ADS

16 March 2011

Kayuhan Pelbagai Ideologi: Hari 2, Bhgn 2

Sambungan dari bahagian sebelumnya.

Nota: Perkataan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut, imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Semua gambar yang digunakan, adalah hakcipta terpelihara saudara Piko, yang turut menyertai kayuhan ini. Terima kasih dan ucapan penghargaan sama - sama kita berikan pada beliau

* Khamis, 03.02.2011, hari pertama Tahun Baru Cina, tahun arnab * 
* Temerloh - Maran *

- Dari Shell di tepi jalan pintasan Temerloh - Mentakab, perjalanan hanya tinggal tidak sampai dua kilometer menuju ke hentian rehat Bukit Angin. Semasa zaman ketiadaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), hentian ini menjadi tumpuan para pengguna laluan Persekutuan No. 2 ini untuk berhenti rehat, makan, menggunakan tandas dan juga bersolat. Akhirnya, selepas berkayuh empat jam dengan jarak lebih lima puluh empat kilometer, mereka pun sampai di hentian rehat yang dimaksudkan.

- Sampai berhampiran hentian rehat, aku menggunakan radio untuk menghubungi Pa'an supaya singgah di hentian yang terdapat di sebelah kanan laluan. Malang bagi aku dan Hairul yang terlepas simpang masuk ke situ, kami melalui jambatan melintasi Sungai Pahang dan kemudian mencari simpang untuk melakukan pusingan U. dari seberang, kami kemudian melintasi kembali jambatan untuk menyertai mereka bersama - sama untuk makan 'lewat tengahari' atau 'minum petang menu berat' hehehehe ... masing - masing nampak berselera walaupun dalam keletihan, dalam kayuhan touring ini letih ataupun tidak, kita harus makan demi untuk menambah tenaga.


 jam 1630: Tiba di hentian rehat Bukit Angin. hmm, dah pandai susun basikal macam ni aaa. bagusss ..


 Gerai No. 15, Anjung Jr. menjadi pilihan kami untuk makan 'lewat tengahari' pada petang itu


- Di hentian rehat ini, aku dan Hairul tidak mengambil sebarang makanan kecuali minum sahaja, mungkin masih lagi kekenyangan makan cendol bersama laksa di bawah pokok selepas semua peserta meninggalkan stesyen minyak Petronas untuk menyambung perjalanan. Semasa hendak membayar harga minuman, aku ternampak sebuah potret besar yang dibingkaikan, gambar tauke restoran bersama Dato' Siti Nurhaliza. Selepas makan, kelihatan peserta masing - masing melayan perasaan; ada yang tidur, membaca akhbar, berborak dan tidak kurang juga yang termenung mungkin memikirkan cabaran seterusnya ...


 Penat tidak menghalang selera makan peserta dari menghabiskan makanan mereka ...


 Entah apalah yang mereka tertawakan tu ...


 Kibaran Jalur Gemilang, mungkin semangat peserta juga berkobar - kobar seumpamanya


 Gambar tauke kedai makan bersama Dato' Siti Nurhaliza


 Tidur ...


Tidur juga ...


Gagal untuk tidur, sebaliknya mengikuti perkembangan semasa tanahair ...


- lebih kurang jam 1730, peserta meninggalkan hentian rehat, mengambil jalan jauh untuk membuat pusingan U melalui dua lampu isyarat jalan Temerloh - Bera untuk kembali ke laluan Persekutuan No. 2. aku telah beberapa minit terlebih awal bersedia di atas jambatan untuk mencari sudut - sudut menarik untuk berfotografi. setelah memberi arahan melalui radio, sepuluh minit selepas meninggalkan hentian rehat, peserta pun melalui jambatan seperti yang aku arahkan. aku bersedia dengan dua lokasi iaitu di papantanda Sungai Pahang, juga di lokasi tengah - tengah jambatan. sempatlah juga aku bersiar - siar di atas jambatan sambil menikmati panorama sungai Pahang, dengan kamera ditangan bagi merakamkan kehidupan dan pemandangan. 


 jam 1738: Membuat pusingan U untuk kembali ke laluan asal


 Memasuki jambatan yang melintasi Sungai Pahang, sungai terpanjang semenanjung Malaysia


Peserta di bahagian tengah jambatan


Pemandangan Sungai Pahang dan sebahagian bandar Temerloh


Bot masih menjadi kenderaan utama penduduk sekitar tebing sungai Pahang untuk berurusan


- aku ke hujung jambatan, bertujuan memudahkan Hairul mengambil aku di bahagian yang selamat di mana terdapat ruang di bahu jalan untuk kenderaan berhenti. ketika berjalan menghampiri hujung jambatan, aku dikagumkan dengan seekor kerbau besar yang melintas untuk ke seberang jalan seolah - olah tidak takut dengan sebarang kenderaan yang datang menghampiri. alahaiii, lensa kamera Piko ini terlalu pendek untuk aku merakamkan saat - saat itu. aku pantas berlari tetapi malangnya telah terlepas sudut yang dikehendaki. kesian aku ... walaubagaimanapun, aku mendapat peluang untuk merakamkan gambar seekor kerbau berhampiran antara banyak - banyak kerbau yang sedang meragut rumpur. 'kiut' sungguh kerbau itu hehehehe ...


 "Haiii, kiut tak saya ?"


- di penghujung jambatan, terdapat sebuah batu penanda jalan yang menunjukkan jarak ke Maran berbaki empat puluh lapan kilometer manakala ke Kuantan lagi seratus dua puluh lima kilometer ... dah tak jauh lagi ke Maran, legaaa ...


 Perjalanan masih bersisa 48 kilometer untuk ke Maran


- sebaik sahaja Hairul mengambil aku di hujung jambatan, kami berdua meneruskan perjalanan untuk membuat tinjauan tentang tempat hentian dan juga lokasi penggambaran menarik. setelah beberapa kilometer memandu, kami teruja dengan papantanda selamat datang ke daerah Maran. yeayyy, dah masuk pun daerah Maran !! Hairul memberhentikan van dan kami mengambil peluang untuk berehat di situ. sementara menunggu kedatangan para peserta, kami dihiburkan seketika dengan sekumpulan kera yang bergayutan pada talian telefon yang berjuntaian. sekitar jam 1817, kelihatanlah konvoi peserta dan aku mengisyaratkan mereka melalui radio untuk merapatkan jarak bertujuan supaya kelihatan nampak menarik semasa bergambar nanti. melepasi lokasi aku di tepi jalan, mereka berhenti di papantanda aluan selamat datang ke daerah Maran. di sini, kami semua bergambar dengan bermacam - macam gaya ( :


 jam 1810: Kera menyambut ketibaan Hairul dan Wakjan di sempadan Temerloh - Maran


 jam 1818: Konvoi peserta meninggalkan daerah Temerloh untuk masuk ke daerah Maran


 Bergambar kenangan beramai - ramai di papantanda sempadan daerah Maran


Piko, dengan gaya tersendiri bersama kenderaan logistik kami


 Mercutanda daerah Maran


- setelah lebih kurang berhenti selama sepuluh minit, konvoi kemudian bergerak kembali menyambung perjalanan. menyedari yang kami telah memasuki daerah Maran, tetapi belum menemui lokasi sesuai untuk bermalam. aku menggesa Hairul untuk ke bandar Maran bagi kami meninjau lokasi sesuai. dalam perjalanan, kelihatan paras air beberapa sungai di jambatan yang kami lintasi berada pada paras tinggi. semasa menghala ke Maran, kami sempat melihat seorang sedang menjala di padang bolasepak yang telah dibanjiri air sungai. kami berpatah balik dengan niat untuk merakamkan adegan tersebut. malangnya apabila kami berpatah balik, pemuda tesebut telah pun menaiki motorsikalnya dan telah habis menjala. terdapat seorang pemuda kelihatan membasuh motornya di tepi padang tersebut. hmmm, tiada rotan, akar pun bergunalah ... janji dapat merakamkan suasana sekitar pada masa itu.


 jam 1831: Dalam perjalanan menuju Maran


jam 1840: Padang bolasepak digenangi air akibat paras sungai berhampiran meningkat


-sampai di bandar Maran, aku menyuruh Hairul memasuki arah ke kiri di satu persimpangan. satu dari perancangan awal aku ialah untuk bermalam di Airterjun Teladas. airterjun ini aku sudah lama tidak kesitu, paling terakhir ialah mungkin pada penghujung tahun 80an dalam perjalanan kami pulang ke kampung, ketika aku sekeluarga masih menetap berhampiran Cherating. kami gagal menemukan sebarang papantanda untuk ke situ, membuat kami cuma mengikuti jalan itu sehingga ke penghujung. tiba di penghujung jalan, tiada lagi jalan bertar sebaliknya jalan tanah yang mempunyai pos pengawal sebuah syarikat ladang kelapa sawit milik swasta. di situ, aku menanyakan arah ke airterjun dan beliau mengatakan persimpangan masuk adalah selepas sebuah sekolah. kami berdua berpatah balik dan cuba mencari jalan seperti yang diberitahu. jalan tersebut membawa kami ke arah sebuah kawasan besar perumahan kakitangan kerajaan. "hmmm, mana pula jalan ke airterjun tu ? sebarang papantanda pun tiada" ... kami menanyakan arah pada seorang abang yang baru keluar dari keretanya, beliau menunjukkan kami arah ke airterjun seraya memberitahu yang beliau sebagai warga tempatan pun telah lama tidak ke situ dan tidak mengetahui keadaan laluan.

- aku dan Hairul mahu mencuba melalui jalan yang ditunjukkan sebentar tadi. permulaan laluan bertar itu curam dan sempit. di satu bahagian, terdapat tebing bukit yang mempunyai kesan tanah runtuh. kami berdua bertawakkal sahaja ketika melalui tebing tersebut. jalan di pinggir hutan itu kemudian membawa kami ke sebuah jambatan yang melintasi Lebuhraya Pantai Timur. Terdapat pemandangan menarik di situ dengan bukit yang telah ditarah dan disimenkan. perjalanan diteruskan dan kami memasuki semula jalan di pinggir hutan sehinggalah ke penghujung jalan bertar. oleh kerana keadaan telah mula gelap di situ, kami memutuskan untuk melihat keadaan di situ dari luar sahaja. terdapat beberapa pondok berbumbung yang menarik untuk kami bermalam, tetapi kemudahan asas seperti tandas, lampu jalan, malahan juga tiada sebarang kedai mematikan niat kami untuk bermalam di situ. ditambah dengan perjalanan yang  jauh dengan beberapa laluan pendakian, kami berdua bersetuju untuk tidak bermalam di situ dan meninggalkan airterjun Teladas untuk mencari lokasi lain. 

- semasa meninggalkan kawasan airterjun, dalam perjalanan balik kami sempat menikmati pemandangan matahari terbenam dari atas jambatan yang melintasi lebuhraya Pantai Timur. semasa sedang menikmati, sayup - sayup kedengaran azan Maghrib dilaungkan dan kami memutuskan untuk menunggu sehingga azan habis berkumandang barulah meninggalkan tempat itu. menuju kembali ke bandar Maran, kami ternampak sebuah taman permainan berhampiran sebuah dewan yang mungkin boleh dijadikan lokasi bermalam. tetapi nampaknya tiada tandas di sebelah luar dewan. jadi kami memutuskan untuk mencari lokasi lain. kami menghala keluar dari arah bandar Maran menuju ke Kuantan. terdapat sebuah stesyen Petronas disebelah kiri jalan yang terdapat kawasan lapang berumput sesuai dijadikan tempat perkhemahan. terus ke arah Kuantan, kami ternampak sebuah papantanda bertulis D' Mara R & R Maran. hmmm, mungkin itu tempat yang kami cari - cari. Hairul menghalakan van kami ke arah R & R tersebut, yang terletak tinggi sikit dari aras jalan utama. Setelah diteliti, nampaknya R & R itu mempunyai ciri - ciri kemudahan asas seperti kedai makan, tandas awam dan surau. aku dan Hairul bersetuju untuk memilih satu sudut di hujung sebelah kiri yang difikirkan sesuai. 


jam 1929: Hairul bersama kenderaan logistik, di atas jambatan melintasi Lebuhraya Pantai Timur, dalam perjalanan balik dari meninjau airterjun Teladas


- aku kemudian mengajak Hairul untuk mencari kembali di manakah lokasi terakhir konvoi kerana hari telahpun mulai gelap. dikhuatiri beberapa peserta tidak mempunyai lampu keselamatan (blinker) dan lampu hadapan untuk bergerak dengan selamat dalam suasana gelap malam. kami berpatah balik menghala ke Temerloh, semasa itu ternampaklah kelipan lampu peserta dalam kegelapan malam. kami berpatah balik untuk mendapatkan mereka dan melalui radio, aku mengarahkan mereka untuk berhenti di sebuah kedai makan terakhir di tepi sebelah kanan jalan. seingat aku semasa kami menghala ke Maran tadi, sembilan belas kilometer terakhir terdapat beberapa laluan pendakian sebelum sampai di Maran.

- berhenti berhampiran kedai makan di tepi jalan, aku memasangkan beberapa blinker dan lampu hadapan milik peribadi yang sengaja dibawa bersama untuk tujuan persediaan. lampu di kepala (headlamp) juga dipinjamkan agar dapat menerangkan laluan peserta semasa berkayuh di beberapa kilometer terakhir nanti. di sini, ada juga peserta yang kelihatan menambahkan isi botol minuman masing - masing, tidak kurang ada yang menghubungi rakan memaklumkan tentang lokasi terkini. berpuas hati dengan segala lampu yang dipasang, peserta menyambung perjalanan apabila masing - masing telah bersedia. hajat hendak mengekori peserta - peserta dari jarak dekat dengan van bagi tujuan keselamatan, tetapi jalan satu lorong yang sempit dengan tiada laluan memotong menghalang niat kerana jika kami melakukan sedemikian, pastinya akan terdapat kesesakan kenderaan yang panjang di belakang kami.


 jam 2027: Peserta berhenti berhampiran kedai makan di tepi jalan


 Wajah peserta masih lagi ceria, walaupun terpaksa menempuh banyak laluan pendakian sepanjang 19 kilometer terakhir menuju Maran


 Mar, peserta tunggal yang menggunakan basikal tidak bergear, juga masih mampu tersenyum


 Zul dan Bart, mengambil kesempatan semasa berehat untuk memenuhkan botol minuman masing - masing.


 Pa'an menghubungi rakannya, untuk memberitahu lokasi terkini dan lokasi hentian seterusnya


jam 2048: Perjalanan berbaki tidak sampai 2 kilometer menghampiri Maran


- lebih kurang dua puluh minit meninggalkan hentian terakhir berhampiran kedai makan tadi, konvoi semua peserta tiba di pesimpangan lampu isyarat masuk ke bandar Maran. perjalanan diteruskan dan sekitar tepat jam 2100 mereka semua tiba di R & R D' Mara, Maran. Terdapat beberapa peserta yang duduk di jalan tar, malah ada juga yang berbaring dengan berlapikkan topi keledar masing - masing bagi merehatkan badan. tidak beberapa lama kemudian, tiba sebuah kereta yang dikhabarkan juga dalam perjalanan ke Kuantan. kami bersalaman dan memperkenalkan diri masing - masing. 


 jam 2053: Afiq tiba di Maran, sambil diperhatikan oleh Farah Breep Breep ( :


jam 1854: Beramai - ramai membuat pakatan ala 'Critical Mass' di persimpangan lampu isyarat ke Maran


 jam 2057: Melepasi dua stesyen minyak terakhir selepas bandar Maran


jam 2103: Beberapa minit setelah tiba di R & R D' MARA, Maran


 Tiada yang lebih indah selepas berjam duduk di atas pelana, selain duduk di atas jalan tar yang rata


 Rakan - rakan yang dalam perjalanan ke Kuantan turut singgah berjumpa kami


- puas berehat dan berborak -borak, satu demi satu peserta membawa basikal menaiki tangga untuk ke kedai makan. terdapat dua kedai makan bersebelahan yang dibuka pada malam itu. selepas memesan makanan dan minuman, kami menghiburkan diri dengan menonton siaran komedi 'Boom Boom Bang yang ditayangkan di televisyen. semasa menonton, terdapat bunga api seolah - olah menyambut kedatangan kami ke Maran ni. ohhh lupa, malam itu ialah malam raya - Tahun Baru Cina !!


 Zul dan Bart terlebih dahulu membawa basikal mereka ke atas kedai makan, kelaparan barangkali ...


Meera membawa basikalnya naik ke lokasi kedai makan. Alahaiii kesiannya, dah berkayuh jauh kena angkat basikal naik tangga pulak yek ...


Menunggu makanan dan minuman yang dipesan dengan penuh kesabaran


 Cahaya bunga api, seolah - olah meraikan kedatangan kami ke Maran. Chehhhh, perasan ...

- selesai makan dan membayar, kami membawa semua semua basikal ke arah sudut paling hujung di R & R tersebut. tiga buah khemah didirikan, dengan basikal diletakkan di tengah - tengah untuk tujuan keselamatan. masing - masing mengambil kesempatan untuk membersihkan diri, menukar pakaian, bersolat dan berehat. peserta wanita dan lelaki tidur tiga buah khemah berasingan, ada peserta lelaki yang tidur di lantai, beralaskan lapik mudah lipat yang dibawa khas. manakala aku dan Hairul macam biasa, tidur menggunakan hammock yang dibawa. memang dasar budak outdoor, tidur mesti nak dalam hammock. jangan marah ... 


 Pemandangan tempat kami bermalam, sudut paling hujung di R & R Maran


Bart masih mampu tidur lena, walaupun suasana terang dengan lampu kalimantang tidak dimatikan


Basikal ditempat di bahagian tengah bagi tujuan keselamatan


- malam itu, aku Pa'an dan Piko tidur lambat. kami sempat memasak mee segera, membancuh air minuman (teh o) dan makan kuaci sambil berborak tentang perjalanan sepanjang hari itu. nampaknya, unsur 'kuaci' telah mula meresap masuk ke dalam kayuhan hehehe ...


PERJALANAN HARI KEDUA - T  A  M  A  T ... 







No comments: