ADS

04 November 2011

Kayuhan Double A: 24.09.2011

Kayuhan ini dinamakan sebagai Kayuhan 'Double A', sempena mengambil huruf awalan kedua - dua peserta iaitu Adnan & Azizan. Kononnya menurut Adnan lagi, ia juga turut membawa makna 'Adnan Aishiteru' atau 'Aaron Azizan'. Awwww ... tak kuasa you ...

Perjalanan ini diinspirasikan oleh Adnan yang sudah lama mengimpikan untuk pulang ke rumahnya di Lukut dengan berbasikal. Disamping itu, kehadiran kami berdua ke Port Dickson ialah bagi menghadiri jemputan rumah terbuka Aidilfitri kak Maznah Bt Baba selain saya secara peribadinya bertujuan untuk bertemu dengan rakan - rakan Facebook di Port Dickson iaitu encik Chan Ho Nam (bukan nama sebenar) dan cik Jura Juju selain kak Maznah sendiri. Ketiga - tiga mereka adalah rakan penggiat rekreasi luar (outdoor) dan selama ini kami hanya bertemu secara maya di laman sosial Facebook sahaja.

Nota:
Segala tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Gambar dengan resolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada gambar. Semua imej yang digunakan di sini adalah dari rakaman kamera Adnan, hakcipta terpelihara. 

Prakata 

Perjalanan dari Seksyen 24 Shah Alam yang kemudiannya memasuki lebuhraya LKSA (Lebuhraya Kemuning - Shah Alam) - lebuhraya KESAS - Bukit Rimau - Jalan Kebun - Jenjarom - Sungai Manggis - Olak Lempit - Kg. Labohan Dagang - Bukit Changgang - Litar F1 Sepang - Sepang - Bukit Pelandok - Tanah Merah sebelum diakhiri di Lukut lokasi terletaknya rumah keluarga Adnan. Jarak kayuhan berjumlah 90.93 km dan tiba dengan masa keseluruhan 6 jam 38 minit.

Log perjalanan dan pengkisahan 


*0 km, jam 0705 pagi, Seksyen 24 Shah Alam:

Pagi itu, tepat jam 0700 Adnan datang ke rumah saya di seksyen 24 Shah Alam. Setelah membuat persiapan terakhir dan memastikan tiada sebarang barangan yang tertinggal. Kami memulakan perjalanan meninggalkan seksyen 24 dengan memasuki lebuhraya LKSA dan kemudian ke laluan sikal di lebuhraya KESAS sebelum memasuki susur keluar untuk ke Bukit Rimau.

Dari Bukit Rimau, kami menggunakan jalan dalam iaitu Lorong Haji Taib, Lorong Haji Mughni, Jalan Kampung Lombong dan seterusnya memasuki Jalan Kebun. Penghujung Jalan Kebun membawa kami ke simpang tiga dimana arah ke kiri menghala ke jalan Bukit Kemandol dan kami mengambil arah ke kanan mengikuti Jalan Masjid.

Dari jalan negeri yang dinamai dalam peta sebagai B129 itu, kami memasuki arah kiri ke jalan kecil tidak bernama yang kemudiannya membawa ke Jalan Sukepi. Penghujung Jalan Sukepi, kami bertemu simpang tiga yang ke kiri akan menghala ke Kampung Jenjarom manakala kanan ke arah ke pekan Jenjarom. Kami menghala ke arah kanan menuju ke sebuah kawasan berhampiran simpang empat lampu isyarat pekan Jenjarom.

*26.35 km, jam 0833 pagi, Jenjarom:

Setelah 1 jam 28 minit dan 26.35 kilometer berkayuh meninggalkan Shah Alam, kami berdua kemudiannya tiba di gerai MDKL (Majlis Daerah Kuala Langat) Taman Ria untuk berhenti sarapan di gerai encik Mat Nor, yang juga merupakan ayah pada rakan saya, Dian Fatihah.

Adnan dan saya mengambil menu yang serupa iaitu nasi lemak, cuma saya dengan tambahan lempeng ubi yang dimakan bersama sambal khas ala menu makanan Jawa. Sambil makan, kami berborak dengan encik Mat Nor, pelbagai topik kami perbincangkan dengan berbasikal tetap menjadi satu perkara yang wajib dibicarakan.


 Meninggalkan Kampung Jenjarom dan menghala ke pekan Jenjarom


Adnan sedang berborak dengan pemilik gerai makan, encik Mat Nor


Menu istimewa di gerai encik Mat Nor, lempeng ubi bersama sambal khas ala Jawa


Bergambar kenangan bersama encik Mat Nor


Bersiap siaga untuk meninggalkan Jenjarom


Setelah selesai bersarapan, membayar harga makanan/minuman dan bersalaman dengan encik Mat Nor serta beberapa pengunjung gerai yang lain, kami mula bergerak meninggalkan lokasi tersebut pada jam 0915 pagi.

Kami memasuki Jalan Persekutuan No. 5 atau Jalan Kelang - Banting secara lebih tepatnya. Meninggalkan Jenjarom, Taman Seri Cheeding dan di satu simpang Y berlampu isyarat, kami memasuki kiri di jalan negeri no. B69 sebelum ke jalan bernombor B18 yang menghubungkan antara Banting dan Dengkil.

Di pangkal jalan B18, kami melalui Kampung Sungai Manggis dan beberapa kampung lagi seterusnya dihadapan. Bahu jalan tersebut sangat sempit, kadang - kadang lori yang berada di laluan kami terpaksa memperlahankan kenderaan mereka apabila dua buah kenderaan berat berada di laluan masing - masing pada arah bertentangan.

Terdapat juga pemandu lori yang berkelakuan tidak sopan dengan membunyikan hon sekuat hati kepada kami, membuatkan kami terperanjat lalu basikal yang ditunggang terbabas memasuki bahu jalan yang berumput ataupun bertanah. Di tepi jalan dari Sungai Manggis ke Olak Lempit, banyak gerai menjual buah - buahan dengan tanaman nenas serta pisang menjadi hasil jualan utama.

Beberapa kilometer meninggalkan Sungai Manggis, kami tiba di mukim Olak Lempit. Di persimpangan berlampu isyarat berhadapan stesyen minyak Petronas Olak Lempit, saya kemudian memilih jalan di susur masuk ke kiri memasuki jalan B20. Jalan ini mempunyai dua lorong sehala dan bahu jalan yang besar, membolehkan kami untuk berkayuh secara bersaing bersebelahan.

Ketika tiba di persimpangan ke Kampung Labohan Dagang, kami mengikuti jalan bawah untuk mengelakkan dari melalui jalan yang sedikit mendaki. Bila dah berkayuh ni, sedikit sebanyak kena berkira juga beb !! Di sebuah cermin untuk melihat aliran trafik, kami sempat bergambar berdua disitu.

Beberapa kilometer dihadapan, kami melalui kawasan Bukit Changgang dan melepasi sebuah kilang kertas (GS Paper Packaging atau nama lamanya Genting Sanyen) di sebelah kanan jalan. Dari situ, kami melalui sebuah simpang tiga berlampu isyarat dan menghala ke kanan memasuki Jalan KLIA 1 sehingga ke sebuah bulatan dan sekali lagi kami mengambil arah ke kiri melalui Jalan Pekeliling.

Memasuki Jalan Pekeliling sebaik sahaja melepasi bulatan, kami menghala terus menuju ke Litar F1 Sepang. Di sini bahu jalannya memang besar, dengan jalan utama mempunyai tiga lorong sehala. Apa yang melemahkan mental kami kami ialah jalan lurus terbuka dengan tiada langsung kawasan teduhan di sepanjang perjalanan.


 Cermin pandang-lihat di simpang masuk ke Kampung Labohan Dagang


 Menuju ke arah Litar F1 Sepang 


55.19 km, jam 1045 pagi, bawah jambatan ERL:

Tidak sampai sepuluh minit berkayuh dari bulatan di Jalan Pekeliling, kami ditemukan dengan sebuah jambatan yang terdapat laluan ERL (Express Rail Link) di atasnya. Peluang ini diambil sebaik mungkin oleh kami berdua bagi berehat, minum membasahkan tekak dan menunggu kehadiran pesawat di belakang kami untuk bergambar. Tepat sepuluh minit berteduh di bawah jambatan tersebut, kami menyambung perjalanan menghala ke Litar F1 Sepang.


Berehat dan berteduh dari panas di bawah jambatan landasan ERL, sambil memerhatikan kapal terbang berlepas dari KLIA/LCCT


Perjalanan diteruskan sehingga ke simpang tiga lampu isyarat berhampiran Litar F1 Sepang dan kami menghala ke arah kiri memasuki Jalan Kuarters KLIA. Di sini, terdapat satu laluan pendakian yang panjang. Mujurlah pendakiannya tidak menyeluruh, di pertengahan jalan ianya kemudian menurun hingga ke simpang empat berlampu isyarat. Dari simpang empat tersebut, kami menuju ke arah kanan memasuki jalan B48 menghala ke Sepang.

Meninggalkan simpang empat tersebut, kami kemudian melalui jalan yang di kiri dan kanannya terdapat ladang kelapa sawit. Lebih kurang empat kilometer berkayuh, terdapat satu simpang di sebelah kiri menghala ke Felda LBJ. Perjalanan diteruskan dan kami mula melalui kawasan laluan pendakian dan jalan yang berliku-liku. Selepas beberapa kilometer jalan pendakian, kami dianugerahkan laluan menurun sehinggalah menghampiri Sepang. 

72.26 km, jam 1245 tengahari, R&R Sepang:

Kami menjejakkan tayar basikal berhadapan papantanda putih bertulis Sepang tepat jam 1240 tengahari. Melihatkan pada keunikan papantanda tersebut yang kedudukannya lebih rendah dari papantanda kawasan yang lain, kami mengambil keputusan untuk bergambar di situ. Selesai bergambar, kami ke R&R Sepang yang terletak di seberang jalan. Bacaan odometer basikal saya mencatatkan bacaan 72.26 kilometer, membawa maksud progres perjalanan kami telah mencapai 80 peratus dari keseluruhan jarak perjalanan. 

Di sini, kami berdua hanya minum sahaja dan yang agak pelik ialah kenapa kami tidak makan tengahari di situ walaupun telah sampai waktu. Adnan yang kelihatan letih kerana panas terik, telah memesan dua gelas teh o ais sekaligus. Mungkin cuaca yang panas telah mematikan selera makan kami berdua, sebaliknya hanya banyak meminum air untuk menyejukkan badan.


 Sebaik tiba di Sepang. Perhatikan ketinggian papantanda ini


Nan pun hendak berposing juga ( :


 Alamak, sekali pesan 2 gelas teh o ais tu !!


Kesempatan yang ada digunakan untuk mencatat butiran perjalanan di buku nota atau menghantar laporan melalui telefon bimbit


Lebih kurang 20 minit berhenti rehat, kami meninggalkan R&R tersebut setelah membayar harga minuman. Sebelum memasuki kembali Jalan Persekutuan No. 5 yang menghubungkan Sepang dan Lukut, kami terlebih dahulu berhenti di stesyen minyak Shell Sepang untuk ke tandas dan membeli tambahan minuman. Shell Sepang ditinggalkan dan kami kini kembali di jalanan. Melepasi sahaja sebuah jambatan di atas Sungai Sepang, kini kami meninggalkan negeri Selangor Darul Ehsan dan memasuki Negeri Sembilan Darul Khusus. Terdapat sebuah binaan kecil dengan berbumbung Minangkabau di sebelah kiri jalan yang mengalu - alukan kedatangan orang luar ke Negeri Sembilan. Kami berhenti seketika di situ untuk bergambar.


Kedua peserta dan basikal masing-masing telah memasuki sempadan Negeri Sembilan Darul Khusus


"Selamat datang ke negeriku", mungkin itulah kata Adnan


Seronok dapat masuk ke Negeri Sembilan !


Tidak sampai 50 meter di hadapan, terdapat satu papantanda berwarna biru yang memberikan kami satu kelegaan, memberitahu bahawa jarak ke Lukut hanya berbaki 18 kilometer. Tetapi pada masa yang sama, turut memaklumkan yang jarak ke Bukit Pelandok tinggal 7 kilometer manakala Tanah Merah pula 12  kilometer. Matahari pula ketika itu tegak di atas kepala. Selepas ini akan melalui jalan pendakian dan permukaan jalan yang beralun turun-naik hinggalah tiba di Lukut.


 Saat-saat gembira sebelum meneruskan perjalanan melalui kawasan berbukit di Bukit Pelandok dan Tanah Merah


Dalam keadaan panas terik dengan matahari berada betul - betul di atas kepala, Adnan berjaya mendahului saya di hadapan. Basikal Bridgestone saya yang mempunyai cuma 7 kelajuan (7 speed) pada cassette nya ditambah dengan saiz cassette yang cuma besar sedikit dari yang digunakan pada roadbike memang benar menguji kemampuan fizikal saya. Apa - apapun, saya cuma mengikut kaki berkayuh dan melayan perasaan sambil menguatkan mental walaupun pada beberapa kawasan saya ditinggalkan oleh Adnan sehingga sejauh selang 6 tiang elektrik (bahasa mat rempit: "kena tinggal 6 tiang").

Tidak jauh dari satu simpang jalan masuk ke ladang kelapa sawit di ladang Tanah Merah milik Sime Darby, Adnan dilihat berhenti di tepi jalan. Beliau kemudian mengeluarkan kameranya untuk bergambar di satu papantanda kesedaran keselamatan. Saya yang berada beratus meter di belakang menyertai beliau tidak lama kemudian, turut meminjam kamera miliknya untuk mengambil gambar basikal saya berlatarbelakangkan papantanda tersebut.


Awas ! Traktor melintas di hadapan ...


"Tiada kemalangan, tiada tangisan" ...


Puas bergambar, berhenti rehat dan menyedut minuman untuk membasahkan tekak, perjalanan disambung dan kami melepasi Taman Jimah Jaya Site C dan stesyen Petronas d' Ambang Kota dengan melalui jalan yang beralun, diselang selikan antara laluan mendaki & menuruni bukit. Sebuah papantanda bertulis Port Dickson 11 kilometer menarik perhatian saya untuk bergambar kenangan. Tidak jauh dari situ, terdapat tinggalan lama sebuah restoran berbentuk binaan sampan besar. Disebelahnya, sebuah replika burung helang seperti Dataran Lang di Kuah, Langkawi tapi pada skala lebih kecil.



 Replika burung helang semacam Dataran Lang di Kuah, Langkawi


Berbaki 11 km ke Port Dickson dan tidak sampai separuh untuk ke Lukut


Nan cuba membayangkan yang beliau sedang berada di Dataran Lang, Kuah, Langkawi


Selesai bergambar, kami meneruskan perjalanan dengan perasaan yang berkobar - kobar, lebih-lebih lagi bagi Nan kerana mengetahui jarak semakin hampir. Tidak sampai 1 kilometer dari simpang tiga lampu isyarat Jalan Sepang - Lukut dan Jalan Seremban - Port Dickson, kami melepasi tanah perkuburan Cina dan kemudiannya mengambil arah ke kanan memasuki sebuah taman perumahan. 

90.93 km, jam 1343 tengahari, rumah keluarga Adnan di Lukut:

Tepat jam 1343 tengahari, kami berdua tiba di kediaman keluarga Adnan setelah berkayuh, berehat, berfotografi dan macam - macam lagi selama 6 jam 38 minit dengan jarak berjumlah 90.93 kilometer. Kehadiran kami disambut dengan rasa terkejut oleh ibu Adnan. Saya kemudiannya difahamkan yang Adnan ada mengatakan hasrat ingin pulang tetapi beliau tidak memaklumkan kepada ibunya yang dia ingin berbuat demikian dengan berbasikal.

Setelah meletakkan kedua - kedua basikal ke dalam kawasan berpagar di rumah keluarga Nan. Kami berehat di bahagian luar rumah yang dipasangkan dengan sebuah kipas siling, rasa bahagia dapat duduk di atas lantai yang beralaskan tikar getah lebih enak dari berjam-jam duduk di atas pelana basikal. Kusyen diambik dan diletakkan di kepala, akhirnya kedua kami pengsan dalam ketiduran ...

Apabila saya bangun dari tidur, kelihatan ayah Adnan telah pulang sebentar ke rumah untuk berehat dari tugasnya. Saya lantas bersalaman dengan beliau. Ayahnya kelihatan bersemangat melihatkan kami datang dengan berbasikal. Rupanya setelah bersembang, beliau turut memiliki hobi yang sama dengan kami iaitu berbasikal. Dari koleksi album gambar dan gantungan gambar yang dihiasi di dinding rumahnya, kelihatan beliau pernah menjadi rakan kayuhan pada Datuk Hassan Nawawi, warga Malaysia yang berpengalaman mengelilingi dunia secara solo pada tahun 2001 ~ 2002. Untuk info, keduanya pernah bertugas di bawah satu bumbung ketika Datuk Hassan bertugas di Majlis Daerah Port Dickson sekitar tahun 1998 hingga 2000.

Tidak beberapa lama kemudian, Nan turut bangun dari tidurnya. Ayahnya pula meminta diri untuk kembali ke tempat kerja. Kami kemudiannya bergilir mandi untuk membersih dan menyegarkan diri lalu menukar pakaian. Diikuti dengan makan lewat tengahari masakan oleh ibunya. Petang itu selepas Asar, Adnan membawa saya ke pantai Batu 4 Port Dickson untuk bertemu rakan baru saya.

Kami tiba dahulu di pantai Batu 4, diikuti oleh Jura diikuti Chan Ho Nam. Inilah kali pertama saya bertemu mereka berdua, jika tidak hanya berinteraksi dalam laman sosial Facebook sahaja. Kesempatan bertemu ini diambil oleh saya untuk berkenalan dan berbicara dengan mereka, topik perbualan kami sudah tentulah lebih terarah pada aktiviti luar (outdoor). Petang itu, sajian minum petang kami dibawa oleh Jura, dengan bermenukan aiskrim dan minuman coklat panas. Terima kasih Jura  !

Kami lepak di tepi pantai itu sehingga menjelang waktu Maghrib. Panorama matahari terbenam petang itu sungguh mengasyikkan. Nan mengambil peluang menggunakan kameranya bagi merakamkan detik-detik tersebut. Kami berempat kemudiannya berpisah untuk pulang ke rumah, dengan masing-masing berjanji untuk bertemu semula di jemputan rumah terbuka Aidilfitri kak Maznah pada malamnya.


 
Panorama matahari terbenam di pantai Bt. 4 Port Dickson


Malam itu, selepas Isyak kami keluar dari rumah Nan untuk ke Taman Lagenda, Kampung Paya Lama. Lokasi di mana akan berlangsungnya majlis rumah terbuka Aidilfitri kak Maznah dan suaminya encik Kamal. Sebelum bertolak, saya dengan bantuan Adnan membuka tayar dan tempat duduk untuk memuatkan basikal saya ke dalam kereta Adnan. Ini adalah kerana, selepas majlis terbuka Aidilfitri itu saya merancang untuk bermalam di rumah sepupu ibu saya, puan Norzalila Mohamed Salim atau lebih mesra saya panggil Makngah di Taman Intan Perdana, Telok Kemang.

Telah beberapa kali beliau sekeluarga mengajak saya bertandang ke rumahnya ketika melalui kawasan Port Dickson untuk bertouring. Dan kali ini, saya rasakan tidak dapat mencari alasan untuk menolak ajakannya lagi hehehe ... Setelah bersalaman dengan keluarga Adnan, mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal. Kami berdua meninggalkan perkarangan rumah Nan menuju ke Kampung Paya Dalam.

Kami berlima tiba hampir serentak dengan tiga kereta berasingan; saya bersama Adnan, Chan membawa isterinya Norazura manakala Jura berseorangan. Orang ramai telah pun berpusu-pusu ketika kami tiba. Kami disambut mesra oleh kak Maznah, oleh kerana sibuk melayan tetamu, beliau meminta izin untuk meninggalkan kami dan menyuruh kami untuk mengambil hidangan sendiri.  Apalagi, tanpa membuang masa Nan dan saya terus bergegas ke menu yang paling menarik untuk malam itu, kambing golek ! Walaupun terpaksa menunggu giliran panjang, itu sedikit pun tidak melemahkan semangat kami.

Semasa menunggu, majlis bacaan doa selamat sedang berlangsung. Kami menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca. Selesai bacaan doa, kami menghampiri arah kambing golek sambil menghulurkan pinggan polisterin putih dengan harapan agar pinggan masing-masing akan diisikan segera dengan hirisan kambing golek oleh para petugas.


 Nan menunjukkan isyarat bagus selepas pinggannya diisikan dengan hirisan daging kambing golek


Kambing golek pertama, hampir tinggal tulang


Kambing golek yang kedua


Selesai mengambil kambing golek, kami beratur di kawasan penyediaan sate pula. Seorang petugas yang mengipas dan menjaga pembakaran sate itu, semacam pernah saya lihat dahulu. Setelah diingatkan oleh Nan, baru saya dapat mengingati yang nama panggilannya ialah Wet atau nama sebenar beliau Azuwer Abd Tawab. Kami pernah berkayuh bersama ketika Ride for Gaza di Putrajaya diikuti dengan kayuhan di Paya Indah Wetlands pada 16hb Jan 2011 lalu.


 Wet sedang membakar sate bersama seorang petugas lain


Selesai mengambil hidangan sate, kami mengambil tempat untuk menikmati hidangan. Pada mulanya kami duduk dibahagian tengah meja di bawah khemah. Kemudiannya, saya mengajak mereka bertukar ke meja berhampiran kawasan laman rumah kak Maznah. Selain menu utama kambing golek dan sate, menu lain yang terdapat malam itu ialah nasi dengan lauk dan ulam ala kampung, lemang dan rendang  serta pelbagai lagi.

Semasa masing-masing sedang leka menikmati hidangan, hadirin dikejutkan oleh bunyi kuat dari pembakaran mercun dan bunga api. Terperanjat Boboi, ahaksss ... Untuk mencuci mulut, saya mengambil aiskrim yang turut disediakan sebagai juadah pada malam itu. Hmmm, sedap ... Memandangkan Adnan akan kembali ke Shah Alam pada malam itu kerana perlu menghadiri kelas pada pagi Ahad dan saya pula akan ke rumah Makngah di Telok Kemang, kami kemudian menemui kak Maznah bagi memohon diri untuk pulang.

Sempat juga kak Maznah mengenalkan kami pada beberapa orang rakan penggiat aktiviti luar dari Malaysia Backpackers. Ada antaranya terdapat dalam senarai rakan Facebook saya, seronok rasanya dapat bertemu muka dengan mereka. Pertemuan kami malam itu, diakhiri dengan sesi bergambar bersama-sama. Suaminya, encik Kamal tidak dapat kami temui kerana sedang sibuk melayani tetamu.


 Kak Maznah mengenalkan Nan & saya pada  beberapa rakan penggiat rekreasi luar


Bergambar dengan rakan Facebook di PD; dari kiri, Chan Ho Nam bersama isteri, Norazura, Adnan, kak Maznah & Jura


Setelah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal antara kami berlima, kereta dipandu Nan kemudiannya membawa kami berdua menuju Taman Intan Perdana yang terletak dalam kawasan Telok Kemang, tidak jauh dari Politeknik Port Dickson. Kami sampai di rumah Makngah saya lebih kurang jam 2300 malam. Setelah mengeluarkan basikal dari kereta, Nan sempat bertemu Makngah saya dan kemudiannya memohon untuk pulang ke rumahnya.

Esoknya, saya akan berkayuh seorang diri dari Telok Kemang ke Shah Alam kerana Adnan akan pulang ke Shah Alam menghadiri kelasnya pada pagi Ahad. Jika tidak, pasti beliau akan menemani saya untuk ke Shah Alam bersama. Moga perjalanan keesokan hari saya akan berjalan lancar, dilindungi oleh Allah SWT dan terhindar dari sebarang kejadian tidak diingini. Amin ... 

Info kayuhan (dari bacaan meter): 

Jumlah jarak = 90.93 km, masa kayuhan = 4:45:30 (jam/minit/saat, tidak termasuk waktu rehat, berhenti minum & sesi fotografi), kelajuan maksima 37.9 km/j dan purata kelajuan 19.1 km/j.

Peta perjalanan kami boleh dilawati melalui pautan http://g.co/maps/6euk2 


"The greater the effort, the greater the glory" - Pierre Corneille


3 comments:

Jom Travel said...

rajin sungguh mengayuh brother ni!

Azizan Zolkipli said...

@Jom Travel: kadang2 aje bro, bila berkelapangan ...

Anonymous said...

cialis sans ordonnance acheter cialis