ADS

03 December 2011

Kayuhan Solo Telok Kemang - Shah Alam: 25.09.2011, Bhgn 1

Sedikit sedutan dari episod lalu ... Untuk mendapatkan mood gitu ( : 

Setelah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal antara kami berlima, kereta dipandu Nan kemudiannya membawa kami berdua menuju Taman Intan Perdana yang terletak dalam kawasan Telok Kemang, tidak jauh dari Politeknik Port Dickson. Kami sampai di rumah Makngah saya lebih kurang jam 2300 malam. Setelah mengeluarkan basikal dari kereta, Nan sempat bertemu Makngah saya dan kemudiannya memohon untuk pulang ke rumahnya.

Esoknya, saya akan berkayuh seorang diri dari Telok Kemang ke Shah Alam kerana Adnan akan pulang ke Shah Alam menghadiri kelasnya pada pagi Ahad. Jika tidak, pasti beliau akan menemani saya untuk ke Shah Alam bersama. Moga perjalanan keesokan hari saya akan berjalan lancar, dilindungi oleh Allah SWT dan terhindar dari sebarang kejadian tidak diingini. Amin ...

Nota
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan / maklumat lanjut. Setiap gambar boleh diklik untuk melihat imej dengan resolusi lebih tinggi. 

Penghujung 24.09.2011
Sebelum masuk tidur, Makngah sempat membuatkan saya secawan kopi panas. Alahaiii, baik sungguh mak sedara aku sorang ni. Terima kasih Makngah ! I love you very strong lah muahh muahhh ... Saya memilih untuk tidur di ruang tamu, berdua bersama anak bongsu lelakinya iaitu si Jijie. Kesempatan menggunakan alasan lenguh berkayuh seharian dalam jarak yang jauh, saya gunakan untuk membuli si Jijie dengan meminta dia memicit anggota badan. Dengan perasaan terpaksa, Jijie memicit-micit di bahagian badan seperti yang diminta. Yes, yess, yesss ! Kepuasan terpancar di wajah saya hehehe ... [mode: tumbuh tanduk]


Jijie in da house, yaww ..


Saya ingatkan akal saya sudah cukup panjang, rupanya beliau lebih 'panjang akal'. Dengan selambanya beliau menawarkan urutan dengan menggunakan kerusi urutan yang terdapat di ruang tamu rumah. Bukan sahaja menghidupkan suis kerusi urut tersebut, malahan turut mengajar aturan (setting) bagi melaraskan kelajuan dan kekuatan urutan yang diperlukan. Cissss, kata saya dalam hati hahaha ...

Semasa saya sedang diurut dengan menggunakan kerusi, beliau asyik menonton tv perlawanan bolasepak di saluran berbayar. Perlawanan antara dua pasukan liga Inggeris yang saya sendiri sudah lupa apa pasukannya kerana maklumlah, saya ni tak minat bolasepak. Lebih-lebih lagi perlawanan yang tidak diulas oleh Datuk Haji Hasbullah Awang ... "Ok, kembali kita ke Angkasapuri ..." Ooppsss, terguna qoute beliau lah pulak hehehe ...

Kenal tak siapa ni ?


Awal 25.09.2011
Sekali lagi, saya mahu menduga Jijie dan sekaligus membuli dia. Saya katakan yang kerusi urut ini tidak sebagus Jijie mengurut saya. Tanpa diduga, beliau mengeluarkan pula alat mengurut elektronik kecil mempunyai dua pad berwayar yang disambungkan kepada unit induknya. Alat itu memberikan kesan seolah menerima kejutan kecil elektrik berarus rendah, membuatkan anggota badan seolah memberi refleks kepada setiap denyut kejutan. 

Aduhhh, nampaknya tak berhasil lagi hasrat untuk membuli beliau, memang sahlah budak ni panjang akal ... Dari dua pad urutan, Jijie turut menukarkan modul urutan kepada sepasang kasut dan alat seumpama pengepit baju di ampaian yang boleh dihubungkan dengan unit induknya. Hilang juga lenguh-lenguh berkayuh selama setengah hari siang tadi. Tak dapat dipicit oleh manusia, kena picit ala elektronik pun jadilah hahaha ...

Awal pagi itu, kami melayan perlawanan antara kelab bolasepak Chelsea dengan satu kelab dalam Liga Inggeris. Ooooo, kini saya faham yang Jijie adalah penyokong kuat kelab tersebut, bukan sahaja dari pemakaian jersi bahkan dari kekuatan matanya yang dapat menahan mengantuk semata-mata untuk menyaksikan perlawanan secara langsung. Mata saya perlahan-lahan mengecil dan tanpa disedari tertidur sebelum dapat menghabiskan separuh masa pertama perlawanan tersebut. zZzZz, krohhhh krohhhh krohhhh ...

Jam 0400+ pagi, saya terbangun kerana merasa terlalu sejuk dan ingin mengurangkan kelajuan kipas siling. Bunyi guruh berdentum-dentam, berselang-seli dengan bunyi panahan halilintar yang kuat menghentam bumi. Hujan rintik pada mulanya bertukar menjadi lebat. Sebelum kembali menyambung tidur, saya berdoa dalam hati agar hujan ini akan berhenti pada awal pagi agar dapat segera memulakan kayuhan di siang hari nanti.

Subuh 25.09.2011
Lebih kurang jam 0530 pagi saya terbangun lagi, sayup-sayup kedengaran bacaan ayat suci Al Quran dilagukan dari masjid berhampiran. Hujan masih lagi lebat, seolah tiada tanda-tanda menunjukkan ianya akan reda. Saya mencari kunci pintu dan berjaya menemukannya, membuka pintu lalu keluar ke arah basikal. Basikal masih di situ, dikunci pada tiang dalam kawasan laman depan rumah yang berpagar. Saya membuka kunci basikal, kemudian mengambil beg pannier yang diletakkan di dalam rumah untuk memasangnya kembali pada rack belakang basikal. Seruan azan Subuh berkumandang ketika saya selesai memasang pannier tersebut. Saya kemudian menumpang bilik Jijie untuk solat Subuh, sebelum menyambung kembali tidur.

Matahari terbit 25.09.2011
Hari telah cerah dengan langit berkeadaan mendung dan hujan masih lebat ketika saya bangun dari tidur pada jam 0700+ pagi. "Hmm, camna nak mula berkayuh ni, kalau mula lambat kang jenuh nak berkayuh di Bukit Pelandok ketika matahari tegak di atas kepala", getus saya dalam hati. Saya menghidupkan peti tv, kemudian menonton siaran berita pagi untuk mengetahui sebarang perkembangan dan maklumat terkini. Semasa menonton tv, suami Makngah, iaitu saya panggil Pakngah keluar dari bilik. Kami bersalaman, kerana tidak berjumpa beliau pada malam sebelumnya. "Maaflah, bila kamu sampai malam tadi Pakngah dah tertidur, keletihan". Pagi ni nak menghantar Kakyong ke Seremban, dia nak balik ke UITM Shah Alam", katanya.


Makngah (Norzalila Mohamed Salim)  & Pakngah (Mohd Salleh)


Kemudian, Makngah mengajak saya bersarapan bersama. Menu sarapan kami pagi itu, bubur nasi, lemang dan serunding daging. Anak-anak mereka turut menyertai saya bersarapan, dengan diakhiri oleh Pakngah yang turut menyertai kami kemudiannya. Ohh ya, hanya Abang Ngah iaitu anak kedua pasangan Makngah - Pakngah saya yang tiada di rumah ketika itu, Selesai bersarapan, saya keluar ke laman rumah untuk memerhatikan keadaan cuaca. Hujan masih lagi belum berhenti, dimana waktu ketika itu menghampiri jam 0900 pagi. Pakngah dilihat terkial-kial berhampiran sebuah basikal. Saya memerhatikan sahaja dari kejauhan, rupanya beliau cuba menukarkan pedal sebuah basikal yang rosak dengan menggunakan spanar boleh laras (adjustable spannar).


Anak-anak Makngah - Pakngah. Dari kanan; Kakyong (Nurfarah Ain), Jijie (Mohd Hazizi Hafiz), Iqa (Nurfarahatiqah), Abang Ngah (Mohd Hafifi Hafiz) & Farah (Nurfarahazira)


Melihatkan keadaan tersebut, saya mengeluarkan spanar gabung (combination spannar) no. 15 dari beg di basikal saya dan menolong beliau untuk membuka pedal tersebut. Percubaan demi percubaan dilakukan. Sebelah darinya berjaya dibuka, dan kami mencuba untuk membuka sebelah lagi. Praaannnggg, spanar gabung tersebut patah dan serpihannya melayang entah kemana. Nasiblah tidak mengenai sesiapa mahupun pintu dan tingkap kaca yang berhampiran. Pedal tersebut terlalu ketat untuk dibuka. Kami berdua tidak dapat membuka pedal itu. Pakngah mengatakan akan membawa basikal tersebut ke kedai basikal berhampiran untuk menukar pedalnya.

Lebih kurang jam 0930 pagi, Pakngah meminta diri untuk keluar menghantar Kakyong ke Seremban. Kakyong iaitu anak sulung perempuannya menuntut di UITM Shah Alam, dari Seremban dia akan pulang sendiri ke Shah Alam dengan menaiki pengangkutan awam. Usai bersalam dengan keduanya, Pakngah mengeluarkan keretanya dari laman rumah dah meninggalkan saya bersama ahli keluarganya yang lain. Sementara menunggu hujan reda, saya sempat menghantar sms pada seorang teman yang kebetulan tinggal di taman perumahan yang sama, cuma di lorong berlainan. Biarlah saya menamakan insan itu sebagai cik J, bukan J-Lo tau ! (nama dirahsiakan atas sebab privacy, ahaksss).

Waktu menunjukkan jam 1000 pagi, hujan telah mulai reda sepenuhnya. Saya mendapat balasan sms dari cik J memberitahu yang beliau masih di pasar, membeli bahan untuk memasak kerana ada rakannya akan datang ke rumah. Sementara menunggu, saya menengok-nengok keadaan basikal dan membuat persiapan terakhir. Puas memeriksa, saya masuk ke dalam rumah untuk menonton tv. Sedang menonton, dari dalam rumah saya ternampak kelibat sebuah kereta MyVi berwarna putih di hadapan simpang membelok ke arah kanan. Saya menganggarkan yang cik J telah pulang dari pasar, lalu sms beliau untuk meminta alamat no. lorong dan rumah. Beberapa minit kemudian, saya mendapat balasan sms dari beliau memberikan alamat seperti yang diminta.

Lepak dengan Cik J 
Setelah memastikan tiada sebarang barangan yang tertinggal, saya kemudiannya meminta izin dari Makngah untuk pulang dan memberitahu yang saya akan ke rumah seorang teman di taman perumahan yang sama sebelum pulang ke Shah Alam. Selesai bersalaman dengan Makngah dan anaknya serta mengucapkan terima kasih, saya keluar dari rumah menghala ke lokasi rumah yang dicari. Sambil perlahan mengayuh basikal, saya mengeluarkan telefon bimbit untuk memeriksa alamat rumah. Aduhhh, terdelete lah pulak sms tadi huhuhu ... Saya hanya mengingati no. jalan, tetapi tidak no. rumah. Nampak gayanya, terpaksa kehulu-hilir mencari lokasi rumah tersebut. Ohhh, tiba-tiba saya terfikir. Kenapa perlu bersusah payah, baik dicari sahaja rumah yang mempunyai sebuah kenderaan Perodua MyVi berwarna putih. Hmmm, apalah saya ni. Aduhaiii ...

Kelihatan sebuah rumah ditengah antara deretan yang mempunyai sebuah Perodua Myvi berwarna putih dengan no. pendaftaran saya cam. Salam diberikan dan kemudian dijawab oleh tuan rumah. Memang tidak salah lagi, itulah rumah cik J. Beliau menjemput saya ke dalam dan meminta sedikit masa untuk bersiap. Sementara menunggu, saya menggunakan alat senaman ala bermain luncur salji yang terdapat di ruang tamu rumah, kira macam warm-up sebelum berkayuh lah tu hehehe ... Fuhhh, fuhhh ... [sambil mengesat peluh].

Beberapa minit kemudian, cik J mengajak saya ke bahagian dapur rumahnya, dimana terletak sebuah meja makan. Beliau menghidangkan gorengan sejenis snack tradisional Jawa dari Johor yang dinamakan mee siput pemberian rakan karibnya bersama kopi o kaw dari Tenom, Sabah. Saya yang memang penggemar kopi, tidak membuang masa untuk menikmati kopi tersebut. Aromanya, perghhh !! Apabila dibancuh dengan kadar air panas dan sukatan gula yang sesuai, memang terbaekkk lah !! Sambil makan, kami berbual dengan pelbagai topik yang diperbincangkan. Kebanyakannya berkisar pada dunia rekreasi outdoor

Tunda waktu pulang
Dalam rancak berbual, sempat saya menjeling pada telefon bimbit untuk memeriksa waktu. Alamak, dah jam 1100 pagi. Saya yang pada mulanya bercadangnya nak balik tepat jam 1100 pagi, menunda ke jam 1200 tengahari. Berborak punya berborak, waktu pun dah mencecah jam 1200 tengahari. Hmm, belum rasa puas lagi bersembang dengan cik J yang peramah dan kelakar ni hahaha ... Orait, saya memberikan had terakhir iaitu hingga jam 1300 tengahari. Sebab apabila dihitung, jika saya bertolak dari Telok Kemang pada jam 1300, paling lambat pun saya akan tiba di Shah Alam pada jam 1900 malam jika tidak berlaku sebarang halangan. Setelah pelbagai kisah dan pengalaman kami kongsikan, waktu pun hampir mencecah jam 1300 tengahari. Walaupun rasa berat untuk menamatkan pertemuan kami, tetapi saya harus segera bertolak dari Telok Kemang pada jam ini untuk memastikan tiba di Shah Alam sebelum hari gelap.

Memulakan perjalanan pulang
Saya memohon diri untuk pulang pada cik J, mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal lalu memulakan kayuhan tepat pada jam 1300 tengahari. Ketika Taman Intan Perdana mula saya tinggalkan, azan Zohor terdengar berkumandang. Saya memberhentikan seketika kayuhan untuk menghormati seruan azan, dan kemudian menyambung perjalanan setelah laungan azan tamat. Beberapa minit kemudian, saya berhadapan dengan sebuah bukit yang boleh tahan juga untuk didaki dengan basikal tatkala matahari tegak di atas kepala. "Ehhh, camna bukit ni boleh ada ? Masa Nan tolong hantarkan ke rumah Makngah hari tu tak perasan pun". Hmm, nak tak nak redah ajelah mujur bukit tersebut tidak jauh jaraknya.

Telok Kemang - Pantai Batu 4 - Bandar Port Dickson - Lukut
Melepasi laluan berbukit tersebut, laluan kembali landai dan kini saya berada di jalan berselari dengan pagar Politeknik Port Dickson. Jalan tersebut membawa saya ke simpang tiga, jalan utama Port Dickson - Telok Kemang. Saya melintas jalan dan jarak beberapa ratus meter dari situ menemukan sebuah papantanda bertulis Telok Kemang. Saya berhenti untuk mengambil gambar basikal bersama papantanda, signifikan untuk tema kayuhan saya pada hari itu.


Jam 13:14:58, titik permulaan bagi kayuhan saya hari itu

Perjalanan disambung semula, melintasi kawasan peranginan pantai Batu 4, Port Dickson yang mula dibanjiri dengan pengunjung. Mungkin mereka tidak dapat datang seawal pagi kerana cuaca hujan dan memilih untuk mula datang pada tengahari. Setelah lebih kurang sejam berkayuh dari Telok Kemang, bandar Port Dickson saya tinggalkan dan mula memasuki pekan Lukut.

Jam 14:08:15, tiba di pekan Lukut

Lukut - Taman Jimah Jaya Site C
Melalui deretan kedai-kedai di pekan kecil Lukut, saya kemudian sampai di simpang tiga berlampu isyarat jalan Sepang - Lukut dan jalan Port Dickson - Seremban. Dari situ, saya memasuki simpang ke kiri menghala ke Sepang. Saya menempuh satu laluan berbukit yang terdapat tanah perkuburan Cina di sebelah kanannya, menandakan permulaan bagi laluan mendaki Lukut - Sepang. Di sebuah papantanda, saya berhenti untuk bergambar dengan jarak perjalanan ke Sepang berbaki 18 kilometer dan Bukit Pelandok 10 kilometer. Kelang pula ? 107 kilometer, argghhh jauhnya ...


Jam 14:15:19 petang, mula memasuki zon pendakian di Jalan Persekutuan No. 5, laluan Lukut - Sepang

Perjalanan bersambung dan saya melalui sebuah jambatan sempit di atas sungai Lukut Besar. Sebelum melalui jambatan tersebut, saya melihat ke belakang bagi memastikan tiada sebarang kenderaan lebar di belakang dan terus memecut untuk melepasi jambatan itu secepat mungkin. Ini adalah jika terdapat kenderaan lebar di belakang, ianya tidak dapat memotong saya yang bergerak perlahan dan sudah tentulah akan berlaku sedikit kesesakan bagi kenderaan yang mengekorinya. Beberapa ratus meter dihadapan, saya melepasi deretan kedai di sebelah kanan dan sebuah stesyen minyak di sebelah kiri di kawasan kecil bernama D' Ambang Kota.

Laluan seterusnya beralun dengan diselangi antara menaiki dan menuruni bukit. Selepas simpang masuk ke Kuala Lukut di sebelah kiri, saya kemudian tiba di deretan kedai sebuah kawasan bernama Taman Jimah Jaya Site C dan berhenti di sebuah hentian bas. Odometer basikal saya mencatatkan jumlah jarak kayuhan sebanyak 29.6 kilometer. Dari pengalaman lalu sewaktu beberapa kali singgah di sini, selalunya akan terdapat makcik menjual air tebu. Tetapi pada kali ini, beliau tidak meniaga pula. Kempunan nak minum air tebu huhuhu ... "Tak dapat minum air tebu, minum ajelah air mineral yang dibawa tu untuk membasahkan tekak", kata saya sendiri dalam hati.


Jam 14:39:15 petang, lepak sekejap di hentian bas, hentian wajib-singgah jika melalui laluan Lukut - Sepang dari PD

Taman Jimah Jaya Site C - Sepang
Puas berhenti rehat, membasahkan tekak, dan meningkatkan jatidiri (chewaaahhh), saya meneruskan perjalanan melalui laluan yang beralun naik dan turun. Melalui jalan berbukit dengan beban barangan yang dibawa ditambah suhu panas dan berseorangan memang menguji mental saya. Namun berkat pengalaman lalu dan kecekalan, semua itu berjaya diharungi. Kepanasan matahari dan kebasahan hujan masih boleh lagi saya gagahi, tetapi semangat mungkin merosot jika terdapat angin yang bertiup dari arah hadapan. Melepasi beberapa blok estet kelapa sawit, saya tiba di satu kawasan landai dan menjumpai batu penanda jarak yang menunjukkan perjalanan ke Sepang berbaki cuma 10 kilometer sahaja lagi. Lebih kurang 100 meter dihadapan, terdapat sebuah hentian bas dimana satu papantanda 'harapan palsu' diletakkan pada tiang berhampiran. Udah lah saya kempunan nak minum air tebu tadi huhuhu ...


Jam 14:48:07, jarak ke Sepang berbaki 10 kilometer
 
Harapan palsu ! Mana air tebunya ?

Menghampiri kemuncak pendakian, saya menjumpai sebuah papantanda 'ular kena palu' di hadapan. Ohhh, bukan ada ular betul pun. Ia sebenarnya membawa maksud perumpamaan jalan yang berliku-liku sejauh 6 kilometer di hadapan. Berliku-liku, tidak mengapa. Jangan jalan berbukit udah ... Tapi, memang jalannya berbukit pun ohhhh tidaaakkkk ...


Jam 14:59:10. 'Ular kena palu' sejauh 6 km dihadapan


Setelah berkayuh mendaki, menuruni bukit serta melalui kawasan 'ular kena palu', di suatu kawasan bernama Sepang saya meninggalkan Negeri Sembilan Darul Khusus dan memasuki negeri Selangor Darul Ehsan apabila melepasi jambatan yang melintasi sebuah sungai, sungai Sepang.


Kawasan Sepang, ditunjukkan dengan Google Maps

Kisah selanjutnya bersambung di episod seterusnya. Persimpangan dilema - kurang selera makan - laluan lurus panjang dan berangin - perasaan takut - menikmati keindahan alam - tayar pancit dsbnya akan saya kongsikan, harap sabar menanti. Tungguuu ...


"Dreams will get you nowhere, a good kick in the pants will take you a long way" - 
Baltasar Gracian

4 comments:

Anonymous said...

sukerrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr !!!!!!

Azizan Zolkipli said...

@Anonymous: Terima kasih. Saya pun sukerrrrrrrr juga !!!!!

gadisBunga™ said...

episod seterusnya bunyi mcm part klimaks dalam novel. heheh~

Azizan Zolkipli said...

@gadisBunga: hehehe ... pengaruh drama bersiri Tentang Dhia kot : p