Nota:
Tulisan
berwarna biru boleh diklik untuk bacaan atau
rujukan lanjut. Pembesaran imej boleh dilakukan dengan cara klik pada setiap
gambar. Artikel sebelumnya boleh dibaca di sini.
Kampung Sungai Sembilang
Di
Kampung Sungai Sembilang, kami berhenti seketika di kunci air untuk melihat
lokasi para nelayan melabuhkan bot-bot perikanan mereka. Terdapat sebuah
papantanda yang memberitahu kami wujudnya sebuah persatuan nelayan di situ.
Sedang kami berehat, terlihat seorang kanak-kanak perempuan berbasikal kearah
kami. Wak Rahim sempat mengusik budak tersebut dengan mengajukan beberapa soalan
hingga menjadikan kanak-kanak tersebut tersipu malu.
Dari kunci air, perjalanan diteruskan dan tidak
sampai empat ratus meter di hadapan, kami tiba di sebuah simpang tiga lalu
membelok kearah kiri. Laluan terus itu membawa kami ke sebuah kawasan pantai
berpasir. Air Selat Melaka dalam keadaan pasang (high tide) tetapi
tenang pada ketika itu, menimbulkan suasana yang sungguh mendamaikan. Air
pasang menyembunyikan keadaan pantai yang sebahagian besarnya berlumpur, yang
mana ianya menjadi habitat kepada beberapa jenis haiwan cengkerang. Kawasan
berlumpur ini terdapat dari kawasan selatan Selangor (Morib) membawa ke arah
utara Selangor (Sabak Bernam) dan menjadi punca rezeki pencari-pencari haiwan
cengkerang seperti kerang, mentarang, lala, remis, lokan, kepah, pepahat dan
juga belangkas.
Banyak pengunjung
melakukan aktiviti masing-masing; ada yang berkelah, memancing, bermain
layang-layang, berkhemah, mandi laut dan berBBQ. Paling tidak pun, cuma
bersantai bersama yang tersayang. Dari kawasan Sungai Sembilang, kami
berbasikal di laluan berpasir pantai itu menghala kearah utara. Laluan berpasir
menyukarkan kayuhan kami, dimana jika tersalah haluan akan menyebabkan tayar
kami tenggelam di dalam pasir atau membuatkan roda hadapan hilang imbangan.
Pandangan mata kami bertiga, terarah kepada sebatang pokok tunggal di tepi
pantai. Kami berhenti di situ serentak, mungkin minda kami bersetuju yang pokok
ini cantik untuk sesi fotografi. Wak meluru laju kearah pokok itu, sambil
bergaya dengan aksinya tersendiri dan meminta gambarnya diambil. Tidak mengapa,
model ini tidak mengenakan sebarang bayaran, getus saya dalam hati (hehehe
…)
Gambar 1. Air pasang yang tenang, memberikan mood kedamaian |
Gambar 2. Berlatarbelakangkan aktiviti pengunjung yang pelbagai |
Gambar 3. Model |
Gambar 4. Basikal saya, dan air pasang Selat Melaka |
Kami meneruskan
perjalanan setelah selesai berfotografi. Laluan yang kami lalui hanyalah sebuah
lorong di hujung sebelah atas pantai dan bersempadankan dengan deretan pokok.
Kadangkala, kami atau kenderaan lain terpaksa beralah ke tepi apabila salah
satu dari kami berada di laluan tersebut. Laluan berpasir itu tamat apabila
kami berada di sebuah restoran makanan laut. Kami berhenti bergambar di
papantanda restoran itu. Jika tadi kami memasuki pantai itu dari arah Sungai
Sembilang, kini kami telah berada di kawasan yang dinamakan Pantai Remis.
Gambar 5. Memasuki laluan berpasir ke Pantai Remis |
Gambar 6. Restoran makanan laut yang menjadi tumpuan pengunjung di Pantai Remis |
Pantai Remis
Keadaan lebih
meriah di kawasan Pantai Remis berbanding kawasan pantai di Sungai Sembilang,
mungkin kerana adanya kemudahan infrastruktur yang lebih teratur. Terdapat
ramai peniaga menjual haiwan kerangan dan ikan segar, tidak ketinggalan gerai
dan penjaja bergerak yang menjual makanan serta minuman. Kemudahan yang disediakan
di sini ialah pondok rehat, tandas awam, kawasan letak kereta yang luas dan
juga medan
selera.
Kami
meninggalkan kemeriahan ini dengan menerokai kawasan utara Pantai Remis pula.
Keadaannya sama seperti di bahagian selatan dan tengah pantai ini, dimana
aktiviti yang sama dilakukan cuma bilangan pengunjungnya agak kurang.
Laluan
berpasir dan bertanah tamat di satu persimpangan, yang kemudian memaksa kami
menukar haluan mengikuti laluan bertar pula. Laluan bertar itu membawa kami ke
satu kawasan yang mempunyai persekitaran kawasan kebun, paya nipah, dan sebuah
kolam perikanan yang kami tidak pasti apakah aktiviti yang diusahakan di situ
samada menternak ikan ataupun udang. Melepasi kolam perikanan, kami melalui
satu laluan lurus yang membawa kami di sebuah restoran makanan laut, sedang
direnovasi untuk diperbesarkan. Tidak jauh dari situ, sebuah medan selera yang rasminya dikenali sebagai
Medan Ikan Bakar Pantai Jeram.
Gambar 7. Sebuah rumah yang tidak berpenghuni |
Gambar 08. Berlatarbelakangkan
jeti perikanan dan Medan Ikan Bakar Pantai Jeram.
|
Jeram
Kami menjumpai sebuah laluan tanah merah di
hujung kawasan meletak kereta medan
ikan bakar tersebut, tetapi mengambil keputusan untuk tidak melalui laluan itu
dan sebaliknya melalui laluan bertar memasuki kawasan kampung. Kawasan kampung
yang aman damai, dengan keadaan trafik yang lengang amat menyenangkan kami.
Kawasan penempatan dan ladang kecil kelapa sawit dilepasi, dan tanpa disangka
ternampaklah sebuah tanah tinggi di sebelah kanan kami. Kami bertiga merasa
takjub dengan penemuan itu. Masakan tidak, dari Kapar hingga ke Jeram semua
kawasan yang kami lalui hanyalah tanah rendah landai dan tiba-tiba, satu bukit
tunggal wujud di situ.
Gambar 09. Sebuah bukit berhutan di penjuru hujung ladang kelapa sawit |
Gambar 10. Wak
Rahim, berlatarbelakangkan sebuah bukit
|
Perjalanan kami
diteruskan dengan melalui sebuah kawasan taman perumahan. Ternampak oleh kami
seorang makcik berada di laman seberang jalan rumahnya. Wak Rahim memberikan
salam, dan mula bertanyakan kepadanya tentang sejarah bukit itu. Perbualan
menjadi semakin rancak apabila beliau menjemput kami bertiga duduk di sebuah
meja simen berpayung. Saya mendengar perbualannya sambil berselang seli berfotografi.
Dari apa katanya, bukit itu bernama Bukit Jeram dan pernah mempunyai penempatan
suatu ketika dulu. Terdapat juga sebuah perigi yang dikatakan tidak pernah
kering walaupun pada musim kemarau, cuma keadaan persekitarannya yang kini
semak menyukarkan pengunjung untuk mencari lokasinya.
Menurut
makcik itu lagi, suatu masa dahulu pekan kecil Jeram ini pernah didatangi oleh
kumpulan sarkis yang mempunyai seekor harimau untuk dipertontonkan kepada
pengunjung. Ngauman seekor harimau tidak diketahui yang datang dari arah Bukit
Jeram telah membuatkan harimau sarkis itu menjadi takut lalu tidak mahu membuat
persembahan. Mungkinkan itu amaran keras dari seekor harimau yang tinggal di
Bukit Jeram itu ? Entah benar entahkan tidak, kami bertiga mendengar cerita
tersebut dengan seribu tanda tanya.
Gambar 11. Wak Rahim mendengar cerita makcik itu dengan sepenuh perhatian |
Gambar 12. Di
sebalik semak inilah dikatakan terdapat sebuah perigi lama.
|
Gambar 13.
Makcik, Wak Rahim, kak Ija dan ketiga-tiga basikal kami
|
Gambar 14. Makcik
menceritakan kisah lama dengan penuh kesungguhan
|
Puas mendengar kisah dari makcik itu, kami
meminta izin untuk beredar. Ini adalah kerana kami juga turut mengejar masa
bagi menikmati pemandangan matahari terbenam di atas puncak Bukit Malawati,
Kuala Selangor. Jalan di hadapan rumah makcik itu akan membawa kami terus ke
jalan besar, sebaliknya kami memilih untuk melalui jalan dalam di antara
kawasan perumahan tersebut bagi menjelajahi dan mengetahui di manakah
penghujungnya laluan dalam tersebut. Ketika melalui jalan dalam tersebut,
kami bertiga melihat sebuah rumah yang mempunyai rekabentuk bumbung yang unik,
bersegitiga hampir menyerupai rumah Minangkabau di Negeri Sembilan.
Gambar 15. Sebuah
rumah dengan rekabentuk bumbung yang unik
|
B E R S A M B U N G ...
Nota:
Motivasikan penulis untuk terus berkarya bagi berkongsikan pengalamannya dengan cara klik pada iklan di artikel ini. Penulis mengucapkan setinggi - tinggi terima kasih pada anda yang telah berbuat demikian ( :