ADS

14 January 2013

Kayuhan Dua Wak: Hari 1, Bahagian 1

Mana perginya cerita Kayuhan NJ ? Pastinya pembaca yang mengikuti siri kayuhan tersebut akan tertanya-tanya. Hasrat saya pada mulanya ialah untuk menghabiskan satu persatu penceritaan kayuhan sebelum memulakan penceritaan kisah kayuhan yang lain. Memandangkan semakin banyak kayuhan yang telah dilakukan, berkemungkinan jika dibiarkan lama pengalaman itu mungkin saya akan terlupa.

Jadi saya mengambil pendekatan untuk berkongsikan pengalaman kayuhan yang telah dilalui ini secara 'selari' (parallel), tidak secara 'sesiri' (series) seperti mana yang telah dilakukan sebelum ini. 'Selari' dalam konteks blog saya ini bermaksud tidak perlu menunggu sehingga selesai penceritaan sesuatu kayuhan sebelum memulakan kisah kayuhan yang selanjutnya. Ehhh, dah semacam belajar subjek elektrikal / elektronik pula ada litar sesiri - selari ni hehehe ...

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan atau rujukan lanjut. Pembesaran imej boleh dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar yang terdapat di sini.


Kayuhan Dua Wak

Kenapa diberikan nama kayuhan sebegini ? Jawapannya mudah sahaja; kerana terdapat dua 'Wak' yang menyertainya. Saya yang digelar sebagai 'Wakjan' oleh rakan-rakan rekreasi luar (outdoor), turut disertai oleh 'Wak Bundle' atau nama sebenarnya Abdul Rahim Mahmudin (selepas ini akan ditulis sebagai Wak) dan isterinya Norazridza Ahmad Zahri atau lebih dikenali sebagai Ija Zahri (selepas ini akan ditulis sebagai kak Ija).

Sejujurnya, sebelum kayuhan ini saya tidak pernah bertemu mereka secara realiti dan hanya berinteraksi di laman sosial Facebook. Segalanya bermula apabila kak Ija hendak mempromosikan penjualan dry bag dan jaket terpakai (bundle) milik Wak di group Facebook kelab OGKL (Orang Gunung Kuala Lumpur). Dari situlah saya dan kak Ija mula berkawan. Mungkin setelah melihat album gambar aktiviti berbasikal yang saya muatnaikkan di Facebook, mereka kemudiannya membeli dua buah basikal dan melengkapinya dengan bag pannier buatan sendiri. Untuk info, pasangan ini adalah penggiat aktiviti kembara motorsikal berkuasa tinggi dan pernah mengembara ke beberapa negara Asia Tenggara.


Gambar 1. Peta menuju ke rumah Wak & kak Ija


Ahad, 11hb Dis 2011

Shah Alam - Taman Perepat Indah

Setelah memastikan segala kelengkapan yang hendak dibawa telah diletakkan di dalam beg pannier basikal, saya meninggalkan seksyen 24 Shah Alam dan berkayuh menuju ke Taman Perepat Indah di mukim Sementa. Perjalanan sejauh lebih kurang dua puluh dua kilometer itu memakan masa sejam. Apabila saya sampai, keduanya telah bersedia dengan basikal masing-masing. Setelah saling bersalaman dan mengenalkan diri, saya mengambil sedikit masa untuk membelek basikal mereka.


Gambar 2. Basikal saya beserta beg pannier dan sebuah khemah
 
Gambar 3. Ramai pula yang melangsungkan perkahwinan pada tarikh 11.12.2011

Gambar 4. Basikal pasangan Wak & kak Ija (kiri dan tengah) bersama basikal saya (kanan)

Gambar 5. Basikal pasangan Wak - kak Ija masih mengekalkan komponen asal

Gambar 6. Wak dan kak Ija beraksi sebelum memulakan kayuhan


Taman Perepat Indah - Kampung Tambak Jawa

Setelah memastikan kesemua barangan keperluan telah dibawa, kami bertiga meninggalkan perkarangan rumah pasangan ini tepat pada jam 1600 petang. Dari jalan kampung, kami kemudiannya menembusi ke arah Jalan Keretapi Lama. Untuk info, nama jalan tersebut turut merujuk pada wujudnya satu landasan keretapi yang menghubungkan antara Kuala Selangor dengan Kelang. Saya tidak pernah lagi menjumpai sebarang dokumen atau artikel yang menceritakan tentang sejarahnya, tetapi melihat pada kelurusan jalan tersebut memang logiklah jika ianya pernah satu masa dahulu menjadi laluan lokomotif. Ianya diperkuatkan lagi dengan mendengar cerita lisan dari beberapa individu tentang kewujudannya.


Gambar 7. Wak dan kak Ija bersama papantanda Jalan Keretapi Lama

Gambar 8. Saya turut bergambar kenangan bersama Wak di papantanda Jalan Keretapi Lama

Gambar 9. Basikal saya pun hendak bergambar kenangan juga !


Jalan Keretapi Lama ditemukan dengan Jalan Kapar atau lebih tepat Jalan Persekutuan no. 5 di penghujungnya. Kami tiada alternatif, harus melalui jalan dua lorong yang sibuk dan mempunyai bahu jalan yang sempit ini. Sekali sekala apabila kenderaan besar dan panjang melaluinya, kami seakan terhoyong hayang akibat angin yang dibawa oleh kenderaan itu. Jika tidak dapat mengawal basikal dengan baik, pastinya kami akan terjatuh dan ini boleh mendatangkan kecelakaan.

Kami meninggalkan daerah Klang dan mula memasuki daerah Kuala Selangor. Ini dimaklumi dengan melihat sebuah papantanda di tepi jalan. Kami berhenti sebentar untuk bergambar kenangan sebelum menyambung kayuhan dan kemudiannya sekali lagi berhenti apabila melihat sebuah lagi binaan aluan selamat  sejahtera ( :


Gambar 10. Daerah Kelang ditinggalkan, daerah Kuala Selangor dimasuki

Gambar 11. Ucapan selamat sejahtera dari pelawat Kampung Tambak Jawa

Gambar 12. Bahu jalan yang sempit Tiada bahu jalan di Jalan Persekutuan No. 5



Sungai Janggut - Pantai Remis, Jeram

Selepas melepasi sebuah jambatan, Wak tiba-tiba membelok ke kiri, dimana terdapat sebuah papantanda bertulis Jalan Pantai Sungai Janggut. Beliau mengambil jalan alternatif ini kerana hendak menyelidik jalan dalam, selain berobjektifkan untuk lari dari risiko melalui Jalan Persekutuan No. 5 yang membahayakan penunggang basikal seperti kami.


Gambar 13. Menyusur masuk ke Jalan Pantai Sungai Janggut dari Jalan Persekutuan No. 5


Laluan di sini tenang, dengan pemandangan kebun-kebun di sekitarnya. Yang penting, aliran trafik yang sangat kurang membolehkan kami berkayuh beriringan. Melepasi jalan lurus yang terdapat kebun kebun di kiri dan kanan jalan, kami tiba di satu persimpangan tiga. Kami membelok ke kiri, selepas beberapa ratus meter terjumpa sebuah kolam pancing dan tempat para nelayan melabuhkan bot-bot mereka. Tempat itu bernama Kampung Sungai Sembilang, Jeram.


Gambar 15. Aliran trafik yang sangat kurang, membolehkan kami berkayuh ala 'lengang - lengang kangkung'

Gambar 16. Parkir bot-bot nelayan Kampung Sungai Sembilang

Gambar 17. Bangunan 'Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan' Jabatan Perikanan Negeri Selangor kawasan Kampung Sungai Sembilang

Gambar 18. Kak Ija berlatarbelakangkan kunci air Kampung Sungai Sembilang, Jeram.

Gambar 19. Wak berinteraksi dengan kanak-kanak tempatan


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ...

No comments: