ADS

24 January 2011

Slowly2 Go Down: Hari Ketiga - Bhgn 3 (akhir)

07.11.2010, Ahad: 
Selesai menikmati minuman air tebu di gerai tepi jalan simpang empat lampu isyarat Changkat Jering, kami membayar harga minuman dan bergerak memasuki jalan Persekutuan No. 1 Changkat Jering - Kuala Kangsar. Dalam perjalanan, kami berhenti seketika di sebuah stesyen minyak untuk menggunakan tandas dan membeli minuman. Tidak lupa juga membeli buah - buahan potong untuk membasahkan tekak dalam cuaca panas ini ...


jam 1255: Singgah di stesyen minyak jalan Changkat Jering - Kuala Kangsar


Perjalanan diteruskan lagi memasuki kawasan Bukit Gantang di mana terdapat sedikit laluan pendakian. Ketika kami tiba di sebuah gerai menjual laksa buyung, hujan telah mula menitis. Ah Chong mengajak saya untuk menikmati laksa tersebut, tapi saya menolak kerana kami baru sahaja berhenti rehat dua kali dalam jarak yang dekat ditambah dengan waktu perjalanan kami yang telah tersasar jauh dari anggaran asal. Di sini, Subki dan Ah Chong mengenakan pelindung hujan (rain cover) pada beg kerana mereka tidak mempunyai beg pannier

Ketika kami sampai di persimpangan memasuki Bukit Gantang, hujan turun dengan lebatnya memaksa kami berteduh di sebuah restoran tepi jalan. Terkenang pada ajakan Ah Chong untuk menikmati laksa buyung sebentar tadi, kalaulah tahu kawasan di depan hujan, tentu kami dah berhenti di situ untuk makan laksa. Namun, kuasa Allah siapalah yang boleh menghalang bisik saya di dalam hati. Turut bersama kami ialah abang penjual aiskrim bermotorsikal, sempat jugalah kami membeli aiskrim beliau dan menikmatinya dalam suasana hujan lebat hehehe ... Di kawasan Bukit Gantang, terdapat kawasan bersejarah Kota serta Makam Long Jaafar. Kawasan ini pernah saya lawati bersama adik bongsu ketika perjalanan Le Tour de Perak kami pada tahun 2010


 jam 1324: Berhampiran gerai makan menjual laksa buyung Kuala Kangsar


Hujan kemudiannya berhenti dan kami memulakan perjalanan kembali dengan lebih berhati - hati kerana jalan basah. Melepasi beberapa perkampungan dan laluan pendakian, lebih kurang lima kilometer kemudian kami tiba di kawasan Bukit Berapit. Terdapat sebuah jambatan yang mempunyai laluan keretapi di atasnya. Kami berhenti sebentar di situ untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke papantanda sempadan daerah Kuala Kangsar. Ia terletak bersebelahan jalan Changkat Jering - Kuala Kangsar dan lebuhraya Utara Selatan. Seperti biasa, peluang bergambar beramai - ramai tidak dilepaskan sambil menikmati pemandangan kenderaan yang menggunakan lebuhraya Utara Selatan.


jam 1421: Berehat menghilangkan penat pendakian, berlatarbelakangkan laluan keretapi atas jambatan


jam 1432: Memasuki daerah Kuala Kangsar, meninggalkan daerah Larut, Matang & Selama


Dari papantanda tersebut, laluan mula menurun sehinggalah ke sebuah kilang simen yang terletak di sebelah kiri laluan. Laluan kemudian mendatar selepas kami melalui sebuah jambatan hinggalah ke pekan Padang Rengas. Di Padang Rengas, Subki dan Zulhabri telah berkayuh laju dan meninggalkan kami bertiga di belakang. Sempat juga kami bertiga menjamu selera dengan cucur udang dan keropok lekor yang dibeli dari sebuah gerai tepi jalan.


jam 1440: Laluan menurun dari Bukit Berapit


jam 1447: Atas jambatan menuju Padang Rengas. Berlatarbelakangkan sebuah kilang simen di kejauhan


 jam 1456: Singgah membeli keropok lekor & cucur udang di pekan Padang Rengas


"Kita makan dulu" ...


Kami meninggalkan pekan Padang Rengas dengan seplastik cucur udang dan keropok lekor yang dibungkus, untuk kami makan semasa menunggang basikal. Enam kilometer dihadapan, kami berhenti di masjid Al Wahidiah, kampung Kuala Dal. Masjid lama ini pernah dipaparkan dalam siaran Majalah 3 kerana keunikan senibinanya. Semasa mengambil gambar di sini, Ah Chong dan Muzammil dikejutkan dengan seorang pakcik yang tiba - tiba memarahi mereka berdua. "Hah inilah orang KL, ambil gambar kemudian balik KL jual gambar tu" ... Haiii, nak ambil gambar pun marah, entahlah ...


 jam 1545: Masjid Al Wahidiah, Kampung Kuala Dal.


 Keunikan bahagian luar senibina masjid lama Al Wahidiah


Bangunan asal masjid sebelum proses restorasi dibuat


Dari jalan Changkat Jering - Kuala Kangsar, kami kemudian memasuki jalan Taiping untuk ke pekan (atau bandar ?) Kuala Kangsar. Berdasarkan pengalaman lalu saya ketika singgah di Kuala Kangsar, kami memilih untuk masuk ke jalan Raja Idris melalui kawasan Kolej Melayu Kuala Kangsar atau lebih kerap disebut sebagai Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dan pohon getah tertua di Malaysia. Ketika di MCKK, kami bergambar kenangan dan berborak dengan seorang pengawal keselamatan tentang pengalamannya semasa muda yang berkayuh dengan basikal tua dari Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Dari MCKK, kami kemudian ke pohon getah tertua yang terletak di penghujung jalan Raja Idris bersebelahan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar. 


 jam 1557:  Memasuki jalan Taiping menuju Kuala Kangsar


 jam 1604: Gerbang aluan selamat datang


jam 1620: Singgah sebentar di MCKK


Tak dapat masuk belajar, dapat bergambar pun jadilah ...


 Fiat Sapientia Virtus, bahasa Latin bermaksud 'Manliness through Wisdom
('Kejantanan melalui Kebijaksanaan' mengikut terjemahan Google English - Malay Translator)


Berlatarbelakangkan bangunan 'Big School' (dibina pada 1909) dan sebuah pohon rendang (spesis Samanea Saman) yang dikatakan sebaya atau lebih tua dari usia sekolah


jam 1642: Bergambar kenangan di hadapan pokok getah tertua di Malaysia


Info sejarah penanaman pokok getah di Malaysia


Selesai melawat pokok getah tertua negara, kami ke medan selera di tepi sungai Perak dimana Subki dan Zulhabri telah lama menantikan kedatangan kami. Kami bergambar sebelum merasa laksa dan cendol di medan selera berhampiran. Laksa yang kami cuba pada hari itu biasa - biasa sahaja rasanya, mungkin kerana imej 'laksa kuale kangsor' hanya gah pada nama ataupun kami yang tidak mengetahui gerai mana yang laksanya paling sedap di situ. 


 jam 1658: Pemandangan Sungai Perak berlatarbelakangkan banjaran Titiwangsa


Jeti ke seberang untuk ke Sayong


 jam 1740: Jentera kayuhan diparkir berhampiran medan selera


Menikmati laksa dan cendol, menu utama di medan selera tersebut


Laksa dan cendol Medan Selera Kuala Kangsar


Jambatan yang merintangi Sungai Perak. Sebelum ini kena menaiki bot penambang untuk ke Sayong


Selepas menikmati laksa dan cendol di medan selera, kami berehat seketika dan ada yang mengambil peluang untuk bersolat, menggunakan tandas tidak kurang juga ada yang melelapkan mata seketika.  Selesai dengan urusan masing - masing, kawasan rekreasi di tepi sungai Perak ini kami tinggalkan untuk menuju ke dataran kecil yang dibina berhampiran bulatan. Di sini kami bergambar kenangan  kemudian memasuki jalan Daeng Sedili dan jalan Besar Utara Selatan yang terletak di jalan Persekutuan No. 1.


jam 1805: Kuala Kangsar - Bandar Diraja Perak


Matahari mula beransur terbenam dan jalan yang dilalui mulai kelam. Kami melepasi beberapa kampung, kemudian melalui sebuah jambatan panjang yang melintasi sungai Perak. Laluan kemudiannya berselang seli antara landai dan sedikit pendakian pendek mahupun panjang, dengan keadaan laluan yang cukup baik dan lebar. Lebih kurang dua belas kilometer dari jambatan tadi, kami tiba di kawasan Sungai Siput. Jalan di sini boleh dikatakan selamat, walaupun apabila malam terdapat banyak lori yang melaluinya. Ini adalah kerana laluannya yang mempunyai dua lorong di kebanyakan tempat dan mempunyai bahu jalan yang lebar. 

Lebih kurang dalam jam 2030 malam, kami tiba di Chemor dan berhenti untuk makan malam. Saya kemudiannya menghantar sms pada seorang kenalan Facebook iaitu abang Mohd Zamzuri yang tinggal di Ipoh untuk memberitahu beliau yang kami baru sahaja tiba di Chemor. Apa yang kami tidak dapat lupakan semasa makan di sini ialah pemasangan sistem audio karaoke yang sungguh membingitkan telinga. Sepanjang jalan terdapat beberapa restoran yang juga memasang terlalu kuat sistem audio mereka seolah - olah berlawanan antara satu sama lain.


 Pesawat pejuang TUDM yang menjadi daya tarikan di bulatan bandar Kuala Kangsar


 jam 1845: Hari mulai gelap ketika kami meninggalkan bandar Kuala Kangsar


Kalau dapat mengekalkan kelajuan kayuhan pada 46 km/j, sejam sampailah ke Ipoh : )


jam 1853: Memasuki laluan jambatan merentasi Sungai Perak


 Menikmati hidangan makan malam di Chemor dalam suasana bingit dari sistem audio yang dipasang


jam 2049: Muzammil dan menu makan malamnya


Kami meninggalkan restoran tersebut dengan penuh rasa kelegaan, pertama kerana telah mengisi perut dan keduanya kerana telinga kami tidak lagi dipekakkan dengan muzik yang terlalu kuat dan suara penyanyi karaoke yang tidak berapa nak sedap tu huhuhu ... Melepasi Chemor, kami memasuki jalan Kuala Kangsar menuju ke bandar Ipoh dan berhenti di sebuah stesyen minyak untuk membeli makanan / minuman di samping menggunakan tandas. Terdapat sebuah huruf besar IPOH berlampu yang dipasang pada sebuah bukit. Kalau kami tak melalui jalan itu pada waktu malam, tentu sampai sekarang tidak mengetahui yang ianya dipasangkan dengan lampu.


Berhenti rehat di sebuah stesyen minyak, jalan Kuala Kangsar


 Huruf besar IPOH yang dipasangkan lampu di atas sebuah bukit


Selesai berurusan, kami memasuki bandar Ipoh melalui jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,   jalan Kompleks Islam, jalan Sultan Idris Shah, jalan Raja Dr. Nazrin Shah melepasi Medan Gopeng dan menghala ke Simpang Pulai. Di sini jalan adalah cerah berlampu dengan sekali sekala diancam oleh salakan anjing yang membuatkan kami bersedia setiap masa andainya dikejar oleh mereka. Hujan juga turun rintik - rintik membuatkan kami semua menyimpan kamera, dompet serta barang berharga yang lain mengakibatkan tiada sebarang gambar diambil.


08.11.2010, awal pagi Isnin:
Melepasi persimpangan Simpang Pulai memasuki Lebuhraya PLUS, kami melalui jalan Gopeng yang agak gelap dengan kebanyakan jalan adalah sempit dan tidak mempunyai bahu jalan bertar. Terdapat banyak lori treler melalui jalan itu pada tengah malam, membuatkan kami sedikit gentar dan terpaksa lebih fokus semasa mengendalikan basikal kami. Hujan rintik - rintik, malam yang dingin dicampur dengan perut yang lapar kadang membuatkan kami menggeletar tapi apakan daya perjalanan harus diteruskan untuk mencapai destinasi yang dituju.

Setelah lebih kurang lapan belas kilometer melepasi persimpangan lebuhraya PLUS - jalan Gopeng, kami akhirnya sampai di persimpangan memasuki Malim Nawar. Kami berhenti dan berkumpul di sebuah stesyen minyak berhampiran, sebelum meneruskan perjalanan menuju ke arah Malim Nawar yang jaraknya dalam anggaran lima kilometer dari stesyen minyak. Perjalanan di kilometer terakhir ini cukup jerih dan berat dirasakan. Ini mungkin disebabkan keletihan akibat jarak kayuhan yang telah melebihi seratus kilometer.

Jam menunjukkan hampir jam 0200 pagi apabila kami tiba di kediaman keluarga Zulhabri. Kami disambut oleh ayah Zulhabri yang mungkin telah menunggu sekian lama akan kehadiran kami. Basikal diletakkan basikal di sebelah kanan rumah dan dikunci. Pakaian serta kasut yang basah dek hujan dijemur di ampaian berhampiran. Kemudiannya masing - masing membersihkan diri dan ada juga yang sempat menggunakan mesin basuh untuk mencuci pakaian. Selesai berurusan, kami dijamu dengan menu mee kari yang cukup menyelerakan pada awal pagi Isnin yang dingin itu. Terima kasih pada ibu Zulhabri yang susah - susah memasakkan mee kari tersebut untuk kami. 


 jam 0151: Baru tiba di kediaman keluarga Zulhabri di Malim Nawar


jam 0157: Pakaian yang kebasahan membuatkan kami menggigil kesejukan


Sesudah makan, masing - masing mencari tempat untuk melelapkan mata bagi berehat selepas perjalanan yang sejauh sepanjang hari. Ada juga yang tidur lewat untuk update status Facebook : )

Info kayuhan:
Jarak kayuhan: 134.99 kilometer
Jumlah masa kayuhan (waktu berhenti terkecuali): 7 jam 57 minit 15 saat
Kelajuan purata: 16.9 kilometer / jam
Kelajuan maksima: 47.1 kilometer / jam







4 comments:

ckuku said...

tahniah wak n rerakan.

Azizan Zolkipli said...

Ckuku: terima kasih bro ...

subki said...

taniah wak jan

Azizan Zolkipli said...

Muhammad Subki: terima kasih bro ...