ADS

03 February 2012

Kayuhan Solo Telok Kemang - Shah Alam: 25.09.2011, Bahagian 4

Sedikit sedutan dari bahagian lalu.

Saya kembali berkayuh di jalanan, dan tanpa diduga lima minit berikutnya menemui apa yang ditunggu sekian lama. Papantanda Morib ! Yeayyyyy sorak hati saya girang. Kegembiraan ini tercetus kerana saya mengetahui jarak dari Morib ke Banting hanyalah sejauh sepuluh kilometer. Saya memberhentikan basikal dan meletakkan ianya berhampiran papantanda untuk bergambar. Setelah selesai, saya cepat-cepat berkayuh meninggalkan kawasan itu bagi menuju ke pantai Morib ..."

Jika ketinggalan bahagian pertama pengkisahan ini, bolehlah merujuk di sini.

Nota
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Gambar dengan imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar.

Morib ke Banting

Dengan seberapa pantas saya meninggalkan papantanda bertulis Morib itu. Beberapa puluh meter di hadapan, terasa kayuhan semakin berat. “Aikkk, takkan sebab tengahari tadi tak makan nasi, sekarang dah letih dan hilang tenaga pula. Ahhh sudahhh ...”, bisik hati saya. Namun begitu kayuhan tetap diteruskan tetapi naluri seakan berbisik menyuruh saya agar melihat keadaan kedua-dua tayar basikal.

"Laaa, patutlah berat. Tayar depan pancit rupanya, aduhaiii ..." Saya mara ke hadapan lagi bagi mencari lokasi yang selamat serta sesuai untuk berhenti bagi proses menukar tiub gantian. Satu jalan masuk ke sebuah rumah besar berpagar menjadi pilihan lokasi saya untuk berhenti, betul-betul di selekoh. Di hadapan sebelah kiri kelihatan seperti sebuah padang, yang saya rasakan mungkin sebuah padang golf awam bagi warga tempatan.

Sedang saya mengeluarkan peralatan untuk membuka tayar dan menukar tiub gantian, satu sms masuk ke telefon bimbit. Rupanya sms dari Cik J yang menanyakan tentang lokasi semasa saya. Saya membalas sms beliau memberitahu sedang berada di Morib dan dalam proses menukar tiub tayar yang pancit. Beliau kemudian membalas sms meminta untuk bersabar dan mendoakan agar selamat tiba di Shah Alam. 

Tidak lama kemudian, satu lagi sms masuk dan kali ini ianya datang dari Adnan. (rujuk sini untuk mengetahui siapakah Adnan). Adnan turut menanyakan lokasi dan keadaan saya. Jawapan yang sama seperti sms balasan kepada Cik J saya berikan kepada beliau. Selang tidak sampai seminit Adnan membalas dengan menawarkan untuk mengambil saya menggunakan kereta beliau. Saya menolak penawaran beliau dengan baik mengatakan situasi masih terkawal dan meminta beliau untuk mendoakan keselamatan saya. 

Saya berasa sedikit terharu atas kebaikan sahabat-sahabat yang mengambil berat keadaan saya. Sempat juga berdoa dalam hati pada Yang Maha Esa semoga kehidupan mereka dirahmati Allah SWT. Amin ... 

Tiub tayar yang bocor itu saya buka dan keluarkan dari rim basikal, kemudian saya memeriksa bahagian dalam tayar secara meraba-raba dengan jari. Jari saya tersentuh objek tajam kecil, setelah dibuat pemeriksaan lanjut didapati cebisan kaca kecil telah menembusi permukaan atas tayar saya lalu menusuk ke tiub tayar. Saya membuat pemeriksaan lagi bagi memastikan tiada lagi penyebab kepada kebocoran tiub. Berpuas hati akan tiada lagi objek penyebab kebocoran berada di permukaan dalam tayar, saya memasukkan tiub baru, memastikan ianya berada dalam kedudukan yang sempurna dan mengepam angin masuk pada tahap kekerasan tayar  yang diperlukan.

Proses mengeluarkan tiub lama dan memasang tiub gantian telah pun selesai. Angin tayar juga telah secukupnya diisikan. Pundi kencing saya terasa penuh dan ingin dikosongkan. Tetapi, tandas terhampir entah berapa ratus meter lagi di hadapan di kawasan pantai Morib dan stesyen minyak terhampir pula mungkin beberapa kilometer lagi di pekan Banting. Terdapat satu sebatang pokok yang dikelilingi semak kecil di sebelah kanan pintu masuk ke rumah besar tempat saya berhenti itu. Setelah yakin tiada penghuni di rumah tersebut, saya membuang air kecil di sebalik semak tersebut yang juga berhampiran dengan satu longkang besar. Semasa membuang air, spontan teringat satu teka teki yang pernah ditanyakan oleh rakan pendakian tentang bagaimana hendak mengenali bahagian hadapan mahupun belakang sesuatu pokok. Jawapan tersebut telah lama saya ketahui, tapi kini saya melakukannya sendiri secara praktikal hehehe ...

Selesai membuang air, saya memeriksa kawasan persekitaran bagi memastikan kesemua peralatan yang digunakan agar tidak tertinggal. Fokus ketika itu hanyalah satu iaitu makan malam. Saya ke arah utara menghampiri kawasan pantai Morib. Ketika masuk ke kawasan pantai Morib, kelihatan terlalu ramai pengunjung yang datang pada waktu itu. Tempat meletak kereta juga dipenuhi dengan kenderaan-kenderan pengunjung yang datang. Di setengah tempat, kenderaan (termasuklah basikal !) tidak dibenarkan masuk, hmmm sabar ajelah ... Patutlah ramai pengunjung, rupanya pada ketika itu sedang berlangsung satu festival jualan kerana saya lihat banyak khemah-khemah jualan berwarna putih didirikan.

Saya mengambil keputusan untuk tidak makan malam di situ, tetapi meneruskan perjalanan meninggalkan pantai Morib menghala ke pekan Banting dan akan berhenti jika terjumpa sebarang kedai makan ketika dalam perjalanan. Tidak sampai dua kilometer perjalanan, saya menemui sebuah restoran di sebelah kiri jalan. Odometer basikal mencatatkan jarak kayuhan berjumlah sembilan puluh satu perpuluhan dua belas kilometer sejak meninggalkan Telok Kemang jam 1330 tengahari lalu. Kelihatan tidak ramai yang mengunjungi restoran ini, cuma beberapa pengunjung yang memenuhi dua meja makan. Satu terdiri dari keluarga asas iaitu ibubapa dan anak-anak kecil mereka manakala satu meja lagi lagi terdiri dari tiga orang pemuda yang mungkin bersahabat.

Petugas datang menghampiri saya untuk mengambil pesanan, saya yang agak kekontangan idea untuk menu makan secara spontan terus sahaja meminta segelas air limau panas bersama nasi putih dan semangkuk sup ekor. Sementara menunggu hidangan tiba, sempat juga saya menonton siaran berbayar di peti televisyen restoran yang sedang menayangkan perlumbaan malam secara langsung  2011 Formula 1 SingTel Singapore Grand Prix. Jika diikutkan hati, mahu sahaja saya menyaksikan perlumbaan Formula One ini hingga 'chequered flag' dilayangkan tetapi apakan daya kesuntukan masa. Hidangan tiba dan saya makan sambil mata menghadap televisyen kerana teruja dengan perlumbaan yang sedang ditayangkan itu.

Sesudah menghabiskan makanan dan minuman, saya memanggil petugas untuk mengira bagi tujuan pembayaran. Alangkah terkejutnya saya apabila kos untuk segelas air limau panas beserta sepinggan nasi putih dan semangkuk sup ekor adalah RM 10.10 ! Saya yang seakan tidak berpuas hati dan mengganggap petugas tersebut tersalah membuat pengiraan, menyuruh beliau membuat pengiraan semula. Sekali lagi angka RM 10.10 disebut. Aduhhh, mahalnya makan di restoran ini. Nampak macam restoran biasa sahaja, tetapi harga dah seakan makan di restoran yang mengenakan cukai perkhidmatan huhuhu ... Jangan ditanya apakah nama restoran tersebut kerana saya tidak mengingatinya, tetapi rasanya saya masih mengingati lokasinya walaupun singgah di situ pada malam hari.

Saya melalui jalan pantai Morib - Banting, laluan yang mempunyai bahu jalan mencukupi serta selamat untuk berkayuh dan paling menarik terdapat lampu di kiri kanan jalan menerangi. Setiap kali apabila melalui jalan yang selesa ketika berkembara basikal, perkara yang terlebih dahulu datang di fikiran ialah siapakah ahli ADUN mahupun Ahli Parlimen kawasan tersebut. Perkara tersebut jugalah yang turut bermain di fikiran apabila melalui keadaan laluan yang teruk hehehe ...

Lebih kurang lapan kilometer berkayuh meninggalkan restoran tempat saya makan tadi, juga melepasi Hospital Banting dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sebelah kiri ketika melalui jalan Sultan Alam Shah. Kini saya tiba di papantanda bertulis Banting, memberitahu yang saya telah benar-benar tiba di pekan Banting. Peluang bergambar tidak dilepaskan, meskipun dalam keadaan gelap gelita. Mujurlah simbahan lampu dari kenderaan yang lalu lalang sedikit sebanyak membantu penggambaran. Shot pertama gagal akibat terlupa melaras kembali aturan ISO paling rendah yang digunakan ketika mengambil gambar pemandangan matahari terbenam semasa berada berhampiran Morib. Tetapi, apabila diamati semula gambar yang terhasil tampak seperti membuat light graffiti, langsung membuatkan saya tidak mahu memadamkan ianya dari kamera. 
 

Jam 2001 malam. Tersalah aturan kamera. Tetapi menarik juga, bukan ?


Banting ke Jenjarom 

Puas bergambar (dua shot aje pun), saya meninggalkan papantanda tersebut dan mula memasuki kawasan pekan Banting. Kedai dan pasaraya masih lagi dibuka, keadaan lalulintas di pekan masih lagi meriah ketika itu. Saya kemudiannya melalui jambatan yang melintasi sungai Langat menghala ke Klang memasuki jalan Banting - Klang yang turut dikenali sebagai Jalan Persekutuan No. 5. Lebih tiga kilometer berkayuh dari lokasi hentian terakhir, ternampak sebuah stesyen minyak Petronas Sungai Manggis di sebelah kiri jalan. Saya berhenti di situ membeli sebotol minuman isotonik sebagai hadiah untuk diri sendiri, juga turut menambahkan tekanan angin kedua-dua tayar basikal sebagai salah satu proses menguatkan semula jatidiri yang telah semakin terhakis.

Perjalanan disambung, saya meninggalkan kawasan Sungai Manggis menghala ke lokasi seterusnya iaitu Jenjarom. Dengan jarak kayuhan tidak sampai lapan kilometer setelah melalui jalan yang kadang-kadang cerah serta gelap, disalak juga dikejar beberapa ekor anjing akhirnya saya tiba di pekan Jenjarom. Di sini, saya sedikit berbelah bahagi kerana jika saya mengikuti jalan dalam Kampung Jenjarom memasuki jalan Sukepi dan menembusi kawasan jalan Kebun, saya dapat menjimatkan sejauh tujuh kilometer untuk tiba ke Shah Alam. Apabila difikirkan semula, keadaan jalan yang terpencil dan gelap saya mengambil keputusan untuk melalui jalan utama walaupun terpaksa menempuhi lebihan tujuh kilometer perjalanan.


Jam 2046 malam. Tiba di pekan Jenjarom. Berada di persimpangan dilemma.


B E R S A M B U N G  K E  B A H A G I A N  A K H I R ...
 
 
"Our life always expresses the result of our dominant thoughts".
- Soren Kierkegaard

No comments: