Bersambung dari siri yang lalu
04.02.2011, Jumaat, masih di hari ketiga kayuhan ...
Nota: Perkataan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut, imej beresolusi lebih tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Semua gambar yang digunakan, adalah hakcipta terpelihara saudara Piko, yang turut menyertai kayuhan ini. Terima kasih dan ucapan penghargaan saya berikan pada beliau.
- apabila peserta telah meninggalkan kawasan Kampung Gelugur, aku dan Hairul mengambil kesempatan sebentar untuk berehat, pergi ke kedai mini berhampiran van kami bagi mendapatkan kudapan untuk dimakan semasa memandu. Pemilik kedai mini tersebut kelihatan berminat dengan program kayuhan kami dan bertanyakan beberapa soalan pada kami. Beberapa pertanyaan tersebut kami jawab dan akhirnya berakhir dengan aku dan Hairul menghabiskan beberapa minit berborak dengan abang tersebut. Dari perbualan yang berkisar tentang kayuhan kami, beralih pula pada perkembangan airterjun Berkelah dari dahulu hingga sekarang. Menyedari yang kami telah lama menghabiskan masa bersembang, aku dan Hairul kemudiannya bersalaman dan meminta diri untuk menyambung perjalanan.
- Hairul dan aku bergegas untuk memintas peserta – peserta, bertujuan bagi mencari lokasi sesuai untuk hentian seterusnya. Jika mengikut perancangan atas kertas, selepas Kampung Gelugur hentian seterusnya adalah berhampiran TUDM Kuantan. Tetapi memandangkan perancangan asal telah lari dari sasaran, dengan mengambil kira juga faktor kepanasan akibat cuaca yang terik. Aku mencadangkan pada Hairul agar hentian selepas ini adalah di sekitar kawasan Gambang. Kami menemukan peserta – peserta ketika jalan menghampiri laluan pendakian sekitar jam 1534, aku mengambil gambar mereka dari arah belakang sebelum kami memintas untuk terus ke Gambang.
jam 1534: Laluan pendakian kelihatan di hadapan menanti setiap peserta
- dalam perjalanan, menghampiri jam 1540, kami menemukan sebuah batu penanda jarak ke Kuantan di tepi jalan. Aku menyuruh Hairul berpatah balik, berhenti di tempat redup agar boleh mengambil foto ketika konvoi peserta melalui kawasan tersebut. Lebih kurang jam 1543 peserta melepasi kawasan batu penanda tersebut. Jalan di kawasan tersebut mempunyai lebar jalan yang cukup - cukup, dengan tiada langsung bahu jalan yang bertar. Dengan itu konvoi peserta telah mewujudkan satu kesesakan kecil di belakang mereka. Terdapat sebuah lori yang mungkin naik berang kerana tidak dapat memintas konvoi, kemudiannya membunyikan hon udara (air horn) lorinya membuatkan sebahagian dari peserta terkejut lalu termasuk ke bahu jalan. Mujurlah bahu jalan itu sama aras dengan jalan dan hanya mempunyai permukaan berumput.
jam 1543: Dua ratus dua puluh dua (triple two) kilometer telah ditempuhi oleh sebahagian besar peserta
Empat puluh kilometer masih menantikan mereka untuk sampai ke bandar Kuantan
Bunyi hon lori membuatkan semua peserta terkejut lalu terbabas ke bahu jalan
- apabila peserta kayuhan telah meninggalkan kawasan tersebut, tibalah giliran untuk aku dan Hairul berfoya – foya hehehe ... kebetulan terdapat beberapa subjek flora menarik di tepi jalan, inilah peluang untuk kami mengasah bakat dalam bidang fotografi menggunakan kamera Nikon D80 dan lensa makro milik Piko. Tumbuhan periuk kera (monkey cup), lelabah, semut, dedaunan gugur serta pokok paku pakis menjadi subjek pilihan kami berdua. Sesudah puas berfotografi, kami berdua teruskan perjalanan ke Gambang.
Sessi berjimba - jimba menggunakan kamera pinjam hehehe ...
- tidak sampai tiga puluh minit perjalanan, kami berdua tiba di kawasan Gambang, melepasi simpang empat lampu isyarat menghala ke Kuantan – Lebuhraya Pantai Timur dan Segamat. Dari situ, kami meneruskan perjalanan bagi mencari hentian sesuai, tapi nampaknya tidak sebaik stesyen minyak Petronas melepasi simpang empat berlampu isyarat yang kami nampak tadi. Kami berpatah balik ke arah pekan kecil Gambang untuk mendapatkan peserta – peserta. Tetapi tidak kelihatan pula, aku kemudian menghantar sms bertanyakan lokasi mereka. Rupanya mereka telah berhenti di stesyen minyak BHP di pekan Gambang. Patutlah kami tidak perasan akan lokasi mereka, kerana stesyen tersebut terletak di sebelah kanan jalan. Sms balasan yang aku terima dari salah seorang dari mereka memberitahu, mereka berhenti di stesyen minyak BHP untuk berehat dan membeli air minuman yang telah kehabisan.
- Aku menghantar sms lagi supaya mereka mendapatkan kami di tepi kolam ikan yang terletak betul – betul berhampiran simpang empat lampu isyarat. Sementara menunggu, kami berdua bergambar kenangan bersama binaan aluan selamat datang ke Cherating. Hairul yang kelihatan telah ‘obses’ menangkap gambar menggunakan lensa makro, mengambil peluang untuk merakamkan aksi – aksi seekor mentadak mentadu. “Mentadak, mentadu macam mana engkau tidur”, katanya berulang kali sambil memegang kamera hahaha ...
Hairul beraksi ala - ala bermain luncur layar
Mentadak mentadu a.k.a 'kungfu cengkadak mabuk' turut menjadi mangsa rakaman fotografi kami
- sekitar jam 1645, konvoi peserta tiba dari arah Gambang dan bertemu aku dan Hairul. Mereka berhenti di tepi pagar kolam pancing tidak jauh dari van kami, yang kebetulan mempunyai kawasan berumput dan beberapa pokok berdaun kecil tetapi dapat meneduhi kami dari panas matahari. Piko, selaku tuan empunya kamera meminta aku mengambil gambar beliau berlatarbelakangkan binaan aluan selamat datang ke Cherating. Dengan angin sepoi – sepoi bahasa yang bertiup, kelihatan seorang demi seorang ‘tumbang’, berbaring merehatkan diri sambil menikmati pemandangan kolam pancing. Bermula dengan Afiq dan Meera, diikuti Bart, Vida dan kemudian Mar. Bart dan Vida yang pada mulanya aku sangkakan hanya berehat, rupanya mengambil kesempatan untuk tidur dengan bersembunyikan lensa kacamata mereka. Haaa, kantoiii ...
Piko juga mahu beraksi di binaan selamat datang ke Cherating
jam 1648: Berhenti rehat di tepi kolam pancing sambil menikmati pemandangan
Afiq dan Meera yang mula - mula tumbang ...
Diikuti oleh Bart ...
Masa ni, Vida belum tumbang lagi. Tapi kemudiannya ...
Aksi nakal Piko, sambil diperhatikan oleh pemancing dalam kolam ikan
Mereka - mereka yang tertewas ...
- melihatkan seorang demi seorang peserta telah merebahkan diri untuk tidur, aku yang juga cemburu juga mengambil kesempatan untuk tidur, tetapi memilih untuk merebahkan diri di dalam van. Agak malang pada permulaan kerana kerusi penumpang van tersebut tidak dapat diturunkan kerana pemegangnya patah. Itu tidak dapat menghalang niat aku kerana dengan bantuan sebuah allen key, aku berjaya menurunkan kerusi tersebut. Dah terasa diri ni macam dalam cerita bersiri MacGyver lah pulak hahahaha ... Tidurku terganggu sebanyak dua kali, tiap kalinya terjaga aku akan melihat pada kelompok peserta. “Ok, diaorang belum bangun dan boleh aku sambung tidur sikit lagi” ... Kali keduanya terjaga, “ehhh, diaorang tak bangun pun lagi bila pula nak mula bergerak ni” ... aku lantas menyambung kembali tidur ...
- lebih kurang menghampiri jam 1745, aku bangun dari tidur dan kelihatan semua peserta telah bangun dari tidur dan seolah – olah sudah mahu menyambung kayuhan kembali. Aku ke belakang van, mengambil sebotol air minuman membasuh muka bagi menyegarkan badan kembali. Seterusnya datang ke arah peserta, lalu menyuarakan hasrat untuk bergambar kenangan di binaan aluan selamat datang ke Cherating. Bagi sesi terakhir perjalanan Gambang ke Teluk Cempedak melalui bandar Kuantan ini, Bart bersama Mar dan Afiq didapati telah berjaya membuat ‘pertukaran suka sama suka’ untuk menukar basikal masing – masing. Sesudah selesai dengan sesi fotografi, pada jam 1804 semua peserta menyambung kayuhan manakala aku dan Hairul pula bergegas ke hadapan untuk berhenti di dua lokasi papantanda yang aku rasakan mempunyai sudut menarik untuk merakamkan gambar.
Model papantanda bandar Kuantan ?
Bergambar kenangan ramai - ramai di binaan aluan selamat datang ke Cherating
Alalalala, dia pun nak bergambar juga ...
Amboiii, kemain sakan lagi Hairul melompat ekk ...
Perjalanan tinggal dua puluh lapan kilometer lagi menuju ke pantai Teluk Cempedak
Ikut rasa, ikut suka, ikut hati ...
Hairul bingung, memikirkan samada semua peserta Kayuhan Pelbagai Ideologi ini mengikut rasa, suka ataupun hati ...
Melalui sedikit laluan pendakian selepas pekan Gambang
Bart kelihatan menukar basikal dengan Mar, adakah terdapat 'udang disebalik batu' ?
- dalam perjalanan menuju ke bandar Kuantan, kami berdua bersua dengan beberapa papantanda penjagaan kebersihan dan berhati – hati dalam pemanduan yang bunyinya kelihatan sinis, tapi mungkin cukup baik untuk menyedarkan pengguna – pengguna jalanraya yang membacanya. Aku dapat mengambil beberapa shot, tetapi hanya satu yang boleh dilihat jelas kerana yang lainnya kelam dan kurang menarik akibat halangan cermin hadapan van kami.
" Tak rasa bersalah ke ? "
- aku dan Hairul terus kehadapan menghala ke bandar Kuantan, bercadang untuk mencari tempat hentian makan malam sebelum menyambung perjalanan ke Teluk Cempedak. Ketika menghampiri jambatan yang melintasi sungai Kuantan, kami berhenti di sebuah tempat yang kelihatan seperti R & R, kalau tidak pun seperti sebuah medan selera. Kami berdua membuat tinjauan di tempat ini, dan mendapati ianya sesuai untuk kami berhenti di sini. Terdapat beberapa kedai makan di sebelah belakang yang telah dibuka, dengan mempunyai pemandangan menarik ke arah sungai Kuantan. Sms dilayangkan pada peserta memberitahu tentang lokasi kami, sementara menunggu mereka sampai aku dan Hairul mengambil kesempatan menikmati panorama matahari terbenam dari kawasan paling tinggi di tengah jambatan.
Pemandangan Sungai Kuantan dari bahagian tengah jambatan
Pakcik yang terpaksa bersusah payah menolak basikalnya melalui laluan pendakian
Pemandangan jambatan yang melintasi Sungai Kuantan (dari arah Gambang)
Pemandangan dari jeti berhampiran medan selera
- hari telah pun gelap ketika konvoi semua peserta tiba di lokasi kami berdua menunggu. Kami meletakkan basikal berhampiran meja dan kerusi sebuah kedai makan di situ, kemudiannya ke arah jeti tepi sungai untuk berehat di samping menikmati pemandangan senja Sungai Kuantan. Kami bergambar kenangan, seterusnya mencuba satu teknik fotografi dengan cuba membuat huruf T dan C, singkatan kepada Teluk Cempedak.
Bergambar kenangan berlatarbelakangkan bot di sungai Kuantan
Angle lain pula, kali ini lebih terang ...
TC, mewakili Teluk Cempedak. Teknik fotografi ini tidak berapa menjadi kerana tempat agak cerah
- semasa kami berada di jeti tersebut, seorang pakcik yang memancing berhasil mendapat seekor udang galah yang agak besar dan ini membuatkan semua yang berada di jeti tersebut teruja untuk melihat.
Piko bersama hasil tangkapan udang galah oleh seorang pemancing di jeti
- kami meninggalkan jeti dan kembali ke arah basikal kami, lantas menduduki meja yang dicantumkan untuk menempatkan kami semua. Seorang makcik yang mengambil pesanan, kelihatan beriya – riya mewar – warkan menu speselnya iaitu chicken chop dan tomyam. Aku yang kebetulan memang mengidam untuk makan tomyam, tanpa membuang masa terus memesan menu tersebut manakala yang lain masing – masing dengan pesanan makanan dan minuman tersendiri. Semasa kami sedang menunggu makanan, datang pula sekumpulan kawan – kawan Zulhabri yang secara kebetulan dalam perjalanan ke Kuantan untuk menghadiri PLORE, sebuah aktiviti seni yang akan diadakan di Teluk Cempedak pada keesokan harinya. Mereka turut bersama kami untuk makan malam, di meja yang ditambahkan lagi untuk menempatkan mereka pula.
Peneman kami ketika makan ( :
- peserta meninggalkan perkarangan tempat meletak kereta medan selera Sungai Kuantan pada jam 2145 bagi menyambung perjalanan ke Teluk Cempedak. Memasuki bandar Kuantan, memang menarik pemandangan pada waktu malam kerana dihiasi lampu berbentuk tanglung, sempena menyambut kedatangan perayaan Tahun Baru Cina.
Bersedia untuk memulakan kayuhan fasa terakhir ke pantai Teluk Cempedak
Piko sempat bergurau dengan rakan - rakan sebelum memulakan kayuhan
Hiasan lampu berbentuk tanglung dipasang di merata tempat dalam bandar Kuantan sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina
Peserta di persimpangan lampu isyarat terakhir sebelum tiba di pantai Teluk Cempedak
- satu kilometer terakhir sebelum sampai ke Teluk Cempedak, terdapat satu halangan terakhir iaitu laluan pendakian pendek yang boleh tahan juga curamnya. Sampai di puncak pendakian, laluan akan menurun dan seterusnya landai hinggalah ke pantai Teluk Cempedak. Hairul dan aku meletakkan van kami berhampiran tangga ke sebuah hotel bajet. Kami mengambil keputusan untuk meletakkan van di situ kerana tempat meletak kereta berbayar telah penuh, lagipun di situ agak selamat kerana berkeadaan cerah dan ramai orang lalu lalang di situ. Kami berdua ke tepi pantai untuk mendapatkan peserta – peserta. Masing – masing berwajah ceria kerana berjaya menghabiskan kayuhan yang dirancang dengan selamat tanpa sebarang kemalangan dan bahaya tidak diingini.
- kami ke lokasi di tepi pantai, meletakkan semua basikal dan mendirikan khemah bersama – sama rakan yang telah datang terlebih dahulu ke situ.
- kemudian, kami terpaksa mengalihkan basikal ke tembok di tepi tebing tanah untuk memberi laluan pada rakan – rakan yang akan mendirikan khemah di sekeliling kawasan kami.
Basikal terpaksa dialihkan ke bahagian tepi untuk membolehkan khemah - khemah dipasang dan rakan - rakan dapat menggunakan bahagian lapang di tengah untuk sesi perkenalan
05.02.2011, awal pagi Sabtu
- Tidak aku ingat siapakah sebenarnya yang mengutarakan idea untuk bersiar – siar di bandar Kuantan. Sebelum itu, satu sesi perkenalan telah dibuat oleh peserta – peserta yang bakal membuat persembahan untuk acara seni PLORE. Kami tidak menyertai, bukan kerana ‘anti – sosial’ tapi siapalah diri kami ini yang sekadar orang biasa. Sekitar jam 0200 kami meninggalkan pantai Teluk Cempedak dengan berbasikal untuk ke Kuantan. Mar dan Meera menolak untuk mengikuti kami, mungkin kerana mahu berehat setelah perjalanan jauh yang memenatkan. Lagipun basikal hanya terdapat lapan buah, manakala kami semua berjumlah sepuluh orang
Jam 0136: Sessi perkenalan oleh peserta - peserta program PLORE
- Kami meninggalkan kawasan Teluk Cempedak, memasuki bandar Kuantan dan mencari laluan ke Esplanade Sungai Kuantan. Kami memilih untuk melalui kawasan khemah – khemah jualan, semacam satu karnival yang aku tidak pasti, yang kebanyakannya telah pun ditutup kerana hari telah lewat malam. Di sini, Pa’an berjumpa rakan sepengajiannya yang sedang memancing. Ramai juga warga tempatan yang memancing di tebing sungai pada malam itu.
Bahagian tebing Sungai Kuantan yang dinamakan sebagai Esplanade, dengan terdapat deretan khemah jualan
Papantanda besar di bahagian seberang sungai Kuantan yang sayup - sayup kelihatan dalam kelam malam
Pa'an terserempak dengan rakan pengajiannya yang sedang memancing di tepi sungai Kuantan
Deretan pemancing tekun memegang rod pancing masing - masing
- Hajat hendak ke jeti Kuantan River Cruise terpaksa dibatalkan, kerana pintu masuknya berkunci. Nak tak nak, bergambar kenangan ajelah di hadapan pintu masuk ke jeti tersebut.
Jeti untuk trip pelancongan 'Kuantan River Cruise'.
Piko di hadapan pintu masuk ke jeti yang berkunci pagarnya
Tidak dapat bergambar di dalam kawasan jeti, di bahagian luar pun memadailah ...
- dari pinggir kawasan tebing sungai Kuantan, kami memasuki kawasan bandar semula, dalam pencarian kedai mamak untuk berhenti makan atau minum. Terdapat beberapa kedai mamak yang terletak bersebelahan sebuah kompleks membeli belah, kesemuanya diletakkan papantanda tajaan sebuah syarikat telekomunikasi. Kedai yang mula – mula kami pergi, telah kehabisan makanan dan sambutan dari staf kedai tersebut amat ‘dingin’. Kami beralih ke kedai kedua yang terletak di hujung. Kedai tersebut hanya menyediakan menu makanan terhad kerana beberapa gerai di dalamnya telah ditutup. Sambutan staf tersebut juga amat ‘dingin’, dan kadang – kadang dirasakan agak ‘kurang sopan’.
Suasana waktu malam Masjid Sultan Ahmad Shah
- Hairul menggunakan aplikasi dalam telefon bimbit Black Berry nya, menulis beberapa komen mengenai mutu layanan dan servis kedai ini. Bagi aku, kalau di Kuala Lumpur kedai ini mungkin akan kurang pelanggannya dan mungkin perniagaan akan lingkup. Tetapi di Kuantan ini, barangkali kedai mamak tidak banyak dibuka jadi pelanggan – pelanggan tiada pilihan selain ke kedai mamak yang terdapat di sini.
- waktu menunjukkan telah menghampiri jam 0415, masing – masing pun telah mula mengantuk. Vida, ‘sang wanita waja’ kami turut menunjukkan tanda – tanda serupa. Selesai membayar harga makanan dan minuman, kami bersedia untuk meninggalkan kedai mamak tersebut. Dalam pada itu, Hairul yang masih tidak berpuas hati masih menggunakan aplikasi telefonnya untuk membaca komen pengguna lain tentang mutu perkhidmatan restoran tersebut. Rupa – rupanya, memang selama ini telah terdapat banyak komen berbau negatif mengenai servis di kedai makan tersebut. Nampak gayanya, selepas ini kenalah rujuk pada aplikasi tersebut sebelum singgah di mana – mana kedai untuk makan. Sekitar jam 0500 pagi, semua telah selamat sampai kembali di pantai Teluk Cempedak. Aku dan Hairul memilih untuk tidur dengan menggunakan hammock yang diikat pada dua batang pokok ru untuk kami tidur ...
Mata Vida telah pun kuyu menandakan masuknya waktu tidur bagi kawasan Kuantan dan yang sewaktu dengannya hehehe ...
No comments:
Post a Comment