Kami meninggalkan lapangan bersimen dengan tulisan www.durian.com.my itu dan laluan kembali mendaki seperti sebelumnya. Selepas melalui entah berapa puluh selekoh, kami tiba di kawasan yang dikatakan sebagai puncak pendakian dimana menurut abang Idris selepas ini jalan akan mula menurun. Berehat disini seketika: minum air - buang air, sedut oksigen - hembus balik sedikit oksigen. Terdapat juga dua basikalis yang singgah di sini, pertama lelaki yang bersama kami semasa di lapangan bersimen bertulisankan www.durian.com.my dan seorang lagi rakannya yang tiba di situ terlebih awal sebelum kami. Kami berborak - borak dengan mereka, sebelum masing - masing turun ke arah yang berbeza; mereka balik ke arah Balik Pulau manakala kami ke arah Teluk Bahang.
Perjalanan diteruskan dengan menuruni bukit secara berhati - hati, lebih perhatian diberikan pada kenderaan yang mungkin datang secara tiba - tiba dari arah depan mahupun permukaan jalan yang berpasir. Banyak selekoh tajam (kona baring kata mat rempit), terbuka mahupun terselindung kami lalui; bonus dengan suasana redup, hijau dan nyaman di kawasan ladang pokok durian. Jalan menurun berakhir dengan sedikit pendakian sebelum sampai ke kawasan dengan pemandangan Empangan Teluk Bahang. Ramai anak muda kelihatan lepak di situ: ada mat kapcai, mat motor besor, mat kereta bikin pun ada juga. Cuma kami berenam sahaja yang mat basikal hehehe ... Hasrat hati mahu mengambil gambar kenangan bersama basikal kesayangan di kawasan empangan terpaksa dibatalkan, kerana kenderaan tidak dibenarkan masuk melepasi pintu pagar hatta basikal sekalipun. Kempunan ...
Sebarang kenderaan tidak dibenarkan melepasi pintu pagar, walaupun cuba kautim dengan abang pengawal : (
Semasa di sini, abang Idris menerima panggilan telefon dari rakan yang memberitahu ingin datang ke rumahnya pada malam itu. Agak sedih bila beliau memaklumi kami yang dia tidak dapat sepenuhnya mengikuti perjalanan kami pada hari itu dan terpaksa pulang lebih awal. Kami menerima keadaan seadanya dan memberitahunya agar tidak bimbang kerana kami membawa sebuah GPS yang dimiliki oleh Muzammil. Selesai sesi fotografi dan puas berada di situ, kami meninggalkan Empangan Teluk Bahang untuk meneruskan perjalanan Le Tour de Penang kami pada hari itu.
Laluan menurun yang agak menyeronokkan dengan laluan yang lebar dan selamat sebelum kembali mendatar. Melepasi Taman Rimba Teluk Bahang di sebelah kanan laluan, kami kemudiannya berhenti di Masjid Teluk Bahang untuk menunaikan kewajipan. Berhampiran masjid terdapat sebuah gerai menjual jagung bakar, Ah Chong dengan rela hatinya menawarkan diri untuk membeli jagung bakar tersebut untuk kami. Yang lucunya di sini, apabila seorang gadis kecil ketika memulangkan baki wang Ah Chong berkata, "terima kasih, pakcik" ... Selepas kejadian ini, dialog tersebut menjadi bahan kelucuan kami sepanjang beberapa hari perjalanan kayuhan touring Slowly2 Go Down hahaha ...
Selesai menunaikan kewajipan, kami bersiap - siap untuk beredar. Semua ahli kayuhan bersalaman dengan abang Idris sebelum dia meminta diri untuk pulang seorang diri ke tempat beliau meletakkan keretanya bersebelahan pengkalan feri Raja Tun Uda. Ucapan terima kasih tidak terhingga dari PK Riders semoga ukhwah persahabatan yang terjalin akan berpanjangan. Sekarang, tinggallah kami berlima sahaja untuk menavigasi perjalanan seterusnya tanpa khidmat pandu arah mana - mana warga tempatan. Perjalanan diteruskan dengan plan asal iaitu hendak singgah ke Taman Negara Pulau Pinang yang terletak di Teluk Bahang. Hari telah mulai gelap ketika kami tiba di bulatan pekan Teluk Bahang. Semasa kami sedang menghala ke arah Taman Negara, azan Maghrib berkumandang dan kami berhenti seketika bagi menghormati azan. Memandangkan hari telah gelap, saya mencadangkan agar kami membatalkan hasrat ke sana dan berhenti di mana - mana buat sementara.
Kami berpatah balik ke arah bulatan, memasuki jalan Teluk Bahang menghala ke Georgetown untuk mencari kedai makan. Perhatian tertumpu pada sebuah warung di sebelah kanan jalan, setelah melintas jalan yang agak sesak kami singgah di sebuah restoran. Di luar restoran tersebut terdapat gerai penjaja bergerak yang menjual nasi kandar, haruman lauk pauknya cukup menaikkan nafsu makan. Kami berazam untuk makan nasi kandar setibanya di Georgetown nanti !! Sebuah meja paling hampir dengan basikal kami pilih atas sebab keselamatan. Dekat sikit nak jenguk basikal kami. Berbekalkan jagung bakar yang dibungkus tadi, semua hanya memesan minuman sahaja. Rasanya, inilah jagung bakar paling lazat pernah saya nikmati. Tak tahulah adakah kerana memang ia benar - benar sedap ataupun kerana perut sudah mulai kosong ...
Masing - masing sedang menikmati kelazatan jagung bakar yang masih panas
Subki dengan seekor anak kucing comel yang berada di restoran tersebut
Subki dengan seekor anak kucing comel yang berada di restoran tersebut
Sesudah membayar harga minuman, semua ke basikal masing - masing untuk memeriksa lampu blinker dan headlamp sebagai persiapan untuk berjalan malam. Jalan Teluk Bahang menghala ke Georgetown agak sibuk dengan kenderaan pada malam itu, mungkin dengan kehadiran ramai pelancong luar yang bercuti sempena cuti Deepavali. Pada awal perjalanan, kami dihidangkan dengan laluan rata dan lurus sebelum berbukit serta berselekoh di tepi bukit dan pantai. Desiran ombak dapat didengari dengan jelas semasa berkayuh dalam kegelapan malam berteman sinaran lampu jalan serta limpahan cahaya dari lampu basikal. Setelah lebih kurang empat kilometer berkayuh, kami singgah di rangkaian Hard Rock Cafe terbaru iaitu Hard Rock Cafe Penang. Di sini kami berehat dan sudah pastinya bergambar kenangan. Ternyata Hard Rock Cafe ini lebih menarik dikunjungi pada waktu malam berbanding siang kerana lampu - lampunya yang indah. Terdapat rantaian lampu gentian optik (fiber optic) yang boleh bertukar pelbagai warna dipasang di bahagian pintu masuk utama hotel.
Pada satu bahagian, kami terpaksa menunggu dan seakan berebut dengan pengunjung lain untuk bergambar kenangan. Selesai bergambar dan bersiap ingin meneruskan perjalanan, kami didatangi oleh seorang lelaki yang ingin mengambil gambar bersama anak perempuannya. Kami bersalaman & berkenalan, lalu bergambar bersama. Isteri beliau enggan bergambar bersama dan sudi mengambil gambar menggunakan kamera kami. Katanya lagi, beliau bercuti bersama keluarga di Pulau Pinang sempena cuti Deepavali yang terus bersambung dengan cuti hujung minggu. Beliau menghulurkan sekeping kad nama yang tertulis beliau bekerja di bawah agensi Cycling Asia. Kad nama itu saya berikan pada Ah Chong dan saya terlupa pula akan nama abang tersebut.
Kafe Batu Keras, kini dibuka di Pulau Pinang
Refleksi di sebuah kereta Mercedez milik pengunjung. Kereta itu kemudiannya dijadikan sebagai 'tripod' untuk kami meletakkan kamera : )
Kombinasi Hard Rock Cafe & Hard Rock Hotel
Rantaian lampu bertukar warna menggunakan teknologi gentian optik (fiber optic)
Bergambar kenangan bersama seorang kakitangan majalah Cycling Asia & anak beliau
Laluan mengelilingi Pulau Pinang kami kini tinggal lebih kurang suku dari jumlah perjalanan. Kayuhan diteruskan dengan mensasarkan Padang Kota sebagai pit stop kami yang seterusnya. Kami memasuki semula jalan Batu Feringghi dan setelah lebih kurang jarak 1 kilometer, kami tiba di satu kawasan yang dipenuhi hotel - hotel besar dan terletak sebelah menyebelah. Terdapat juga deretan peniaga - peniaga jalanan yang menjual pelbagai barangan ala Uptown, Downtown mahupun Gerbang Malam. Di sini kami dapati semakin sukar untuk melalui jalan ini kerana ramai pengunjung yang berpusu - pusu serta keadaan trafik yang sesak dan kelam kelibut. Adakalanya, kami terpaksa mencilok ke kiri dan kanan untuk mara ke hadapan. Keadaan menjadi tenang semula setelah kami melepasi deretan peniaga - peniaga tersebut.
Keadaan penuh sesak kami tinggalkan, kini kami melalui pula jalan - jalan berselekoh dengan pendakian kecil di tepi bukit dan pantai sekitar Batu Feringghi. Sayangnya hari telah malam, kalau siang pasti kami akan berhenti menikmati pemandangan di sini. Jalan berliku pesisir pantai dengan pendakian serta penurunan sejauh hampir 4 kilometer kami tinggalkan dan kini memasuki jalan Tanjung Bungah. Rata - rata kawasan sekitar ini dipenuhi dengan kondominium dan pangsapuri mewah. Jalan juga telah mulai besar memuatkan dua lorong dengan beberapa persimpangan lampu isyarat. Jalan Tanjung Bungah ini kemudiannya bercantum dengan jalan Tanjung Tokong dan sampai di satu persimpangan, dengan bantuan GPS kami memilih untuk memasuki jalan Seri Tg. Pinang. Jalan ini adalah melalui pusat komersial dan rumah - rumah yang baru dibina. Aman dirasakan sementara, jauh dari hiruk pikuk kenderaan ketika melalui jalan Tanjung Bungah dan Tanjung Tokong sebentar tadi.
Ketenangan yang dirasai cuma bersifat sementara, ianya berakhir selepas kami memasuki semula jalan Tanjung Tokong setelah melalui jalan Seri Tg. Pinang sejauh 2 kilometer. Dalam perjalanan, kami sempat berhenti bertanyakan tentang waktu operasi feri pada seorang pemandu teksi yang sedang menunggu pelanggan. Menurut beliau, waktu operasi feri adalah 24 jam dan akan beroperasi selang sejam selepas 0000 tengah malam. Setelah mengucapkan terima kasih, kami meneruskan perjalanan melalui jalan Tanjung Tokong sehingga memasuki bulatan Persiaran Gurney (Gurney Drive). Di sini, keadaan jalan adalah terlalu sesak dengan aliran trafik yang seakan terhenti. Kami terpaksa menyelit di kiri dan kanan kenderaan dengan berhati - hati agar tidak bergesel dengan kenderaan yang mungkin tidak menyedari kehadiran kami. Persiaran Gurney yang sepanjang 2 kilometer cukup meriah pada malam itu. Ada yang membawa ahli keluarga bersiar - siar, berduaan dengan teman istimewa (ehem ehemm), malahan ada juga yang dilihat memenuhi restoran makanan laut atau kafe sepanjang persiaran. Keadaan trafik yang sesak diburukkan lagi dengan beberapa pemandu yang meletakkan kenderaan mereka sesuka hati di bahu jalan.
Dari Persiaran Gurney, kami menyusuri jalan Sultan Ahmad Shah dimana terdapat beberapa rumah lama yang berhalaman besar dan diakhiri dengan beberapa kondominium di sebelah kiri kami. Jalan Sultan Ahmad Shah berakhir di sebuah persimpangan Y dan kami memasuki lebuh Farquhar dengan melepasi hotel E & O (Eastern & Oriental) di sebelah kiri kami. Lebuh Farquhar berakhir di sebuah persimpangan Y bersebelahan bangunan Sekolah Menengah Convent Lebuh Light dan kini kami memasuki Lebuh Light dalam perjalanan menuju ke Padang Kota. Perjalanan diteruskan melalui Lebuh Light sehingga sampai di bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang / Georgetown, kami membelok ke arah kiri dan memasuki jalan Tun Syed Sheh Barakbah. Melepasi bangunan Dewan Sri Pinang dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang di sebelah kanan, kami akhirnya tiba di Padang Kota.
Berehat dan 'cuci mata' di Padang Kota
Selepas berehat dan berbincang tentang lokasi makan malam, majoriti di antara kami menyatakan hasrat untuk menikmati nasi kandar. Tidak sah kalau ke Pulau Pinang dan tidak merasai nasi kandar kata mereka. Saya memutuskan untuk membawa mereka ke Restoran Nasi Kandar Line Clear yang terletak di jalan Penang. Mujurlah Muzammil dan saya pernah ke ke situ pada hari sebelumnya dan lokasi restoran tersebut telah ditandakan di GPS. Senanglah untuk kami kesana berpandukan arah yang GPS berikan. Kami meninggalkan Padang Kota dengan melalui penghujung jalan Tun Syed Sheh Barakbah yang mana terdapat sebuah menara jam di tengah bulatan yang dipanggil Jubilee Clock Tower. Dari situ kami memasuki jalan Pengkalan Weld, kemudian membelok ke kanan arah Lebuh Chulia. Pengakhiran Lebuh Chulia bercantum dengan jalan Penang dan di situlah dimana terletaknya Restoran Nasi Kandar Line Clear.
Jalan masuk ke Nasi Kandar Line Clear, "macam - macam ada" ...
Pelbagai jenis susu dijual di kedai berhadapan Nasi Kandar Line Clear
Kepelbagaian lauk pauk menanti untuk dipilih. Bak kata, "selagi belum tutup mata, kari, kari, kari" ...
Mengambil tempat paling belakang yang disediakan. Mudah untuk menjaga keselamatan basikal
Tandas 'line clear' tidak bermakna korang boleh berbuat sesuka hati hehehe ...
Gambar berlima, dengan pertolongan abang berbangsa Cina yang duduk di sebelah kami
Gambar berlima, dengan pertolongan abang berbangsa Cina yang duduk di sebelah kami
Walaupun hari malam, namun barisan untuk mengambil turutan mengambil nasi serta lauk pauk tetap panjang. Sekaligus ini menyangkal andaian awal saya yang nasi kandar cuma untuk makanan tengahari. Melihatkan pada Ah Chong, Zulhabri dan Subki yang terpaksa menunggu lama dalam barisan. Muzammil dan saya yang ditugaskan pada mulanya untuk menjaga basikal sementara tiga yang lain mengambil nasi bersepakat untuk tidak makan malam di sini bagi mengejar waktu terakhir feri berlepas. Kami sempat bertanya pada abang berbangsa Cina yang makan di sebelah meja kami tentang waktu terakhir feri berlepas. Menurutnya, feri terakhir akan berlepas dari pulau pada jam 0000 tengah malam dan selepas itu tiada lagi feri akan beroperasi sehinggalah ia beroperasi pada awal pagi nanti. Selesai membayar, kami bergegas meninggalkan Nasi Kandar Line Clear dan mengikuti semula Lebuh Chulia sebelum memasuki jalan Pengkalan Weld ke Pengkalan Raja Tun Uda untuk menaiki feri.
Menyusuri Lebuh Chulia untuk ke jeti Pengkalan Raja Tun Uda
Kami berlima tiba di jeti Pengkalan Raja Tun Uda pada jam 2330 malam. Selain kami, terdapat dua penunggang motorsikal yang turut ingin ke Butterworth. Terdapat sebuah mesin menjual air tin yang membolehkan kami minum dan menghabiskan masa sementara menunggu ketibaan feri.
Pengguna feri yang majoritinya adalah kami berlima pada tengah malam itu
Minum, bukan sahaja untuk membasahkan tekak malah cara untuk menghabiskan masa menunggu ketibaan feri
Ketika masa menghampiri jam 0000 tengah malam, semakin banyak penunggang motorsikal turut bersama kami menunggu ketibaan feri
H A R I P E R T A M A - T A M A T
Minum, bukan sahaja untuk membasahkan tekak malah cara untuk menghabiskan masa menunggu ketibaan feri
Ketika masa menghampiri jam 0000 tengah malam, semakin banyak penunggang motorsikal turut bersama kami menunggu ketibaan feri
H A R I P E R T A M A - T A M A T
Kata - Kata Hikmat:
No comments:
Post a Comment