih lancar lagi. Saya menggagak yang kenderaan yang tidak putus datang dan kembali ini mungkin ibubapa yang menghantar anak - anak mereka ke beberapa institusi pengajian yang terdapat di sekitar kawasan mukim Sungai Air Tawar.

Apabila waktu menghampiri jam 2030 malam, saya tiba di Taman Kenangan dengan selamat tanpa dikejar oleh anjing seperti sebelum ini yang pernah berlaku kepada saya. Legaaa ...


Jumlah jarak kayuhan pergi balik Taman Kenangan - BNO

  
"Indecision and delays are the parents of failure" - George Canning




2 comments:

gadisBunga™ said...

hey, awak masih ada opah! bestnyer!

saya punya atuk nenek sampai ke nenek tiri sume dah takde. huuu~

anyway, kat area tu saya pernah pegi pasar pasir penambang cari seafood fresh. itu pun sebab jeti yang dicari tak jumpa.

tapi akhirnya lepas 2 kali sesat, jumpa juga jeti yang diidamkan. kat jeti sungai yu...puas hati beli ikan yang keras kejung baru naik dari bot! haha!

Azizan Zolkipli said...

gadisBunga: Alhamdulillah syukur, kedua2 opah baik belah mak (Sabak Benam) mahupun belah ayah (Teluk Intan) masih ada & sihat lagi untuk menyaksikan anak cucu cicitnya.

Pasir Penambang ? ehhh, bukan ke itu di kawasan Kuala Selangor kan ? Jeti Sungai Yu, alamak tak pernah pergi lah pulak ...