ADS

15 April 2011

Kayuhan Dua Tasik di Pahang - Hari 2, Bhgn 2

Bersambung dari siri bahagian lalu ...

13.02.2011, Ahad  - Hari Kedua
Selesai bersalaman antara kami berempat di hadapan pintu gerbang memasuki jalan menuju Tasik Bera, kami membawa haluan masing – masing. Ah Chong menuju ke Kuala Lumpur manakala kami bertiga ke Tasik Chini. Matahari sudah terpacak di atas kepala dan hari itu juga panas terik, tidak seperti separuh masa pertama kami pada hari sebelumnya.

Nota: Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada gambar. Segala gambar yang digunakan dalam artikel ini adalah dari rakaman lensa saudara Mohd Shukri, hak cipta terpelihara. Ucapan terima kasih tidak terhingga saya  ucapkan pada beliau.

Baru sahaja memasuki laluan persekutuan no. 1572, kami terus dihidangkan dengan laluan pendakian yang bertubi – tubi.  Tidak banyak kenderaan melalui jalan tersebut, jika ada pun kebanyakannya lori treler yang membawa muatan penuh kelapa sawit. Di kiri – kanan kami, terdapat hutan dara yang terletak di bawah kawasan Hutan Simpan Tasik Bera. Sejujurnya, agak menakutkan jika berkenderaan disitu pada waktu malam kerana keadaan hutan yang tebal dan tiada satu pun penempatan di tepi sepanjang laluan.

Fikiran saya tiba – tiba menerawang memikirkan satu makhluk berbulu yang dikenali sebagai Bigfoot, jahat pula minda ni terfikir sampai ke situ, aissshhh ... Uncle Chew masih menggunakan cara yang sama seperti hari sebelumnya, iaitu beliau akan berkayuh laju di hadapan dan kemudiannya menunggu di tepi jalan sebelum menyertai kembali konvoi dengan memintas kami semula dan berada di hadapan. Laju betul basikal uncle Chew apabila menuruni bukit, entah apalah jenis bearing yang dipasang pada hub basikal beliau huhuhuhu ...

Lebih kurang lima puluh minit berikutnya kami meninggalkan kawasan hutan dara dan laluan kini memasuki kawasan ladang kelapa sawit bawah kelolaan Felda Bera Selatan. Beberapa kilometer dihadapan, kami menjumpai batu tanda jalan pertama yang menunjukkan jarak ke Muadzam Shah masih berbaki lagi tujuh puluh lima kilometer. Di sini kami berhenti seketika untuk bergambar kenangan. Fuhhh, jauh lagi perjalanan untuk ke Tasik Chini ni ... 


 jam 1249: Shuk bersama batu penanda jarak dan basikal kami. 75 kilometer menuju Muadzam Shah


 Meninggalkan Temerloh 70 kilometer dan bandar Bera 43 kilometer di belakang


Perjalanan disambung dan selepas tiga puluh minit berkayuh kami bertiga tiba di persimpangan masuk ke Felda Bera Selatan 4/7. Tidak lama di hadapan, berhampiran jalan masuk utama ke tanah rancangan Felda, terdapat sebuah gerai makan di tepi jalan dan kami bercadang untuk makan tengahari di situ. Uncle Chew membuat tinjauan dan mendapati, gerai tersebut hanya menjual kuih – muih dan tiada nasi berlauk dihidangkan. Mengikut kata salah seorang dari pelanggan yang berada di gerai tersebut, lebih kurang lapan kilometer dihadapan terdapat sebuah kedai makan. Tambahnya lagi, kawasan sekitar terdapat kedai makan tetapi kami perlu memasuki kawaasan tanah rancangan Felda. Memasuki tanah rancangan bermakna lebih kilometer dan ini akan melambatkan lagi jangkaan tiba kami ke Tasik Chini.


 jam 1316: Berhampiran persimpangan masuk ke Felda Bera Selatan 4/7


 Selepas mengucapkan terima kasih, kami menyambung perjalanan untuk mencari kedai makan seperti yang diperkatakan. Sekitar jam 1355 kami menjumpai sebuah papantanda berwarna biru di sebelah kanan jalan memberitahu yang kami telah meninggalkan kawasan daerah Bera dan kini memasuki daerah Rompin. Saya dan Shuk bergambar di papantanda itu dan sebuah lagi papantanda terletak berhadapan simpang tiga. Uncle Chew tidak kelihatan, tetapi kami dapat menggagak yang beliau telah berhenti di sebuah kedai makan yang terdapat tidak jauh dari simpang tersebut.


 jam 1355: Kini kami memasuki pula daerah Rompin


 Meninggalkan daerah Bera


 Dua haluan, pelbagai destinasi


 Keadaan yang semakin panas terik pada tengahari itu


Puas bergambar kenangan, saya dan Shuk kemudian menyertai uncle Chew untuk makan tengahari di kedai makan yang terletak berhampiran persimpangan masuk ke Felda Melati. Untuk info, pada mulanya saya merancang untuk bermalam di kawasan simpang tiga ini. Tetapi setelah membuat reviu semula laluan bersama Ah Chong, kami sepakat untuk mengurangkan jarak kayuhan hari pertama dan bermalam di Tasik Bera agar bersesuaian dengan tema Kayuhan Dua Tasik di Pahang. Untuk menu makan tengahari pada tengahari itu, saya mengambil sepinggan nasi putih bersama ikan patin masak asam pedas. Saya yang pada mulanya tidak menggemari ikan patin walaupun memakan ikan darat, kemudiannya mula menggemari ikan tersebut. Semasa sedang makan, kelihatan seorang lelaki berusia empat puluhan meletakkan sebuah MPV di tempat meletak kereta. Rupanya beliau adalah pemilik kedai makan tersebut. Semasa kami berehat selepas makan, beliau berbicara mengenai pengalaman kayuhan kami dan saling bertukar pendapat. Selesai makan dan membayar harga makanan – minuman, kami mengambil kesempatan berehat, membersihkan diri, menggunakan tandas dan bersolat Zohor.

Tepat jam 1500 petang, kami bertiga meninggalkan kedai makan dan kembali menyambung perjalanan. Melepasi simpang tiga tempat saya dan Shuk bergambar, tidak lama di hadapan terdapat satu lagi simpang tiga dan kami mengambil ke arah kanan. Jalan menghala terus kelihatan teruk, berdebu dan menuju ke sebuah ladang kelapa sawit. Laluan ke kanan ini, dikenali dengan nama jalan Persekutuan No. 2489 dimulai dengan satu laluan landai yang lurus dan sayup – sayup kelihatan, tanpa kami ketahui rupanya setelah beberapa kilometer dihadapan laluan mula terdapat kawasan pendakian. Lumayan sungguh, aduhhh ...

Lebih kurang tiga puluh minit berkayuh dari simpang tiga terakhir, kami tiba di sebuah jambatan lurus dan panjang. Melihat pada meter basikal saya, tepat pada angka seratus kilometer perjalanan yang saya lalui sepanjang dua hari. Saya ingin membuat satu hentian bersejarah, menyambut harilahir dan bergambar kenangan dengan satu sepanduk mini yang ditulis sendiri menggunakan kertas bersaiz A4. Melalui bantuan Shuk dan kamera DSLRnya, saya merealisasikan impian saya bersempena kayuhan ini. Kelihatan di bawah jambatan terdapat sebatang sungai kecil, dipenuhi oleh ramai kaki – kaki pancing yang mencuba nasib memancing ikan.


 jam 1537: Berhenti di sebuah jambatan untuk bergambar kenangan


 Tepat seratus kilometer perjalanan saya untuk dua hari


 jam 1543: Bergambar kenangan di tengah – tengah jambatan


Gambar sepanduk mini buatan sendiri bersaiz A4 dari jarak dekat


 Sepanduk mini dipasangkan pada basikal pula




08 April 2011

Kayuhan Dua Tasik di Pahang - Hari 2, Bhgn 1

13.02.2011, Ahad.

Sepagi di Tasik Bera 
Sebelum hari cerah lagi saya dan Shuk telah bangun pada pagi hari minggu itu. Hari ini, tiga belas haribulan Februari tahun 2011 Masihi, genaplah umur saya tiga puluh tiga tahun. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Yang Maha Esa, dengan izinNya saya masih diberi kesempatan untuk hidup dan bernafas di muka bumi ini. Dalam hati kecil, saya turut bersyukur dan berterima kasih kepada ibu yang melahirkan saya, juga pada ayah yang bersusah payah mencari rezeki untuk membesarkan saya.

Telefon bimbit saya kemudian dihidupkan, setelah malam tadi dimatikan bertujuan untuk penjimatan bateri. Bertalu – talu khidmat pesanan ringkas (sms) memasuki kotak masukan (inbox) telefon bimbit saya. Semuanya mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran dan mendoakan kesejahteraan hidup saya. Ada yang berbunyi serius, tidak kurang ada juga yang berbunyi jenaka mengusik saya. Terima kasih kalian semua, saya tidak dapat membalas segala sms disebabkan tidak sempat menambah kredit ketika di Temerloh dan terlupa berbuat demikian ketika singgah makan tengahari di bandar Bera pada hari sebelumnya.

Nota: Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada gambar. Segala gambar yang digunakan dalam artikel ini adalah dari rakaman lensa saudara Fairos (Ah Chong) dan Shuk (Mohd Shukri), hak cipta terpelihara. Ucapan terima kasih tidak terhingga saya  ucapkan pada mereka berdua.

Program Kayuhan Dua Tasik di Pahang ini sengaja dirancang bersempena menyambut harilahir saya. Sebelum itu, saya merancang untuk kembara berbasikal (touring) di pulau Langkawi pada cuti Tahun Baru Cina tetapi terpaksa dibatalkan kerana salah seorang peserta mengikuti ekspedisi pendakian Trans Noring di Kelantan bawah anjuran kelab Orang Gunung Kuala Lumpur. Kayuhan ini adalah kali ketiga berturut – turut buat diri saya sempena menyambut hari kelahiran. Kali pertama pada tahun 2009 dengan mengikuti kayuhan Kuala Lumpur – Port Dickson – Kuala Lumpur anjuran Along @ Biawak Tasik dari grup d’ 68k Ampang bersama berbelas rakan kayuhan yang lain. Kali kedua ialah kayuhan Cherating – KualaTerengganu – Cherating bersama Muzammil dan kak Faiz semasa cuti Tahun Baru Cina tahun 2010.

Menyambung cerita, setelah ke bilik air untuk membersihkan diri saya kembali ke katil buaian (hammock) untuk menyambung tidur. Tidur dalam kedinginan pagi di Tasik Bera adalah satu nikmat yang sukar dilafazkan dengan kata – kata. Puas tidur, saya bangun kembali dan hari pun telah mulai cerah. Meminjam kamera Nikon D80 milik Shuk, saya berseorangan membawa basikal ke tepi tasik untuk merakamkan suasana pagi di tasik Bera. Berikut beberapa gambar – gambar yang sempat saya rakamkan.


 jam 0719: Di tebing tasik berhampiran dewan terbuka tempat kami menginap


 Pondok yang dibina di dalam tasik, barangkali dijadikan tempat untuk memancing


 Sejenis tumbuhan berbucu tajam yang mendominasi kebanyakan kawasan di tasik Bera


 
Kawasan berpagar milik Pusat Interpretasi Unit Pengurusan Tapak RAMSAR Tasik Bera bawah kelolaan Jabatan Perhilitan


 Tapak haiwan pemangsa ? 


jam 0738: Dewan terbuka tempat kami berempat menginap


 
Kayak dan sampan gentian kaca (fibreglass) untuk disewa oleh pengunjung


 
Pemberitahuan umum mengenai undang – undang perikanan


jam 0748: Kawasan hutan pinggir tasik yang masih berkabus di awal pagi


jam 0749: Refleksi pemancing di air tasik


 jam 0759: Basikal saya berlatarbelakangkan jeti Tasik Bera


 jam 0801: Rumah terapung yang terletak di seberang tasik


 jam 0803: Pandangan bahagian dasar tasik bersama sejenis rerumput air


jam 0810: Kawasan siarkaki yang terdapat di pinggir tasik


Refleksi basikal saya di air tasik


 
Satu lagi refleksi basikal saya, pada sudut lain pula


Selesai merakamkan gambar, saya kembali ke dewan tempat kami menginap pada jam lapan setengah. Didapati Ah Chong sudah bangun dari tidur dan uncle Chew telah pun mandi dan mempersiapkan barangannya. Saya kemudian mengajak Ah Chong ke tasik, kali ini dengan memberikan beliau tugasan untuk menjadi jurufoto peribadi saya pula hehehe ... Setelah merakamkan gambar masing – masing, kami berdua pergi ke kawasan tebing berhampiran kawasan bawah jeti. Ketika berada di situ, saya melihat sebahagian laluan siarkaki ditenggelami air tasik. Tiba – tiba, datang idea nakal untuk berbasikal meredah air tasik yang sedalam lebih kurang lima belas sentimeter itu. Saya mengarahkan Ah Chong untuk mengambil pada sudut yang difikirkan sesuai, sambil saya mengayuh basikal di dalam air tasik. 


jam 0832: Ah Chong dan uncle Chew telah bangun dari tidur apabila saya kembali ke tempat kami menginap


Ah Chong turut mengambil peluang untuk bergambar kenangan


Ooppsss, aksi seksi ‘beach boy’. Errr bukan, ‘lake boy’ lah hehehe ...


 
Berbasikal melalui kawasan siarkaki yang telah ditenggelami air tasik


“Jom, kita cuci basikal” ...


 
“Peace, no war” ...


Puas bermain air sambil berbasikal, saya mengajak Ah Chong untuk ke jeti pula. Saya membawa basikal naik ke atas mengikuti jalan jauh manakala Ah Chong memanjat tebing tanah di lereng bukit untuk ke jeti. Dari jeti utama, kami berdua turun ke jeti terapung dan bergambar kenangan di situ pula. Seperti biasa, minda saya tiba – tiba mendapat idea untuk menjalankan penggambaran ala kreatif pula ...


Kawasan jeti utama dan jeti terapung dari arah Bera Lake Resort


 
Pemandangan jeti terapung dari bahagian tepi jeti utama


Di jeti utama menuju jeti terapung


Berada di jeti terapung, berlatarbelakangkan jeti utama (kanan) dan kafetaria Bera Lake Resort (kiri)


 
Sedang mengaktifkan mode santai


 
Menikmati suasana pagi di persekitaran Tasik Bera


 
Ah Chong, bergambar kenangan di jeti terapung


 
Bermeditasi bersama basikal ?


 
Berkayuh atas jeti terapung pula. Semua tempat nak dikayuhi, aduhaiii ...


Bergambar sudah, berkayuh pun sudah, tiba – tiba perut berasa lapar pula. Kelihatan dari jauh, Shuk dan uncle Chew telah berada di kafetaria untuk bersarapan. Saya kemudian mengajak Ah Chong untuk bersama mereka bagi bersarapan.


“Aduhhh, kena pikul basikal naik tangga lah pulak” ...


 
Ah Chong berkayuh di jeti utama dalam perjalanan menuju ke kafetaria


Lagi anak tangga harus dilalui untuk ke kafetaria


Tibanya kami berdua di kafetaria, Shuk dan uncle Chew telah pun menghabiskan sarapan mereka. Cuma menu nasi lemak sahaja yang dijual untuk makanan pada pagi itu, tiada pilihan lain, nasi lemak pun nasi lemak lah ... Jika kafetaria ini tidak dibuka pun ianya tidak mendatangkan masalah pada kami berempat kerana telah membawa beras dari rumah dan membeli makanan dalam tin semasa singgah di bandar Bera sebagai persediaan. Semasa bersarapan, Ah Chong memberikan keputusan yang amat sukar untuk dibuatnya iaitu beliau akan balik ke Kuala Lumpur bersama basikal dan kereta saya. Selepas ini, hanya kami bertiga sahaja yang akan menyambung perjalanan ke Tasik Chini dan kemudian pulang ke Temerloh.


 
Basikal diletakkan berhampiran kafetaria


 
Menikmati sarapan masing – masing dengan menu yang sama iaitu nasi lemak


Sesudah bersarapan pada lebih kurang jam sepuluh pagi, kami beredar dari kafetaria menuju ke dewan terbuka. Mengemaskan barangan peribadi masing – masing, juga mempersiapkan basikal dengan barangan yang akan dibawa. Dalam jam sebelas setengah, kami semua meninggalkan kawasan tempat bermalam dan naik ke atas di kawasan tempat meletak kereta Bera Lake Resort. Berhadapan tempat meletak kereta terdapat sebuah papantanda peta kawasan Tasik Bera. Kami bergambar kenangan di sini, dengan disertai oleh seorang wanita berbangsa Cina iaitu isteri kepada salah seorang pemancing yang kami temui malam tadi ketika di jeti terapung.


 
Foto bersama semua ahli kayuhan, basikal Ah Chong tidak kelihatan kerana telah diletakkan di atas rak basikal di bumbung kenderaan


 
Seorang wanita berbangsa Cina turut bergambar kenangan bersama kami


Habis bergambar, kami memulakan kayuhan menuju ke persimpangan masuk jalan utama - jalan tasik Bera dengan diiringi Ah Chong yang berkereta. Melalui kawasan pendakian yang agak curam, inilah tentangan awal untuk kami bertiga seawal dua kilometer pertama. Ah Chong kelihatan agak gembira menyakat saya dan Chuk yang ketinggalan jauh di belakang uncle Chew dengan cara membunyikan hon dan menyuruh kami mempertingkatkan kelajuan. Sabor ajelah ... Sampai di pertengahan, laluan pendakian mulai rata dan kebanyakan hanya menuruni bukit hinggalah tiba di pos pengawal. Semasa menuruni bukit, kami harus lebih berhati – hati agar tidak melanggar atau dilanggar kenderaan yang datang dari arah depan kerana pandangan terhalang oleh jalan sempit yang berliku.


 
Pusat Interpretasi Unit Pengurusan Tapak RAMSAR Tasik Bera di bawah seliaan Jabatan Perhilitan yang terdapat sebelum tiba di Bera Lake Resort dan boleh dilawati oleh orang awam


 
Pendakian awal dalam perjalanan keluar dari Tasik Bera


 
Uncle Chew jauh meninggalkan saya dan Shuk di belakang


Selang lebih kurang lima belas minit meninggalkan perkarangan Bera Lake Resort, kami bertiga sampai di pintu gerbang dengan didahului oleh Ah Chong beberapa minit sebelumnya. Kami bertiga mengambil gambar, gambar terakhir bersama Ah Chong sebelum beliau pulang ke Kuala Lumpur manakala kami bertiga menyambung perjalanan. Selesai bergambar, kami bersalaman dan menghala ke destinasi masing – masing.


 
Pos pengawal di pintu masuk ke Tasik Bera


 
Pintu gerbang ke jalan masuk Tasik Bera


 
Pelan lokasi kawasan Tasik Bera


 
Bersama Ah Chong di pintu gerbang


 
Ahli kayuhan kini hanya tinggal tiga orang : (


 
Mula memasuki jalan Bera Selatan – Felda Melati


B E R S A M B U N G ...