ADS

29 May 2012

Kayuhan NJ: Hari 1, Bahagian 1

Selamat sejahtera ke atas kamu, kamu dan kamu ! Apa khabar ? Harap semuanya baik-baik sahaja. Maafkan saya, rasanya sudah lebih sebulan tidak berkumandang di laman sesawang ini, sejak entry terakhir pada 18hb April mengenai Majlis Pelancaran Buku Pedalling Around The Peninsula dan penceritaan pra Kayuhan NJ pada 29hb Mac 2012 lalu.

Bagi yang terlupa, ataupun baru sahaja mengikuti penceritaan ini, episod pengenalan boleh dirujuk di sini. OK, tanpa basa-basi lagi, saya nak tebas sawang di laman sesawang ini. Zasss, zasss, zasss ...

Ambil feel dulu ... Beberapa jam sebelumnya ...

"Tidak saya ingati, jam berapa kami bertiga tidur pada malam itu. Mungkin sekitar jam 0300 pagi jika tidak silap. Sebelum kami tidur, beberapa persiapan terakhir telah dilakukan. Ah Chong meminjamkan alas tidur (sleeping mat) dan beg tidur (sleeping bag) kepada abang Joe untuk dibawa. Abang Joe pula sempat membeli sebuah lampu suluh berkuasa tinggi dengan bateri 'boleh - cas semula' (rechargeable) dari Ah Chong yang boleh diletakkan pada handlebar basikal ..."

"Ah Chong kemudian meminta diri untuk meninggalkan kami berdua kerana dia hendak masuk ke bilik menyambung tidur yang terganggu tadinya. Bagi kami berdua, juga perlukan rehat sebelum berkayuh pada paginya nanti. Sebaik lampu ditutup, beberapa minit kemudian tiada lagi perbualan antara saya dan abang Joe dan kemudian pandangan saya pun terus gelap gelita, zZzZzZ
..."

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik.

17hb Nov 2011, Khamis.

Lorong Mewah 4, Bandar Tun Razak.

Saya dan abang Joe bangun ketika hari belum cerah pada pagi Khamis itu. Kami saling bertukar giliran untuk menggunakan bilik air, juga bergilir menggunakan bilik paling hadapan di rumah Ah Chong bagi menukar pakaian dan bersolat Subuh. Ibu Ah Chong membuatkan kami minuman sebagai sarapan untuk kami bertiga.

Selesai minum, membuat persiapan terakhir serta memeriksa agar tiada barangan yang tertinggal, kami membawa basikal masing-masing keluar dan bersedia di perkarangan rumah Ah Chong. Sempat juga bergambar kenangan sebelum masing-masing meninggalkan Bandar Tun Razak (selepas ini akan ditulis sebagai BTR). Setelah memohon untuk memulakan perjalanan dari ibu Ah Chong, lebih kurang jam 0715 pagi kami memulakan perjalanan dengan didahului oleh Ah Chong di hadapan dan saya seperti biasa di bahagian paling belakang.


Gambar 1. Bergambar di perkarangan rumah jiran Ah Chong


Dari Lorong Mewah 4 Bandar Tun Razak, kami memasuki Persiaran Mewah dan berhenti sebentar di stesyen minyak BHP Jalan Jujur bagi menambah tekanan angin tayar basikal masing-masing. Dari Jalan Jujur kami kemudian memasuki Jalan Bangsawan, Jalan Budiman diikuti Jalan Yaacob Latif atau dulunya pernah dikenali sebagai Jalan Tenteram.

Di pangkal Jalan Yaacob Latif kami melepasi Flat Sri Labuan di sebelah kiri serta Balai Bomba dan Penyelamat BTR (BBPBTR) di sebelah kanan jalan. Meneruskan perjalanan, kami turut melepasi Institut Latihan DBKL, Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kompleks Renang Kuala Lumpur, Kompleks Sukan BTR, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur,  Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL), Sekolah Menengah Sains Alam Shah (SMSAS), Institut Perguruan Ilmu Khas (IPIK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras (SMKC), kesemuanya berada di sebelah kiri jalan mengikut turutan.

Manakala di sebelah kanannya pula, kami melepasi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berhadapan Kompleks Sukan BTR diikuti Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik (IPGPT) yang terletak bertentangan SMTKL. Kami turut melepasi Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah yang keduanya terletak bersebelahan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terletak tidak jauh dari Medan Selera Velodrom dan diakhiri dengan Velodrom Kuala Lumpur yang terletak bertentangan SMKC pada pangkal sebelah kanan Jalan Yaacob Latif.

Keadaan trafik mulai sesak ketika kami melalui susur keluar dari Jalan Yaacob Latif ke Jalan Loke Yew. Kesesakan yang normal bagi penduduk kotaraya Kuala Lumpur seawal pagi, dimana semua berpusu-pusu keluar untuk mencari rezeki dan tiba di lokasi tempat bekerja sebelum waktu yang ditetapkan. Kami mengambil laluan paling kiri di bahu jalan, dan sesekali mencelah di antara kesesakan trafik terutama ketika melalui pertembungan antara jalan utama dan susur keluar ke beberapa jalan sekitar. Keadaan trafik yang sesak melegakan kami kerana tidak perlu khuatir akan kenderaan yang memandu laju, cuma kami perlu lebih berhati-hati untuk mengelak dari terlanggar atau melanggar penunggang motorsikal yang juga mencelah seperti kami.

Dari Jalan Loke Yew, Ah Chong membawa kami memasuki jalan belakang yang tidak pernah saya lalui, apatahlagi mengetahui namanya. Yang pasti, kami melepasi tanah perkuburan lama dan tiba-tiba sahaja keluar di Jalan Dewan Bahasa, menuju ke Bangunan MAA dimana ianya menjadi lokasi pertemuan kami dengan seorang lagi peserta kayuhan ini iaitu Muzammil. Kami tiba di perkarangan bangunan MAA tepat jam 0800 pagi. Saya menghubungi Muzammil untuk mengetahui beliau dimana, dan dia meminta kami ke tingkat paling atas bangunan tersebut iaitu di mana pejabatnya berada. Oleh kerana saya pernah beberapa kali ke situ, saya  menjadi jurupandu arah membawa Ah Chong dan abang Joe.

Sesampainya kami di atas, masing-masing bersalaman dan saya memperkenalkan abang Joe kepada Muzammil kerana mereka belum pernah bersua sebelum ini. Menurut Muzammil, beliau baru sahaja menamatkan tugasnya hari ini pada jam 0700 pagi, setelah bertugas pada shif malam. Beliau kemudiannya mengajak dan membawa kami bersarapan pagi di kafetaria yang terdapat di bangunan tempat kerjanya.

Setelah meninggalkan basikal-basikal kami pada dua orang rakan Muzammil untuk minta dijagakan, kami melangkah keluar dari perkarangan pejabat lalu masuk ke dalam lif untuk ke tingkat di mana terdapatnya kafetaria bagi pekerja-pekerja bangunan MAA itu. Seingat saya, terdapat tidak sampai lima peniaga makanan di kafetaria tersebut. Masakan yang dijual nampak masih panas lagi menyelerakan, saya memilih spagheti yang digandingkan dengan seketul hash brown dan beberapa ketul kentang rebus bercili. Ala menu western lah pulak hehehe ...


Gambar 2. Sarapan pagi saya, pinggan yang di sebelah bawah, yang di atas tu siapa punya entah, lupa pula ...


Selepas bersarapan, ada yang mengambil kesempatan untuk berak 'memerut' di tandas berhampiran kafetaria. Selesai membayar harga makan - minum, saya menghantar satu sms menggunakan perkhidmatan Facebook melalui telefon bimbit (Maxisfb2mobile) dengan mesej berikut:

"Baru lepas b’sarapan di Menara MAA. Akan memulakan p’jlnan touring sedikit masa lagi selepas sessi bergambar. Bismillah ... [17.11.2011, 0833 hrs] ..."

Kami meninggalkan kawasan kafetaria dan kembali ke lokasi pejabat Muzammil bagi mengambil basikal-basikal kami. Sebelum memulakan perjalanan, seperti biasa sesi bergambar beramai-ramai dan juga solo sebagai kenangan sebelum secara rasminya Kayuhan NJ ini dimulakan.


Gambar 3. Tiada tripod, tempat duduk motorsikal dan kotak rokok pun berguna ...
 
Gambar 4. Basikal Bridgestone saya dipasangkan dengan no. plet 0N3 L355 C4R pada bahagian belakang basikal
 
Gambar 5. Abang Joe, bersama basikal Giant model XTC Race nya

Gambar 6. Ah Chong disisi basikal Jamis Allegro 2X nya
 

B   E   R   S   A   M   B   U   N   G


 
"Only passion, great passions, can elevate the soul to great things." - Elias
 

6 comments:

AndaQue said...

ini kayuhan 5 hari 4 malam tukan...kayuhan setiap hari melebihi 100km hingga 150km... dah tentu dibawah matahari terik...aduhhh... tubuh badan kena kuat ni kan. Alangkah bagus kalau diselitkan "route map" sekali untuk diberi gambaran yang lebih jelas buat pembaca. Apa pun sekali lagi tahniah kayuhan ni nampak macam mudah tapi ramai yang tak sanggup dan mampu nak lakukan kan, macam2 persediaan perlu dilakukan kan tu...

Azizan Zolkipli said...

@AndaQue: Terima kasih bang kerana sudi menyinggah ke blog saya. Memang kalau difikirkan balik, kerja giler kayuhan ni hahaha ... Peta biasanya memang saya akan sertakan sebagai bonus kepada pembaca, tetapi di setiap pengakhiran penceritaan barulah akan dimasukkan ...

AndaQue said...

Tahu memang letih mengayuh tu... tapi bila dah diakhir perjalanan bila dah sampai penamat, hati awak dan rakan2 rasa puas sangatkan... ni juga satu pengalaman dalam hidup yang tak ramai orang dapat alami...dan rasa...

Azizan Zolkipli said...

@AndaQue: betul tu. pengalaman yang bukan semua orang dapat rasai, kalau ada pun mungki tidak serupa ...

khairul said...

just nak tanya wakjan,dri simpang pulai ke kampung raja tu berapa lama agak2 nak climb tu.hehe.dalam perancangan nak touring ke cameron

Azizan Zolkipli said...

@khairul: Terima kasih atas pertanyaan kamu. Kalau boleh, jangan ikut macam kami. Kitaorang hari tu dari Simpang Pulai jam 6 petang, sampai Kg. Raja jam 4 pagi.

Jarak dari Simpang Pulai ke Kg. Raja lebih kurang 60 km. Jadi, boleh agak2 lah berdasarkan kelajuan kayuhan.

Jika boleh maintain paling perlahan kelajuan 10km/j, enam jam dah boleh sampai. Tapi itu tak termasuk waktu rehat lah hehehe ...