ADS

04 January 2011

Slowly2 Go Down: Hari Pertama, bhgn 3

S   A   M   B   U   N   G   A   N  - dari bahagian 2

Kami memasuki bahagian jalan yang baru dibina, dimana ianya masih ditutup pada kenderaan dan masih belum berkeadaan sempurna terutamanya antara sambungan jambatan yang masih berlekuk. Jalan dalam keadaan menurun dan kami semua melaluinya dalam keadaan gembira - tidak perlu berkayuh ! Kami meneruskan perjalanan menghala pekan Balik Pulau, dengan singgah di stesyen minyak Petronas untuk menggunakan tandas. Sempat juga beberapa antara kami membeli air minuman. Selesai berurusan, perjalanan diteruskan sehingga melepasi sebuah bulatan, kemudian menghala jam dua belas bagi mencari pejabat ahli parlimen Balik Pulau untuk menemui sahabat pada Zulhabri. Oleh kerana rakan pada Zulhabri yang ingin ditemui tidak berada di pejabatnya, kami memutuskan untuk berpatah balik bagi mencari kedai makan. Mencari tempat makan yang sesuai semasa touring adalah penting, selain untuk menambah tenaga kami juga perlukan tempat meletak basikal yang selamat. Kalau boleh tu, hendak diletakkan tidak jauh dari kerlingan mata. Kami menemui sebuah restoran yang difikirkan sesuai di jalan masuk ke Hospital Balik Pulau.

Basikal diletakkan di kawasan lapang bersebelahan dan semua memasuki restoran untuk menjamu selera. Ada yang tidak sabar - sabar untuk menikmati nasi kandar, menu yang paling senang didapati di bumi pulau mutiara ini. Kami makan sambil menonton cerita hindustan yang ditayangkan. Ohh ya, lupa yang hari ini adalah hari Deepavali. Sedang kami menikmati hidangan, datang seorang lelaki ke meja kami. Beliau kelihatan mengenali Zulhabri, bersalaman sesama mereka dan bersalam dengan kami semua. Setelah diselidiki, rupanya beliau adalah saudara Yusmadi Yusoff, ahli parlimen Balik Pulau yang kelihatan masih muda. Sambil makan, kami berbicara mengenai topik - topik berkaitan politik, sosio - ekonomi, malah juga bidang seni. Dalam pada itu, sempat juga beliau mengajak Zulhabri untuk bermastautin di Balik Pulau bagi memajukan industri pelancongan dan seni tempatan. Beliau juga bergurau untuk mencarikan 'teman hidup' warga tempatan untuk Zulhabri hehehe ... Perjalanan masih tinggal separuh lagi untuk ditempuh, selepas bersalaman dan juga bergambar kenangan bersama saudara Yusmadi, kami berpatah balik ke arah kami datang sebelum ini. Ooppss terlupa, makan tengahari kami hari itu dibelanjai oleh saudara Yusmadi. Terima kasih bebanyak ye, moga Allah SWT merahmati dan memberkati perjuangan kamu, insyaAllah ...


 
Hentian makan tengahari kami di Balik Pulau


 Bersembang dengan YB Yusmadi


 
Sempat bergambar kenangan bersama YB Yusmadi


Konvoi didahului oleh abang Idris di hadapan, yang kemudiannya membawa kami memasuki jalan kecil bertar di satu persimpangan, iaitu pertengahan antara Ibu Pejabat Polis daerah Barat Daya dan Masjid Balik Pulau. Laluan itu membawa kami menyusuri deretan rumah yang berselari dengan parit serta terletak bersebelahan sawah bendang. Jalan yang kami lalui ini adalah kecil, agak sukar jika terdapat dua buah kenderaan untuk melaluinya hinggakan salah sebuahnya terpaksa mengalah dengan memberikan laluan terlebih dahulu. Di penghujung sebelah kanan laluan, kami berhenti seketika di sebuah jambatan untuk bergambar kenangan sebelum meneruskan perjalanan menuju ke persimpangan jalan Sungai Nipah. Dalam perjalanan, kami semua agak teruja dengan pemandangan sawah bendang yang terbentang luas dan menghijau.

Saya bersyukur dan berterima kasih di dalam hati kerana janji abang Idris untuk membawa saya melihat dengan mata kepala sendiri akan kewujudan sawah padi dalam Pulau Pinang telah tertunai. Untuk info, punca saya memasukkan laluan le tour de Penang ke dalam kayuhan touring Slowly2 Go Down ialah akibat teruja dengan gambar sawah padi di Balik Pulau yang dimasukkan ke album gambar abang Idris. Tak sangka, ini menjadi titik tolak persahabatan kami dengan beliau. Di kawasan penanaman padi ini, kami mengambil masa yang agak lama untuk bergambar. Masing - masing dengan pelbagai aksi tersendiri, berkumpulan mahupun berseorangan. "Gambor, jangan tak bergambor yeoppp" ...


 
Bergambar kenangan berlatarbelakangkan bukit bukau sekitar Balik Pulau



 Di laluan jalan Sungai Nipah, menghala ke kawasan penanaman padi



 
The route less pedalled, masing - masing dah teruja bila berjumpa sawah bendang



 
Basikal Bridgestone pun nak bergambar kenangan juga : )



 
Kehijauan alam ciptaan Tuhan untuk sama - sama kita nikmati. 'Cintailah bumi kita' ...


Gambar Facebook abang Idris yang mendatangkan satu azam pada saya untuk melawat kawasan itu


Interaksi kami mengenai gambar sawah padi tersebut


Dari kawasan penanaman padi Sungai Burung itu, kami  meneruskan perjalanan di jalan Sungai Nipah hingga ke persimpangan di hujungnya, memasuki arah kanan ke jalan Sungai Burong. Jalan itu pula kemudiannya bertukar nama ke jalan Bharu sebelum berakhir di satu simpang tiga. Kami membelok ke arah kiri memasuki jalan Sungai Rusa. Setelah hampir 3 kilometer berkayuh, abang Idris memberhentikan konvoi kami di sebuah rumah besar berhampiran persimpangan jalan Sungai Rusa - jalan Kuala  Sungai Pinang. Yang menariknya disini, terdapat deretan basikal tua yang disusun di laman rumah untuk dijadikan sebagai pagar kawasan. rumah. Menurut abang Idris, pemilik rumah ini merupakan seorang kontraktor dan beliau gemar untuk menyimpan barang - barang antik. Kami turut memasuki laman hadapan rumah tersebut, terdapat beberapa buah wakaf (pondok) yang menyimpan barangan antik.



 
Terdapat papantanda laluan basikal sepanjang perjalanan kami. Mungkinkan laluan ini telah digazetkan sebagai laluan basikal ? Saya kurang pasti akan perkara ini ...

 

 
Barisan basikal tua yang disusun sebagai pagar kawasan



 
Selain basikal, terdapat juga alu, batu lesung, batu giling, tempayan dan sebagainya



Selesai melawat lokasi menarik itu, kami singgah di sebuah kedai runcit berhampiran untuk membeli air minuman. Ada yang terus diminum, ada juga yang dibawa bekal untuk kayuhan nanti. Menurut abang Idris, ini adalah kedai terakhir sebelum kami melalui laluan pendakian yang curam tidak berapa jauh lagi. Laluan mula mendaki selepas pekan kecil Sungai Pinang. Di sini, saya teringat kenangan pada tahun 1994 - 95 sewaktu menyambung pelajaran di sekolah vokasional. Oleh kerana keluarga berjauhan yang tinggal di Pahang, saya akan pulang ke kampung kawan seasrama sekitar Pulau Pinang dan Kedah pada cuti hujung minggu. Di Sungai Pinang inilah terdapat rumah nenek kepada kawan seasrama dan juga rumah senior saya. Kenangan mandi sungai, memanjat pokok buah pala dan berbasikal ke airterjun Titi Kerawang tidak mungkin saya lupakan.

Jalan mula mendaki, membuatkan saya bingkas tersedar ke alam nyata. Seperti biasa, saya dan Muzammil berada di barisan belakang. Kenderaan berat lah katakan ... Abang Idris menemani Muzammil dan saya memohon untuk berkayuh laju bagi mengejar rakan - rakan yang berada dihadapan. Selang beberapa ratus meter, saya dapat mengejar Zulhabri dan seterusnya meninggalkan beliau untuk mengejar Subki pula. Malangnya Subki terlalu pantas dan saya hanya dapat menemui beliau yang sedang berehat di papantanda Airterjun Titi Kerawang. Tidak lama kemudian, Zulhabri diikuti oleh abang Idris dan Muzammil turut tiba di lokasi kami berhenti ini. Di sini kami berehat seketika, minum minuman yang dibawa dan juga memerhatikan gelagat pengunjung ke airterjun.

Semua selamat tiba di jalan masuk ke Airterjun Titi Kerawang



 
"Ada lagi jalan mendaki ?" Aduhaaaiii ...


Puas melepak di situ, kami meneruskan perjalanan melalui jalan yang masih mendaki. Hinggalah sampai di sebuah kawasan lapang bersimen tertulis www.durian.com.my beserta tiga aksara dalam bahasa Cina. Terdapat pemandangan menarik disitu, dimana kami dapat melihat Selat Melaka dan kapal - kapal yang melaluinya. Di sini, kami bertemu dengan seorang lelaki Melayu yang berkayuh berseorangan. Kami bersalaman dan berkenalan dengan beliau, kemudiannya sama - sama meneruskan perjalanan.   


Satu lapangan terbuka dengan pemandangan menghadap Selat Melaka


Ketika berehat & menikmati pemandangan, kami didatangi oleh seorang basikalis tempatan



H   A   R   I      P   E   R   T   A   M   A  ( B   H   G   N   3 )  -   T   A   M   A   T
Kata - Kata Hikmat:


No comments: