ADS

18 April 2012

Majlis pelancaran "Pedalling Around The Peninsula"

Maaf sekali lagi, minggu ini masih belum ada mood untuk menyambung penceritaan Kayuhan NJ. Harap dapat bersabar, jangan marah aaa ( :

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan atau maklumat lanjut. Pembesaran imej boleh dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar.

Ingatkah anda yang sebelum ini Ceritera Touring ada menerima jemputan untuk menghadiri pelancaran sebuah buku kembara berbasikal, seperti dalam artikel lalu ? Petang Sabtu lepas bertarikh 14hb April, saya telah hadir ke majlis pelancaran buku berjudul "Travelling Around The Peninsula" (selepas ini akan diringkaskan sebagai 'PATP') hasil karya Sandra Loh.

Menurut kajian peribadi saya, sebelum ini cuma terdapat sebuah buku dihasilkan oleh warga Malaysia yang menceritakan tentang catatan pengalaman kembara berbasikal. Maafkan saya andai terlepas pandang beberapa buah buku yang lain, jika ada, itu mungkin kerana saya tiada info yang mencukupi. Buku yang dimaksudkan itu bertajuk Cabaran Berbasikal Mengelilingi Dunia: Wira Daratan, hasil karya Dato' Hassan Nawawi Abdul Rahman.


Gambar 1. Muka hadapan buku Cabaran Berbasikal Mengelilingi Dunia, setebal 310 mukasurat dan diterbitkan oleh Rhythm Publishing Co. Sdn. Bhd pada tahun 2003


Pada yang meminati aktiviti berkembara basikal (bicycle touring), pastinya akan mengenali Dato' Hassan Nawawi. Bagi yang tidak mengenali, beliau adalah warga Malaysia yang pernah berbasikal mengelilingi dunia sekitar tahun 2001 ke 2002 melalui lapan belas buah negara dengan jumlah jarak perjalanan sejauh 26,565 kilometer selama 389 hari.

Bagi saya, penghasilan buku oleh Sandra ini, andainya ia bukan buku kedua mengenai kembara berbasikal yang diterbitkan oleh penulis warganegara Malaysia, ia boleh jadi buku pertama yang ditulis oleh seorang pengembara basikal wanita tempatan !

Petang itu, saya tiba di kedai buku MPH Subang Parade lebih kurang jam 1545 petang. Tiada tanda - tanda adanya kehadiran ramai tetamu di pintu masuk kedai buku tersebut. Saya memasuki bahagian dalam, di satu sudut bahagian belakang ternampaklah susunan kerusi dengan sebuah papantanda bertulis The Official Launch of Pedalling Around The Peninsula. Di hadapan sebuah meja yang atasnya terdapat sebuah replika buku besar dan himpunan beberapa buah naskah buku, berdiri seorang gadis berseluar jeans, berkemeja - T tanpa kolar dan bertopi hitam. Pada telahan saya, beliau lah Sandra Loh. Untuk info, kami cuma bersahabat di Facebook dan tidak pernah bersua sebelum ini.

Ternampak sahaja akan saya, beliau menyapa dengan berkata, "ini Azizan ye ?". "Terima kasih kerana sudi datang", dengan senyuman terukir manis di wajahnya. Kami berdua bersalaman setelah bersua buat kali pertama, dan beliau sempat memberitahu yang majlis ini akan berlangsung lambat sedikit dari masa yang dirancangkan. Sementara menunggu majlis bermula, saya sempat membelek - belek buku yang tersusun rapi di rak berhampiran kaunter bayaran.

Perkara pertama yang saya periksa, tidak lain tidak bukan adalah harganya. Agak terkejut kerana mendapati yang harga buku tersebut dijual bawah harga RM 50, iaitu pada RM 39.90. Sangkaan awal saya, buku 'PATP' ini akan dijual pada harga sekitar RM 70 ke RM 100. Tanpa membuang masa, saya mengeluarkan wang dari dompet untuk membayar harga buku tersebut.


Gambar 2. Buku - buku 'PATP' diletakkan di rak kaunter jualan MPH Subang Parade

Gambar 3. Buku - buku 'PATP' tersusun rapi di rak, menanti untuk dibeli oleh bakal pemilik


Petugas wanita di kaunter kemudiannya memberikan saya baki wang beserta resit jualan, disamping menampal satu pelekat di tanda harga sebagai menandakan yang buku ini telah dibayar. Seorang pemuda di kaunter jualan memberikan saya sebuah penanda buku dan sekeping pelekat cermin kereta sebagai cenderahati. Saya lalu menemui Sandra bagi meminta beliau menurunkan autografnya di buku milik saya itu. Beliau turut memberikan dua keping lagi penanda buku kepada saya, menjadikan semuanya berjumlah tiga keping yang saya perolehi. Yeayyy ! Selepas menandatangani buku, saya kemudiannya meminta bantuan seorang tetamu untuk mengambil gambar kenangan kami berdua.


Gambar 4. Papantanda yang menjadi latarbelakang pada acara pelancaran petang itu

Gambar 5. Sandra ketika mahu menurunkan autografnya pada buku 'PATP' milik saya

Gambar 6. Bergambar kenangan bersama penulis buku 'PATP' dan replika buku besarnya


Selesai mendapatkan apa yang dihajati, saya duduk di deretan kerusi, memlih untuk duduk di barisan paling hadapan kerusi lipat yang disediakan oleh pihak penganjuran. Tidak beberapa lama kemudian, muncul pengerusi majlis yang bertugas pada petang itu. Beliau mengalu - alukan kedatangan semua ke majlis ini, dan kemudian menjemput seorang wakil dari penerbitan MPH untuk berucap di hadapan.


Gambar 7. Wakil dari penerbitan MPH berucap

Gambar 8. Majlis tetap meriah biarpun tetamu yang hadir tidak ramai, jumlah jemputan yang sedikit mungkin berkaitan dengan ruang yang terhad di dalam kedai buku itu

Gambar 9. Ibubapa Sandra turut menghadiri majlis bersejarah ini


Selesai wakil penerbitan dari MPH berucap, pengerusi majlis menjemput Sandra untuk tampil ke hadapan bagi menyampaikan ucapannya. Beliau memulakan ucapannya dengan berterima kasih kepada hadirin yang datang, diikuti menceritakan pengalaman beliau ketika mula menulis dan mencari penerbit untuk menerbitkan bukunya. Antara isi ucapannya ialah penegasan beliau tentang kelebihan mengembara dan meneroka keindahan negara kita.


Di akhir ucapannya, beliau menyedari sambutan terhadap aktiviti berbasikal semakin meningkat dan berharap agar pengguna jalanraya lain akan lebih menghormati penunggang basikal. Secara peribadinya, beliau turut menyokong kempen berkongsi jalanraya (Share Our Roads) dan dalam majlis pelancaran buku 'PATP' ini ia dizahirkan dengan pemberian penanda buku dan pelekat cermin kenderaan.sebagai cenderahati.


Gambar 10. Memulakan ucapan dengan mengucapkan terima kasih kepada hadirin yang datang

Gambar 11. Sandra ditemani teks sebagai panduan untuk beliau berucap

Gambar 12. Mengharapkan agar pengguna jalanraya lain menghormati penunggang basikal


Selesai sahaja ucapan Sandra, pengerusi majlis tampil semula. Kali ini, beliau menjemput pula ibubapa Sandra untuk ke hadapan. Selain Sandra dan ibubapanya, wakil penerbitan dari MPH turut bersama untuk acara kemuncak majlis pelancaran buku berjudul Pedalling Around The Peninsula ini. Maka secara rasminya, buku penulisan Sandra yang mengisahkan perjalanan berkembara basikal merentasi semenanjung Malaysia ini pun dirasmikan. Tahniah Sandra ! Pengerusi majlis menamatkan acara perasmian ini dengan menjemput tetamu untuk menikmati jamuan ringan yang disediakan di kawasan luar berhampiran pintu masuk MPH.


Gambar 13. Pengerusi majlis menjemput ibubapa Sandra ke hadapan untuk acara kemuncak majlis pelancaran buku

Gambar 14. Acara kemuncak pelancaran buku, bersama ibubapa Sandra dan wakil penerbitan dari MPH


Berlangsung sudah acara kemuncak pelancaran buku. Beberapa tetamu yang hadir beredar meninggalkan lokasi majlis pelancaran, mungkin untuk pulang atau menikmati hidangan ringan yang disediakan di kawasan luar berhampiran pintu masuk MPH. Sandra pula, sibuk menurunkan autografnya dan bergambar kenangan. Seorang individu dilihat menghadiahkan sehelai jersi berbasikal berwarna hijau terang. 

Gambar 15. Sandra sibuk menurunkan autograf untuk pemilik-pemilik bukunya
 
Gambar 16. Peminat dan penyokong nombor satu Sandra: Ibubapanya !

Gambar 17. Seorang individu menghadiahkan Sandra dengan sehelai jersi berbasikal berwarna hijau terang


Terdapat juga dua individu dari majalah berbasikal tempatan datang bagi memeriahkan majlis. Ini dapat saya teka dari baju yang mereka pakai. Jejaka berbadan gempal berambut panjang memakai baju berlambang BaikBike.com manakala jejaka tinggi berbadan sasa dan bercermin mata pula memakai baju Cycling Malaysia. Kedua-dua mereka membeli buku, mendapatkan autograf dan juga bergambar kenangan. Wakil dari Cycling Malaysia sempat menghadiahkan senaskah majalah kepada Sandra ketika mereka berdua bergambar kenangan.


Gambar 18. Wakil dari majalah dalam talian, BaikBike.com

Gambar 19. Wakil dari majalah Cycling  Malaysia


Saya kemudian meninggalkan kawasan majlis pelancaran untuk keluar menjamu selera. Semasa makan, sempat saya berkenalan dengan individu dari majalah berbasikal dalam talian, BaikBike.com. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Alan, jurugambar merangkap editorial untuk majalah tersebut. Alan bertanya adakah saya mengetahui tentang kewujudan majalah dalam talian tersebut. Secara spontan dijawab yang saya selalu berkunjung ke laman tersebut, malahan membuat pautan (link) ke salah sebuah blog milik saya. Mendengarkan jawapan tersebut, beliau terus mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan saya itu.


Gambar 20. Jamuan ringan yang diadakan di kawasan luar premis MPH
 
Gambar 21. Hidangan jamuan ringan petang itu. Sate pun ada, wowww !!


Tidak lama kemudian, Sandra datang mendapatkan saya. Beliau mengenalkan saya kepada Melanie, "dia ni otai", kata Sandra. Sandra memberitahu kepada Melanie yang saya turut berkecimpung dalam aktiviti berkembara basikal (touring). Saya bersalaman dengan Melanie, dan kemudian bertanya, "you ni pun berbasikal juga kah ?" Jawab Melanie, "dulu lah, sekarang cuma menganjurkan acara - acara triathlon je". Saya menambah, "you mungkin ada sebagai friend dalam Facebook saya, mungkin tak berapa kenal sahaja. Samalah seperti saya dengan Sandra, ini kali pertama kami berjumpa." Saya kemudiannya mempelawa Melanie untuk turut sama menikmati jamuan, beliau menolak dengan alasan masih kenyang.

Puas menikmati hidangan, meletakkan pinggan makan dan membuang cawan plastik kedalam plastik sampah disediakan, saya kembali memasuki MPH ke kawasan majlis pelancaran buku sebentar tadi. Niat untuk berehat bagi menurunkan makanan di perut dengan duduk di sofa berwarna hitam terletak berhadapan papantanda acara pelancaran.

Bersama duduk di deretan kerusi itu, seorang lelaki yang saya sedari telah berada dalam majlis sejak dari awal lagi. Ingatan saya mengecam beliaulah individu yang diminta untuk memotret gambar kenangan bersama Sandra sebelum majlis pelancaran berlangsung. Saya menghulurkan tangan kepada beliau untuk bersalaman, sambil mengenalkan diri. Jabat tangan saya disambut, dan beliau mengenalkan dirinya sebagai encik Ho. Perbualan kami seterusnya, berkisar tentang minat kami yang suka berkembara basikal. Beliau kemudiannya meminta akaun Facebook saya dan kami saling bertukar-tukar nama akaun masing-masing. Encik Ho, atau nama penuhnya Ho Kam Wah meminta saya menulis nama akaun Facebook saya di belakang kertas pelekat cermin kereta yang diterimanya. Saya pula, menulis nama akaun beliau lalu menyimpannya di bahagian Draft mesej telefon bimbit.

Ketika kami berdua berehat, kelihatan ibubapa Sandra bergambar berdua dengan berlatarbelakangkan papantanda majlis pelancaran. Saya turut curi - curi mengambil gambar mereka hehehehe ...  Tidak lama kemudian, mereka beramai-ramai pula berkumpul untuk bergambar kenangan. Saya mengeluarkan kamera yang dibawa, disamping turut diberikan sebuah kamera oleh salah seorang dari mereka minta dibantu untuk merakamkan gambar kenangan. Paling melucukan, ketika melihat mereka sepakat beraksi gaya 'berdiri tegak dengan kedua tangan diletakkan disisi', seolah mahu menyanyikan lagu Negaraku.


Gambar 22. Bergambar kenangan di papantanda pelancaran majlis penting anak mereka

Gambar 23. Gambar beramai-ramai, gaya santai

Gambar 24. Gambar dengan gaya serius [diambil dari album Facebook encik Ho Kam Wah]

Gambar 25. 'PATP', menjadi 'highlights' di kedai buku MPH Subang Parade ketika ini

Gambar 26. Suami - isteri yang menjadi jiran kepada Sandra, turut datang memberikan sokongan walaupun tiba agak lewat

Gambar 27. Jiran Sandra sedang membelek-belek buku, sambil diperhatikan oleh seorang individu yang tidak saya kenali


Ketika beliau kelihatan lapang selepas sesi beramah mesra bersama pemilik buku karyanya, saya menghampiri beliau untuk berbual. Saya bertanyakan tentang lokasi pelancaran buku yang seterusnya kerana ingin memaklumkan kepada rakan kembara basikal di Johor iaitu rakan DTR (Darul Takzim Randonneurs) seandainya beliau berkunjung ke selatan tanahair nanti. Beliau bertanyakan hal itu kepada penerbitnya, dan kemudian berjanji untuk memaklumkan saya tentang jadualnya kelak. Saya memohon untuk pulang, seterusnya bersalaman dan sekali lagi diucapkan terima kasih oleh Sandra atas kesudian untuk datang ke majlis pelancaran bukunya.

Langit mendung tetapi cuaca tidak hujan ketika saya keluar dari bangunan Subang Parade. Saya menuju ke stesyen komuter Subang, melalui lorong pejalan kaki bersebelahan Subang Parade dan kemudiannya melintas ke seberang jalan. Di satu persimpangan berhampiran bahagian belakang pasaraya besar Carrefour dan jalan masuk ke stesyen komuter Subang, terdapat van kecil penjaja bergerak yang menjual makanan dan minuman. Saya memesan semangkuk mee kari bersama secawan air asam boi ais, dan menikmati keduanya di meja yang redup sambil membaca buku yang baru saya miliki sebentar tadi.

Impresi pertama ketika membaca bahagian awal buku ini, wowww !! Penulisannya amat teliti, saya seolah dibawa ke detik dan lokasi ketika beliau dan rakannya, encik Mak melakukan kembara berbasikal. Mungkin juga kerana meminati aktiviti kembara berbasikal ini menyebabkan saya dapat menghayati pengalaman yang dituliskannya. Selesai makan dan membayar harga makanan - minuman, saya ke stesyen komuter Subang bagi mendapatkan tren untuk pulang ke Shah Alam. Setibanya ke kediaman saya di Shah Alam, titisan hujan mula turun sebaik sahaja membuka pintu pagar luar rumah, syukur !


Gambar 28. Harga yang rendah untuk nilai yang tinggi bagi sebuah buku

Gambar 29. Mendapat autograf dan penanda buku sebagai cenderahati

Gambar 30. Cetakan gambar pada kedua - dua belah penanda buku.

Gambar 31. Bahagian paling berharga buku ini, autograf dari penulisnya

Gambar 32. Pelekat cermin kenderaan kempen keselamatan yang bersaiz 22 x 20 cm

Gambar 33. Bahagian kulit belakang buku


Saya akan memberikan reviu untuk dikongsikan bersama pembaca blog ini sebaik sahaja tamat membaca buku tersebut. Ini bukan janji, tapi pasti ! Ahaksss ...

Nota:
(1) Buku berjudul "Pedalling Around The Peninsula" karya Sandra Loh ini boleh dimiliki secara pembelian dalam talian di MPHOnline.com. Selamat memiliki !
(2) Gambar majlis pelancaran oleh majalah Cycling Malaysia.
(3) Gambar majlis pelancaran dan reviu buku oleh BaikBike.com
(4) Artikel di akhbar dalam talian The Malay Mail


"The difference between the impossible and the possible lies in a person’s determination" - Tommy Lasorda

12 April 2012

Poskad untuk Ceritera Touring

Poskad, menurut istilah dirujuk dari laman Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawa maksud "kad yang biasanya bergambar pada sebelah hadapannya dan pada sebelah belakangnya boleh ditulis khabar berita dan alamat (dan dikirim melalui pos)". Menurut laman Wikipedia pula, ia membawa maksud "sekeping kertas tebal atau kadbod nipis empat segi yang khusus untuk ditulis lalu dipos tanpa menggunakan sampul surat". Tanpa mengggunakan 'sampul surat', rasanya menjadi kata kunci kepada maksud perkataan 'poskad' itu sendiri.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej boleh dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar.

Pada 31hb Mac 2012 yang lalu, Ceritera Touring telah menerima sekeping poskad bersetemkan negara India. Setelah diingat-ingati, sebelum ini ada seorang rakan blogger kembara (tidak berbasikal) yang menggelarkan dirinya "Kemang" pernah meminta alamat saya ketika berinteraksi di Twitter. Katanya mahu berkembara secara solo ke India, dan semasa perjalanan akan menulis lalu mengirimkan sekeping poskad kepada saya.


Muka hadapan poskad, berhias lokasi pelancongan kawasan Jaipur, India


Saya cuba mencari bagi memaklumkan dan berterima kasih atas pemberian beliau. Malangnya pencarian di laman blognya menghasilkan kepada penemuan seperti berikut:


Adakah laman blog encik Kemang ditutup buat sementara waktu ?


Begitu juga dengan akaun Twitter beliau. Gagal ditemui !


Adakah beliau telah menutup akaun Twitter nya. Misteri nusantara betul lah ...


Apa - apa pun yang berlaku, saya mendoakan kesejahteraan beliau di dunia dan akhirat. Dengan harapan agar beliau tidak membuat sesuatu yang kurang wajar untuk diri sendiri secara khususnya, juga kepada nama baik negara secara amnya. Ok, jom kita kongsikan pula catatan pengalaman beliau secara ringkas ketika berkembara secara solo ke India melalui gambar di bawah.





Hah, malas nak klik pada gambar tu ? Gambar kecil sangat tak jelas untuk dibaca ? (Cisss, manja betul lah korang ni hehehe ...). Takpe, saya titipkan untuk perkongsian, dalam ejaan dan penulisan asal, seperti berikut:

Salam !
Hi WakJan !

Saya skang (sekarang) kat Jaipur, duduk kat Tony Guest House, rm (RM) 10 / night. Nice ! Pegi (pergi) India ni, hati kena kering kan ? Banyak benda pelik saya jumpa kat sini. Traffic jam jangan cakap, teruk gila !

Dah berapa kali nak kena langgar tapi Alhamdulillah selamat lagi. Saya ada 5 hari lagi kat sini, esok pegi (pergi) Jodhpur .. sebenarnya ..... Saya rindu MALAYSIA hahaha ! Teringat je ..

travel sorang - sorang ni kengkadang (kadang - kadang) boring, sbb (sebab) takde teman nak diajak berbual ... ok ler, sampai sini je .. hehe .. take care !

Nota kaki:
Hmmm, bagus juga kalau berbuat semacam ini. Encik Kemang memberikan saya idea menarik untuk dilakukan jika saya berkembara basikal di masa hadapan. Pastikan jika saya meminta alamat dari rakan - rakan, jangan terkejut atau enggan memberikannya ( :


 "We are always the same age inside." - Gertrude Stein

07 April 2012

Ceritera Touring dapat undangan pelancaran buku !

Salam sejahtera semua !
Minta maaf kerana tidak dapat menyambung pengkisahan kayuhan seperti mana yang lazim dilakukan pada setiap minggu. Ini adalah kerana pada minggu lepas saya berada di luar kawasan selama beberapa hari; bertugas di daerah Kerian, Hilir Perak, Perak Tengah serta barat laut Selangor.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej boleh dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Harap maklum, terima kasih.

Jumaat, 6hb April 2012 yang lalu, saya telah menerima e-jemputan (e-invitation) dari Sandra Loh untuk menghadiri sebuah majlis pelancaran buku. Untuk info, Sandra adalah kenalan Facebook saya dan juga seorang penggiat aktiviti berbasikal, baik kayuhan offroad mahupun kembara berbasikal (touring). Buku yang akan dilancarkan itu merupakan catatan pengalaman beliau sendiri ketika berkembara basikal merentasi semenanjung Malaysia.

Pada tahun 2009 lalu Sandra bersama rakannya, encik Mak Shiau Meng, telah mengadakan kembara berbasikal bagi menjejaki empat penjuru semenanjung Malaysia. Mereka telah selesai melakukannya dalam masa tiga puluh tujuh hari, rujuk sini untuk blog catatan harian perjalanan beliau. Kisah perjalanan mereka juga ada dipaparkan di akhbar dalam talian, The Star. Pengalaman beliau mengumpulkan artikel dari blog, menulis draf, menghantar penulisan kepada beberapa penerbit berpotensi, dan lain-lain dikongsikan dalam entry terbaru beliau di sini.


'E-jemputan' (e-invitation) ke majlis pelancaran buku

Adakah ini buku yang akan dilancarkan kelak ? Sama-sama kita tungguuuu ...


Siapakah Sandra Loh ini ? Sejujurnya, saya belum pernah lagi bersua muka dengan beliau, walaupun masing-masing telah berkawan secara maya semenjak Mei 2010. Kami pernah beberapa kali berinteraksi di dalam Facebook, yang mana ianya bermula dengan jemputan beliau ke satu acara kayuhan di Pahang. Selain itu, saya juga pernah beberapa kali memberikan komen di gambar-gambar beliau. Untuk mengenali lebih lanjut secara ringkas, saya muatkan beberapa gambar dari album di Facebook beliau, dengan keizinannya ( :


Sandra meminati aktiviti berbasikal lasak (mountain biking); ketika melintasi Sungai Lembing, Pahang.

Selain berbasikal, beliau turut meminati kegiatan mendaki gunung; Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia

Kembara berbasikal mengelilingi empat penjuru semenanjung Malaysia pada tahun 2009, bersama Mak Shiau Meng di penjuru mereka yang pertama

Sandra dan Mak, di penjuru kedua perjalanan mereka; Tanjung Piai, Johor.
 
Sungai Rengit, Johor: penjuru perjalanan mereka yang ketiga

Bergambar kenangan di hadapan kuil 'Buddha Duduk' (Sitting Buddha); Tumpat Kelantan


Yeayyy, tidak sabar rasanya menunggu tarikh 14hb April 2012, bertempat di kedai buku MPH Subang Parade, jam tiga petang. Semoga saya tiada halangan pada tarikh tersebut, mudah-mudahan ...


 "Saddle your dreams before you ride em." - Mary Webb