Imbasan episod lalu.
"Beberapa kilometer di hadapan, kelihatan
abang Joe berhenti menunggu kami bertiga di sebuah hentian bas. Rupa -
rupanya dalam perjalanan, beliau sempat berhenti di gerai menjual buah -
buahan di tepi jalan bagi membeli sesikat pisang. Lokasi yang teduh,
ditambah dengan sesikat pisang yang dibelanjai oleh abang Joe
menyempurnakan lagi hentian kami pada hari yang terik itu hehehe ..."
"Selesai menghabiskan pisang yang dibeli
dan membasahkan tekak, kami meneruskan perjalanan dan tidak beberapa
jauh di hadapan, saya meminta mereka untuk berhenti bagi mengambil foto
grup di satu papantanda sempadan daerah."
Nota:
Tulisan berwarna biru
boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan
dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta terpelihara dan sebarang
penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik.
17hb Nov 2011, Khamis: Pekan Rawang ~ Kuala Kubu Bharu.
17hb Nov 2011, Khamis: Pekan Rawang ~ Kuala Kubu Bharu.
Sessi bergambar kenangan di papantanda sempadan selesai, kami meneruskan perjalanan meninggalkan daerah Gombak dan memasuki Hulu Selangor melepasi Sungai Choh, Serendah, Antara Gapi, Batang Kali dan Rasa sebelum berhenti di Kuala Kubu Bharu untuk berhenti makan tengahari.
Gambar 1. Mengambil peluang teduhan bayang-bayang lori ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Sungai Choh |
Kelancaran perjalanan kami sedikit terganggu ketika baru sahaja melepasi Kelab Golf Serendah. Muzammil yang mengalami kekejangan kaki seawal pagi ketika melalui laluan berbukit di Selayang, mengalami masalah serupa ketika melalui jalan landai di Serendah. Kami mencari lokasi redup untuk berhenti, lalu saya memberikan deep heating rub yang dibawa di dalam kit kecemasan untuk disapukan pada kaki beliau. Apabila merasakan kakinya telah pulih, kami menyambung kembali perjalanan menuju ke Kuala Kubu Bharu.
Gambar 2. Muzammil berhenti rehat bagi melegakan kesakitan akibat kekejangan kakinya |
Perjalanan kami berempat dari Rawang menuju ke Kuala Kubu Bharu mempunyai kepelbagaian, dari lurus ke berliku-liku, landai ke mendaki dan menuruni bukit, sedikit redup ke terbuka, panas terik ke redup dan tiada angin bertiup ke berangin kencang.
Menghampiri Kawasan Perindustrian Batang Kali jika tidak silap saya, sekali lagi Muzammil berhenti kerana mengalami masalah kekejangan kaki. Saya mengganggarkan tidak cukup rehat menyumbang kepada kekejangan pada kaki Muzammil itu. Ini adalah kerana Muzammil bertugas pada syif malam, tamat waktu bekerja pada jam 0700 pagi dan pada jam 0900 pula kami telah bergerak meninggalkan Menara MAA. Seperti biasa, selepas menyapu deep heating rub dan berehat, perjalanan disambung setelah kaki Muzammil pulih semula.
Gambar 3. Berhenti rehat berhampiran kawasan perindustrian Batang Kali. Ingat ! Pandu Laju Maut Menunggu |
Bagi memberikan sokongan moral, saya memperlahankan rentak kayuhan bagi merapatkan posisi dengan Muzammil. Abang Joe dan Ah Chong telah mara kehadapan, yang mana saya harapkan agar mereka dapat meninjau lokasi untuk makan tengahari di Kuala Kubu Bharu. Berhampiran papantanda yang menunjukkan jarak ke simpang Kuala Kubu Bharu berbaki lagi 500 meter, Muzammil tiba-tiba memberhentikan basikalnya di kawasan rumput tepi jalan. Beliau menjerit, "Jan, Jan, tolong pegang basikal aku ni. Kaki aku dua-dua krem ..."
Saya terus meletakkan basikal di tepi jalan, lalu berlari pantas ke arah Muzammil untuk memegang basikalnya. Sebaik sahaja dapat memegang basikal, Muzammil melompat dari palang basikal dan terus berbaring di atas rumput sambil kedua-dua kakinya diluruskan. "Ishhh, serius krem dia kali ni", bisik saya dalam hati. Dalam keadaan itu, sempat juga saya menghantar sms kepada Ah Chong memberitahu keadaan terkini kami. Tidak berapa lama kemudian, Ah Chong membalas sms saya memberitahu tiada satu pun kedai makan di R & R Kuala Kubu Bharu yang terletak berhampiran persimpangan lampu isyarat dibuka. "Aisehhh, takkan nak kena berkayuh masuk ke pekan Kuala Kubu Bharu dan berpatah balik sejauh beberapa kilometer semata-mata untuk makan tengahari", getus hati saya.
Setelah berehat lebih kurang 30 minit, keadaan Muzammil pulih semula dan kami berdua menyambung perjalanan menuju ke R & R Kuala Kubu Bharu. Ketika menghampiri R & R Kuala Kubu Bharu, kami dapati yang tiada satu pun kedai makan yang dibuka. Mungkin kedai-kedai makan di situ hanya dibuka pada hujung minggu kerana pada hari biasa, tidak ramai pengunjung yang akan datang.
Muzammil dan saya kemudiannya menuju ke sebuah stesyen minyak berhampiran, mendapatkan Ah Chong dan abang Joe yang telah berada terlebih dahulu di sana. Saya sempat menggunakan aplikasi Maxisfb2mobile pada telefon bimbit bagi memaklumkan kedudukan terkini kami pada kenalan Facebook dengan info berikut:
Pit stop kedua di Shell simpang masuk ke Kuala Kubu Bharu. Info: 72.34 km DST, 4:02:06 TM, 17.9 km/h AVG [17.11.2011, 1415 hrs]
Ianya bererti, ini adalah hentian kedua kami selepas berhenti di stesyen minyak Petronas Rawang dan kami telah berkayuh sejauh 72.34 kilometer, dengan masa 4 jam 2 minit 6 saat (tidak termasuk waktu berhenti) pada purata kelajuan 17.9 km/j.
Setelah berbincang, kami bersepakat untuk makan di stesyen minyak itu kerana perjalanan dari Kuala Kubu Bharu ke Tanjung Malim hanya tinggal lagi lebih kurang 20 kilometer. Masing-masing membeli roti dan minuman isotonik bagi mengalas perut dan menambah tenaga, sebelum akan menyambung perjalanan ke Tanjung Malim kemudiannya.
Gambar 4. Berhenti rehat dan makan di stesyen minyak Shell Kuala Kubu Bharu |
Gambar 5. Masing-masing membeli roti dan minuman isotonik untuk mengalas perut dan menambah tenaga |
Gambar 6. Lawa pula kelihatan apabila basikal abang Joe diletakkan di situ |
Semasa kami sedang berehat, tiba-tiba hujan mencurah dari langit. Mujurlah tempat kami berehat itu berbumbung, dapatlah berlindung dari kebasahan. Setelah 15 minit, hujan semakin lebat dan seakan tiada tanda untuk berhenti dalam masa terdekat. Peluang ini diambil oleh kami untuk melelapkan mata buat seketika dengan tidur di kaki lima stesyen minyak tersebut.
Gambar 7. Sempat melelapkan mata sementara menunggu hujan berhenti |
B E R S A M B U N G . . .
"Let the present be your present" - Meher Amalsad