ADS

14 January 2011

Slowly2 Go Down: Hari Kedua

06.11.2010, Sabtu

Tepat jam 0000 tengah malam, semua kenderaan dibenarkan memasuki feri dimulai dengan kereta / lori dan diakhiri motorsikal / basikal. Oleh kerana tidak ramai penumpang, feri dengan segera meninggalkan terminal Pengkalan Raja Tun Uda Pulau Pinang menuju terminal Pengkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth. Lebih kurang 17 minit kemudian, feri sampai di Butterworth. Kami membiarkan kenderaan lain beredar terlebih dahulu dan menjadi penumpang yang terakhir meninggalkan feri.


 
jam 1217: Kami antara yang terakhir meninggalkan ruangan feri pada malam itu


Sampai di Hotel Apollo yang terletak di jalan Kampung Benggali, Butterworth. Kami check - in di bilik yang sama ketika Muzammil, Subki dan saya berada di Butterworth sehari sebelum kayuhan kami bermula secara rasmi. Kami dikenakan bayaran RM70, beserta satu tilam tambahan. Dengan pertambahan dua buah lagi basikal, berbanding ketika hari kami mula menginap di situ. Basikal terpaksa diletakkan di bahagian belakang kaunter penerimaan hotel. Mujurlah apek yang menjaga hotel pada malam tersebut sporting, kami berterima kasih pada beliau yang membenarkan kami meletakkan basikal di situ. Kami naik ke atas bilik, merapatkan ketiga - tiga katil dan meletakkan satu tilam tambahan di bawah. Masing - masing kemudiannya menggunakan bilik mandi untuk membersihkan badan seorang demi seorang. 

Oleh kerana saya dan Muzammil belum lagi makan malam, kami kemudiannya keluar ke kedai makan berhampiran. Kami mencuba nasi kandar 'beca biru' yang terletak lebih kurang 400 meter berjalan kaki dari hotel. Ianya kami gelarkan begitu kerana peniaga ini meniaga nasi kandar serta rojak dengan menggunakan beca roda tiga yang diwarnakan kesemuanya dengan warna biru. Pengunjung mengambil makanan di beca tersebut, dan boleh makan di mana - mana meja yang disediakan samada di kawasan terbuka ataupun berbumbung. Untuk memesan air pula, terdapat sebuah gerai minuman berhampiran. Konsep 1 Malaysia sebenar melalui makanan boleh diperhatikan di sini dimana pelanggannya adalah berbilang bangsa. Selesai menikmati dan membayar hidangan, kami ke kedai 24 jam berhampiran untuk membeli air mineral dan terus pulang ke hotel untuk berehat. Ada yang sedang tidur dan ada yang sedang menonton televisyen ketika kami berdua pulang ke bilik ...

Ohh ya, jarak kayuhan hari pertama kami berjumlah 95 kilometer ...

Pagi Sabtu itu, ada yang bangun awal malahan ada juga yang bangun lewat, mungkin kerana kepenatan berkayuh secara overtime malam tadi hehehe ... Setelah bersiap - siap, kami turun ke bawah, memulangkan kunci bilik dan mengambil basikal. Masing - masing memasang beg pannier di hadapan pintu masuk utama hotel. Lebih kurang jam 0910 pagi, kami meninggalkan hotel Apollo untuk mencari sebuah kedai basikal yang dikatakan menjual basikal - basikal terpakai dari Jepun. Masalahnya, kami tidak mengetahui nama kedai basikal tersebut apatahlagi lokasinya. Hanya panduan lisan semasa Muzammil dan saya berbual dengan seorang apek pemilik basikal merah ketika dalam perjalanan menaiki feri di hari sebelum kayuhan rasmi bermula.


jam 0903: Zulhabri tidak sabar untuk memulakan kayuhan di hari kedua


Dari jalan Bagan Luar, kami memasuki jalan Telaga Air sebelum membelok ke arah jalan Raja Uda, dimana seperti yang dikatakan oleh apek tersebut. Dalam pada mencari kedai basikal tersebut, perut kami sudah mula berkeroncong kerana belum bersarapan pagi. Ketika melintasi satu deretan rumah kedai, ternampak sebuah restoran mamak yang difikirkan sesuai untuk kami meletakkan basikal. Tanpa berlengah semua ke situ dan meletakkan basikal betul - betul di hadapan restoran tersebut. Tetapi tidaklah sampai menghalang laluan pelanggan restoran : )


 jam 0927: Berhenti untuk bersarapan di Restoran Nasi Kandar Salam


 Abang tukang tebar roti canai tolong tengokkan keselamatan basikal kami : )


 Roti helikopter pun ada ? Ishhh, tak terbang ke nanti ??


 Kira OK lah kot, sarapan pagi dengan nasi kandar hehehe ...


Selesai memuaskan nafsu makan,  masing - masing membayar harga makanan dan minuman lalu kami meninggalkan restoran tersebut menghala terus di jalan Raja Uda. Dalam perjalanan, ternampak beberapa kedai basikal di sebelah kiri dan kanan jalan. Sampai di satu persimpangan dan merasakan telah jauh berkayuh serta seakan tiada lagi kedai basikal di hadapan, kami memutuskan untuk berpatah balik dan kembali ke sebuah kedai basikal. Di sini, satu perkara lucu berlaku. Subki tiba - tiba terjatuh dan menghempap basikal Muzammil, berpunca dari kelewatan beliau mengeluarkan kaki dari pedal jenis sarungnya (straps). "Takkan baru pekena nasi kandar dah lalok kot", kata Muzammil yang diakhiri dengan gelak tawa kami berlima hahaha ... 

Telahan awal kami benar belaka. Dengan himpunan banyak basikal - basikal terpakai dari Jepun yang diletakkan di tepi jalan, tidak syak lagi kedai basikal Eng Hong itulah yang kami cari ! Semasa kami sampai, terdapat sebuah mountain bike berjenama Ferrari dan sebuah basikal touring eksotik berjenama Torini Lamborghini sedang diservis. Masing - masing sudah menjadi tidak tentu arah ketika berada di sini, ada juga yang berkira - kira untuk menggunakan kad gores dan bayar (kad kredit) untuk membeli basikal dibawa pulang. Tetapi masalah logistik (dan mungkin kewangan) membantutkan hasrat beberapa orang antara kami. Jangan risau, kita dah tahu kedai ini kemudian boleh datang kembali, bisik saya untuk menyedapkan hati ...


 jam 1025: Berjaya menemukan kedai basikal yang dicari. Basikal Bridgestone Muzammil & saya akhirnya dapat bertemu rakan - rakan senegaranya. Haittt ...


 Basikal berjenama barangan elektrik dan tayar : )


Pemandangan bahagian hadapan kedai basikal Eng Hong


Ferrari pun ada basikal ooo !!


 Lamborghini pun keluarkan basikal juga, tapi Torino Lamborghini lah ...


2 buah basikal posmen dari Jepun turut dijual


 Roadbike model lama, brand new ...


 Datang jauh2, beli tongkat tengah je ? Tongkat yang dihadiahkan percuma oleh tauke kedai basikal Eng Hong kepada Ah Chong. Terima kasih banyak2 aaa tauke !! Sebab Ah Chong ada chinese look kot hihihi ...


 Pertama kali lihat basikal guna shaft. Ingatkan motorsikal aje yang guna sistem shaft


 Dari atas kiri ikut pusingan jam: basikal Muzammil, Subki, Ah Chong & Zulhabri 


 Kekreatifan basikal kanak - kanak yang singgah di kedai basikal Eng Hong

Waktu menunjukkan jam 1100, selepas menghabiskan masa lebih kurang 40 minit kami meninggalkan kedai yang menarik ini dengan hati yang berat. Kami menyusuri jalan Raja Uda, memasuki jalan Siram, membelok ke jalan Heng Choon Thian, melalui jalan Bagan Luar dan kemudian ke jalan Chain Ferry. Sebenarnya kami boleh memasuki jalan Sungai Nyior untuk terus ke jalan Chain Ferry. Tetapi memandangkan objektif utama kami ialah untuk melalui jalan persekutuan no. 1 (Federal road route #1), kami cuba sedaya upaya untuk berpegang pada prinsip asal. Dari jalan Chain Ferry, perjalanan diteruskan melalui jalan Besar, diikuti jalan Bukit Tengah. Terdapat beberapa laluan pendakian di sini, yang ditambahkan lagi dengan keadaan panas terik. Apa - apa pun, inilah keadaan yang terpaksa kami tempuh dalam menghabiskan laluan hari kedua trip Slowly2 Go Down kami ini.


 jam 1127: Dalam perjalanan menghala Bukit Tengah


jam 1132: Hmm, tak jauh dah nak ke Ipoh ...


Kami berhenti rehat setelah jarak kayuhan mencapai angka 30 kilometer di sebuah hentian bas terletak antara kawasan Bukit Tengah dan Bukit Tambun. Mungkin belajar dari pengalaman hari pertama, kami cuba untuk menetapkan jarak rehat antara kayuhan supaya dapat mengawal masa. Seboleh - bolehnya kami cuba untuk mengelak dari berkayuh pada waktu malam. Ini adalah atas faktor keselamatan disamping tidak dapat menikmati pemandangan jika berkayuh di waktu malam. Di hentian bas ini; ada yang mengambil peluang membasahkan tekak, menggunakan tandas di sebuah bengkel membaiki kereta berhampiran, tidak kurang juga mengemaskini laman Facebook dan Tweeter masing - masing. Update status, jangan tak update. Tweet, jangan tak tweet hehehe ...


Jam 1219: Rehat pertama setelah jarak kayuhan mencecah 30 kilometer.


Dari hentian rehat pertama kami itu, perjalanan diteruskan ke Nibong Tebal di mana sebuah stesyen minyak menjadi lokasi rehat kami yang seterusnya. Di Nibong Tebal, kami melalui sebuah jambatan dengan rekabentuk menarik yang dibina melintasi bahagian atas landasan keretapi,

 Jam 1342: Rekabentuk menarik jambatan di Nibong Tebal


Jam 1400: Hentian rehat kedua di stesyen minyak Petronas Nibong Tebal


 Budaya membaca di mana sahaja ...


Dari hentian rehat kami di Petronas Nibong Tebal, setelah hampir 5 kilometer berkayuh kami tiba di pintu gerbang menandakan akan keluar dari negeri Pulang Pinang. Di sini kami bergambar di kedua - dua penanda sempadan negeri.


jam 1443: Tiba di gerbang selamat jalan Pulau Pinang


 Selamat jalan negeri Pulau Pinang


Selamat datang ke negeri Perak Darul Ridzuan


Selesai bergambar di kedua - dua papantanda negeri, perjalanan disambung menghala ke Taiping. Kali ini kebanyakan bahagian bahu jalan adalah lebih lebar dari sebelumnya dimana kami boleh bersaing antara dua buah basikal semasa berkayuh. Jalan juga adalah amat lurus dan rata dengan permukaan jalan yang cantik.


jam 1500: Menuju persimpangan Parit Buntar / Tanjung Piandang dalam perjalanan ke Bagan Serai


  jam 1514: Bahu jalan yang cukup lebar membolehkan kami bersaing antara dua basikal


Beberapa kilometer sebelum kami memasuki pekan Bagan Serai, kami di'seronok'kan dengan kewujudan sebuah kedai makan tepi jalan. Memandangkan kami belum makan tengahari pada hari itu, kami sepakat untuk singgah di kedai tersebut,. Menu yang terdapat ialah seperti makanan bergoreng (nasi / mee / bihun), mee bandung dan yang paling istimewa sesudah kayuhan di panas terik mentari tidak lain tidak bukan ialah ABC. 


 jam 1545: Singgah makan lewat tengahari di kedai makan tepi jalan sebelum pekan Bagan Serai


 Kalau dah jenis sukakan kucing tu ...


jam 1632: Macam biasa, bila dah perut masing - masing penuh, apalagi zZz lah ...


Selesai menikmati juadah dan membayar harga makanan / minuman, kedai makan tadi kami tinggalkan dan perjalanan disambung menghala ke Bagan Serai. Di sini, langit telah mulai gelap tanda - tanda hujan akan turun. Sampai di situ kawasan pertengahan antara Bagan Serai - Taiping, hujan mula turun membasahi bumi. Kami berhenti di tepi jalan untuk masing - masing menyimpan barangan serta memasang rain cover pada beg masing - masing. Pada yang menggunakan beg pannier seperti Muzammil dan saya, bagasi kami tiada masalah dengan hujan yang turun melainkan untuk menyimpan barangan elektronik seperti telefon bimbit, pemain mp3, speaker, dompet dan sebagainya.


 jam 1637: Memasuki kawasan pekan Bagan Serai dengan tanda - tanda langit yang mulai gelap hendak hujan


Setelah hampir sejam berkayuh dari pekan Bagan Serai, kami tiba di sebuah jambatan yang melintasi Sungai Kurau. Ternampak oleh kami sebuah jambatan besi lama yang mempunyai rekabentuk menarik di sebelah kiri laluan. Kami berpatah balik, kemudian memasuki laluan lama untuk ke jambatan tersebut. Semasa kami hendak bergambar kenangan, satu demi satu kenderaan samada motorsikal, lori, kereta mahupun basikal melalui jambatan itu. Sebelum kami berada di jambatan itu, tiada siapa pun melintasi sungai dengan jambatan tersebut. Haiii diaorang ni, memang dengki dengan kami yang hendak bergambar ni lah huhuhu ...


 jam 1731: Jambatan lama yang kini tidak lagi menjadi laluan utama


Hujan masih lagi renyai - renyai ketika kami bergerak meninggalkan jambatan lama tadi menuju ke arah Kamunting. Setelah hampir 12 kilometer berkayuh, kami tiba di persimpangan memasuki Kamunting dan berhenti seketika untuk bergambar kenangan di papantanda aluan selamat datang ke Taiping. Ternampak wajah kelegaan pada semua peserta ketika di sini walaupun kami semua belum tiba sepenuhnya ke lokasi penamat kayuhan untuk hari kedua ini.


 jam 1821: Wajah ceria peserta, walaupun belum tiba ke lokasi penamat.


Hujan telah berhenti ketika kami mula memasuki Kamunting melalui satu kawasan perindustrian yang mempunyai sebuah bulatan. Melepasi kawasan perindustrian tersebut, terdapat kerja - kerja pembinaan untuk membina jambatan melintasi laluan kereta api. Kami melakukan hentian di sebuah stesyen minyak kerana beberapa orang antara kami hendak ke tandas. Perjalanan disambung semula menghala ke lokasi penamat kami iaitu di Taman Jana Jaya II. Tepat jam 1900, kami tiba di rumah saudara Najib Abd Halim, iaitu sepupu pada bapa saya. Beliau tiada di rumah kerana ke Kuala Lumpur, kami mendapatkan kunci rumah yang diberikan terlebih dahulu kepada jirannya.

Malam itu, hujan turun dengan lebat dan seakan tidak mahu berhenti. Plan asal kami untuk makan malam di luar tidak dapat dilaksanakan, mujurlah kami dapat makan mee segera yang dibawa oleh Muzammil dan saya. Mee segera pun, mee segeralah, darurat punya pasal. Bumi Taiping yang dibasahi hujan dan kedinginan malam membuatkan peserta - peserta kayuhan tidur awal pada malam itu.


 Basikal yang diletakkan di kawasan luar rumah


 jam 2125: Mee segera menu untuk makan malam. Hendak keluar makan, hujan lebat ...


 Menu makan malam gabungan 2 jenama, 3 rasa ...


Info perjalanan untuk hari kedua, mengikut rakaman meter pada basikal saya:
Jumlah jarak: 95.44 kilometer
Purata kelajuan: 16.4 km/j
Kelajuan maksima: 47.1 km/j
Jumlah masa kayuhan: 13 jam 40 min


Kata - Kata Hikmat:



No comments: