Bersambung dari siri yang lalu
04.02.2011, Jumaat, penghulu segala hari ...
Nota: Perkataan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut, imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Semua gambar yang digunakan, adalah hakcipta terpelihara saudara Piko, yang turut menyertai kayuhan ini. Terima kasih dan ucapan penghargaan sama - sama kita berikan pada beliau.
- pagi itu aku bangun awal, sebelum matahari terbit lagi. pagi yang agak dingin dan berkabus di Maran. kesejukan, mungkin kerana hanya tidur berbaju T dan berseluar panjang ketika bermalam dalam 'katil buaian' (hammock). akibat kurang jangkaan (under estimate) yang tanah rendah tidak sesejuk kawasan tanah tinggi, membuatkan aku tidak membawa sebarang beg tidur (sleeping bag), sarung tangan, jaket mahupun stokin. selain dari kesejukan, perut yang berkeroncong lapar juga menjadi penyebab aku bangun awal pagi pada hari itu. ‘tangki’ minta diisikan dengan 'bahan api' hehehehe ...
- Piko dan Pa'an turut bangun awal pagi itu, mereka juga kelaparan dan mengajak aku bersarapan. mereka berdua kemudian mengambil basikal, meninggalkan tempat penginapan dan memasuki satu persimpangan menghala ke arah satu perkampungan. aku menyertai mereka kemudiannya. kami bersarapan di sebuah kedai makan yang terletak tidak sampai empat ratus meter dari tempat penginapan. aku bersarapan dengan menu nasi kerabu dan teh o panas, dengan harga yang sama seperti bersarapan di Kuala Lumpur. aku sangkakan, harga bersarapan di pekan kecil luar dari ibukota akan jauh lebih murah. rupa - rupanya itu adalah impian semata - mata, nak buat macamana bayar ajelah ... ataupun, mungkin sebab kami tidak bercakap slang tempatan ? hmmm, siapa tahu kan ...
- selesai bersarapan, kami bertiga pulang ke R & R D' Mara tempat kami menginap malam tadi. aku kembali memasuki katil buaian (hammock), setelah mengenyangkan perut barulah dapat kembali tidur dengan lena. apa yang berlaku setelah itu aku langsung tak tahu, kerana telah memasuki 'alam lain'. jangan marah hahaha ... malam sebelumnya, aku telah berbincang dengan Pa'an dan Piko yang pada hari ini kami akan bertolak dari Maran paling lambat sekitar jam 1000 pagi. inilah adalah untuk memberi masa kepada peserta untuk berehat secukupnya selepas melalui perjalanan yang panjang di hari kedua, tambahan di hari ketiga ini jarak perjalanan cuma berbaki lapan puluh dua kilometer untuk tiba di pantai Teluk Cempedak.
Bangunan R & R D' Mara dari pandangan hadapan
- apabila aku bangun dari tidur, peserta - peserta kelihatan telah membersihkan diri, menukar pakaian dan bersedia untuk menghadapi cabaran hari ketiga. mereka kemudian diberitahu supaya bersarapan di kedai tempat kami bertiga makan awal pagi tadi. sementara menunggu mereka bersarapan, aku mengambil kesempatan untuk membersihkan diri dan menukar pakaian. sekembalinya mereka dari bersarapan, beg serta barangan milik peribadi dikeluarkan, membolehkan khemah dibuka. peserta kemudiannya memasukkan barangan mereka ke dalam kenderaan logistik. terdapat beberapa peserta mengambil peluang menyapukan losyen pelindung matahari (sunblock). apabila semua barangan telah dimasukkan ke dalam van, kami ke kedai runcit berhampiran yang terletak di seberang jalan atas permintaan beberapa rakan yang mahu membeli air minuman.
Kasut dijemur sementara peserta - peserta bersarapan di kedai makan berhampiran
jam 0957: Sekembalinya dari bersarapan pagi
Persediaan awal para peserta sebelum memulakan perjalanan
Penantian, satu penyiksaan ...
Macam - macam gelagat sebelum memulakan kayuhan
Kawasan berlubang ditandakan dengan 'penanda amaran' unik
- terdapat sebuah mesin menjual air (vending machine) di hadapan kedai, membuatkan Hairul mendapat idea untuk memenuhkan beberapa botol kosong yang tidak digunakan dengan air minuman. ini membolehkan peserta minum, sekaligus memenuhkan botol minuman masing - masing di setiap kali hentian. di kedai ini, terdapat beberapa peserta membeli ais krim potong, sejenis aiskrim dalam plastik yang boleh dipatahkan kepada dua bahagian. selepas masing - masing membeli minuman, diadakan bacaan doa selamat dengan diketuai oleh Piko.
Telatah semasa membeli air minuman di kedai runcit berhampiran
Doa dipohon pada Yang Maha Esa, memohon kerahmatan, keselamatan dan kejayaan
Muatan berisi botol minuman dalam bakul hadapan basikal Mar
- lebih kurang jam 1055, peserta meninggalkan kawasan perkarangan kedai runcit untuk melintas dan memasuki semula jalan Persekutuan No. 2. untuk hari ini, aku merancang untuk mengadakan tiga hentian dengan selang antaranya sejauh dua puluh lima kilometer. aku merancang untuk peserta bergambar kenangan di jalan masuk ke Felda Kg. New Zealand, satu tempat yang agak unik di negeri Pahang.
- jam 1105, Hairul dan aku telah tiba dulu di Felda Kg. New Zealand. Hairul yang tidak sempat bersarapan, meminta aku mengeluarkan dapur (stove) untuk memasak air minum. roti dan kaya serta kuaci yang tak habis dimakan juga aku keluarkan untuk beliau. sementara menunggu air siap dimasak dan kedatangan peserta - peserta ke situ, Hairul makan roti bersama kaya. aku yang tidak tahan, juga mencapai kuaci atau aku sebut sebagai 'makanan burung' dan menghabiskan sebutir demi sebutir.
- lebih kurang jam 1130, peserta telah kelihatan dan aku mengarahkan mereka supaya terus ke pintu gerbang Felda Kg. New Zealand untuk sesi fotografi. selesai dengan beberapa shot, mereka ke pondok menunggu bas yang terletak bersebelahan kenderaan logistik untuk memenuhkan botol air minuman. apa yang aku rancangkan sebagai hentian mengambil gambar, sebaliknya bertukar kepada hentian rehat. issshhhh, rosak program camni ... hentian rehat yang sepatutnya dirancangkan di Kg. Gelugur, iaitu tempat permulaan (starting point) bagi peserta - peserta yang ingin menghabiskan cuti hujung minggu dengan masuk ke airterjun Berkelah ataupun Jerangkang. disitu terdapat dua kedai makan bersebelahan, lokasi serta anggaran jarak dan masa memang sesuai untuk peserta makan tengahari bagi menambah tenaga.
Bergambar kenangan di New Zealand, errr ... Felda Kg. New Zealand ( :
- memang tidak dinafikan, cuaca hari itu lebih panas dari sebelumnya, mengakibatkan peserta - peserta menjadi cepat letih. terdapat beberapa peserta yang minum air minuman yang aku sediakan untuk Hairul, ahhh tidak mengapa nanti boleh dimasak lagi. kuaci yang menjadi 'juadah' sarapan pagi Hairul dan aku turut dimakan oleh mereka. aduhhh, nampaknya 'kuaci' telah menjadi sebab utama kenapa mereka berhenti lebih lama. memang berhantu betul lah penangan kuaci ni, perjalanan pun boleh terbantut dek akibat leka memakan kuaci sebiji demi sebiji hahahaha ...
'Kuaci', menjadi penyebab utama hentian fotografi bertukar menjadi hentian rehat
- tepat jam 1200 tengahari, peserta meninggalkan hentian bas dan menyambung perjalanan. Hairul dan aku, menyambung sedikit lagi sesi fotografi ... moral of the story, jangan keluarkan kuaci pada setiap hentian. kalau nak dikeluarkan juga, pastikan ianya dari bungkusan yang paling kecil terdapat di pasaran hehehe ...
Hairul pun nak bergambar sakan, ada hati kononnya macam berada di New Zealand tu hehehe ...
- selesai berfotografi, kami mengemaskan barangan sebelum beredar dari situ. semasa mengemaskan barangan, kami ditemubual oleh seorang Pakcik yang kebetulan rumahnya terletak betul - betul di belakang hentian bas tersebut. satu demi satu soalan dikemukakan oleh pakcik ini, dari sifat ingin tahu perbualannya kemudian bertukar nada seolah memperkecilkan tindakan kami berbasikal. aku rasa semakin tidak selesa, tetapi cuma melayankan sahaja perbualan kami sambil mengemas barangan.
- selesai berkemas, sebelum meninggalkan tempat tersebut kami bersalaman dengan pakcik tersebut. mungkin perbuatan kami itu boleh diibaratkan sebagai 'masuk kandang rimau, mengaum dan masuk kandang kambing mengembek' ... siapa tahu, di masa akan datang kami berada dalam kesusahan dan pakcik ini akan memberikan pertolongan, aku cuba untuk berperasangka baik ... insyaAllah ...
- kami memintas peserta - peserta dan bergerak pantas kehadapan, bertujuan untuk mencari lokasi hentian rehat seterusnya. ini disebabkan hentian fotografi yang direncanakan, telah bertukar menjadi hentian rehat dan semuanya disebabkan oleh sebungkus kuaci !! lebih kurang jam 1225, Hairul dan aku tiba di persimpangan memasuki Kg. Belimbing serta jeti pelancongan Tasik Chini manakala tidak beberapa jauh di hadapan terdapat papantanda sempadan daerah Maran - Kuantan. Kami tidak perlu menunggu lama, kerana tidak sampai lima minit konvoi peserta tiba dan menyertai kami. jarak ke Kuantan hanya tinggal lagi lima puluh enam kilometer, di sini seperti biasa kami bergambar kenangan dan wajah peserta menjadi semakin ceria berikutan kami telah memasuki daerah Kuantan.
Hairul, di sempadan daerah Maran - Kuantan
Lompatan Hairul yang telah membuatkan batu penanda jalan jatuh tersungkur, nasib baik ianya dapat ditegakkan semula. Fuhhh, legaaa ...
Bergambar kenangan bersama semua peserta dan pengiring di sempadan daerah Maran - Kuantan
- perjalanan diteruskan melepasi kawasan Paya Rambutan, seterusnya Paya Bungor yang mempunyai satu hentian rehat yang kelihatan usang dan tidak terjaga. tidak sampai dua puluh minit kemudian kami tiba di sebuah kedai makan bersebelahan masjid Kg. Gelugur. Hairul dan aku bercadang untuk makan tengahari di situ, setelah memikirkan laluan di hadapan tiada lagi kedai makan dan stesyen minyak berhampiran. aku terbaca satu notis dari AJK pengurusan majlis, yang tertampal di dinding bangunan memberi arahan kepada pihak peniaga untuk menutup premis perniagaan semasa waktu solat Jumaat.
- seorang wanita berpangkat kakak, yang ketika itu sedang dalam proses meletakkan hidangan makanan ke dalam rak jualan kebetulan nampak aku sedang membaca notis tersebut memberitahu yang perniagaan masih berjalan seperti biasa dan menyuruh kami makan di satu sudut tepi kedai tersebut. menurutnya lagi, sebelum ini beliau akur dengan arahan itu tetapi mengalami kerugian gara - gara lauk pauk yang tidak habis dijual. dalam hati aku turut bersetuju dengan beliau kerana nampaknya semua pelanggan kedai ketika itu adalah pengguna jalanraya yang kebetulan singgah untuk makan tengahari. mereka sudah tentunya sedang bermusafir dan sebagai seorang yang bukan pemastautin, kami tidak diwajibkan untuk solat Jumaat dan memadailah dengan solat Zohor. tolong betulkan jika hukum aku ini adalah salah ...
- setelah mengambil hidangan dan memesan minuman, kami berdua pun mengambil satu tempat di tepi kedai tersebut untuk menikmati hidangan. bersama kami, terdapat beberapa lagi pelanggan yang turut berhenti makan di situ. sempat aku menghantar sms pada peserta memberitahu lokasi kami, juga mengajak mereka untuk berhenti rehat dan makan tengahari di situ. tidak lama kemudian, sms aku berbalas. kata salah seorang dari mereka, mereka 'segan' untuk melintasi kawasan masjid, kerana pada waktu itu jemaah sedang berpusu - pusu menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. mereka bercadang untuk berehat di kawasan teduh berhampiran jalan masuk ke airterjun Jerangkang sementara menunggu habisnya waktu solat Jumaat. melihat pada keputusan mereka, aku dan Hairul memutuskan untuk bersolat Jumaat sahaja daripada menunggu tidak berbuat apa - apa.
- selesai solat Jumaat, kami berdua kembali ke kedai makan. aku memberikan sms pada peserta supaya datang ke arah kedai makan tempat kami menunggu. beberapa minit kemudian sekitar jam 1420, mereka tiba dan berhenti mendapatkan kami di kedai. masing - masing mendapatkan menu makan tengahari di rak jualan, juga memesan minuman. kelihatan berselera sekali mereka makan pada tengahari itu. apa yang aku dan mungkin semua peserta tidak dapat lupakan, saat melihat wajah Bart yang seolah - olah 'menangis' akibat tidak dapat menahan kepedasan makanan yang diambil beliau hahaha ...
Hentian makan tengahari, restoran Dayana terletak di Kampung Gelugur
Rakaman aksi - aksi 'tangisan' Bart akibat memakan makanan pedas
Pa'an menunjukkan kesan 'lecur matahari' (sunburn) yang dialaminya
- sesudah makan dan membayar harga makanan serta minuman, peserta mengambil peluang untuk berehat seketika sebelum menyambung perjalanan. ada juga dari mereka yang memenuhkan kembali botol minuman masing - masing. Perjalanan untuk ke Kuantan bersambung sekitar jam 1530 ketika peserta mula meninggalkan kawasan Kampung Gelugur.
"Kak, tolong kirakan makanan dan minuman kami ni" ...
BERSAMBUNG ...
No comments:
Post a Comment