ADS

13 August 2012

Kayuhan NJ: Hari 1, Bahagian 4

Imbasan episod lalu:

"Semasa kami sedang berehat, tiba-tiba hujan mencurah dari langit. Mujurlah tempat kami berehat itu berbumbung, dapatlah berlindung dari kebasahan. Setelah 15 minit, hujan semakin lebat dan seakan tiada tanda untuk berhenti dalam masa terdekat. Peluang ini diambil oleh kami untuk melelapkan mata buat seketika dengan tidur di kaki lima stesyen minyak tersebut ..."

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik.


17hb Nov 2011, Khamis: Kuala Kubu Bharu ke Kerling

Tidur, bangun, tidur dan bangun. Hampir sejam, hujan tidak juga mahu berhenti kecuali kadar kelebatannya berkurangan. Memandangkan masa semakin suntuk, mahu tidak mahu terpaksa jugalah kami meredah hujan tersebut. Lampu belakang (blinker) dinyalakan bertujuan untuk dapat dilihat dalam keadaan hujan oleh pengguna jalanraya yang lain.

Lebih kurang enam perpuluhan lima kilometer berkayuh melepasi gabungan  jalan landai - berbukit dan lurus - berliku, kami berempat tiba dan berhenti di pekan kecil Kerling. Rasanya tidak layak dipanggil pekan, kerana ianya cuma deretan beberapa buah kedai (mungkin tidak sampai sepuluh buah kedai) yang terletak di sebelah kiri jalan menghala arah utara.


Gambar 1. Ah Chong dihadapan kedai yang disinggahinya di Kerling. Klasik kan ?


Kerling ke Tanjung Malim

Di sini Ah Chong berhenti bagi membeli bateri lampu basikalnya, sebagai persiapan untuk menghadapi suasana malam. Selesai membeli barangan yang dikehendaki, perjalanan kami diteruskan menghala ke Tanjung Malim melepasi kawasan Kampung Gumut. Satu situasi yang tidak dapat dilupakan, kami bersua dengan seorang lelaki separuh usia yang berbasikal dengan tidak berbaju dan membawa satu bakul besar di bahagian belakang basikalnya. Kami cuba menghampirinya dengan tujuan untuk berinteraksi, apabila semakin dekat dengannya alangkah terperanjatnya kami apabila mendapati terdapat sebilah parang panjang di dalam bakul tersebut. Apabila mahu memotong beliau, masing-masing mengambil jarak jauh dari menghampirinya. Bukanlah mahu berperasangka jahat terhadapnya, tetapi bak kata omputih, "prevention is better than cure" hehehe ...


Gambar 2. Muzammil, sedikit cuak apabila mendapati terdapat sebilah parang panjang di dalam bakul tersebut


Dari kawasan Kalumpang menuju ke Tanjung Malim, hujan bertambah lebat dan kami berempat memutuskan untuk mencari tempat teduhan. Ini adalah kerana hujan yang terlalu lebat boleh membataskan penglihatan pengguna jalanraya dan keberangkalian untuk kami dilanggar dari belakang amatlah tinggi walaupun setelah menyalakan lampu belakang. Nasib kami baik, kerana tidak jauh di hadapan terdapat sebuah hentian bas. Beberapa meter sebelum hentian bas itu juga terdapat papantanda yang memberitahu kami jarak ke Tanjung Malim berbaki lagi tujuh kilometer.


Gambar 3. Berhenti di hentian bas, dengan jarak berbaki 7 km ke Tanjung Malim


Macam-macam perkara yang kami lakukan untuk menghabiskan masa sewaktu menunggu hujan reda di hentian bas ini. Ada yang membelek-belek basikal sendiri, menghisap rokok, berbual. Mungkin kalau tempat duduknya lebar dan kering, pasti akan ada yang tidur di situ. Diri saya sendiri, menanggalkan baju yang basah lenjun kerana ianya membuatkan saya menggigil kesejukan. 'Wind chill factor', itulah istilah yang pernah saya baca. Tetapi itu faktor kesejukan yang disebabkan oleh angin, tetapi dalam kes saya ini ianya disebabkan oleh pakaian yang basah. 

Sempat juga saya mengeluarkan telefon bimbit, lalu menghantar sms ke Facebook dengan menggunakan aplikasi fb2mobile, bertulis (dengan ejaan sebenar): 

B’teduh dr hujan lbt di bus stop lg 7 km ke Tg. Malim. Hujan tak renti2 sejak tinggalkan Shell smpg Kuala Kubu Bharu. Info: 87.81 km DST, 4:52:34 TM [17.11.2011, 1700 hrs] 

Ohh, telah lebih lapan puluh tujuh kilometer dan hampir lima jam (terkecuali waktu berhenti) kami berkayuh sejak meninggalkan Menara MAA pagi tadi.

Lebih kurang hampir setengah jam berteduh, hujan mulai reda dan keadaan selamat untuk kami menyambung kayuhan. Perut saya telah mula berkeroncong, mungkin kerana belum makan tengahari dengan menu yang berat dan keadaan hujan menyebabkan badan terpaksa menggunakan tenaga bagi memanaskan badan. Kami meneruskan perjalanan berbaki tujuh kilometer menuju Tanjung Malim dengan satu objektif utama; berhenti makan lewat tengahari merangkap awal malam !


Selamat tinggal Selangor Darul Ehsan ! Selamat datang Perak Darul RIdzuan !
 
Kami meninggalkan negeri Selangor dan memasuki Perak ketika melintasi sebuah jambatan yang menyeberangi Sungai Bernam, dimana ianya dijadikan sempadan bagi kedua-dua negeri. Jam menghampiri pukul enam petang, kami tiba di sebuah restoran tepi jalan di pekan Tanjung Malim yang bernama Restoran Berkat Maju Seafood. Mungkin kerana terlalu fokus untuk berhenti makan mengakibatkan saya pada mulanya tidak  memperdulikan langsung nama restoran tersebut. Masing-masing memesan makanan dan minuman, pada kuantiti yang ekstra kerana kelaparan.


Gambar 4. Berhenti makan di Tanjung Malim, hujan masih lagi belum berhenti


Untuk memudahkan dan mempercepatkan proses mendapatkan makanan, kami bersepakat memesan makanan yang sama, iaitu nasi goreng. Cuma kuantiti dan 'side order' nya sahaja yang berbeza. Sewaktu menunggu minuman dan masakan sampai, kelihatan pekerja-pekerja restoran sedang asyik menonton perlawanan secara langsung piala AFF Suzuki 2011 antara pasukan Thailand menentang Myanmar. Mungkin pekerja-pekerja restoran itu berasal dari selatan Thai pada telahan saya. Saya sedang menginfokan situasi terkini pada laman Facebook ketika minuman dan makanan mula dihidangkan. Sms saya itu, seperti berikut: 

Renti mkn lewat tghari merangkap awal mlm di Restoran Berkat Maju Seafood Tg. Malim. Info: 94.55 km DST, 5:16:38 TM [17.11.2011, 1800 hrs] 


Gambar 5. Hidangan telah pun sampai ketika saya sedang bersms


Gambar 6. Nasi goreng ekstra (nasi lebih), bersama telur goreng


B  E  R  S  A  M  B  U  N  G


"Wise sayings often fall on barren ground, but a kind word is never thrown away." - Arthur Helps