ADS

26 May 2011

Kayuhan Dua Tasik di Pahang: Tasik Chini - Sungai Chini

14.02.2011, Isnin ...
Bersambung dari bahagian lalu

Puas merakamkan gambar di segenap kawasan resort, jeti dan bahagian tepi tasik, saya kembali ke gazebo tempat kami berteduh. Pagi itu saya cuma bersarapan dengan bihun segera yang dimasak dan meminum lebihan air mineral malam tadi. Selain dari menjimatkan kos, ia juga bertujuan untuk menghabiskan ration makanan kecemasan yang dibawa. Elehhh, macamlah mee segera tu berat sangat untuk dibawa hahahaha ...

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Gambar dengan resolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Semua gambar yang dimuatkan di sini adalah hak milik Shukri dan uncle Chew,  segala hakcipta terpelihara.


Mengabadikan kenangan basikal saya di tepi Tasik Chini


Bihun segera versi Tasik Chini, hmmm nyummm nyummm ...


Selesai memenuhkan perut, saya ke tandas awam berhampiran untuk mandi dan membersihkan diri. Dengan membawa sebuah botol kosong dan messtin (periuk aluminium empat segi dengan tangkai boleh lipat) untuk digunakan sebagai gayung, saya menghabiskan masa yang lama membersih dan menyegarkan badan. Ahhh, nyaman terasa semasa mandi sambil membayangkan selepas ini akan mengharungi lagi cabaran getir berkayuh dalam cuaca yang panas. Selesai mengeringkan diri serta menukar pakaian, saya kembali ke gazebo untuk mengemaskan peralatan dan barangan yang hendak dimuatkan semula di basikal. Penat sahaja membawa khemah yang berkilogram beratnya, tetapi sekali pun tidak digunakan aduhaiii ... Selesai berkemas dan menyediakan basikal untuk kayuhan, saya menyambung kembali tidur sementara Shuk serta uncle Chew bersiap. Mengantuk sebab malam tadi kena kayuh overtime hingga jam 0300 pagi maaa ...

Lebih kurang jam 1250, kami bertiga meninggalkan perkarangan gazebo untuk memulakan perjalanan pulang ke Temerloh. Sebelum beredar dari kawasan resort, kami bergambar kenangan di papantanda Tasik Chini yang kelihatan sudah usang. Jam menunjukkan tepat jam 1300 apabila kami mula memulakan kayuhan. Tentangan yang pertama iaitu sebuah bukit yang agak curam menanti kami sebaik sahaja mula berkayuh. Sabar ajelah, hari ini kan hari yang terakhir. Oopss sebelum terlupa, jarak perjalanan kami pada hari terakhir ini disasarkan sejauh lebih kurang sembilan puluh lima kilometer ...


Bergambar kenangan di hadapan papantanda Tasik Chini.


Tentangan demi tentangan bertubi - tubi mengasak kami pada tengahari itu, laluan pendakian dengan bahu jalan yang sempit dan berselekoh terpaksa kami lalui. Tiba di satu simpang tiga, kami memasuki arah kiri menghala jalan untuk ke jeti Kampung Gumum. Kawasan itu merupakan plan asal saya untuk bermalam tetapi disebabkan kami sampai di kawasan Tasik Chini pada waktu malam dan laluan ke Kampung Gumum akan melalui kampung orang asli yang banyak anjing, plan asal kami terpaksa ditukar ke bermalam di Lake Chini Resort. Laluan permulaan di situ mula melemahkan semangat kami, pendakian yang panjang dan lurus sayup mata memandang serta bahang jalan tar akibat panas matahari telah mula memperlahankan rentak kayuhan kami. Tiba di kemuncak pendakian iaitu satu lagi simpang tiga untuk jalan masuk ke Kampung Gumum, laluan telah bertukar kepada jalan menurun yang curam.

Di sini masing - masing telah menjadi seronok dan seakan lupa dunia, menuruni bukit dengan kelajuan semaksima mungkin tetapi masih mengekalkan tahap keselamatan peringkat tertinggi iaitu peka akan keadaan sekeliling. Iyelah, mana tahu jika terdapat sebarang kenderaan yang akan datang dari arah bertentangan dan memasuki sebahagian laluan kami. Akibatnya jika tidak terperosok ke bukit di sebelah kanan, maka ke gaung yang tinggi jauh di sebelah kiri sahajalah jawapannya. Untuk info, saya tidak pernah melalui jalan ini dan hanya menganggarkan laluan ini melalui bantuan Google Maps. Namun saya cukup yakin yang jalan ini akan bertembung semula dengan laluan utama berdasarkan gerak hati.

Selesai melalui beberapa laluan menuruni bukit, perjalanan kami diakhiri dengan jalan landai. Terdapat sedikit kerosakan jalan sepanjang beberapa ratus meter tetapi tidak sampai satu kilometer pada anggaran saya, dimana jalan bertar telah menjadi laluan berbatu kelikir sederhana besar serta berpasir. Kemungkinan disebabkan oleh aliran air ketika waktu hujan atau dinaiki air akibat berkedudukan rendah seolah lembah. Kemahiran tinggi diperlukan untuk mengawal roda depan basikal, jika tersalah memilih laluan berpasir akan mengakibatkan kita boleh terjatuh bersama basikal. Juga jika terlanggar bucu batu yang tajam, kemungkinan tayar kami akan pecah. Tidak lama kemudian, kami memasuki sebuah kampung dan dari paras wajah penduduk di situ saya merasakan ia adalah sebuah perkampungan orang asli tersusun dengan bantuan kerajaan. Sangkaan saya betul kerana kemudiannya menjumpai sebuah papantanda projek yang mempunyai lambang pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) atau sekarang disebut sebagai JAKOA.

Kami meninggalkan kawasan perkampungan orang asli dan mula memasuki kawasan estet kelapa sawit. Jalan disini juga landai dan sedikit redup, kami mula berbasikal beriringan bertiga kerana kenderaan amat jarang melalui laluan ini. Jika ada pun, cuma beberapa motorsikal penduduk tempatan dan kenderaan pacuan empat roda milik syarikat ladang kelapa sawit. Di akhir perjalanan, laluan yang kami susuri ini kemudiannya bercantum dengan laluan utama berhampiran sebuah selekoh. Hmm, terjawab jualah persoalan tentang dimanakah laluan yang kami masuki itu bertemu. Saya mula mengingati persimpangan tersebut kerana pernah melalui jalan utama untuk ke Tasik Chini pada awal tahun 2010 ketika mengendalikan program berkayak Sungai Pahang - Tasik Chini anjuran kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL).

Dari persimpangan berhampiran selekoh itu, saya membawa Shuk dan uncle Chew untuk berhenti makan tengahari di sebuah kedai makan. Terdapat dua deretan kedai di situ, dimana terdapat beberapa kedai runcit, kedai makan, kedai telefon bimbit dan ada beberapa lot premis yang masih belum dibuka. Kami memilih untuk makan di kedai paling hujung yang tidak saya ingati namanya. Ohh ya, jika tidak silap saya kawasan tersebut bernama Kampung Salong. Tamat acara makan - minum dan membayar, kami berehat seketika sebelum menyambung perjalanan menghala ke Chenor. Dari kedai makan tersebut, kami menuju sebuah simpang tiga yang terletak lebih kurang empat ratus meter. Di simpang tiga tersebut, kami menghala kiri ke arah Chenor. Simpang ke kanan akan membawa kita semula ke Lebuhraya Tun Razak atau dipanggil 'Segamat Highway' oleh pengguna yang biasa melalui jalan tersebut.

Di sini jalan agak landai, namun terdapat juga sedikit laluan pendakian yang pendek. Antara nama kampung yang kami lalui ialah Kampung Salung Hilir, Salung Tengah, Semanggang, Duri dan Kampung Melayu. Mungkin setelah menambah tenaga dengan hidangan makanan tengahari, masing - masing meningkatkan kelajuan dan lebih kurang tiga belas kilometer kemudian, kami tiba di kawasan Rehat dan Rawat (R & R) yang terletak bersebelahan Sungai Chini dalam jangkamasa tidak sampai sejam. Malang bagi kami kerana R & R tersebut ditutup dan pintu pagar luarnya berkunci. Pada mulanya, saya bercadang hendak berhenti di situ tetapi kerana telah ditutup kami mengubah haluan memasuki sebuah jalan kecil di tepi Sungai Chini menghala ke sebuah kunci air unik milik Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS). Di sini masing - masing mengambil peluang untuk berehat dan solat. Selain berehat dan bersolat, sempat juga saya meninjau keadaan di jeti Sungai Pahang dan kunci air Sungai Chini dimana terdapat beberapa individu sedang memancing.


Hentian ad - hoc R & R di tepi sungai Chini


Air dari Sungai Chini yang mengalir keluar ke arah Sungai Pahang


Navigational Lock Gate oleh JPS memudahkan bot kecil memasuki Sungai Chini dari arah Sungai Pahang


Jambatan merentasi Sungai Chini, terletak di tengah antara R & R dan Navigational Lock Gate


B  E  R  S  A  M  B  U  N  G ...







10 May 2011

Kayuhan Dua Tasik di Pahang - Sepagi di Tasik Chini

14.02.2011, Isnin
Pagi itu, tidak diingati jam berapa saya bangun dari tidur. Tapi yang pasti, matahari telah tinggi dan Shuk serta uncle Chew bangun lebih awal dari saya. Menurut mereka berdua, keheningan pagi kami telah diganggu oleh sekumpulan peserta PLKN yang berkawad berhampiran kami. Riuh rendah jadinya. Memang saya betul - betul tidur mati dan tidak menyedari apa yang berlaku. Gangguan makhluk halus (nyamuk) jika ada pun langsung tidak saya pedulikan. Saya kemudian menyambung tidur semula kerana memang bercadang untuk bertolak lambat pada hari ini memandangkan malam tadi telah berkayuh lebih masa (overtime hehehehe). Setelah puas menyambung tidur, saya bangun dan dengan masih berbaju & berseluar tidur tanpa membasuh muka, saya berjalan ke arah lobi resort yang terletak tidak sampai seratus meter dari gazebo tempat kami bermalam. Shuk kelihatan sedang bersarapan pagi di sebuah cafe terbuka. Saya kemudian menemui beliau untuk meminta kebenaran meminjam kamera DSLRnya bagi merakamkan suasana pagi di situ.

Dengan kamera di tangan, saya menyelinap ke segala sudut di resort tersebut. Hasil - hasil rakaman lensa saya, adalah seperti yang berikut. Layan, zasssss ... 

Oppsss tapi sebelum itu, mari kita ketahui serba sedikit tentang info mengenai Tasik Chini. Info ini saya salin dari papantanda Tourism Malaysia berhampiran bangunan Tasik Chini Resort. Kalau info tu tipu, maka saya pun tipu lah ( :

Tasik Chini
Tasik Chini ialah sebuah tasik air tawar yang kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan 12,565 ekar. Tasik Chini mengandungi rangkaian 12 buah tasik (disebut 'laut' oleh masyarakat Orang Asli tempatan) yang bercantum antara satu sama lain. Tasik Chini menawarkan persekitaran yang tenang dan damai disebalik misteri dan lagenda zaman berzaman yang tiada jawapan hingga kini. Kononnya pada zaman dahulu Tasik Chini adalah tapak sebuah kota besar Khmer yang kini telah tenggelam dan dijaga oleh makhluk misteri. Khabarnya juga makhluk misteri ini pernah ditemui oleh penduduk tempatan, tetapi walaubagaimanapun kewujudan makhluk tersebut masih belum dapat disahkan secara saintifk. Masyarakat tempatan percaya bahawa tasik ini didiami oleh seekor naga yang besar.

Tasik Chini dianugerahkan dengan khazanah alam semula jadi yang kaya dengan sumber biologi dimana terdapat 138 spesis flora, 300 spesis hidupan bukan akuatik dan 144 spesis ikan air tawar. Dalam bulan Ogos hingga September setiap tahun, Tasik Chini menjadi sebuah taman terapung dipenuhi ribuan pokok bunga teratai (water lilies) dengan kelopak - kelopak putih dan jingga yang mengembang menghiasi permukaan tasik.

Memancing adalah satu kegiatan yang popular di Tasik Chini. Waktu memancing yang paling baik ialah dalam bulan November hingga Januari di mana musim hujan menyebabkan paras air naik dan keluasan tasik bertambah.

Nota:
Sila klik pada gambar untuk melihat imej dengan resolusi lebih tinggi. Semua gambar yang dimuatkan di sini adalah hak milik Shukri, segala hakcipta terpelihara. 



 
Pemandangan tasik dari arah tepi cafetaria


 Pemandangan keseluruhan jeti


 Antara pulau kecil yang terdapat di dalam kawasan Tasik Chini


 Masyarakat Orang Asli menggunakan sampan sebagai medium pengangkutan mereka


 Seekor tupai memakan biji kelapa sawit yang diletakkan oleh petugas resort


 
Pemandangan rumah terapung dari kejauhan 


 Sekumpulan wanita Orang Asli yang mencari rezeki di tasik 
 Antara spesis tupai unik yang terdapat di sini
 Sampan diperbuat dari sebatang kayu yang ditarah
 Kawasan hutan primer yang masih terpelihara keasliannya
 Rimbunan pokok yang mempunyai daun berduri mendominasi lanskap Tasik Chini
 Peta kawasan Tasik Chini
 Senarai harga perkhidmatan sewa bot serta kayak
 Jeti dan pemandangan kawasan tasik
 Panorama pagi yang berkabus di Tasik Chini
 Sepasang suami isteri berketurunan Orang Asli sedang mencari rezeki di awal pagi


Gazebo tempat kami bertiga bermalam


 Uncle Chew dan saya sedang bersarapan


 Papan tanda usang Tasik Chini


 Dedaunan yang gugur menutup permukaan bumi


 Mercutanda ke Lake Chini Resort


 Basikal Bridgestone saya berlatarbelakangkan jeti dan Tasik Chini



Bergambar kenangan sebelum meninggalkan Tasik Chini dengan pelbagai memori




09 May 2011

Kayuhan Dua Tasik di Pahang - Hari 2, Bhgn 3

13.02.2011 - Ahad.
Bersambung dari bahagian lalu 

Nota: Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada gambar. Segala gambar yang digunakan dalam artikel ini adalah dari rakaman lensa saudara Mohd Shukri, hak cipta terpelihara. Ucapan terima kasih tidak terhingga saya ucapkan pada beliau.

Saya dan Shuk meninggalkan jambatan dan menyertai uncle Chew yang berhenti di kawasan redup tidak jauh di hadapan. Mungkin dalam hati beliau tertanya – tanya kenapakah kami selalu lambat dan ketinggalan di belakang. Hehehe, jangan marah aaa uncle Chew kami ni memang suka bergambar. Perjalanan disambung, masih lagi dengan laluan pendakian yang silih berganti dengan laluan menurun dan juga landai. Bab menuruni bukit, uncle Chew memang juara !! Mentang - mentanglah menggunakan rim dan hub berjenama Ritchey aduhhh cemburunya kami ... 

Dengan pemandangan pokok kelapa sawit di kiri dan kanan laluan, kami mulai menjadi bosan dan masing – masing dengan cara tersendiri cuba untuk mengatasi kebosanan tersebut. Saya telah mula menyanyi – nyanyi sendirian sambil bersiul. Sejam berkayuh dengan jarak dua puluh tiga kilometer meninggalkan kedai makan di Felda Melati, kami tiba di sebuah pondok hentian bas yang terletak cuma beberapa puluh meter dari persimpangan jalan Persekutuan No. 1572 (Sebertak – Bera Selatan – Kota Bahagia) dan jalan Persekutuan No. 12 (Kuantan – Segamat).


 Uncle Chew dengan telatahnya ketika bergambar kenangan


Terdapat pasangan suami – isteri pertengahan usia yang mengusahakan gerai mini berpayung menjual kuih – muih dan minuman sejuk. Habis kuih – muih jualan mereka diborong oleh kami bertiga. Bersama kami di pondok hentian bas tersebut, beberapa orang bersama beberapa buah motorsikal dan kenderaan pacuan empat roda yang kelihatan sedang menunggu sesuatu. Tidak lama kemudian, sebuah bas ekspress kelihatan berhenti di jalan Kuantan – Segamat dan beberapa penumpang turun dari bas. Rupanya, mereka yang sedang berada bersama kami di pondok hentian ini sedang menunggu saudara mara turun dari bas. 

Sesudah memasukkan barangan ke kenderaan, penumpang bas bersama mereka yang menunggu meninggalkan kami bertiga bersama pasangan suami isteri dan beberapa orang pemuda. Selang beberapa minit kemudian, beberapa orang pemuda itupun meninggalkan perkarangan pondok menunggu bas tersebut. Agak pelik pada fikiran saya kerana pemuda tersebut tidak menunggu saudara mereka turun dari bas, ditambah dengan lokasi hentian bas itu yang memang tidak menarik untuk dijadikan tempat melepak.


 Menikmati hidangan kuih muih yang dijual
 

   Membasahkan tekak dengan minuman yang dijual


Selesai mengemaskan barangan perniagaan, si suami dari pasangan peniaga tersebut mendapatkan kami untuk berborak. Beliau memulakan perbualan dengan bertanyakan tentang kayuhan kami. Kemudiannya, kami memberikan satu nasihat yang sangat berguna. Kami dinasihati agar lebih berhati – hati ketika melalui kawasan tanah rancangan dengan tidak berkayuh berseorangan. Ini adalah kerana terdapat peningkatan kadar kes jenayah di kawasan itu, terutama kejadian kes peras ugut dan samun berkumpulan. Mereka menggunakan modus operandi memeras ugut sesiapa sahaja yang menunggu di hentian bas. Pasangan suami isteri itu juga tidak ketinggalan mengalami pengalaman diperas ugut, tetapi mujurlah si suami dapat menghalau mereka dengan menunjukkan parang panjang yang telah pun disiapkan untuk menghadapi sebarang ancaman jenayah.

Saya yang tidak mahu bersangka jahat dengan menuduh tanpa usul periksa pada pemuda yang menunggu di hentian bas bersama kami, kemudiannya mula berasa yakin yang mereka mungkin mempunyai niat untuk melakukan jenayah terhadap kami bertiga. Ini diperkukuhkan dengan kenyataan si isteri peniaga yang seorang dari pemuda tersebut memang terlibat dalam penggunaan najis dadah. Ditambah lagi dengan mereka yang seolah gementar semasa saya mengambil gambar kami berehat di hentian bas. Nampaknya penggunaan kamera juga berguna dalam mengelakkan perlakuan jenayah. Satu pengajaran yang baru kami pelajari semasa kayuhan ini.

Semasa kami berehat, pasangan suami isteri itu memohon diri mahu pulang ke rumah setelah mengemaskan semua barangan dan menyorokkan meja perniagaan mereka di semak berhampiran. Mereka juga mengajak kami bermalam di rumah mereka. Uncle Chew kelihatan bersemangat dengan ajakan mereka, tetapi kami terpaksa menolak pelawaan pasangan tersebut dengan baik mengatakan perjalanan kami masih panjang. Untuk rekod, sehingga hentian rehat kami di situ perjalanan kami masih berbaki dengan anggaran lagi sembilan puluh lima kilometer ke Tasik Chini. Tepat jam lima petang, kami meninggalkan hentian bas dan mula memasuki jalan Persekutuan No. 12. menghala ke Muadzam Shah.

Jalan Persekutuan No. 12 ini turut dikenali dengan nama Lebuhraya Tun Razak atau juga jalan Kuantan – Segamat, mempunyai bahu jalan yang bertanah dan cuma tidak sampai empat puluh lima sentimeter jarak garisan tepi ke penghujung permukaan jalan yang bertar. Apabila kenderaan lebar seperti bas atau lori berada serentak di jalan pada arah berlainan, ianya akan mewujudkan satu kesesakan di belakang kami kerana kenderaan berat dan lebar di belakang gagal untuk dapat memotong konvoi kami. Perkara seperti ini sudah tentunya akan menimbulkan ketidakselesaan dan kemarahan pada pengguna jalan raya lain. Kami juga terdedah kepada kemungkinan untuk dilanggar dari arah belakang akibat jarak kelegaan (clearing) yang terlalu rapat dengan kenderaan yang melalui jalanraya.

Jalan Kuantan – Segamat ini lebih meriah jika dibandingkan jalan sepanjang Felda Bera Selatan ke Kota Melati. Kadang – kadang terdapat pengguna jalanraya lain yang mengangkat tangan, membunyikan hon, melambai – lambai dan juga ada yang menjerit seakan memberikan sokongan kepada kami. Ini sedikit sebanyak mengubati kebosanan kami, walaupun kini terpaksa berhadapan pula dengan pencemaran karbon monoksida yang keluar dari corong – corong ekzos kenderaan. Antara yang tidak dapat saya lupakan ialah melalui kawasan kebun teh yang terdapat di sebelah kanan jalan di antara celahan pokok kelapa. Ini adalah kali kedua saya mengetahui pokok teh ditanam di kawasan tanah rendah selain dari yang terdapat di ladang Bukit Cheeding, Selangor.

Selain itu, kami turut berpeluang melalui sebuah jambatan yang melintasi sungai Rompin. Mengikut ilmu alam, sudah pastinya ini adalah sungai sama yang mengalir di hilir dimana kawasan tersebut dinamakan sebagai Kuala Rompin. Kami juga melalui perkampungan orang asli yang terdapat di kiri dan kanan jalan. Ini dibuktikan apabila melihat paras wajah serta rambut anak – anak mereka yang bermain – main di tepi jalan yang kadangkala turut melambai – lambai kepada kami.

Sejam dua puluh minit melepasi persimpangan jalan Bera Selatan – Kota Bahagia dan Kuantan – Segamat, kami melepasi satu persimpangan bertingkat menghala ke Kuala Rompin / Segamat - Bahau dan tiba di bandar Muadzam Shah. Di sini, kami bertiga berhenti untuk berehat dan saya sempat makan roti ban yang dibeli semasa makan tengahari di kedai makan Felda Melati. Saya turut ke pasaraya berhampiran untuk membeli minuman, dimana sempat juga uncle Chew mengirim sebotol minuman 100 Plus untuk saya belikan. Saya cuma membiarkan sahaja petugas - petugas pasaraya yang kelihatan memandang saya secara sinis melihatkan pakaian yang kotor serta berada dalam keadaan seakan tidak terurus. Selepas berehat seketika, kami kemudian bercadang untuk ke stesyen minyak yang kelihatan sayup dihadapan. Dalam perjalanan kesana, kami berjumpa sederet kedai makan di sebelah kiri jalan.


Berhenti rehat sambil memakan roti ban


 Shuk, turut mahu bergambar sebagai bukti telah sampai ke Muadzam Shah

Memandangkan yang perut masing – masing sudah berkeroncong, kami mengambil keputusan untuk berhenti makan malam terlebih dahulu di situ. Kami memilih kedai yang paling hujung sekali, dimana terdapat gerai penjual roti canai. Masing – masing memesan dua menu makanan, kombinasi antara roti canai dan nasi goreng. Ini seolah – olah membalas dendan kerana tidak menemukan kedai makan yang menjual roti canai pada hari pertama kami ketika bersarapan pagi di Temerloh. Tuan empunya kedai yang mengambil pesanan kami, agak sedikit terkejut dengan pesanan makanan dan minuman kami yang banyak ini ( :

Ketika menjamu selera, kami disapa oleh seorang lelaki dalam lingkungan umur 30an. Beliau juga katanya meminati sukan berbasikal dan mempunyai beberapa orang rakan ‘kaki kayuhan’ yang selalu melepak di sebuah kedai makan berwarna hijau di atas bukit, sambil menunjukkan kepada kami lokasi kedai makan tersebut dengan tangannya. Selesai kami menjamu selera, hari telah pun gelap di Muadzam Shah. Kami membayar harga makanan dan minuman, mendapatkan basikal bagi menghidupkan lampu depan dan belakang basikal kami untuk keselamatan lalu terus ke arah sebuah stesyen minyak Petronas. Di situ, kami berehat seketika untuk membersihkan badan, menggunakan tandas dan bersolat.

Sekitar jam 2000 malam, kami bertiga bertolak meninggalkan kawasan Muadzam Shah. Pada mulanya terdapat banyak lampu jalan di setiap persimpangan, apabila kami semakin menjauhi Muadzam Shah cuma suasana gelap menyelubungi dan kami hanya bertemankan lampu basikal, lampu kepala (headlamp) dan lampu belakang (blinker) yang dipasang. Saya mengambil kedudukan di belakang sekali kerana blinker panjang berjenama Cat Eye saya paling terang dan kerlipannya boleh mengganggu penglihatan rakan – rakan. Lagipun, amat penting blinker paling terang diletakkan di belakang sekali agar dapat memaklumkan pada pengguna jalanraya lain tentang kehadiran konvoi kami. Lori treler bertangki, lori balak, lori membawa ayam dan bas ekspres dilihat mendominasi jalan Kuantan – Segamat pada malam itu.

Dari apa yang saya ingati dalam perjalanan malam tersebut, kami ada melalui beberapa kawasan pendakian dan laluannya juga mempunyai beberapa kawasan berselekoh. Terdapat dua perkara yang tidak mungkin saya lupakan, pertama apabila kami dimarahi oleh pemandu sebuah lori balak yang gagal untuk memotong kami lalu membunyikan hon udaranya (air horn) dan membuatkan kami bertiga terkejut. Satu lagi ialah peristiwa uncle Chew terjatuh akibat terbabas ke bahu jalan yang rendah dan berlongkang. Saya dan Shuk yang berada di belakang, terus bergegas mendapatkan beliau dan mujurlah uncle hanya mengalami luka kecil di pergelangan kaki. Menurut uncle Chew, sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan tiba – tiba menyalakan lampu tinggi lantas mengakibatkan pandangan beliau menjadi silau lalu terbabas ke bahu jalan. Apa yang menggelikan hati saya dan Shuk ialah kata – kata uncle ketika kami berdua mendapatkan beliau. “Lu orang ada nampak saya jatuh kah” ? “Takde uncle”. “Nasib baik lu orang takde nampak saya jatuh”. Hai, uncle, uncle ...

Setelah berkayuh selama tiga jam meninggalkan bandar Muadzam Shah, kami berasa amat lega kerana tiba di sebuah stesyen minyak Petronas berhampiran persimpangan masuk ke bandar Chini dan Tasik Chini. Saya yang mendahului di hadapan, terus memecut laju kerana tidak tahan lagi untuk ke tandas. Saya tidak memperdulikan kawasan yang kelihatan telah basah dibasuh dan ditutup dengan kon serta rantai plastik, kemudian mahu masuk dengan membawa basikal. Tiba – tiba, kedengaran satu suara jeritan dari kawasan gelap arah sebelah kanan kami. "Ooiii !!" Alamak, habislah ada gengster sudah marah lah, bisik hati kecil saya. Kedengaran satu lagi jeritan, “Haaa kamu tu, mari parking kat sini. Kawasan tu udah bertutup pun kamu nak masuk lagi” ... Nak tak nak, saya pun menghampiri mereka dengan perasaan takut bercampur bersalah. “Haaa, parking lah kat sini tak hilang punyalah kalau letak di sini”, intonasi nada suara mereka mula menurun seakan mesra dan ini membuatkan saya tidak lagi ketakutan. “Jom parking kat sini, pastu kita boleh cerita – cerita”, kata mereka lagi yang terus membuatkan saya tidak lagi berasa bersalah.

Di satu sudut di sebelah kanan stesyen minyak tersebut, saya kemudiannya disertai oleh Shuk dan uncle Chew. Setelah pulang dari tandas, mereka berdua kelihatan telah memulakan perbualan bersama tiga orang lagi warga tempatan. Topik perbualan tentunya berkisar pada pengalaman kayuhan kami bersama beberapa topik lain. Salah seorang dari mereka yang berkepala botak, menyatakan terdapat sekumpulan lelaki yang berbasikal dan tiba di situ ketika waktu senja. Kumpulan itu turut menghala ke arah Tasik Chini. Lelaki berkepala botak yang saya ramalkan berasal dari negeri utara semenanjung berasaskan 'slanga' percakapannya mengajak kami bertiga bermalam di rumahnya tetapi pelawaan itu kami tolak dengan baik.

Setelah hampir sejam berehat dan berbual panjang, kami bersalaman dengan mereka dan meminta izin untuk menyambung perjalanan. Antara kami bertiga, uncle Chew lah yang paling 'mesra - berbual' dan kalau tidak dihentikan, mahu kami bertiga akan berkhemah sebelah stesyen minyak ni sahaja hahahaha. Dari stesyen Petronas, kami menghala ke persimpangan memasuki jalan menuju ke Tasik Chini. Tidak jauh dari persimpangan tersebut, terdapat sebuah papantanda yang memberitahu kami perjalanan masih berbaki tiga puluh enam kilometer untuk ke Tasik Chini. Jalan di sini lebih cantik dari keadaan jalan semasa kami melalui Bandar Bera - Tasik Bera hingga ke Felda Melati, mungkin kerana kawasan ini berada di bawah naungan YB yang berlainan hehehehe ...


 Abang berkepala botak yang rajin melayan kami bersembang


 Kami turut melepasi beberapa kawasan perkampungan yang gelap dimana saya agak merupakan perkampungan orang asli. Lolongan dan salakan anjing yang seakan menyapa kami membuatkan saya agak cuak seketika, sambil berharap agar kes dikejar anjing tidak berlaku pada malam itu. Di suatu ketika melalui laluan pendakian, saya yang berada di belakang sekali mendapati suluhan lampu hadapan sebuah basikal seolah 'melelong' ke kiri dan kanan. Setelah saya perhatikan, rupanya itu adalah dari basikal uncle Chew. 

Mengikut pengalaman saya, ini mungkin tanda - tanda seorang itu telah terlalu letih atau tidak mendapatkan tidur mahupun rehat yang secukupnya. Saya melajukan kayuhan untuk memintas di hadapan lalu bertanyakan kepada uncle Chew tentang keadaan diri beliau, seperti biasa jawapan yang saya dapat "ohhh saya OK" ... Kemudian, Shuk mengambil inisiatif untuk mengayuh secara laju dan mendahului dihadapan diikuti saya. Mungkin kerana tidak mahu ditinggalkan, uncle Chew turut mengayuh secara laju dan nampaknya taktikal yang diusahakan oleh Shuk ternyata berjaya. Cayalah Abemu !!


Kami sampai di sebuah persimpangan untuk memasuki kawasan bandar Chini di mana berhampiran simpang tersebut terdapat sebuah kompleks pentadbiran milik Felda. Waktu pada ketika itu dalam ingatan saya tidak salah telah sedikit melebihi jam satu pagi. Di tepi jalan terdapat sebuah kedai makan yang masih dibuka walaupun telah lewat malam. Agak sukar untuk menjumpai kedai makan di kawasan pedalaman yang dibuka sehingga lewat malam, lebih - lebih lagi dalam kawasan tanah rancangan Felda ini. Shuk meminta kami meneruskan perjalanan tetapi saya menolak cadangan tersebut dan meminta agar kami berhenti makan disini. 

Keputusan ini terpaksa saya ambil setelah melihat peristiwa uncle Chew yang berbasikal dalam keadaan sikit 'melelong' tadi. Kalau mengikutkan perasaan, mahu sahaja saya menyambung perjalanan agar lekas tiba di destinasi tetapi saya harus mengambil keputusan mengikut keadaan semasa kumpulan kami. Saya kemudiannya memesan kueytiau goreng bersama kopi o panas diikuti oleh mereka berdua yang turut memesan makanan dan minuman masing - masing. Dari sini, perjalanan berbaki enam belas kilometer mengikut tulisan pada papantanda sebelum persimpangan tersebut.

Selepas makan, sempat juga saya bertanyakan arah jalan menuju ke Tasik Chini kepada salah seorang pengunjung yang berada di kedai makan itu. Salam saya bersahut dan dijawab, lantas bertanyakan arah jalan sambil memberikan peta yang saya bawa hasil dari cetakan Ah Chong di pejabatnya. Beliau membelek peta yang dicetak dari laman Google Maps, mengamati dan kemudiannya berjaya memahami. Dari peta itu, beliau melakarkan laluan menggunakan pensel tekan yang saya pinjamkan. Dari kami bertiga, hanya Shuk seorang yang pernah melalui jalan tersebut ketika menghadiri majlis kenduri kahwin rakannya beberapa tahun lalu. 

Shuk yang masih ingat serba sedikit jalan untuk ke Tasik Chini, dapat memperkukuhkan lagi ingatan beliau dengan panduan dari seorang individu berpangkat pakcik ini. Dari pertanyaan mengenai jalan yang akan kami lalui, perbualan kemudian berarah tentang perjalanan kami dan kemudian bertukar pada kecemerlangan akademik dan kejayaan anak - anak kelahiran Felda menjawat jawatan tinggi di kawasan setempat serta masalah gejala rempit. Semasa perbualan kami berempat di sini, Shuk telah mendapat gelaran 'lawyer Felda' dari uncle Chew akibat beliau selalu berselisih pendapat antara mereka berdua hahahaha ...


Kami membayar harga makanan dan minuman masing - masing, bersalaman dengan pakcik yang memberikan kami panduan jalan sebentar tadi lalu meninggalkan kedai makan tersebut dengan beberapa pengunjung yang masih di sana selepas pulang dari bermain futsal di gelanggang berhampiran. Kami menghampiri hujung jalan dan menjumpa satu simpang tiga, dengan terdapat papantanda menunjukkan arah ke kanan untuk ke Tasik Chini. Di situ papantanda memaklumkan hanya tinggal sepuluh kilometer lagi untuk ke Tasik Chini. Tidak jauh dari persimpangan tersebut terdapat semacam bau yang kurang enak, secara tidak langsungnya menandakan terdapat sebuah kilang kelapa sawit. Kilang ini diingati oleh Shuk dan memberitahu saya yang kami berada di jalan yang benar, tetapi tidak lurus hehehe ...

Laluan seterusnya bercampur baur antara menuruni bukit, mendaki dan juga landai. Dengan keadaan yang sangat gelap dan cuma terdapat beberapa sahaja tiang lampu jalan yang menerangi gelap malam, saya tidak berani untuk berkayuh terlalu laju. Di laluan ini saya mendahului di hadapan meninggalkan Shuk dan uncle Chew di belakang, masih dengan strategi yang sama sebelum kami berhenti makan tadi. Kadangkala saya juga berhenti seketika untuk melepaskan lelah, sambil berharap yang kedua - dua Shuk mahupun uncle Chew tidak mengalami maslah teknikal. Sebaik sahaja melihat kelibat mereka berdua di belakang, saya akan terus menyambung kayuhan dan mendahului di hadapan. Kami kemudiannya sampai di satu simpang, memasuki ke arah kiri dan tidak jauh kelihatan sebuah papantanda yang paling menggembirakan kami pada awal pagi itu - Tasik Chini 5 km.


Kebetulan bulan mengambang pada waktu itu dan berada betul - betul di belakang papantanda tersebut, saya mengarahkan Shuk mengambil kamera beliau untuk merakamkan saat itu. Malangnya awan hitam berarak lalu menutupi bulan tersebut, rugi tidak dapat mengambil satu shot menarik huhuhu ...




Perjalanan berbaki lagi 5 kilometer menuju ke Tasik Chini


Disangkakan laluan perjalanan akan landai apabila kami menghampiri Tasik Chini. Jangkaan saya meleset kerana masih terdapat laluan pendakian yang boleh dikatakan agak curam, cuma jaraknya tidak panjang. Kami melepasi papantanda bertulis kawasan milik UKM di pinggir hutan, menandakan kawasan Tasik Chini telah terlalu hampir. Jalan ini masih boleh saya ingati, dimana saya pernah melalui kawasan tersebut pada awal tahun 2010 ketika bertugas sebagai marshall untuk program berkayak Sungai Pahang - Tasik Chini anjuran kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL). Tidak berapa lama kemudian, kami bertemu satu persimpangan dimana ke kiri akan menghala ke kem PLKN manakala dihadapan kami terdapat sebuah palang kenderaan yang diturunkan untuk menghalang kenderaan daripada memasuki. Mujurlah dengan berbasikal, kami hanya perlu menundukkan kepala dan dapat melalui halangan tersebut. 

Satu lagi halangan terakhir yang perlu kami tempuhi berupa laluan pendakian yang curam. Kecuraman ditambah dengan perasaan penat akibat terlalu mengayuh dalam jangka masa yang panjang menyebabkan kami merasa sedikit jarak pendakian pun akan memenatkan kami. Dengan semangat yang semakin berkobar - kobar kerana mengetahui kami akan tiba di destinasi dituju, masing - masing meningkatkan kelajuan kayuhan semasa pendakian. Akhirnya, jalan kembali menurun dan kami bertiga pun tibalah di perkarangan Chini Lake Resort tepat jam tiga pagi. Kami mencari kawasan sesuai untuk dijadikan tempat perkhemahan, dan kemudian menjumpai satu kawasan berhampiran sebuah tandas awam. Mata meliar lagi mencari jika ada sebarang tempat yang lebih sesuai. Kami mendapati sebuah gazebo atau wakaf yang berbumbungkan atap daun nipah berhadapan laluan masuk utama ke resort. Kami kemudiannya bersepakat untuk berehat di sana tanpa perlu memasang khemah, dengan basikal kami diletakkan di belakang gazebo lalu dikuncikan bersama.
Saya yang bercadang untuk mandi dan membersihkan diri, kemudiannya membatalkan hasrat tersebut kerana terlalu mengantuk. Selepas membentangkan beg tidur (sleeping bag) dan memakai jaket serta berstokin, saya kemudiannya lena di dalam dunia saya sendiri dengan Shuk serta uncle Chew berada di kiri dan kanan. zZzZzZzZ ...

Info perjalanan hari kedua:
Jarak: 140.08 kilometer
Masa kayuhan (terkecuali waktu berhenti): 8 jam 39 minit 28 saat
Kelajuan purata: 17 km/j
Kelajuan maksima: 46.2 km/j


PERJALANAN HARI KEDUA - T A M A T