ADS

21 October 2013

Panduan dan Tips Membawa Basikal dengan Tren

Nota:
Terma 'tren' dalam artikel ini merujuk kepada perkhidmatan tren antara bandar (inter-city) dalam Malaysia oleh syarikat KTMB. Ia terkecuali perkhidmatan tren LRT / MRT / ERL dan sebagainya baik di dalam negara mahupun luar negara.


Gambar hiasan: Koc tren yang boleh menempatkan basikal di negara luar. Sumber gambar dari www.adventurecycling.org


Pendahuluan

Mengembara dengan berbasikal sudah pastinya memberikan pelbagai pengalaman yang tersendiri. Itu memang tidak dapat dinafikan. Jika boleh mengambil cuti panjang, mana-mana individu pasti akan berbasikal dari rumahnya sendiri, ke destinasi yang dituju dan kemudian berkayuh pulang ke rumahnya. Tidak tergambar akan kepuasan melakukan sedemikian. Percayalah ...

Tetapi, bagaimana pula jika tidak boleh mengambil cuti panjang ? Jangan khuatir, masih ada jalan penyelesaiannya. Oleh kerana masa yang terhad, kita harus gabungkan antara kayuhan dan menaiki pengangkutan lain sebagai cara untuk berkembara basikal.

Sebagai contoh:


(a) berkayuh dari rumah - tiba di destinasi - pulang ke rumah dengan pengangkutan lain seperti bas, keretapi, kapalterbang, atau feri / bot, ATAU


(b) pergi ke lokasi permulaan kayuhan dengan pengangkutan lain - tiba di destinasi dan berkembara basikal - pulang ke rumah dengan berkayuh, ATAU


(c) pergi ke lokasi permulaan kayuhan dengan pengangkutan sendiri - mula berkayuh ke destinasi dituju - pulang ke lokasi permulaan kayuhan - pulang ke rumah dengan pengangkutan sendiri.

Seorang rakan dari grup Facebook Darul Ehsan Touring Cyclist (DET-C) bertanya, "nk (nak) bawa basikal naik kretapi (keretapi) boleh dok (tak) ?". Jawapan saya, sudah tentu boleh jika kena pada caranya. Terima kasih pada beliau, jika tidak kerana ingin menjawab soalannya sudah pasti laman sesawang saya ini akan terus bersawang (hahaha)

Berikut saya kongsikan pengalaman menggunakan perkhidmatan tren antara bandar sebagai medium pengangkutan semasa berkembara basikal. Ingin saya kategorikan ianya kepada dua jenis, iaitu:


(1) Membawa basikal bersama tren yang dinaiki, ATAU

(2) Menghantar basikal dengan khidmat kurier tren KTM Distribution (KTMD)


Membawa basikal bersama tren yang dinaiki

Ianya membawa maksud, pemilik basikal dan basikalnya menaiki tren yang sama. Iya, ianya boleh dilakukan ! Sejujurnya, saya tidak menggemari kaedah ini. Disenaraikan beberapa kelebihan dan kekurangan kaedah ini:

Kelebihan:

(a) Basikal dan pemiliknya akan sampai bersama ke destinasi yang dituju.

(b) Keadaan basikal lebih terjamin, kerana proses 'handling' nya dilakukan sendiri oleh pemilik berbanding dengan kaedah pengurusan penghantaran oleh pihak kurier.

(c) Hanya perlu membayar kos tambang pengangkutan, tidak perlu membayar cas lain (khidmat kurier). Tetapi saya terdengar desas desus ada juga rakan yang dikehendaki membayar sejumlah amaun tertentu (tidak pasti berapa kosnya) sebagai cas 'oversize baggage' kepada pegawai bertugas di dalam tren. Jika itu berlaku, jangan lupa untuk meminta resit bayaran atau jangan bayar jika mereka tidak keluarkan resit rasmi.

(d) Tidak perlu urusan yang banyak, berbanding dengan menghantar basikal menggunakan khidmat kurier tren KTMD.
 

Kelemahan:

(a) Jika anda membawa barangan seperti beg pannier, beg handlebar, beg kamera dan lain-lain lagi; membawa basikal bersama barangan tersebut akan sedikit sebanyak menyusahkan. Lebih-lebih lagi dengan rekaan platform tren (sebagai contoh, KL Sentral) dan juga rekaan dalaman tren itu sendiri yang sempit atau tidak 'mesra-basikal'. Itu belum lagi mengambil kira aspek bersesak dengan penumpang lain ketika di platform mahupun di dalam tren.

(b) Basikal atau beberapa komponen anda mungkin dicuri jika ianya tidak dikunci. Bayangkan basikal diletakkan di suatu lokasi jauh dari tempat duduk. Anda berseorangan tanpa rakan kayuhan lain untuk menjengah keadaan basikal. Terlena di dalam kesejukan penghawa dingin tren, dan tidur nyenyak tanpa menyedari yang basikal atau sebahagian dari komponennya telah dicuri individu tertentu semasa mereka ingin turun ke destinasi. Jadi, jangan lupa untuk membawa kunci !

(c) Terdapat koc tren yang mempunyai ruang legar cukup besar untuk menempatkan basikal anda. Walaubagaimanapun harus diingat ada juga tren yang tidak berkeadaan sedemikian. Basikal anda mungkin mengganggu keselesaan penumpang lain mahupun diri sendiri untuk lalu lalang.

(d) Kaedah yang kurang sesuai bagi pemilik yang tidak begitu mahir membuka dan memasang kembali basikal mereka. Antara yang perlu dibuka atau dilonggarkan ialah wheelset, pedal, handlebar, brek dan lain-lain jika perlu.

(e) Kebarangkalian untuk sesuatu komponen rosak, lari aturannya (contoh, rear derallieur), hilang atau tertinggal boleh berlaku semasa proses membuka - pasang basikal. Bayangkan tiba di suatu destinasi dan mahu memasang kembali basikal untuk dikayuhi. Anda kemudiannya menyedari yang tiang tempat duduk (seatpost) bersama tempat duduk (saddle) anda tertinggal di rumah. Ohh sadisnya ...

Penyelesaian bagi masalah (c) di atas, anda mungkin boleh membeli tiket dengan kemudahan tempat tidur dan basikal bolehlah diletakkan di bahagian lantai tren, berhampiran dengan katil anda. Walaubagaimanapun, jangan lupa untuk meminta izin andainya basikal anda mengambil sedikit ruangan di bahagian penumpang lain ( :

Perkongsian gambar berikutnya, adalah dari koleksi peribadi rakan kayuhan saya, Ah Chong (bukan nama sebenar). Semua gambar boleh di klik untuk pembesaran imej.


Gambar 1. Beg basikal, dalam keadaan masih berlipat
Gambar 2. Beg basikal dalam saiz penuh apabila dibuka. Amaran: Merokok adalah merbahaya untuk kesihatan ...
 
Gambar 3. Basikal Jamis Allegro 2X milik Ah Chong sebelum dimasukkan ke dalam beg
 
Gambar 4. Keadaan basikal Ah Chong yang tersedia untuk dimasukkan ke dalam beg. Suratkhabar atau kain boleh diselitkan untuk mengelakkan basikal dari bercalar
Gambar 5. Basikal digalas di bahu setelah dimasukkan ke dalam beg manakala tangan menjinjing beg pannier. Bayangkan keadaannya jika anda terpaksa membawa sebuah basikal beserta empat beg pannier dan sebuah beg handlebar ...
Gambar 6. Basikal yang dimasukkan ke dalam beg, dikunci untuk perlindungan dari kecurian. Ini adalah koc tren yang dilengkapi dengan katil dua tingkat


Menghantar basikal dengan khidmat kurier tren KTM

Kaedah ini adalah yang paling digemari dan kerap diamalkan oleh saya dan beberapa  rakan kayuhan rapat. Biarpun pernah mengalami beberapa situasi tidak menyenangkan, ianya tetap saya pilih sebagai cara dan medium pengangkutan untuk berkembara basikal.

Antara beberapa kelebihan dan kekurangan menggunakan kaedah ini:

Kelebihan:

(a) Menyenangkan pemilik basikal yang membawa banyak barangan. Tidak perlu untuk berasak-asak menempuh penumpang lain bersama beg basikal yang digalas beserta barangan lain yang dibawa. Hassle - less bak kata orang putih hihihi ...

(b) Tidak mengganggu keselesaan tempat duduk buat diri sendiri dan / atau penumpang lain.

(c) Tidak perlu membuka - pasang basikal untuk dileraikan bagi tujuan dibawa bersama menaiki tren.

(d) Tiada kebarangkalian untuk tertinggal sebarang komponen kerana basikal tidak perlu dibuka - pasang.

Walaubagaimanapun, tetap terdapat juga kelemahan bagi kaedah penghantaran basikal menggunakan khidmat kurier ini, seperti berikut:

Kelemahan:

(a) Kemungkinan untuk kerosakan atau kehilangan komponen basikal akibat pengurusan pihak kurier yang kurang cekap mahupun cuai. Basikal mungkin akan bercalar, rear derallieur (RD) akan lari aturannya, kehilangan komponen pada basikal (contoh: loceng, pemantul cahaya, penutup tiub, odometer kelajuan). Langkah penyelesaiannya adalah seperti membalut basikal dengan plastic wrapping atau kotak atau suratkhabar, menanggalkan komponen-komponen boleh-buka, memasang RD Protector dan sebagainya yang difikirkan perlu serta sesuai dilakukan.

*Pengalaman tidak manis:
Saddle (tempat duduk) saya yang mempunyai gel untuk keselesaan, bocor akibat individu tidak bertanggungjawab membuang puntung rokok lalu terkena pada getahnya mengakibatkan ianya berlubang dan gelnya terkeluar. Aishhh sabor ajelah ...



Gambar 7. RD Protector boleh dipasang untuk melindungi gear basikal anda ketika ianya dihantar menggunakan khidmat kurier tren KTMD. Gambar ihsan dari www.acorsport.com


(b) Basikal mungkin lambat sampai atau tidak sampai langsung di destinasi. Saya secara peribadinya pernah mengalami situasi basikal yang dikirimkan ke lokasi Kuala Krai, Kelantan tidak tiba. Ketika itu saya dan teman kayuhan tiada pilihan selain meneruskan perjalanan kerana cuti telah diambil dan kami melakukannya dengan bermotorsikal. Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan. OK, kita lupakan sejenak kisah lalu !

Apabila ini berlaku, jangan takut untuk meminta pulangan wang kos penghantaran dari pejabat kurier KTMD tempat kita menghantar basikal. Pihak pengurusan kadangkala mungkin tidak mahu membayar semula (refund) kepada anda kerana prosesnya menyulitkan urusan mereka. Gertak dengan lembut mengatakan yang anda akan melaporkan kes ini kepada Tribunal Pengguna dan insyaAllah mereka akan mengembalikan wang anda. Ini cuma pengalaman peribadi saya untuk dikongsikan bersama.


Gambar 8. Akibat basikal yang dikurierkan tidak tiba di destinasi permulaan kayuhan, perjalanan bertukar menjadi kembara bermotorsikal pula. Kenangan Julai 2011.


(c) Harus berurusan dengan dua pihak dan dua lokasi, iaitu dari saat menghantar basikal untuk dikurierkan mahupun mengambil basikal di destinasi yang ditujui.

Tips:

- jangan hilangkan resit atau slip anda ! 

- nama dan nombor kad pengenalan tercatat pada slip atau resit mestilah sama dengan pemilik atau rakan yang ingin mengambil basikal tersebut di destinasi dituju. Jika anda ingin meminta rakan mengambil basikal di destinasi dituju, pastikan tiada kesalahan mengisi borang pada ruangan nama dan nombor kad pengenalan penerima.


Gambar 9. Nota konsaimen (consignment note) bagi tujuan penghantaran dan penerimaan basikal ataupun kargo lain



(d) Kita tertakluk kepada waktu operasi pejabat penghantaran, samada untuk menghantar mahupun menerima. Sesetengah pejabat tidak beroperasi pada hari Jumaat, dan sesetengah pejabat beroperasi pada hari Ahad bergantung pada di negeri di mana ianya terletak.

Tips:

-  Periksa dalam laman web KTMD atau hubungi stesyen keretapi di lokasi pengiriman dan penerimaan basikal anda untuk mengetahui hari dan waktu operasi.

- periksa jadual cuti umum bagi negeri di lokasi penghantaran mahupun penerimaan. Begitu juga dengan jadual cuti pihak KTMD.


Gambar 10. Mengetahui hari dan waktu operasi pusat kurier akan banyak membantu anda


(e) Basikal tiba awal di destinasi penerimaan. Bagi saya, ia seharusnya tidak menjadi satu masalah malahan sangat menyenangkan hati. Mengikut KTMD, saya dimaklumkan basikal yang dihantar akan sampai dari tiga hari mulai hari kita menyerahkan basikal tersebut di pejabat penghantaran. Walaubagaimanapun kadangkala mungkin akibat ketidaksesakan kargo, basikal kita akan sampai pada keesokan harinya.

Saya kemudiannya dihubungi oleh pegawai bertugas di pejabat penerimaan negeri sebelah utara semenanjung (tidak ingin menyebut stesyen mana) mengatakan basikal telah selamat tiba. Fuhhh, lega dan seronok rasanya ... Tetapi perasaan gembira itu tidak lama setelah pemanggil mengatakan akan mengenakan bayaran penyimpanan yang dikira mulai dari hari ianya diterima. Setahu saya, tiada hitam dan putih mengatakan terdapatnya kos penyimpanan barang. Setelah kami tiba di stesyen tersebut untuk mengambil basikal, proses penerimaan berjalan seperti biasa dan tiada bayaran kos penyimpanan dikenakan. Hmm, entahlah ...

(f) Pejabat penghantaran dan penerimaan hanya terdapat di beberapa stesyen sahaja. Tidak semua stesyen atau lokasi mempunyai pejabat operasi kurier KTMD. Pastikan laluan anda mahupun destinasi permulaan atau pengakhiran kayuhan berhampiran dengan pejabat kurier KTMD yang anda ingin gunakan perkhidmatannya.


Gambar 11. Cawangan kurier KTMD mengikut zon. Info kemaskini sehingga Feb. 2013.


(f) Bukan semua pejabat penghantaran / penerimaan kurier KTMD berada di stesyen keretapi itu sendiri. Saya ambil sebagai contoh, pejabat KTMD Arau, Perlis. Oleh itu pastikan lokasi penginapan anda berhampiran atau terdapat kemudahan pengangkutan awam untuk kembali ke lokasi penginapan setelah anda menghantar basikal untuk dikurierkan. Alternatif lain, minta khidmat rakan anda untuk membantu menghantar anda pulang ke tempat penginapan.



Gambar 12. Pejabat KTMD Arau, Perlis yang terletak di berjauhan dari stesyen keretapi. Dua individu dalam gambar ini banyak membantu saya dan rakan kayuhan sewaktu kami berada di Kangar dan Arau.


(g) Pelekat penanda basikal yang ditampal meninggalkan kesan pada tempat duduk. Bagi saya ianya bukanlah satu masalah, tetapi mungkin tidak pada segelintir yang lain.



Gambar 13. Pelekat untuk menandakan nombor konsaimen (consigment) dan destinasi penghantaran

Gambar 14. Biarkan sahaja pelekat itu, ia akan tertanggal dengan sendirinya apabila diduduki. Gambar dari pengalaman tahun 2010 yang lalu.


Demikian sahajalah panduan dan tip yang dapat saya kongsikan untuk rakan-rakan kayuhan kembara sekalian. Andai ada yang terlepas pandang, tersalah info, ada pembaharuan ataupun penambahan info untuk dikongsi bersama, diharap dapat diinfokan kepada email saya di azizanzolkipli@gmail.com. Terima kasih  ( :

22 July 2013

Reviu buku: Pedalling Around The Peninsula

Tajuk buku: Pedalling Around The Peninsula.

Penulis: Sandra Loh Sook Peng (Sandra Loh).

Penerbitan: MPH Publishing.

Katalog Data Penerbitan Perpustakaan Negara Malaysia:

Loh, Sandra
Pedalling around the Peninsula: a Malaysian girl’s two-wheeled adventures / Sandra Loh
ISBN 978-967-5997-82-2
     1. Cyclists – Malaysia – Biography.
     2. Bicyce touring – Malaysia.
     3. Voyages and travels.
     4. Malaysia – Description and travel
     Title
796.6091000

Bahasa pengantar: Bahasa Inggeris.

Jenis buku: Kulit lembut.

Harga: RM 39.90

Penulisan: Catatan pengalaman, penulisan diselang selikan dengan gambar dan info ringkas tentang lokasi yang disinggahi.

Mukasurat: 349 helai, tidak termasuk bahagian kandungan, penghargaan dan pengenalan.

Reviu asas:

Buku ini menceritakan pengalaman berkembara basikal dua orang rakyat Malaysia yang menunggang dua buah basikal, menjejaki empat penjuru semenanjung Malaysia sejauh 2664 kilometer selama 37 hari. Didalam perjalanan itu mereka juga sempat memasuki negara jiran ke Thailand tidak jauh dari Padang Besar dan Betong; Indonesia di Pulau Karimun Besar dan dari situ terus ke Singapura.

Penceritaan dibahagikan kepada 10 bab; iaitu bab pertama perjalanan dari Pulau Langkawi ke Pulau Pinang, bab kedua dari Pulau Pinang ke Teluk Intan, bab ketiga dari Teluk Intan ke Port Dickson, bab keempat dari Port Dickson ke Pontian Kechil, bab kelima dari Pontian Kechil ke Kota tinggi, bab keenam dari Kota Tinggi ke Kuala Rompin, bab ketujuh dari Kuala Rompin ke Kuala Terengganu, bab kelapan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, bab kesembilan dari Kota Bharu memasuki Thailand di Betong dan bab terakhir iaitu kesepuluh dari Betong dan berakhir di Pulau Langkawi.

Catatan perjalanan dibuat secara harian; didahulukan dengan jumlah hari, laluan, tarikh serta jarak perjalanan dan masa perjalanan. Contoh:

Day 22: Mersing – Air Papan – Padang Endau – Kuala Rompin.
Date: March 24th, 2009.
Distance travelled: 79 km 
Time taken: 4 hours 50 minutes


Reviu Peribadi:

Catatan pengalaman ini menarik; pembaca, lebih-lebih lagi yang meminati aktiviti berkembara basikal, seolah-olah dibawa ke dunia Sandra ketika saat mereka berdua berbasikal melalui penceritaannya yang terperinci.

Plot penceritaan yang tidak mendatar, melalui naik – turun roda kehidupan; pembaca akan dapat menyelami perasaan mereka berdua ketika gembira – sedih, hujan – panas - redup, bertenaga – penat, kelaparan – kekenyangan, mengantuk – cukup tidur, mandi – tidak mandi, laluan landai – laluan berbukit. 

Perkongsian lokasi menarik, tempat makan – minum mahupun menu menerusi penceritaan dan gambar. 

Pembaca akan mengetahui bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian ketika berkembara berbasikal seperti memilih laluan, berhenti untuk berehat, mencari tempat untuk bermalam, memilih tempat untuk makan-minum, menyimpan basikal dan barangan ketika bermalam, mencuci pakaian, meneruskan perjalanan dalam keadaan hujan atau gelap (malam),

Sepanjang perjalanan, mula wujud karekter tertentu yang menarik bagi kedua-dua watak. Mereka saling melengkapi sesama sendiri di dalam perjalanan ini dengan masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tertentu.

Saya meminati karekter encik Mak Shiau Meng yang pelbagai mengikut perspektif Sandra selama berkembara basikal bersamanya 

Antara kisah menarik pada kedua-dua karakter:

Sandra 

- tidak fasih berbahasa Mandarin
They offered us some warm water, and while he chatted with them in Mandarin, I just smiled and nodded whenever they pointed at me, trying to act as though I understood. Actually, I had no clue what they were saying ! …” (mukasurat 39, perenggan 2, baris 2)

- Menggelarkan Mak dengan pelbagai gelaran.

- Kurang gemar mencuba makanan – minuman yang belum pernah dijumpai:
The peculiar name of ‘Kakak coffee’ made Mak curious about their house drink: coffee mixed with barley. I cringed at what I thought was a weird-tasting brew. When he took a sip, Mak said it was surprisingly good ! He offered me some but I declined, still skeptical about the combination …” (Mukasurat 52, perenggan 2, baris 1)

Mak

- Tidak pandai memakan ikan goreng:
“I found out that this was the second time Mak had eaten fried fish. The first time was last night’s dinner when Cheah ordered deep fried fish with soya sauce. He didn’t know how to eat fried fish before ! Did he know what he’d been missing ?” (mukasurat 26, perenggan 2, baris 1)

- Suka mandi, walaupun belum tiba ke destinasi yang dituju:
While waiting for our lunch, Mak went to look for the bathroom and he came back, excited to find a huge barrel of clean water to shower with. He asked whether I wanted one too but I declined. I’d rather wait until we reached our destination tonight for a good cold shower. I watched him take out all his bath – things from his pannier. What’s the point in showering when you’ll start sweating again once you’re back on the bike ? Still, if it made him happy …” (Mukasurat 41, perenggan 1, baris 2)

- Berkebolehan bertutur pelbagai dialek bahasa Cina:
Mak took the liberty of ordering for us. One good thing about his ability to speak most of the Chinese dialects: I get to order food through him …” (Mukasurat 48, perenggan 1, baris 1) 

- Suka mencuba makanan – minuman yang belum pernah dijumpai:
The peculiar name of ‘Kakak coffee’ made Mak curious about their house drink: coffee mixed with barley. I cringed at what I thought was a weird-tasting brew. When he took a sip, Mak said it was surprisingly good ! He offered me some but I declined, still skeptical about the combination …” (Mukasurat 52, perenggan 2, baris 1)

Selain itu, diselitkan sekali beberapa panduan berguna, antara perkara menarik yang dikongsikan:

Mak taught me how to read the route numbers next to the name of a place on the signboards. If we were following Kangar and the route number next to it was ‘7’, then we would need to follow route number seven …” (mukasurat 3, perenggan 4, baris 3).

When we were in Langkawi, Mak said that for the first few days of our tour, we need to take it easy and not chalk up too many kilometers, to let our bodies get used to our bicycle and cycling for long hours …” (mukasurat 10, perenggan 6, baris 1)

Mengikat tali kasut pada bahagian basikal sebagai motivasi diri.
While bringing our bicycles to the lift, Mak stopped me. He fished out a pair of colourful smiley-patterned shoelaces and started tying them to our bicycles’ stem. While doing short bike tours to Thailand with Ramly, he always tied something to their bicycles for encouragement and support. (Mukasurat 37, perenggan 4, baris 1)

Ada banyak lagi perkara mahupun pengetahuan menarik disajikan di dalam buku Pedalling Around The Peninsula yang tidak mahu saya ulaskan keseluruhannya di sini, jadi anda perlu membacanya sendiri tidak kiralah samada membeli ataupun meminjamnya.

Secara keseluruhannya, pada harga jualan RM 39.90 saya merasakan ianya amat berbaloi untuk dimiliki. Ianya akan menjadi semakin berharga jika anda berjaya mendapatkan autograf penulis buku ini, seperti saya ketika menghadiri majlis pelancarannya suatu masa dahulu. Klik sini diikuti sini untuk membaca pengalaman saya dijemput menghadiri majlis pelancaran buku Sandra.