ADS

08 February 2012

'Cyclo - Tourism': Klang, Bandar Diraja Selangor, Bahagian 1

Hari itu, 12hb Okt 2011 Masehi, bersamaan 14 Zulkaedah 1432 Hijrah. Pagi Rabu yang cerah dan saya berkelapangan. Sudah lama teringin hendak bersiar-siar di sekitar bandar Klang secara berbasikal. Saya ada mengajak Adnan untuk mengikuti, tetapi malangnya beliau bekerja shift pagi dan tidak dapat mengikuti saya.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar.

Samada berdua atau berseorangan, saya tekad untuk pergi juga kerana hari yang bercuaca baik seperti ini tidak harus dipersiakan begitu sahaja. Setelah membawa cukup peralatan seperti tiub gantian, pam tangan, tyre lever (untuk membuka tayar dari rim dan mengeluarkan tiub), beberapa peralatan asas seperti playar (plier), pemotong (cutter), pemutar skru (screwdriver) serta bekalan minuman yang mencukupi maka saya pun memulakan perjalanan.

Turut dibawa bersama, sebuah kamera DSLR berjenama Nikon model D90 dilengkapi lensa 18 - 105 mm yang dipinjam dari teman serumah. Saya meninggalkan perkarangan rumah sekitar jam 1055 pagi untuk bersarapan terlebih dahulu. Sebelum saya hendak bercerita lebih lanjut, satu soalan mahu diajukan terlebih dahulu. Kelang, atau Klang ?


Kesian BEL 6689 kena tinggal ) :


Kedai makan bernama Restoran Sabar Subur yang terletak di Jalan Lumpit 18/35A Seksyen 18 Shah Alam menjadi pilihan saya untuk bersarapan pada pagi itu. Menu biasa, dua keping roti telur bawang bersama segelas air teh o. Setakat ini mengikut selera tekak saya, inilah roti canai tersedap pernah ditemui di kawasan Shah Alam selatan. Tak tahulah pula di lokasi lain sebab belum menemuinya lagi. Selesai makan dan membayar harga makanan, saya menyusuri jalan-jalan dalam di seksyen 18 untuk keluar ke Persiaran Jubli Perak. Sempat juga berhenti bergambar apabila menemui sesuatu yang dirasakan menarik.


Tak dapat cara 'kasar', guna cara 'halus' pula. Hanya untuk hutang berjuta-juta sahaja ( :

Graffiti di tembok taman rekreasi berhampiran SRJK (T) Sg. Renggam dan Kampus INTEC UITM Seksyen 18

Dari Persiaran Jubli Perak yang menghubungkan antara seksyen 24, 18 dan 17 Shah Alam, saya memasuki Persiaran Kemajuan dan Persiaran Selangor yang menempatkan kawasan industri Seksyen 16 sebelum keluar ke simpang empat berlampu isyarat di pertembungan Persiaran Selangor - jalan Padang Jawa dan jalan Sungai Rasau. Di simpang itu, saya mengambil arah jam dua belas menghala ke Jalan Sungai Rasau, dengan melepasi PUSPAKOM Padang Jawa di sebelah kanan.

Saya meneruskan kayuhan hingga satu selekoh yang terdapat sebuah stesyen minyak BHP di sebelah kiri jalan dan bertemu simpang tiga berlampu isyarat, pertembungan jalan Sungai Rasau dan jalan Batu Tiga Lama. Di simpang itu, saya menghala ke kanan dan tidak jauh dari situ akan menemui satu tempat letak kereta berpapantanda batu bertulis Tugu Keris Klang berlatarbelakangkan warna kuning di sebelah kiri jalan.


Batu penanda Tugu Keris Klang mudah dilihat dari Jalan Batu Tiga Lama

Kedudukan Tugu Keris dari plaza tol Sungai Rasau Lebuhraya Persekutuan arah Klang

Dari tempat meletak kereta berhampiran papantanda batu tersebut, saya menghala ke sebuah jambatan kecil melintasi parit untuk masuk ke kawasan taman Tugu Keris. Ketika itu, hanya beberapa orang yang berada di kawasan sekitar, dengan majoriti darinya merupakan pekerja sebuah syarikat pembersihan swasta, seorang pemuda yang mungkin seorang penghantar cepat (despatch) jika dilhat dari motor dan cara berpakaiannya selain diri saya sendiri.

Saya mundar mandir di dalam kawasan taman untuk melihat dan mengetahui apakah objektif tugu ini didirikan. Jawapan pada persoalan itu saya berjaya temukan setelah membaca plet yang diletakkan di situ sebagai rujukan. Walaubagaimanapun, plet penerangan mengenai keris agak sukar untuk dibaca kerana telah pudar dek hujan dan panas.


Tugu Keris berdiri megah seakan menunjang langit

Bersempena jubli perak ulangtahun pemerintahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah


Tugu Peringatan Jubli Perak yang dibina di sempadan kawasan Majlis Perbandaran Klang ini bertujuan untuk memperingati sambutan jubli perak pemerintahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Tugu ini dirasmikan pada 30 September 1985, berbentuk sebilah keris, alat senjata yang melambangkan kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu di zaman silam.

Terletak berhampiran plaza tol Sungai Rasau, Lebuhraya Persekutan menghala ke arah Klang. Ia berkeluasan 1.5 ekar serta dilengkapi dengan gazebo, pancuran air, lanskap taman rekreasi dan alat permainan kanak-kanak.


Penerangan mengenai keris yang sukar dibaca akibat keuzuran papan tanda maklumat
 
Zoom in dilakukan untuk membantu pembacaan

Jika gagal membaca sendiri maklumat pada gambar di atas, sila rujuk penulisan seterusnya (seperti tulisan asal pada plet maklumat).

KERIS

ASAL - USUL

* BERASAL DARI JAWA TENGAH

* PERKATAAN KERIS BERASAL DARI PERKATAAN JAWA, IRIS, YANG BERMAKSUD MEMOTONG

* SARUNG DAN HULU DIPERBUAT DARIPADA KAYU ATAU GADING

* MATA KERIS DIBUAT DARIPADA BESI YANG BERKELOK - KELOK DIPANGGIL LOK DAN MEMPUNYAI JUMLAH YANG GANJIL IAITU TIGA, LIMA, TUJUH ATAU SEMBILAN

KEGUNAAN

* MERUPAKAN SALAH SATU SENJATA UNTUK MEMPERTAHANKAN DIRI PADA ZAMAN DAHULU DAN JUGA MELAMBANGKAN KEBERANIAN SESEORANG

* DI ZAMAN SEKARANG, KERIS DIJADIKAN SEBAGAI LAMBANG KEAGUNGAN, KEBERANIAN DAN KEDAULATAN SESEBUAH KERAJAAN YANG BERAJA

* ANTARA KERIS YANG TERKENAL IALAH KERIS CERITU, KERIS TAMING SARI DAN KERIS MAJAPAHIT


Tugu Keris dikelilingi oleh pancuran air
Basikal Bridgestone berlatarbelakangan Tugu Keris
Tugu Keris, dilihat dari celah rimbunan pokok di hujung taman


Setelah puas menekan picu kamera dan ingin beredar, kelihatan dua wanita Melayu warga emas tiba ke situ untuk beriadah. Terdapat sebuah pintu masuk utama yang terletak paling hampir dengan monumen tersebut. Saya tidak melalui kawasan di situ, tetapi dianggarkan kenderaan boleh dibawa masuk sehampir mungkin dengan monumen keris ini. Selain itu, akibat terlalu memfokuskan pada lokasi hentian berikutnya, saya terlupa untuk memeriksa adakah terdapat sebarang kemudahan tandas dan surau di situ. Andai kata tidak terdapat tandas di situ, terdapat sebuah stesyen minyak BHP bersebelahan persimpangan lampu isyarat jalan Sungai Rasau - jalan Batu Tiga Lama yang jaraknya tidak sampai empat ratus meter berjalan kaki.


BERSAMBUNG KE BAHAGIAN SETERUSNYA. TUNGGU ...


"Everyday in everyway. Start your day in an amazing way."
- Meher Amalsad

No comments: