Ok, sebelum kami memasuki Pulau Pinang dengan menggunakan perkhidmatan feri. Apakata kalau kita mengetahui serba sedikit sejarahnya yang lampau. Tak salah kan ? Bak kata, tiada yang dahulu tiadalah yang sekarang. Nampak gayanya kenalah buka balik buku sejarah ni. Kalau malas nak baca, dipersilakan skip ke bawah ...
Sejarah Pulau Pinang berkait rapat dengan sejarah Kedah. Pulau Pinang yang pada asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah, diserah hak kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma. Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light, yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau sebagai Pulau Prince of Wales untuk menghormatkan Raja Muda Britain. Penempatan di Tanjung Penaigre yang terletaknya di hujung timur laut pulau dinamakannya "Georgetown", iaitu nama Raja George III dari Britain. Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka telah membangkit minat Syarikat Hindia - Timur British untuk menggunakannya sebagai sebuah pelabuhan untuk kapal - kapal perdagangannya dan juga sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk menentang cita - cita orang Perancis.
Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan askar tanpa kebenaran Syarikat Hindia - Timur British. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali pulau pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal dan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerah hak kepada Syarikat dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun. Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan penyerahan Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah. [benarkah ini, kenapa saya tidak tahu pun ?]
Pada 1826, negeri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian Kawasan Penempatan Selat (Straits Settlements) di bawah pentadbiran British di India. Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963.
Pulau Pinang ialah sebuah pelabuhan bebas sehingga 1969. Walaupun kehilangan taraf pelabuhan bebas, Zon Perdagangan Bebasnya yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di selatan pulau menjadi salah satu daripada pusat-pusat perkilangan elektronik yang terbesar di wilayah Asia dari 1970-an sehingga akhir 1990-an.
*Petikan di atas diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Pulau_Pinang. Buku sejarah (skim pinjaman buku teks / SPBT) dah pulang balik pada stor sekolah, terpaksalah ambil fakta dari Wikepedia : )
Francis Light. Pengasas atau perampas ?
Setelah lebih kurang 15 minit meninggalkan pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth, feri kami tiba di pengkalan Raja Tun Uda, Pulau Pinang. Kami menunggu beberapa minit, tetapi tiada tanda - tanda yang feri akan berlabuh mahupun kenderaan dibenarkan meninggalkan feri. Tiba - tiba feri berundur dari dermaga dan memasuki ke bahagian sebelah kanan terminal. Alahaiii, dalam kami dah terlambat ini, boleh lagi ia melengah - lengahkan masa. Sabar ajelah ... Kami membiarkan kenderaan lain meninggalkan feri terlebih dahulu, mungkin kerana pengalaman terpaksa berhimpit dan bergesel dengan penunggang motorsikal lain semasa di laluan memasuki feri terminal Sultan Abdul Halim membuatkan kami tidak mahu mengulangi pengalaman tersebut.
Kami menjadi penumpang merangkap kenderaan terakhir yang meninggalkan feri, sebelum ianya dimasuki pula oleh kenderaan - kenderaan yang ingin ke tanah besar dari Pulau Pinang. Setibanya di pengkalan, saya menghubungi abang Idris untuk mengetahui lokasi beliau menunggu kami. Beliau memaklumkan sedang berada di kawasan parkir di sebelah kanan terminal. Saya kemudian memberitahunya yang kami akan menunggu beliau di jejantas bersebelahan terminal bas Rapid Penang. Tidak beberapa lama kemudian, abang Idris sampai dan kami bersalaman sambil masing - masing berkenalan. Terlebih dahulu saya meminta maaf atas kelambatan berpunca dari kejadian yang tidak dapat dielakkan. Selesai berkenalan, kami memulakan perjalanan dengan dimulai oleh abang Idris. Sebelum kami memulakan perjalanan, abang Idris memberitahu yang kami akan melalui jalan pesisir pantai untuk mengelakkan laluan utama yang kenderaannya dipandu laju.
Ketika menyusuri laluan tepi Lebuhraya Jelutong, abang Idris membawa kami masuk ke sebuah jalan kecil bersimen yang berselari dengan lebuhraya disebelah kanannya. Jalan ini amat menarik kerana kami dihidangkan dengan pemandangan beberapa jeti nelayan serta panorama menarik Jambatan Pulau Pinang. Di suatu bahagian, kami betul - betul melalui bawah jambatan yang menghubungkan antara tanah besar dan Pulau Pinang ini.
Jambatan Pulau Pinang (dengan kod E36), merupakan merupakan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. Ia adalah sepanjang 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut. Ia menghubungkan Lebuhraya Jelutong di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan tanah besar semenanjung di Seberang Perai. Kerja pembinaan bermula pada tahun 1982 dan siap dibina pada tahun 1985, hanya 3 tahun dengan memakan belanja sebanyak RM 850 juta. Jambatan ini membawa kebanggaan kepada negara dan diakui sebagai pencapaian kejuruteraan yang cemerlang di dunia. Ini adalah kerana struktur tengahnya merupakan antara jambatan kabel - penahan (cable - stayed bridge) yang terawal di dunia.
Spesifikasi jambatan:
* Panjang keseluruhan: 13.5 km (8.4 batu)
* Panjang melintasi air: 8.4 km (5.2 batu)
* Laluan Pulau Pinang: 1.5 km (1.0 batu)
* Laluan Seberang Prai: 3.6 km (2.2 batu)
* Laluan: 4 Laluan (6 laluan, terkini)
* Tinggi menara dari aras air: 101.5 meter
* Tinggi jambatan dari aras air: 33 meter
* Gantungan utama: 225 meter
* Gantungan hujung: 107.5 meter
* Gantungan lain: 40 meter
* Had laju: 80 km / j
Keadaan basikal - basikal kami semasa berada di ruang kenderaan, udah macam ikan sardin ...
Muzammil meninggalkan terminal feri Raja Tun Uda sambil diiringi oleh dua orang nyonya tempatan
Jalan Pengkalan Weld ditinggalkan dan kami mula memasuki Lebuhraya Jelutong
Menyusuri laluan kecil bersimen yang berselari dengan Lebuhraya Jelutong
Betul - betul berada di bawah jambatan
Di bawah bahagian jambatan yang bercabang tiga
Melepasi kawasan persimpangan jambatan Pulau Pinang, kami kembali memasuki jalan utama iaitu Lebuhraya Bayan Lepas di kawasan Batu Uban. Beberapa kilometer selepas itu, abang Idris kemudian memasuki satu jalan dalam, dimana terdapat beberapa kawasan perumahan baru disamping jalannya yang tidak banyak dilalui kenderaan. Jalan ini kemudian menghala ke sebuah kawasan rekreasi tepi pantai yang mempunyai medan selera diikuti jeti pelancongan untuk ke Pulau Jerejak sebelum memasuki kawasan perumahan dan komersial baru tapi kali ini dengan kadar trafik yang agak banyak daripada tadi. Saya mula mengecam kawasan sekeliling, rupanya saya dan adik saya pernah melalui kawasan ini ketika kami sama - sama menyertai Marathon Jambatan Pulau Pinang pada tahun 2009. Laluan ini membawa kami ke kawasan berhadapan kompleks membeli belah Queensbay Mall, dengan terdapat kawasan menarik yang menyajikan kami dengan pemandangan Pulau Jerejak. Dari sini, selepas melalui dua bulatan kami masuk semula ke Lebuhraya Bayan Lepas dimana terletaknya Kawasan Perindustrian Bayan Lepas di sebelah kanan kami. Melepasi persimpangan masuk ke kawasan perindustrian, kami berhenti di sebuah gerai tepi jalan untuk menikmati air kelapa.
Penghujung persimpangan terdapat sebuah kawasan rekreasi tepi pantai yang mempunyai medan selera
Dari jalan yang lengang, kami memasuki kawasan yang lebih banyak penempatan & pusat komersial
Menikmati minuman air kelapa sambil menghadap pemandangan indah Pulau Jerejak
Berlatarbelakangkan kilang di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas
Selesai menikmati minuman masing - masing, selepas dibelanjai oleh abang Idris kami meneruskan perjalanan yang belum pun sampai suku dari keseluruhan perjalanan. Aduhhh, patutnya kami yang belanja dia sebab jadi jurupandu arah kami, tapi dia pula yang belanja kami. Ishhh, tak patut, tak patut ... Apa - apa pun, terima kasih banyak abang Idris, moga - moga murah rezeki abang sekeluarga, Amin ... Perjalanan diteruskan dengan meninggalkan Lebuhraya Bayan Lepas dan mula memasuki Jalan Permatang Damar Laut. Selepas persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Bayan Lepas - Jalan Batu Maung - Jalan Permatang Damar Laut, perhatian saya teralih pada satu papantanda menuju ke Muzium Perang Penang (Penang War Museum), hmmm, nampak gayanya tak berkesempatan lah untuk melawat ke tempat tu. Lain kali lah bila saya berkesempatan mengunjungi Pulau Pinang lagi. Ketika melepasi masjid, orang ramai dilihat telah berpusu - pusu ke masjid menandakan telah hampir masuk waktu Zohor, atau lebih tepatnya solat Jumaat pada hari itu. Kami meneruskan perjalanan sehinggalah berhenti berhampiran Madrasah Khairiah Islamiah berhampiran persimpangan lampu isyarat jalan Permatang Damar Laut - jalan Bayan Lepas bagi menghormati seruan azan.
Selesai seruan azan dan sesudah berehat, kami menyambung perjalanan yang terhenti. Laluan agak berbukit di permulaan sebelum ianya menurun semula. Perjalanan kemudian kembali mendaki selepas kami melepasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd, atau PUSPAKOM Teluk Kumbar. Di sini saya dan Muzammil menjadi peserta yang paling belakang, mungkin kerana basikal kami dimuatkan dengan barangan yang lebih berat berbanding peserta lain. Abang Idris yang pada mulanya berada di hadapan sekali, turun semula untuk memastikan kami semua tidak mengalami sebarang masalah teknikal. Terdapat kerja - kerja penambahbaikan jalan di sini, dimana selekoh - selekoh yang dahulunya merbahaya sedang dibuat laluan baru yang lebih lebar dan selamat. Di satu bahagian, terdapat lampu isyarat untuk menguruskan laluan trafik di bahagian pembinaan yang sempit. Sempat juga kami bergambar kenangan di situ.
Kami tinggalkan lampu isyarat tersebut dan menghala ke Balik Pulau. Disini, saya merasakan basikal saya mulai berat untuk dikayuh. Pada mulanya saya berpendapat itu hanyalah perasaan semata - mata, iyelah setelah penat melalui jalan yang mendaki. Perasaan yang saya gelarkan sebagai 'perasaan basikal pancit' ini telah beberapa kali saya hadapi, iaitu setelah penat melalui perjalanan yang panjang. Saya melihat ini sebagai satu perkara yang normal, lebih - lebih lagi apabila mental kita mulai lemah. Hati saya terdetik untuk memberhentikan basikal bagi melihat tekanan angin tayar basikal. Cisss, rupa - rupanya memang tayar belakang saya kekurangan angin. Saya berhenti di sebuah selekoh yang selamat untuk mengepam angin tayar basikal saya. Muzammil yang berada di hadapan turut saya hubungi untuk memaklumkan keadaan, juga meminta agar beliau menunggu saya di mana - mana lokasi yang agak rata. Pengalaman ini akan saya jadikan iktibar supaya lebih sensitif antara perasaan dan realiti
Perjalanan diteruskan sehingga ke satu kemuncak pendakian, yang mana terdapat satu lagi lampu isyarat dan jalan kembali landai, untuk seketika waktu sebelum laluan kembali mendaki. Di satu selekoh yang besar, Muzammil dan abang Idris menunggu saya di sini. Kami meneruskan perjalanan dan kali ini memasuki pula bahagian jalan yang baru dibina tapi masih ditutup pada kenderaan.
Berhenti bagi menghormati seruan azan dan kemudiannya berehat seketika
Jalan sementara dibina bagi tujuan kerja - kerja menaiktaraf laluan asal
Persimpangan antara laluan asal & laluan baru yang masih ditutup pada kenderaan
Jalan pintas melalui laluan yang baru dibina
Kata - Kata Hikmat:
No comments:
Post a Comment