12.02.2011, Sabtu
Bandar Bera (Kerayong) – Felda Sebertak
Waktu memasuki jam 1410 ketika kami mula bergerak meninggalkan perkarangan restoran Anjung Seri Bera. Melepasi sebuah jambatan berhampiran bandar, laluan kemudiannya mula berselang seli antara landai dan mendaki. Semasa berkayuh sepuluh minit kemudian, ternampaklah akan kami sebuah gerai tepi jalan yang menjual buah – buahan. Kami berhenti untuk membeli sesisir pisang tiap seorang, dan juga menikmati keenakan air tebu dalam suasana panas terik. Fuhhhh nikmatnya meminum air tebu dikala ini ...
Nota: Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada gambar. Segala gambar yang digunakan dalam artikel ini ialah dari rakaman lensa saudara Ah Chong dan Shuk Abemu, hak cipta adalah terpelihara. Ucapan terima kasih tidak terhingga saya ucapkan pada mereka berdua.
jam 1410: Mula meninggalkan bandar Bera
Laluan pendakian terus menanti kami sebaik sahaja melepasi bandar Bera
jam 1421: Singgah di gerai untuk membeli pisang dan minum air tebu
Cuaca pada fasa kedua perjalanan kami ini nampaknya lebih terik, berbeza dengan keadaan dari pagi hingga tengahari sewaktu hentian kami di bandar Bera dimana cuaca adalah mendung dan redup. Dalam suasana kepanasan ini, membuatkan kami lebih banyak minum air yang kami bawa. Penting juga untuk mendapatkan bekalan air yang cukup untuk tubuh bagi mengelakkan diserang heatstroke. Ditambah dengan lebih banyak laluan pendakian, menambahkan lagi keletihan kami. Saya pernah ke Tasik Bera bersama Hairul dan Hafez pada tahun 2008 ketika balik dari majlis kenduri kahwin seorang rakan kelab Orang Gunung Kuala Lumpur, iaitu kak Nita. Seingat saya, dulu tiada banyak laluan pendakian, mungkin kerana pada waktu itu saya berkereta dan langsung tidak pedulikan dengan laluan berbukit yang terpaksa ditempuh ketika berbasikal seperti ini.
Sejam selepas meninggalkan bandar Bera, kami berhenti rehat di pondok menunggu bas berhampiran sebuah jambatan. Muka masing – masing sudah seperti ‘udang kena bakar’. Saya mengambil kesempatan untuk turun ke bahagian bawah jambatan bagi melihat sungai Bera. Terdapat bekas lumpur beberapa meter tinggi dari paras normal aliran sungai, yang mana saya anggarkan paras air sungai mungkin meningkat disebabkan hujan lebat sebelum ini. Entah bagaimanalah nasib penduduk yang tinggal di hilir kawasan sungai ini. Sempat juga saya cuba menaiki sebuah sampan gentian kaca (fiber glass) yang dikunci pada besi pemegang tangga di tepi sungai.
jam 1512: Hentian rehat kami di pondok menunggu bas berhampiran jambatan melintasi sungai Bera
Laluan pendakian menanti kami di hadapan
Wakjan cuba menaiki sampan yang diletakkan di bahagian bawah jambatan
Papantanda larangan memancing di sungai Bera. Perhatikan betul - betul gambar ikan tersebut ...
jam 1519: Muka masing - masing yang telah kemerahan akibat cuaca panas
Lebih kurang dua puluh minit berhenti rehat, pada jam 1530 kami meninggalkan ‘zon selesa’ di pondok hentian dan kembali memasuki laluan untuk menyambung perjalanan ke Tasik Bera. Laluan seterusnya terdapat jalan berliku yang sempit bersama banyak laluan pendakian berselang seli dengan menurun. Dalam perjalanan kami singgah di stesyen minyak Petronas, Felda Sebertak pada waktu menghampiri jam 1600. Terdapat deretan kedai – kedai di seberang jalan berhadapan stesyen minyak tersebut. Semasa makan tengahari bersama abang Ridzuan, kami dikhabarkan yang kedai – kedai di sini adalah kedai terakhir yang akan kami jumpa sebelum tiba di Tasik Bera. Di stesyen minyak ini kami berpeluang untuk membeli minuman, bersolat, menambah tekanan angin tayar basikal, ke tandas dan berehat.
jam 1622: Wakjan sempat bermain dengan kucing di stesyen minyak Petronas, Felda Sebertak
Felda Sebertak – bandar Bera (Kerayong)
Dalam jam 1630, kami menyambung perjalanan menghala ke Tasik Bera. Semasa berkayuh tidak sampai tiga kilometer, saya yang kebetulan berada di belakang sekali terdengar satu bunyi seakan satu objek patah yang datangnya dari bahagian belakang basikal Ah Chong. Tiba – tiba, Ah Chong memberhentikan kayuhan kerana mendapati basikalnya didapati terlalu berat untuk dikayuh. Kami berdua ke kawasan redup antara pokok kelapa sawit di tepi jalan bagi meneliti punca kejadian tersebut. Setelah memerhatikan dengan teliti, didapati yang roda belakang basikal Ah Chong telah bengkok lalu tersekat di rangka basikal. Rupanya, dua batang jejari (spokes) telah patah di bahagian pangkal hub mengakibatkan rim menjadi bengkok akibat tidak dapat menahan tekanan berat badan Ah Chong bersama muatan yang dibawa.
Kembali ke laluan menuju Tasik Bera selepas meninggalkan stesyen minyak Petronas, Felda Sebertak
Kami sama – sama memikirkan tindakan kecemasan yang harus diambil, memandangkan tiada gantian jejari (spokes) dibawa. Selepas berbincang bersama, saya bersetuju bergegas kembali ke bandar Bera berseorangan untuk ke kedai basikal. Terlebih dahulu, saya menghubungi Shuk yang berada di hadapan memberitahu status kami dan meminta agar mereka berdua (termasuk uncle Chew) menyambung kayuhan hingga ke Tasik Bera. Matlamat utama saya berpatah balik ke bandar Bera ialah untuk menghalang pemilik kedai basikal tersebut dari menutup kedainya awal, kemudian Ah Chong akan berusaha untuk membawa basikalnya dengan apa cara yang difikirkan perlu. Saya kemudian berkayuh berseorangan dengan jarak lebih kurang dua puluh dua kilometer melalui semula jalan yang kami lalui sebentar tadi, kali ini lebih laju dengan purata kelajuan antara dua puluh lima ke tiga puluh kilometer sejam di laluan landai.
Menghampiri jarak tiga kilometer ke bandar Bera, saya tiba – tiba dipintas oleh sebuah motorsikal yang dinaiki dua orang tidak bertopi keledar. Ah Chong rupanya !! Kelihatan dia memegang rim basikal sambil membonceng motor yang dibawa oleh seorang pemuda. Beliau menjerit mengatakan akan memecut untuk ke kedai basikal. Menyedari yang Ah Chong telah menaiki motorsikal, saya memperlahankan kayuhan untuk berehat seketika. Semasa jarak menghampiri sekilometer, saya dihubungi oleh Ah Chong meminta panduan ke kedai basikal. Beberapa minit kemudian, saya sekali lagi dihubungi oleh Ah Chong. Kali ini dengan berita buruk, iaitu kedai basikal telah pun ditutup.
Setelah berkayuh sejauh lebih kurang dua puluh dua kilometer selama lima puluh minit, saya tiba di bandar Bera ketika waktu kurang lima minit menghampiri jam 1800. Tiba di bandar Bera, saya menghubungi Ah Chong untuk menanyakan lokasi mereka berdua. Ah Chong menyuruh saya ke kedai makan berhampiran stesyen bas. Apabila saya kesana, Ah Chong bersama seorang pemuda yang menumpangkan motorsikalnya kelihatan sedang berada di meja milik kedai makan yang diletakkan berhampiran pembahagi jalan dan tempat meletak kereta.
Saya kemudian mendapatkan Ah Chong untuk mengetahui cerita lanjut dan rancangan kami seterusnya. Menurutnya, ketika ditinggalkan berseorangan dia perlahan – lahan membawa basikal dan kembali ke stesyen minyak Petronas yang kami singgahi sebelumnya. Di situ, beliau berjaya menahan seorang pemuda yang sedang mengisi minyak motor untuk ditumpangi, dengan memberikan wang minyak pada lelaki tersebut. Ah Chong membuka roda belakang basikalnya, meninggalkan basikal dan barangnya di tepi pintu masuk stesyen minyak dan sempat berpesan pada kakak penjaga stesyen minyak Petronas supaya memerhatikan kesemuanya. Mendengarkan cerita Ah Chong sambil kami bertiga menikmati minuman, saya dan Ah Chong kemudian merangka beberapa pelan untuk menghadapi situasi ini.
Pelan pertama ialah kami akan bermalam di bandar Bera sambil berharap pada esoknya (hari Ahad) yang kedai basikal tersebut akan dibuka. Kebetulan basikal saya memang membawa semua barangan khemah dan alatan memasak jadi kami hanya perlu mencari tapak yang sesuai untuk bermalam. Pelan kedua ialah meminta pemuda tersebut menghantar antara kami berdua ke Temerloh untuk mengambil kenderaan tetapi ianya tidak dapat dilakukan kerana beliau tidak membawa sebarang topi keledar dan tidak mahu mengambil risiko akan ditahan oleh pihak polis. Pelan ketiga ialah samada saya atau Ah Chong akan menaiki pengangkutan awam untuk mengambil kereta di Temerloh.
Sementara saya minum bersama pemuda yang menghantarkan Ah Chong dari Felda Sebertak ke bandar Bera, Ah Chong pergi mendapatkan sebuah teksi untuk saya ke Temerloh. Beliau berjaya mendapatkan sebuah teksi terakhir di Hentian Teksi dan Kereta Sewa Bandar Bera pada petang itu. Saya menghabiskan minuman, mengambil kunci kereta dan meninggalkan basikal serta beg galas kepada Ah Chong. Waktu ketika itu lima belas minit melepasi jam enam petang, Ah Chong memberikan sekeping wang lima puluh ringgit kepada saya sebagai wang tambang, sambil memberitahu yang pemandu teksi tersebut akan mengenakan bayaran sebanyak tiga puluh ringgit.
Semasa baru meninggalkan bandar Bera, pemandu teksi berkenaan berhenti mengambil seorang remaja yang turut ingin ke Temerloh. Menurut pemandu teksi tersebut, sebelum itu remaja tadi meminta dihantarkan ke Temerloh dengan harga tambang sepuluh ringgit tetapi ditolak secara baik oleh beliau. Kebetulan saya juga ingin kesana, jadi beliau mengambil keputusan untuk mengambil sekali remaja tersebut dan saya cuma akan dikenakan tambang sebanyak dua puluh ringgit sahaja.
Pemandu teksi itu memandu laju serta memotong kenderaan di hadapan dalam keadaan agak merbahaya, membuatkan saya yang berada disebelahnya memijak – mijak lantai kenderaan seakan menekan pedal brek, kusss semangat ... Beliau turut berminat apabila mengetahui yang kami sedang mengadakan kayuhan kembara berbasikal, minat itu dizahirkan melalui soalan – soalan yang dituturkan kepada saya. Dalam masa memandu itu, sempat juga beliau memberikan kata – kata semangat untuk saya dan rakan – rakan kayuhan.
Kami tiba di hentian rehat Bukit Angin, Temerloh sekitar lima belas minit menghampiri jam tujuh malam. Setelah memberikan wang tambang dua puluh ringgit, berterima kasih dan saling bersalaman, pemandu teksi tersebut memohon untuk menyambung perjalanan bagi menghantar seorang lagi penumpang. Saya mendekati kereta, menghidupkan enjin dan terus bergegas ke bandar Bera. ‘Mengata dulang paku serpih, mengata orang saya yang lebih’ ... Jika tadi pemandu teksi memandu secara laju, begitulah juga yang saya lakukan dalam perjalanan pulang. Sewaktu menghala ke arah Temerloh semasa dalam teksi tadi saya telah menghafal lokasi dan laluan, jadi mudahlah bagi saya untuk memintas mana – mana kenderaan yang difikirkan memandu perlahan.
Bandar Bera – Felda Sebertak – Tasik Bera
Saya tiba di bandar Bera pada jam tujuh suku, dimana suasana persekitaran sudah mulai kelam. Mencari Ah Chong tetapi tidak berjumpa. Rupanya beliau telah berpindah ke meja lain tetapi masih di kedai makan yang sama, berseorangan bersama basikal saya dan roda belakang basikal beliau. Saya membuka semua beg dan peralatan lantas menaikkan basikal saya ke atas rak bumbung di kereta. Kami berdua meninggalkan bandar Bera sambil diiringi kerlingan mata penduduk tempatan, mungkin berasa janggal melihat basikal boleh diletakkan pada bahagian bumbung kenderaan.
jam 1923: Suasana senja di jeti Tasik Bera. Gambar dirakamkan oleh Shuk yang tiba di sana sebelum hari mulai gelap
Sampai di stesyen minyak Petronas Felda Sebertak setengah jam kemudian, kami mengambil basikal dan barangan Ah Chong yang diletakkan di tepi pintu masuk stesyen minyak. Terima kasih kepada kakak penjaga stesyen minyak yang sudi menjaga keselamatan semua barangan milik Ah Chong. Ketika Ah Chong sibuk mengangkat barangannya, saya sempat mengisikan petrol ke dalam tangki kereta kerana meter aras bahan api hampir mencapai takat minimum. Apabila Ah Chong selesai memasang tayar basikalnya kembali dan memasukkan barangan ke dalam kereta, basikal itu kemudiannya diletakkan di atas bumbung kenderaan lalu kami meneruskan perjalanan menuju Tasik Bera.
Perjalanan ke Tasik Bera dirasakan terlalu jauh pada malam itu, dengan banyak laluan pendakian dan gelap kerana tiada lampu jalan. Semasa melalui satu kawasan, perjalanan kami tergendala sebentar akibat dihalang oleh sekumpulan lembu yang berada di tengah jalan. Mujurlah saya sempat melihat kumpulan lembu itu dan tidak melanggarnya. Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan pada waktu itu. Di satu bahagian, saya terasa seolah sudah sesat jalan. Mujurlah tidak berapa lama di hadapan, terdapat satu pos keselamatan di pintu masuk ladang kelapa sawit lalu kami berhenti bertanyakan arah pada pengawal keselamatan di situ. Menurutnya, jalan masuk ke Tasik Bera sudah tidak berapa jauh lagi dari situ dan terletak di sebelah kanan jalan.
Beberapa minit kemudian, di sebelah kanan laluan ternampaklah akan kami cahaya lampu jalan dan pintu gerbang jalan masuk ke Tasik Bera. Jauh berbeza pemandangan sekeliling dibandingkan dengan semasa saya melawat ke situ pada tahun 2008 lalu. Satu palang keselamatan diturunkan untuk menghalang kenderaan dari masuk ke dalam. Ah Chong dan saya ke pondok pengawal lalu berjumpa pengawal keselamatan bertugas. Terdapat dua orang pengawal bertugas, pada mulanya mereka menghalang kami untuk masuk atas alasan hari sudah malam. Tetapi setelah diberitahu yang kami adalah sebahagian dari peserta kayuhan kembara berbasikal, dimana dua dari rakan kami telah pun sampai di Tasik Bera petang tadi. Kami diberikan kebenaran untuk masuk, dengan perlu mengisi butiran diri dalam buku log keselamatan. Selesai mengisi maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan nombor kenderaan, pengawal keselamatan membuka palang dan kami meneruskan perjalanan menuju ke arah Tasik Bera Resort.
Perjalanan masih berbaki empat kilometer dari pos pengawal menuju ke Tasik Bera Resort. Makin menghampiri destinasi dituju, semakin banyak laluan pendakian terpaksa kami lalui. Bunyi enjin kenderaan saya mengerang dek kecuraman bukit – bukit di situ, hinggakan terpaksa menukar kepada gear dua transmisi automatik Proton Wira saya. Semasa memandu, sempat juga saya membayangkan kepayahan Shuk dan uncle Chew sewaktu mengayuh di situ sebelum sampai ke kawasan tasik. Setelah lebih kurang sepuluh minit memandu, kami berdua tiba di perkarangan tempat meletak kereta Tasik Bera Resort pada jam 2100. Saya cuba menghubungi Shuk dan uncle Chew untuk bertanyakan lokasi mereka, malangnya panggilan pada Shuk memasuki peti suara (voicemail) manakala uncle Chew pula tidak menjawab panggilan. Saya yang sebelum ini pernah ke tasik Bera mengganggarkan mereka berada di sebuah dewan terbuka yang terdapat di tepi tasik.
Ah Chong dan saya melihat lampu terpasang pada dewan terbuka dari jauh, menguatkan lagi keyakinan kami yang mereka berdua berada di situ. Kami pun membawa basikal serta barangan kami ke dewan tersebut dan mendapati yang Shuk sedang berada di situ. Tidak berapa lama kemudian uncle Chew pula kelihatan baru pulang dari membersihkan diri. Shuk memberitahu kami berdua yang mereka sampai di tasik Bera sekitar jam 1800 petang. Mengejutkan lagi, mereka berdua telah membelikan kami dua bungkus nasi goreng setiap seorang. Weiii, terima kasih korang ... Shuk juga telah mendahulukan duit beliau untuk membayar kos sewa tapak khemah yang dikenakan pada setiap pengunjung pada harga lima ringgit setiap seorang.
Malam itu setelah membersihkan diri, kami mengemaskan barangan peribadi dan mempersiapkan tempat tidur masing - masing. Saya seperti biasa, memasang katil buaian (hammock) di tempat yang strategik. Kami berempat berbincang dan mengeluarkan pendapat masing - masing tentang langkah yang akan kami ambil untuk menangani masalah ini. Uncle Chew melontarkan beberapa idea, tetapi mengambil jalan selamat dengan menegaskan yang beliau hanya 'tetamu jemputan' dalam kumpulan kami dan tidak akan memberikan sebarang keputusan. Antara idea yang dilontarkan ialah Ah Chong akan memandu kereta saya ke bandar Bera dengan harapan kedai basikal akan dibuka dan jejari roda beliau ada dijual di situ.
jam 1049: Mempersiapkan tempat tidur masing - masing
Satu perkara yang membezakan antara basikal saya bertiga dan Ah Chong ialah rim beliau menggunakan saiz 700c manakala kami semua menggunakan saiz dua puluh enam inci (26"). Jika basikal beliau dapat diperbaiki, dia akan meletakkan kenderaan saya di tempat selamat di bandar Bera dan berkayuh semula ke Tasik Bera. Andainya kedai basikal tersebut tutup atau tidak mempunyai stok jejari basikal, beliau akan pulang ke Kuala Lumpur dan datang mengambil kami pada pagi hari Selasa.
Ah Chong juga menyuarakan pandangannya iaitu beliau setuju untuk memandu kenderaan saya dan bertindak sebagai pengiring, dengan kos petrol dibahagikan dan ditanggung oleh kami semua. Semua kelihatan agak berat untuk membuat keputusan, memandangkan terpaksa mengeluarkan kos lebihan (non added value cost). Selain dari mengeluarkan kos lebihan, faktor yang menjadi sebab penolakan idea ini adalah pada yang berkayuh mungkin akan mendapat tekanan apabila diiringi oleh kenderaan walaupun ianya boleh digunakan jika berlaku sebarang kecemasan. Faktor yang lain ialah, Ah Chong selaku pemandu juga mungkin akan bosan dengan kelajuan kami yang cukup perlahan jika beliau mengiringi kami nanti. Pada malam itu, kami belum dapat membuat keputusan. Hmm, cukup susah untuk membuat keputusan dengan mementingkan kebajikan semua dan mengenepikan hak peribadi dalam menjayakan sesuatu matlamat ...
Semua masalah itu kami tepikan buat sementara waktu, kerana tujuan utama kami berempat mengembara secara berbasikal adalah untuk menikmati keindahan alam semulajadi selain mencari pengalaman dan pengetahuan baru. Esoknya baru kami akan membuat keputusan mengenai masalah kami. Uncle Chew telah pun tidur dalam beg tidurnya (sleeping bag) sewaktu kami bertiga bercadang untuk turun ke jeti. Malam itu bulan mengambang penuh, tetapi hanya beberapa kali sahaja kelihatan akibat tersorok di balik awan. Kami turun ke jeti terapung yang terletak bersebelahan jeti utama. Terdapat beberapa pemancing berbangsa Cina sedang memancing ikan. Sesudah bersiar - siar di jeti, kami pulang ke dewan untuk merehatkan diri dan tidur bagi perjalanan hari kedua yang akan berjarak sejauh seratus tiga puluh lima kilometer.
jam 2329: Jeti baru Tasik Bera
Replika ikan kelisa yang jauh lebih besar dari badan Ah Chong
jam 2330: Sekumpulan pemuda berbangsa Cina memancing di atas jeti terapung bersebelahan jeti utama
jam 1143: Errkkk, cicak spesis apa ni ?
*Info kayuhan*
- Jarak kayuhan: 65.37 km (Temerloh - bandar Bera - Felda Sebertak - bandar Bera). Jarak sebenar Temerloh ke Tasik Bera Resort dianggarkan sekitar 71 kilometer, iaitu 67 km (Temerloh - pos pengawal pintu masuk ke Tasik Bera ) + 4 km (pos pengawal ke Tasik Bera Resort)
- Masa kayuhan (terkecuali waktu berhenti): 3 jam 43 minit 10 saat
- Purata kelajuan: 17.5 km/j
- Kelajuan maksima: 43.2 km/j
T A M A T - HARI PERTAMA KAYUHAN
No comments:
Post a Comment