ADS

30 December 2010

Slowly2 Go Down: Hari Pertama, bhgn 1

5hb Nov - Jumaat, cuti umum Deepavali 2010

Hari ini, secara rasminya bermula kayuhan Slowly2 Go Down kami. Pagi itu, seawal jam 0600 pagi saya telah bangun. Ehhh, terperanjat pula ada tambahan seorang lelaki tidak dikenali menginap dalam bilik kami. Salam dihulur tanda perkenalan, oohhh, inilah si Subki rupanya. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah bertemu apalagi bertentang mata dengan beliau sebelum ini. Beberapa minggu sebelum kami bertouring, Muzammil telah memberitahu yang seorang rakannya hendak mengikuti kayuhan kami ini. Kami hanya berinteraksi menggunakan media laman sosial Facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS) serta telefon bagi berkomunikasi. Subki bekerja satu bangunan dengan Muzammil, di Menara MAA tetapi berlainan syarikat. Keduanya dihubungkan menerusi asas yang sama iaitu di bawah naungan kumpulan MAA (MAA Group). 

Setelah ditanya, rupanya Subki tiba di hotel tempat kami menginap pada jam 0100 pagi. Itupun katanya puas menghubungi kami berdua, tetapi tidak berjawab. Mujurlah pada beberapa kali percubaan, Muzammil terbangun setelah mendengar deringan telefonnya. Maaflah yek, saya kalau tidur memang tidur mati hahaha ... Menurutnya lagi, beliau datang dengan menumpang kereta rakannya yang pulang ke utara. Dia juga terpaksa menceraikan beberapa bahagian basikal demi untuk disumbatkan ke bahagian bonet kereta rakannya. Pada awal pagi sejurus selepas tiba di hotel (semasa itu saya sedang tidur mati), beliau dan Muzammil bertungkus lumus memasang kembali bahagian - bahagian basikal tersebut. Apa nak buat, dah nasib badan ... Kalau basikal tu dibawa naik keretapi guna perkhidmatan KTM Distribution kan senang : )

Tidak beberapa lama kemudian, Muzammil pun terbangun dari tidur dan kami bertiga bergilir menggunakan tandas serta bilik mandi. Sesudah bersiap sedia dan mengemaskan barangan apa yang sepatutnya, saya kembali ke katil untuk tidur sebentar manakala yang lain dengan hal sendiri, ada yang menonton televisyen dan ada yang berkemas barang. Terlebih dahulu sebelum itu saya mendapat sms dari Ah Chong dan Zulhabri mengatakan yang mereka telah sampai di Butterworth. Saya menyuruh mereka untuk tunggu di stesyen keretapi Butterworth pada jam 0830 pagi. Setelah saya puas melelapkan mata barang beberapa minit dan rakan - rakan lain sedia, kami meninggalkan bilik setelah memeriksa tiada suatu barangan yang tertinggal. Kami turun ke kaunter hotel yang terletak di tingkat bawah bagi memulangkan kunci dan mengambil basikal kami.


Subki, yang tiba di hotel penginapan kami pada jam 0100 pagi


Kunci bilik dipulang dan kesemua basikal dibawa keluar dari ruang penyimpanan di belakang kaunter hotel. Kami meletakkan basikal di hadapan pintu masuk utama hotel untuk memasang kembali beg pannier masing - masing. Terjadi satu perkara lucu di sini, Subki bersuara meminta tolong kerana gagal memasang beg pannier nya. Tiba - tiba, beliau disergah oleh Muzammil. "Weiii, kau buat apa ni ? Itu basikal akulah" ... Rupa - rupanya Subki telah tersalah memasang beg pannier nya pada basikal Muzammil. "Laaa, salah basikal ke patutlah aku rasa lain, susah aje nak masuk" ... Kami ketawa bagai nak rak pada pagi itu. Tambah Muzammil, "kau ni Subki, belum lagi jalan jauh, awal pagi dah pewai" lantas disambut dengan deraian kami ketawa.

Jam sudah menunjukkan jam 0830 pagi ketika kami mahu beredar meninggalkan perkarangan hotel. Alamak, janji dengan Ah Chong dan Zulhabri nak jumpa mereka 0830 di stesyen keretapi Butterworth. Baru sahaja beberapa meter kami bergerak, tiba - tiba kedengaran Subki menjerit. "Weiii aku lupa pasang brek depan" ... Aduhhh, ada - ada sahajalah budak ini. Kami berpatah semula ke hadapan hotel untuk Subki memasang brek depannya. Muzammil berkata, "Subki, cuba kau periksa brek belakang juga kalau - kalau tak terpasang ke" ... Rupa - rupanya, brek belakang pun menerima nasib yang sama. Aduhaiii, ini mesti kes malam tadi masing - masing dah mamai semasa memasang semula bahagian - bahagian basikal yang diceraikan hahaha ...


Proses memasang beg pannier dilakukan di hadapan pintu masuk utama hotel


Memandangkan telah lewat dari waktu yang dirancangkan, kami bergegas menghala ke arah stesyen keretapi Butterworth. Ketika keluar dari jalan Kampung Benggali untuk ke jalan Bagan Luar, saya terpandang sebuah gerai makan tepi jalan. Pada mulanya saya bercadang untuk mengajak Muzammil dan Subki bersarapan di situ. Tetapi memandangkan kami telah terlewat, saya mencadangkan agar membeli 2 bungkus nasi lemak setiap orang untuk dimakan ketika kami bertemu di stesyen keretapi nanti. Selesai membayar kami teruskan perjalanan memasuki jalan Bagan Luar. Melepasi 2 persimpangan lampu isyarat utama di jalan Bagan Luar, hampir 30 minit kemudian kami bertiga tiba di stesyen keretapi Butterworth. 

Di sini buat pertama kalinya kelima - lima peserta kayuhan Slowly2 Go Down bertemu, dimana sebelum ini dua rakan baru iaitu Subki tidak penah berjumpa Ah Chong dan Zulhabri manakala Zulhabri tidak pernah bertemu semua peserta kecuali saya. Untuk info, Zulhabri merupakan rakan kembara backpackers saya dan pernah mengembara bersama ke Thailand, Laos, India, dan yang terbaru pada Julai 2010 iaitu  China & Inner Mongolia. Beliau peserta 'bidan terjun' dalam dunia berbasikal di antara kami berlima. Plan untuk kayuhan ini  sebenarnya telah lama saya rancangkan, apabila rancangan ini saya suarakan pada Zulhabri beliau kelihatan sangat teruja untuk menyertai. Oleh kerana komitmen Zulhabri dengan kerjayanya, saya hanya sempat melatih beliau dengan satu kayuhan sahaja iaitu dari Puncak Perdana ke Kuala Selangor dan berpatah balik. Yakin dengan semangat dan kemampuan yang beliau tunjukkan, saya tidak ragu - ragu untuk mengajak beliau menyertai kayuhan jarak jauh ini.

Kami melepak di bangku yang disediakan di bahagian tengah stesyen, iaitu pertengahan antara kaunter tiket, kedai serbaguna dan blok bangunan pentadbiran KTM Butterworth. Perut masing - masing pun telah lapar, kami tidak membuang masa lalu makan nasi lemak yang dibeli semasa dalam perjalanan tadi dengan hanya menjadikan bangku konkrit sebagai meja makan. Malah ada juga antara kami yang makan berlapikkan lantai. Alahhh, bukan selalu pun ... Untuk air minuman dan rokok pula (Amaran: Merokok membahayakan kesihatan), kami membelinya di kedai serbanika stesyen tersebut.


Menikmati sarapan nasi lemak di stesyen keretapi Butterworth, beralaskan bangku konkrit dan lantai


Hujung sebelah kiri ada kedai serbaguna, hujung kanan pula jalan ke terminal feri &  stesyen bas Butterworth


Selesai makan, saya sms kepada rakan saya, Zaironey menanyakan tentang waktu ketibaan beliau di stesyen Butterworth. Saya berbuat demikian kerana bimbang beliau terlupa untuk menghantar basikal yang akan dikayuh oleh Zulhabri. Beberapa minit berselang dan sms saya dibalas oleh Zaironey. Beliau meminta maaf kerana terlambat dan akan menghantar basikal itu di stesyen keretapi Butterworth. Sementara menunggu kehadiran Zaironey, kami meninggalkan basikal masing - masing di bahagian tengah ruang menunggu dan mundar - mandir di sekeliling kawasan. Sempat juga saya melihat pameran mini barangan KTM yang dipamerkan dalam satu sudut di penghujung kaunter membeli tiket.


Antara barangan lama yang dipamerkan di suatu sudut dalam kawasan kaunter tiket.


Ketika sedang menunggu kedatangan Zaironey dan rakan - rakan lain asyik dengan karenah masing - masing. Kami didatangi oleh seorang yang berpakaian seragam biru, iaitu kakitangan KTMB. Beliau menasihati agar kami tidak meletakkan basikal di bahagian tengah ruang menunggu, dikhuatiri akan dimarahi oleh boss beliau yang belum masuk ke pejabat lagi pada hari ini. "Ok, minta maaf encik" ... Kata beliau lagi, "Saya tak kisah kalau awak semua nak letak basikal kat sini, tapi kalau boss saya datang, saya juga yang akan dimarahinya" ... Saya lalu meminta agar semua rakan meletakkan basikal di kawasan jalan menuju ke terminal feri dan stesyen bas Butterworth. Alamak, dalam pada itu saya teringatkan janji saya dengan seorang warga tempatan Pulau Pinang yang mahu menjadi guide untuk membawa kami pusing - pusing Penang ni, iaitu abang Idris Sani. Satu sms dilayangkan pada beliau, mengatakan yang sebuah basikal lagi belum sampai dan meminta maaf atas kelambatan saya. Juga untuk meminta beliau sabar menunggu akan kedatangan kami. Sebenarnya memang menjadi pantang saya kalau tak menepati janji dan masa ni, tapi apa mau buat kadang - kadang tu terdapat halangan yang tidak dapat dielakkan. 

Lebih kurang jam 1000 pagi, Zaironey tiba dengan kereta Proton Wajanya membawa basikal Jamis X - Trail 2.0 kepunyaan saya. Saya memasang kedua - dua tayar dan cuba mengayuh uji. Terdapat satu bunyi bising pada bahagian brek belakang, seolah - olah cakera brek (brake disc) bergesel. Aduhhh, dalam nak cepat - cepat ni macam - macam hal pulak jadi ... Kami membawa basikal ke stesyen untuk membaikpulih kerosakan. Setelah diteliti, rupanya brake caliper yang menjadi punca masalah ini. Mujurlah dengan tools yang dibawa dan rakan - rakan yang berpengalaman, masalah ini dapat diperbaiki. Selesai membetulkan kerosakan, Zaironey mohon untuk berundur diri begitu juga kami. Satu lagi sms dihantar pada abang Idris, memberitahu yang terdapat masalah pada sistem brek salah sebuah basikal dan berjaya diatasi, kami akan bergegas untuk menaiki feri pula.


Plet peringatan di stesyen keretapi Butterworth, berhampiran bangku tempat kami bersarapan & melepak


Terima kasih kerana tidak merokok. Tulisan bahasa Arab pun ada.
(Amaran: Merokok dapat menyebabkan kanser, serangan kantung, impotensi, serta gangguan kehamilan dan janin)


 Tempat kami membaiki kerosakan sistem brek basikal, terdapat pintu pagar short cut ke laluan menaiki feri


Waktu menunjukkan hampir 1015 pagi ketika kami meninggalkan stesyen keretapi Butterworth. Kami mengikuti laluan pintas melalui pintu pagar di belakang stesyen keretapi menuju ke pondok tol bagi menaiki feri. Dengan berbuat begini, kami dapat memotong hampir 1 kilometer jika dibandingkan melalui atas ramp seperti yang Muzammil dan saya lakukan pada hari pertama dahulu. Bagai telah diduga; Ah Chong, Subki dan Zulhabri agak terkejut kerana perlu membayar tol. Saya rasakan, inilah kali pertama dalam seumur hidup mereka membayar tol untuk menaiki basikal. Kami beratur berselang seli dengan beberapa penunggang motorsikal, selesai membayar masing - masing menghala terus ke laluan yang dikhaskan untuk kenderaan sikal (motorsikal & basikal). Sampai di penghujung laluan, kami beratur bersama puluhan lagi penunggang dan pembonceng motorsikal dimana terdapat sebuah pagar yang ditutup dan dikawal oleh seorang petugas. Perhatian kami teralih pada sebuah papantanda bulat besar yang melarang beberapa haiwan peliharaan dari dibawa masuk.  


 Menantikan giliran untuk membayar tol bersama penunggang motorsikal lain



 Bersama - sama penunggang motorsikal yang lain. Papantanda melarang 4 jenis haiwan dibawa masuk


 Beratur di sebelah kiri laluan, untuk memberikan keutamaan laluan pada penunggang motorsikal

H A R I  P E R T A M A (B H G N 1) -  T A M A T


Kata - Kata Hikmat:


No comments: