09.11.2010, Selasa - hari terakhir kayuhan ...
Lebih kurang jam 1115, kami meninggalkan kedai basikal tidak bernama itu setelah dua buah basikal yang mengalami masalah kerosakan crank bearing selesai diperbaiki. Kami memasuki semula jalan Persekutuan No. 1, melepasi UPSI di sebelah kanan laluan dan menghala ke arah Kuala Lumpur. Tidak beberapa jauh di hadapan, kami telah meninggalkan negeri Perak dan masuk ke negeri Selangor setelah melepasi sebuah jambatan kecil melintasi sungai Bernam. Tiada sebarang papantanda sempadan negeri, kerana ianya telah dicabut oleh kerana terdapat kerja - kerja pembinaan, kemungkinan untuk membesarkan jambatan di situ. Yang tinggal hanyalah papantanda sempadan daerah Hulu Selangor masih berdiri kukuh di situ.
Nota: Perkataan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada gambar
Meninggalkan negeri Perak, memasuki negeri Selangor melalui daerah Hulu Selangor
Kami melepasi Kalumpang, Kerling dan selepas berkayuh lebih kurang 20 kilometer kami tiba di persimpangan ke Kuala Kubu Bharu. Kami berhenti di stesyen minyak berhampiran, sebelum ke R & R berhampiran untuk berhenti makan tengahari. Malangnya tiada satu pun restoran atau kedai makan dibuka. Nak tak nak, terpaksalah memasuki pekan Kuala Kubu Bharu untuk makan tengahari. Extra beberapa kilometer kena kayuh ooo huhuhu ...
Muzammil & Wakjan sedang memikirkan tujuan papantanda ini diletakkan
Menghampiri persimpangan ke Kalumpang
6 km lagi ke Kuala Kubu Bharu ...
jam 1333: tiba di stesyen minyak berhampiran persimpangan ke Kuala Kubu Bharu
Jalan menuju ke pekan Kuala Kubu Bharu. Ohhh, ada zon basikal rupanya !!
Basikal diletakkan di parkir berhadapan pejabat pos Kuala Kubu Bharu
jam 1352: Kami makan tengahari D' C Nie (di sini)
Selesai makan tengahari, kami singgah di sebuah stesyen minyak untuk menggunakan tandas, berehat dan membeli minuman sebelum menyambung perjalanan.
jam 1453: Berhenti rehat seketika di sebuah stesyen minyak sebelum menyambung perjalanan
Basikal Ah Chong dilengkapi dengan gadget canggih
Antara beberapa laluan pendakian yang ditempuhi sepanjang kayuhan
Hari yang panas membuatkan 'lampu ultraman' di dada masing sudah berkelip - kelip, tapi kami gagahkan juga perjalanan memandangkan ia perlu dihabiskan juga hari ini. Setelah berkayuh dalam panas terik dan beberapa laluan pendakian sejauh lebih kurang 13 kilometer dari Kuala Kubu Bharu, kami tiba di persimpangan lampu isyarat ke Batang Kali. Dari situ bermakna, kami menghampiri pekan Rawang dengan jarak kayuhan berbaki lagi lapan belas kilometer.
jam 1528: Tiba di Batang Kali
Makin menghampiri Rawang, dan juga Kuala Lumpur. yeaaayyyyy ...
Melepasi kawasan Hulu Yam Lama, Serendah dan Sungai Choh, kami akhirnya sampai di pekan Rawang dan berhenti di stesyen minyak Petronas. Di sini, kumpulan kami telah terpisah kerana ada yang terkeliru dengan arahan. Kami berehat seketika, sebelum menyambung perjalanan dan bertemu kembali di suatu tempat. Setelah berkumpul semula, kami bergerak ke stesyen Petronas yang terletak di jalan bertentangan dalam perjalanan menuju ke Selayang. Agar sukar melintas jalan ke seberang untuk ke stesyen minyak itu, terpaksa menunggu keadaan dan detik yang sesuai. Kami mengambil masa yang agak lama berehat di sini, sebelum kemudiannya meneruskan perjalanan. Kali ini terdapat satu pendakian terakhir yang memenatkan mental dan fizikal, terutama dalam detik - detik terakhir sebelum sampai ke sempadan Selangor - Kuala Lumpur.
jam 1743: Kereta dari arah Kuala Lumpur mula memenuhi jalan
jam 1754: laluan 'penyiksaan terakhir' sebelum sampai di Kuala Lumpur.
Laluan berbukit kami tempuhi bersama, walaupun dengan kelajuan yang makin perlahan. Di puncak bukit, kami mengambil peluang melepaskan lelah sebelum masing kelihatan 'berseronok' menuruni bukit di mana meter di basikal saya menunjukkan kelajuan lima puluh lima kilometer sejam. Di penghujung penurunan, tiba - tiba Ah Chong memberhentikan basikalnya di tepi jalan. Rupanya jejari rim belakang beliau telah longgar dan ini mengakibatkan rimnya bengkok sedikit. Ah Chong mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan dan ingin singgah di kedai basikal Samy di Batu Caves. Setibanya di kedai basikal Samy, Ah Chong meminta agar uncle Samy mengetatkan seterusnya membetulkan jajaran (alignment) rim belakang basikal beliau.
Yeayyy, dah sampai Kuala Lumpur !!
jam 1856: di hadapan kedai basikal uncle Samy
Selesai uncle Sammy membetulkan jejari rim basikal Ah Chong, kami berhenti untuk minum di sebuah restoran berhampiran, sambil membicarakan pengalaman kayuhan masing - masing. Selepas ini, Subki akan berkayuh sendirian menuju ke rumahnya dan tinggal lah kami berempat untuk meneruskan perjalanan. Kami berpisah di jalan menghampiri pasaraya Giant Batu Caves, dengan kami berempat menggunakan jalan dalam untuk mengelakkan kesesakan lalulintas yang juga boleh membahayakan kami. Kami tiba di Dataran Merdeka pada jam 1945, dan kemudian berehat sambil merakamkan gambar kenangan. Ah Chong yang pada mulanya bercadang untuk terus pulang ke rumahnya di Bandar Tun Razak, kemudiannya bersetuju untuk mengikuti kami makan malam di Restoran Heritage Station yang terletak di stesyen keretapi Kuala Lumpur. Bagi Muzammil dan saya, tibanya di stesyen keretapi Kuala Lumpur diibaratkan sebagai 'sirih pulang ke gagang'. Ini adalah kerana kedua - dua basikal kami dihantar dengan menggunakan perkhidmatan kurier melalui tren (KTMBD) dari stesyen ini.
Di restoran itu, kami berempat makan malam dengan saya memesan mee goreng sebagai menu. Dua pinggan mee goreng sekaligus !! Kemudiannya selepas makan dan mengikuti perkembangan semasa melalui pembacaan akhbar, Zulhabri memohon untuk mengundur diri kerana beliau mempunyai temujanji dengan rakannya di Brickfield. Ini kemudian diikuti oleh Muzammil dan saya yang akan pulang ke Lestari Perdana di Puchong dengan terpaksa berkayuh extra sejauh dua puluh enam kilometer lagi untuk mengambil kereta yang ditinggalkan di rumah Muzammil. Setelah bersalaman, kumpulan kami berpecah dan menghala ke tiga destinasi berbeza.
Basikal kami berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad yang bergemerlapan
Alamak, dah beberapa kali ke Dataran Merdeka baru terperasan tempat sejarah ni ...
Bahagian luar restoran Heritage Station di stesyen keretapi Kuala Lumpur
Basikal diletakkan betul2 berhadapan restoran, mudah untuk dipantau
Zulhabri dah selesai makan, tapi Wakjan belum juga habis2 ...
Ah Chong menghala ke Bandar Tun Razak manakala Muzammil dan saya menghala ke Lestari Perdana, Puchong. Kami mengikuti lebuhraya NPE, sebelum memasuki jalan Kelang Lama menghala ke Bandar Kinrara, Puchong. Dari situ, kami berdua melalui kawasan Puncak Jalil yang mempunyai beberapa laluan berbukit yang panjang. Agak meletihkan juga bagi kami berdua untuk menghabiskan kayuhan, mujurlah dua pinggan mee goreng saya kemudiannya bertindak membekalkan tenaga yang diperlukan hahaha ... Tibanya di kediaman Muzammil, saya berehat dahulu dan kemudian mengemas barang, meletakkan basikal ke atas roof rack dan meninggalkan perkarangan rumah Muzammil selepas bersalaman dengan beliau. Dengan naiknya basikal saya di atas roof rack kereta, bermakna secara rasmi telah tamatlah perjalanan berbasikal selama enam hari saya bersama Muzammil dan lima hari bagi Ah Chong, Zulhabri dan Subki. Meter basikal saya telah merekodkan bacaan sejumlah lima ratus lapan puluh lapan perpuluhan sembilan dua kilometer bagi tempoh lima hari termasuk sehari pra kayuhan.
Saya sampai di rumah Shah Alam melewati waktu tengah malam, yang saya sendiri tidak ingati waktunya secara tepat. Membersihkan diri dan kemudian bersedia untuk tidur. Sebelum tidur, sempat mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT atas kejayaan, keselamatan, kesihatan tubuh badan serta keadaan jentera kayuhan yang langsung tidak memberi sebarang masalah sepanjang perjalanan. Terima kasih juga kepada rakan - rakan pengiring atas satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat ini. Semoga ketemu di lain kayuhan, Wassalam ...
Info kayuhan hari kelima:
Jarak kayuhan: 130.56 km
Masa kayuhan (terkecuali waktu berhenti): 7 jam 52 min 46 saat
Purata kelajuan: 16.5 km/j
Kelajuan maksima: 55.0 km/
T A M A T
2 comments:
wah....bestnya! thanks sudi cerita dapat jugak saya siapkan kerja kursus sy ni....sy amik jarak dia..hehe
sy duk btg kali..kenal sgt dgn signboard tu..haha
K.K.Baru pula kampung saya...mmg kenal lah juga...korang rehat kat stesen minyak petronas kan..hehe
kat kkb mmg ada laluan motor and pejalan kaki....
@Nurul Aisyah: Terima kasih sudi membaca perkongsian pengalaman saya ini. Wahhh, kampung kamu rupanya KKB tu. Kalau tahu, boleh singgah sana untuk makan tengahari hehehe ...
Yup, sekarang dah nampak adanya papantanda memberitahu adanya laluan sikal, tapi secara realitinya tiada laluan khusus yang lebih lebar, cuma gunakan bahu jalan sedia ada sahaja ...
Post a Comment