ADS

06 February 2012

Kayuhan Solo Telok Kemang - Shah Alam: 25.09.2011, Bahagian 5 (Akhir)

Secebis pengakhiran dari bahagian lepas. 

"Perjalanan disambung, saya meninggalkan kawasan Sungai Manggis menghala ke lokasi seterusnya iaitu Jenjarom. Dengan jarak kayuhan tidak sampai lapan kilometer setelah melalui jalan yang kadang-kadang cerah serta gelap, disalak juga dikejar beberapa ekor anjing akhirnya saya tiba di pekan Jenjarom. Di sini, saya sedikit berbelah bahagi kerana jika saya mengikuti jalan dalam Kampung Jenjarom memasuki jalan Sukepi dan menembusi kawasan jalan Kebun, saya dapat menjimatkan sejauh tujuh kilometer untuk tiba ke Shah Alam. Apabila difikirkan semula, keadaan jalan yang terpencil dan gelap saya mengambil keputusan untuk melalui jalan utama walaupun terpaksa menempuhi lebihan tujuh kilometer perjalanan ..."

Jika ketinggalan bahagian pertama pengkisahan ini, bolehlah merujuk di sini.

Nota
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Gambar dengan imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. 

Jenjarom ke Teluk Panglima Garang (TPG) 

Setelah mengalami keadaan 'di persimpangan dilema' (chewaahhh, macam tajuk lagu lah pula), saya memilih untuk melalui jalan utama Banting - Klang atas faktor keselamatan. Keadaan jalan dari Jenjarom ke TPG sama seperti jalan Banting - Jenjarom. Persekitaran yang kadang-kadang cerah dan gelap akibat ketiadaan lampu jalan tidak membantutkan perjalanan saya. Mujurlah basikal telah dilengkapi dengan lampu hadapan (front light) serta belakang (blinker) yang dibawa sebagai persediaan untuk berkayuh pada waktu malam.

Hampir dua puluh minit atau sejauh enam kilometer berkayuh melepasi Jenjarom, saya memasuki kawasan seterusnya apabila terjumpa papantanda bertulis Teluk Panglima Garang. Berhenti seketika untuk bergambar kenangan di situ. Meneruskan perjalanan tidak sampai dua kilometer di hadapan, saya melepasi deretan kedai di kiri-kanan jalan. Cuma beberapa ratus meter sahaja di hadapan, kedengaran riuh rendah dari pembesar suara dan kelihatan ramai orang ketika saya melepasi sebuah bangunan di sebelah kanan jalan, yang kelihatan seperti sebuah dewan. Rupanya terdapat majlis Aidilfitri yang dilangsungkan buat penduduk setempat. Terdetik juga di hati untuk berhenti sebentar bagi menikmati juadah yang disediakan. Jikalau saya melalui kawasan itu ketika hari belum gelap, sudah pasti saya akan singgah ke situ untuk menjamu selera.


Jam 2106 malam. Tiba di Telok Panglima Garang a.k.a TPG


Telok Panglima Garang ke sempadan daerah Kuala Langat - Klang 

Dianggarkan lingkungan enam kilometer meninggalkan papantanda Telok Panglima Garang, saya tiba di kawasan jalan Batu Tujuh Sijangkang. Laluan sepanjang TPG ke Batu Tujuh Sijangkang itu kebanyakkannya tidak dilengkapi lampu jalan, ataupun lampu jalannya tidak berfungsi. Kenderaan-kenderaan panjang dan lebar turut banyak melalui jalan tersebut. Saya bertawakkal dan berdoa agar tidak dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan-kenderaan itu. Daerah Kuala Langat telah saya tinggalkan, dan kini memasuki daerah Klang. Saya berhenti untuk bergambar di papantanda tersebut walaupun keadaan pencahayaan sangat lemah.


Jam 2127 malam. Selamat tinggal Kuala Langat, selamat datang Klang !


Sempadan daerah Kuala Langat - Klang ke Shah Alam

Tiga perpuluhan lima kilometer melepasi sempadan daerah Kuala Langat - Klang, saya tiba di lampu isyarat persimpangan jalan Banting - Klang, jalan Pendamaran dan jalan Johan Setia. Di situ saya menghala ke arah kanan memasuki jalan Johan Setia. Rancangan asal ialah untuk melalui jalan Banting - Klang, kemudian selepas persimpangan lampu isyarat di atas Lebuhraya KESAS akan ke kanan memasuki jalan motor di lebuhraya tersebut untuk ke Shah Alam. Risau tentang keadaan keselamatan berkayuh secara sendirian, ditambah lagi dengan pelbagai kes samun yang saya dengari dialami oleh penunggang-penunggang motorsikal yang melalui Lebuhraya KESAS pada waktu malam. Saya tiada pilihan lain kecuali meminimakan kayuhan di laluan motor lebuhraya itu demi mengutamakan keselamatan diri.

Jalan Johan Setia adalah laluan landai dan lurus sepanjang lebih kurang lima perpuluhan lima kilometer dan berkeadaan gelap. Namun begitu dua perkara yang menggembirakan saya iaitu keadaan jalan yang elok dan mempunyai bahu jalan yang lebar, dengan kebanyakannya terdapat laluan sikal. Walaubagaimanapun berkayuh sendirian dalam gelap membuatkan laluan ini terlalu panjang dirasakan. Di penghujung jalan Johan Setia, saya kemudian tiba di lampu isyarat persimpangan jalan Johan Setia - jalan Kebun dan jalan Kampung Batu Tujuh.

Di persimpangan itu saya mengambil jalan terus memasuki jalan Kampung Batu Tujuh, yang bersambung dengan jalan Sungai Kayu Ara 32 lalu menembusi jalan Bukit Rimau. Dari jalan Bukit Rimau, saya melalui jalan Sungai Rinching 32/62, Persiaran Sungai Selangor sebelum tiba di bulatan yang memisahkan Persiaran Sungai Selangor, Persiaran Anggerik Eria dan Persiaran Anggerik Vanilla. Sebelum tiba di bulatan tersebut, terdapat hospital Columbia Asia di sebelah kanan jalan. Di bulatan, saya menghala ke kiri memasuki Persiaran Anggerik Eria dan meneruskan perjalanan ke persimpangan masuk Lebuhraya KESAS menghala ke Shah Alam.

Lebuhraya KESAS dan Lebuhraya Kemuning - Shah Alam (LKSA)

Sebaik sahaja melalui selekoh di laluan menuruni bukit, saya terus masuk ke laluan motor. Perjalanan di laluan motorsikal tidak sampai pun tiga kilometer dan kemudian saya tiba di jalan penghubung Lebuhraya KESAS - Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA). Satu laluan berbukit pendek harus saya lalui untuk ke Lebuhraya LKSA dengan terdapat satu lagi laluan mendaki melepasi plaza tol Kemuning.

Di laluan Lebuhraya LKSA menuju pusat bandar Shah Alam, saya melalui dua buah jambatan yang merentasi Sungai Rasau, Sungai Klang dan melalui gerbang dilengkapi papantanda elektronik. Sebaik sahaja tiba di laluan landai, walaupun belum tiba ke halaman rumah namun saya berasa lega kerana selepas ini tiada lagi laluan pendakian untuk dilalui. Terfikir juga tentang motif catatan kemalangan dipaparkan pada papan elektronik tersebut, mungkin ia secara psikologinya dapat membangkitkan kesedaran pada pengguna lebuhraya itu supaya tidak menjadi sebahagian dari statistik.


Jam 2229 malam. Melintasi Sungai Rasau di Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA)

Jam 2232 malam. Catatan kemalangan terakhir berlaku di LKSA

Jam 2236. Sungai kedua yang dilintasi di LKSA, Sungai Klang.


Hati semakin bertambah girang ketika melalui jalan menuruni bukit ketika di Lebuhraya Kemuning Shah Alam menuju ke seksyen 24 Shah Alam. Dari jambatan lebuhraya, saya dapat melihat dengan jelas di bahagian pintu masuk utama Uptown Shah Alam. Kelihatan pengunjung masih tidak ramai yang datang. Saya berhenti seketika bagi melihat pemandangan dan gelagat pengunjung yang baru tiba, sebelum menukar laluan dari lebuhraya dan menaiki benteng jalan untuk masuk ke seksyen 24.


Jam 2238. Pengunjung belum ramai tiba di Uptown Shah Alam
 
Pemandangan Uptown Shah Alam dari arah jambatan di LKSA


Rumahku Syurgaku

Alhamdulillah, syukur pada Yang Maha Esa. Cuaca adalah baik sepanjang hari mulai saya berkayuh ketika tengahari di Telok Kemang sehinggalah tiba di kediaman saya. Cuma keadaan berangin ketika melalui jalan lurus dari persimpangan Bagan Lalang - Sungai Pelek ke Tanjung Sepat sedikit sebanyak melemahkan jatidiri saya. Saya tiba tepat jam 2250 malam di hadapan pagar rumah. Setelah menyorong basikal ke laman dan masuk ke rumah untuk berehat, saya lantas melayangkan sms pada Cik J dan Adnan memberitahu telah sampai dengan selamat ke Shah Alam.

Kata penutup

Secara peribadinya, pengalaman berkayuh bersendirian melalui jalan Sepang - Sungai Pelek - Bagan Lalang - Tanjung Sepat - Morib agak menjerihkan dengan anggaran tambahan sebanyak tiga puluh satu kilometer berbeza jika melalui jalan Sepang - Litar F1 Sepang - Bukit Changgang - Olak Lempit - Sungai Manggis - Jenjarom. Apa-apa pun, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang melindungi saya dari segala kejadian tidak diingini sepanjang perjalanan dari Telok Kemang ke Shah Alam.

Jikalau ditanya, adakah saya akan melalui kembali jalan Sepang ke Morib secara solo mahupun berkumpulan ? Apa yang berani saya katakan, biarlah dilupakan kenangan melalui jalan tersebut terlebih dahulu barulah akan kembali semula ke laluan itu.

INFO KAYUHAN

Jumlah jarak kayuhan
143.16 kilometer

Jumlah masa kayuhan
7 jam 37 min 27 saat (terkecuali waktu berhenti)

Kelajuan maksima
42.2 km/j

Kelajuan purata
18.9 km/j

Nota:
Data di atas diperolehi dari odometer jenama TOPEAK model Comp 130 yang dipasang pada basikal.

W A S S A L A M ...

 
"Nothing is easy to the unwilling" - Thomas Fuller

2 comments:

Anonymous said...

Syabas saudara :)...

Azizan Zolkipli said...

@Anonymous: Terima kasih !