ADS

13 June 2012

Reviu majalah: Bicycle Traveler, edisi Mei 2012


Muat turun majalah Bicycle Traveler edisi Mei 2012 di sini


Pengenalan 

Bicycle Traveler merupakan sebuah majalah antarabangsa mengenai kembara berbasikal (bicycle touring). Ianya dipenuhi dengan cerita menarik dan gambar-gambar yang akan menginspirasikan anda bagi mengimpikan pembacanya tentang destinasi dan peralatan terbaru dunia kayuhan.

Majalah elektronik (selepas ini akan disebut sebagai e-mag) yang dipaparkan di sini merupakan edisi ketiga sepanjang penerbitannya dan juga edisi kedua bagi tahun 2012.

Isu keluarannya akan muncul selang tiga kali setahun, iaitu pada bulan Januari, Mei dan September. Para pembaca boleh melanggan e-mag percuma ini di sini bagi mengelakkan ketinggalan keluaran yang akan datang. E-mel akan dihantar oleh pihak yang berkenaan menandakan keluaran terbaru telah diterbitkan dan mengisyaratkan pembaca untuk mula memuat turun e-mag tersebut

Keluaran sulung e-mag Bicycle Traveler terbitan September 2011 dan edisi kedua terbitan Januari 2012 boleh dimuat turun di sini.


Reviu ringkas e-mag Bicycle Traveler edisi Mei 2012

Saya tidak ingin mengulas secara mendalam mengenai penghasilan artikel, gambar ataupun produk yang dikongsikan dalam e-mag tersebut. Biarlah pembaca sekalian yang memberikan komentar masing-masing setelah membacanya sendiri.

Berikut disenaraikan isi kandungannya:

4 penceritaan,
4 ruangan fotografi,
2 reviu kelengkapan kembara berbasikal,
1 temubual, dan
1 ruangan penulis. 

(1) Penceritaan:


(a) Himalayan Trader, oleh Scott Stoll
Menceritakan tentang pengalaman pengembara berbasikal dari barat yang menukar pen beliau dengan pengembala Tibet. Beliau mendapat pengajaran yang berharga pada pengalaman ini.

(b) Which way to Hyderabad, oleh Frank van Rijn
Catatan pengalaman Frank van Rijn tentang kesukaran beliau menanyakan jalan untuk ke Hyderabad, India.

(c) Hitch-biking through Africa, oleh Jo Charnock
Jo Charnock berkongsi pengalamannya berkembara basikal dengan basikal lipat (folding bike) dari Kaherah (Cairo), Mesir ke Cape Town, Afrika Selatan.

(d) Welcome to Laos, oleh Ian Mitchell
Ian Mitchell mengimbas kembali pengalaman manisnya ketika berkembara basikal ke Laos.

(2) Fotografi

(a) Cerita bergambar: America, oleh Adam dan Christy Coppola
Beberapa gambar menarik mereka ketika berkembara basikal ke lima puluh buah negeri seluruh Amerika Syarikat. Adam Coppola merupakan jurnalis foto (photojournalist), bergabung bakat dan kebolehan bersama isterinya Christy untuk mendokumentasikan perjalanan kembara mereka.

(b) Imej dari perjalanan: India, oleh Paul Jeurissen
Gambar menarik seorang pengembara berbasikal sedang berehat di sebuah pokok rendang.

(c) Imej dari perjalanan: Malawi, oleh Peter Gostelow
Peter Gostelow berkongsikan keadaan bilik yang diduduki bersama basikal serta barangan yang dibawanya.

(d) Gambar akhir (muka belakang): America, oleh Paul Jeurissen.
Gambar tanpa tajuk yang menarik. Tangan yang hitam legam akibat kesan dari minyak sewaktu mahu memotong dan menyambung kembali rantai basikal.

(3) Peralatan

(a) Trip Gear, oleh Grace Johnson
Enam reviu produk peralatan untuk kembara berbasikal. Diantaranya ialah khemah, lapik tidur, beg pemampat kalis air dan lain lain.

(b) Pengujian kasut Crocs, oleh Igor Kovse
Igor Kovse menguji kasut Crocs ketika berkayuh di Namibia, Lesotho dan Paris - Brest - Paris. Mengenengahkan beberapa kelebihan memakai kasut yang ringkas ini.

(4) Temubual
Jim Van Den Berg - Lightweight touring, ditemubual oleh Grace Johnson
Pengembara basikal yang mengamalkan konsep pembawaan barangan secara minima (ultralight touring); berkongsi idea, pandangan dan nasihat beliau.

(5) Kolumnis
The Art of Unplanned Journey, oleh Tom Allen.
Tom Allen, berkongsi pemikiran beliau tentang halatuju kembara berbasikal dalam penghidupannya.


Oleh:
Azizan Zolkipli.
Rabu, 13hb Jun 2012, 3:20 PM,
Jalan Telawi, Bangsar, KL.

11 June 2012

FM untuk Basikal Touring

FM bermaksud frequency modulation, kependekan dari terma teknikal kejuruteraan elektronik / komunikasi dan juga seringkali digunapakai pada penjenamaan stesyen-stesyen radio tempatan mahupun luar negara. Contoh, Selangor FM, KLFM, Hitz FM, Era FM dan sebagainya.

Dalam konteks saya, ianya adalah fridge magnet, bermaksud "hiasan yang melekat pada magnet dan diletakkan pada pintu peti sejuk".

Pada rakan-rakan yang meminati aktiviti melancong, tidak kira samada secara berbelanja besar mahupun secara bajet; santai mahupun ber'backpackers'; pastinya FM ini akan dicari mereka tidak kiralah kemana sahaja destinasi dikunjungi.

OK, tutup bab tu ! FM yang saya nak tonjolkan ini tidak dapat dibeli di mana-mana lokasi, sebaliknya ia adalah hadiah istimewa dari rakan bloggers, merangkap junior sekolej dan rakan sePengakap Kelana semasa menuntut di Malaysia France Institute dahulu (kini UniKL MFI). Ianya pemberian puan Suzilawati Zainal Abidin. Blog beliau boleh dilawati di sini. 


[Klik untuk pembesaran imej]


Gambar FM yang diterima. Walaupun beliau cilok gambar dari blog tanpa pengetahuan, tetapi sebab hendak dijadikan FM maka saya tidak jadi hendak memarahi beliau ( :
Duit syiling 20 sen diletakkan di situ untuk dijadikan relatif saiz FM yang sebenar.


[Klik untuk pembesaran imej]


Gambar di atas adalah mesej yang disertakan bersama pemberian FM. Sila ambil perhatian yang panggilan 'Pakcik' itu bukan bermaksud saya bapa saudara beliau, tetapi cumalah panggilan rakan-rakan sekolej dahulu. Panggilan 'Pakcik', singkatan dari 'Pakcikayo' nama gelaran sejak belajar di Sekolah Menengah Vokasional Pulau Pinang pada tahun 1994/95. Bukan setakat rakan sekelas dan seasrama ketika di MFI, malahan pensyarah pun memanggil saya dengan gelaran tersebut hihihi ...

Panggilan 'Wakjan' pula bermula pada tahun 2008, semenjak pulang dari program pendakian Gunung Bromo - Semeru - Arjuno - Welirang di Jawa Timur, Indonesia. Terus melekat sampai sekarang !

Kebiasaan FM yang dibeli atau pemberian rakan-rakan, akan saya hadiahkan kepada cinta dunia # 1 iaitu ibu saya. Tetapi untuk FM yang ini ... Aishhhh ... Hmmm, nak bagi ke tidak, nak bagi ke tidak, nak bagi ke tidak ... [seraya memetik beberapa kuntum bunga dan mengoyak kelopaknya untuk mendapatkan satu keputusan].

07 June 2012

Kayuhan NJ: Hari 1, Bahagian 2

Imbasan episod lalu:

"Kami meninggalkan kawasan kafetaria dan kembali ke lokasi pejabat Muzammil bagi mengambil basikal-basikal kami. Sebelum memulakan perjalanan, seperti biasa sesi bergambar beramai-ramai dan juga solo sebagai kenangan sebelum secara rasminya Kayuhan NJ ini dimulakan ..." 

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. 

17hb Nov 2011, Khamis 

Bangunan MAA, Jalan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur ke Batu Caves
Setelah sesi fotografi, tepat jam 0900 pagi kami berempat meninggalkan bangunan MAA dengan Ah Chong mengepalai konvoi di barisan hadapan. Kami memasuki Jalan Dewan Bahasa Dan Pustaka secara melawan arah sebelum memasuki arah yang betul dengan melintas di sebuah lampu isyarat simpang tiga menghala ke arah tanah perkuburan lama.

Dari Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka, kami memasuki Jalan Maharajalela, Jalan Kinabalu dan kemudian Jalan Raja melintasi Dataran Merdeka di sebelah kiri kami dan Bangunan Sultan Abdul Samad di sebelah kanan kami. Dari Jalan Raja, perjalanan diteruskan melalui Jalan Raja Laut, Jalan Ipoh, Jalan Sentul, Jalan Sentul Pasar, Jalan 46/10 dan Jalan Taman Batu Muda. Di Jalan Taman Batu Muda ini, kami telah meninggalkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kini mula memasuki negeri Selangor Darul Ehsan.

Selamat tinggal Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ! Selamat datang Selangor !
Jalan Taman Batu Muda ditinggalkan dan kami kini memasuki Jalan Perusahaan 1 menghala ke arah Batu Caves. Di persimpangan berhadapan Batu Caves, kami menghala ke kiri memasuki sebahagian Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke arah sebuah bulatan untuk keluar pula ke Jalan Ipoh. Di Jalan Ipoh, bahu jalannya adalah besar dan di sini kami perlu lebih berhati - hati dengan kenderaan yang keluar masuk dari susur masuk / keluar. Kadang - kadang terdapat kenderaan yang dipandu laju dan secara tiba - tiba menghala ke susur keluar tanpa memberikan lampu isyarat terlebih dahulu.

Air Panas Selayang ke Rawang
Melepasi kawasan Air Panas Selayang, laluan mula beransur - ansur mendaki. Abang Joe berada paling hadapan diikuti saya, Ah Chong dan Muzammil paling belakang. Untuk info, di dalam perjalanan ini Muzammil membawa keempat - empat beg panniernya yang dipasang pada rack belakang dan hadapan basikal beliau. Pada hemat saya, semestinya Ah Chong dan Muzammil terpegun dengan kekuatan stamina abang Joe yang kuat berkayuh walaupun umurnya telah melebihi setengah abad. Ini dibantu pula oleh penggunaan kasut berklip pedal yang akan membantu dirinya mengoptimumkan tenaga semasa berkayuh, lebih - lebih lagi ketika melalui jalan mendaki.

Sampai di kemuncak pendakian, saya melihat pada odometer saya dan mendapati laluan pendakian tersebut adalah tepat berjarak satu kilometer. Abang Joe pula sudah tidak lagi kelihatan. Saya menerima SMS dari abang Joe, memberitahu beliau menunggu di sebuah stesyen minyak Petronas selepas sahaja kawasan menuruni bukit. Oleh kerana tidak mahu menunggu rakan - rakan di belakang di tempat yang terbuka dan panas di tepi jalan, saya kemudian mengayuh ke hadapan menuruni bukit dan berteduh di kawasan bawah jambatan.

Kaki Muzammil kejang !
Beberapa minit kemudian, saya ternampak Ah Chong dan beliau berhenti menemui saya. Katanya, Muzammil mengalami kekejangan otot di belakang. Saya menyuruh Ah Chong mara ke hadapan terlebih dahulu dan mencari abang Joe di stesyen minyak Petronas. Beberapa minit menunggu, akhirnya saya nampak Muzammil menuruni bukit dalam keadaan laju dan saya terus menahannya.

Kami berborak seketika tentang keadaan kaki beliau. Katanya, ia berpunca dari kurang latihan berkayuh kerana kesibukan dengan urusan kerja. Saya menambah lagi yang ia mungkin juga berpunca dari kurang rehat, kerana Muzammil baru sahaja menamatkan shif kerjanya hari itu pada jam 0700 pagi dan tidak sempat untuk tidur. Saya menghulurkan satu tiub 'deep heating rub' untuk disapukan pada kaki beliau. Selepas menyapunya, kami berdua menyambung perjalanan ke  stesyen minyak yang dijanjikan.

Perjalanan ke stesyen minyak tersebut melalui jalan menurun bukit melepasi Taman Rimba Templer dan Taman Rimba Kanching di sebelah kanan serta Taman Rimba Komanwel di sebelah kiri kami. Satu dari pengalaman yang tidak dapat kami berdua lupakan ketika di sini ialah terdapat satu lori treler yang dipandu laju dalam jarak hampir satu perpuluhan lima meter dari kami dan angin yang dibawa lori tersebut membuatkan basikal kami terhuyung hayang. Setelah melalui saat - saat mendebarkan dengan melintasi kawasan pembinaan di bahu jalan, Muzammil dan saya sampai di stesyen minyak Petronas tepi jalan tersebut.

Stesyen Minyak Petronas Rawang
Kelihatan Ah Chong dan abang Joe telah menanti, dengan terdapat tambahan seorang lelaki berbadan tegap bersama sebuah kereta Proton Wira berwarna kuning. Lelaki tersebut kelihatan ramah berbual dengan Ah Chong dan Abang Joe. Muzammil dan saya kemudian bersalaman dengan lelaki tersebut. Setelah berbual, barulah saya mengetahui yang lelaki tersebut mengaku yang dia adalah pengawal peribadi kepada pemain bolasepak negara yang diimport ke kelab Pelita Jaya FC di Indonesia, iaitu Safee Sali. Entah benar entahkan tidak, tidak dapat kami pastikan ...


Gambar 1. Bersama pemuda yang mengaku dirinya pengawal peribadi kepada Safee Sali (paling kanan)


Ketika di situ, sempat saya menghantar satu SMS ke laman sosial Facebook menggunakan aplikasi Maxisfb2mobile, bertulis: 

Pit stop pertama di Petronas Rawang. 37.51 km DST, 18.3 km/h AVG, 2:02:23 TM, 43.3 km/h MAX [17.11.2011, 1100 hrs]
 
Yang membawa maksud; jumlah jarak kayuhan 37.51 kilometer, purata kelajuan 18.3 km/j, masa kayuhan berjumlah 2 jam 2 minit 23 saat dan kelajuan maksima 43.3 km/j.

Puas berehat di stesyen minyak tersebut, kami meneruskan perjalanan. Sebelum itu, Ah Chong meminta kami meninjau kedai hardware untuk beliau membeli rantai kunci basikal dan cable tie. Di satu deretan kedai di sebelah kiri jalan, kami ternampak sebuah kedai hardware lalu singgah ke situ. Berjaya mendapatkan apa yang Ah Chong inginkan, perjalanan disambung dan kami kini memasuki pekan Rawang. Terdapat satu laluan mendaki pendek yang terpaksa kami lalui sebelum jalan kembali landai.

Beberapa kilometer di hadapan, kelihatan abang Joe berhenti menunggu kami bertiga di sebuah hentian bas. Rupa - rupanya dalam perjalanan, beliau sempat berhenti di gerai menjual buah - buahan di tepi jalan bagi membeli sesikat pisang. Lokasi yang teduh, ditambah dengan sesikat pisang yang dibelanjai oleh abang Joe menyempurnakan lagi hentian kami pada hari yang terik itu hehehe ...


Gambar 2. Hentian rehat sambil memakan pisang ( :


Selesai menghabiskan pisang yang dibeli dan membasahkan tekak, kami meneruskan perjalanan dan tidak beberapa jauh di hadapan, saya meminta mereka untuk berhenti bagi mengambil foto grup di satu papantanda sempadan daerah.


Gambar 3. Meninggalkan daerah Gombak dan memasuki daerah Hulu Selangor.


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

 
"Do not go where the path may lead, go instead where there is no path and leave a trail" 
- Ralph Waldo Emerson