Sedutan dari episod lalu ... Bagi mendapatkan mood serta momentum bacaan ( :
"Setelah berkayuh mendaki, menuruni bukit serta melalui kawasan 'ular kena palu', di suatu kawasan bernama Sepang saya meninggalkan Negeri Sembilan Darul Khusus dan memasuki negeri Selangor Darul Ehsan apabila melepasi jambatan yang melintasi sebuah sungai, sungai Sepang ..."
Pekan kecil Sepang, seperti ditunjukkan dalam Google Maps |
Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Gambar dengan imej lebih beresolusi tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar.
Di persimpangan dilema
Amboiii, udah macam tajuk lagu dendangan Nora pula ni hahaha ... Mengapa saya berkata begitu ? Mestilah ada sebabnya ... Di Sepang ini, saya berasa serba salah samada untuk melalui semula jalan berbukit dan terbuka yang dilalui semalam berdua bersama Nan secara berseorangan hari ini ataupun melalui laluan landai lurus kawasan Sepang - Sg. Pelek - Bagan Lalang - Tanjung Sepat - Batu Laut - Morib yang rasanya amat membosankan itu. Odometer di sini telah mencatatkan bacaan jumlah jarak kayuhan sejauh 40.72 kilometer.
Ahhh, tidak mengapa yang penting kita isi perut dulu sebab dah mula berkeroncong. Saya berhenti di sebuah kedai menjual buah-buahan di tepi jalan, dengan gantungan pisang di luar kedai tersebut ia membuatkan 'nafsu pisang' saya membuak-buak. Boleh gitu ? Hendak makan nasi, selera makan pula seakan mati kerana cuaca terlampau panas. Walaubagaimanapun, saya harus menambah kalori untuk mendapatkan tenaga bagi menyambung kayuhan.
Kedai itu bernama Syarikat Perniagaan Indrani dan adalah kedai paling hujung dalam deretan. Sejenak saya terfikir, pernah berhenti di situ tetapi entah bila. Setelah diingat-ingat kembali, rupanya saya dan tiga rakan lain pernah berhenti di situ bagi menyelesaikan persoalan acara treasure hunt Shah Alam - Blue Lagoon, Port Dickson anjuran kelab OGKL beberapa tahun dahulu.
Jam 15:21:52 petang: Syarikat Perniagaan Indrani, menjual buah-buahan di pekan kecil Sepang |
Gantungan pisang di luar kedai tersebut |
Saya meletakkan basikal berhampiran kedai, berjalan ke arah gantungan pisang dan memilih sesikat pisang yang saya rasakan paling berkeadaan baik. Pisang itu saya bawa masuk kedalam dan letakkan di atas meja kaunter kedai tersebut. Saya juga mengambil setin air minuman isotonik 100 Plus dari peti sejuk sebagai penambah selera. Iyelah asyik minum air kosong aje bila makan pisang ni nak juga diminum dengan air berperisa. Penjaga yang saya rasakan mungkin tuan empunya kedai tersebut, lelaki tua berbangsa India sedang membaca suratkhabar ketika saya meletakkan kedua-dua barangan di atas mejanya. Menyedari kehadiran saya, dia meletakkan suratkhabarnya ke sisi dan berlakulah dialog berikut:
Tuan kedai: "Mau pergi mana adik ?"
Saya: "Mau balik Shah Alam lah ane ..."
Tuan kedai: Waahhh, lagi banyak jauh ooooo adik ... Saya tengok tadi adik mari sama basikal, kan adik ?"
Saya: Ye ane, saya basikal mari. Dari Telok Kemang, sekarang mau balik Shah Alam.
Tuan kedai: "Ayoyo, banyak kuat lah lu adik. Tarak letey ka ?"
Saya: "Tarak lah ane, sudah biasa ..."
Tuan kedai: "Kayuh basikal banyak baik lah adik, boleh exercise kita punya badan ..."
Setelah itu, perbualan kami berkisar pada kebaikan berbasikal dan beliau juga sempat bertanyakan pengalaman berbasikal saya di masa lalu. Menyedari yang saya telah menghabiskan masa lama di situ, saya memintas perbualan kami dan menanyakan harga pisang tersebut. Alangkah terperanjatnya saya yang sesikat pisang itu cuma berharga RM1. Adakah kerana harga pisang di kawasan itu sememangnya murah ataupun kerana keramahan kami bersembang, itu saya tidak pasti. Setelah membayar harga pisang dan minuman, saya bertanya lagi pada tuan kedai.
Saya: "Ane, ikut sini pergi Kelang sama ikut jalan Sepang F1. Mana lagi dekat aaa ?"
Tuan kedai: "Oooo, tak berapa tau lah adik. Tapi saya rasa, ikut sini, sikittttt jauh lah adik. Sikitttt jauh ..."
Saya: "Ohhh, sikit jauh ekk ane. OKlah, itu macam kalu saya mau ikut sini lah. Malas lah mau ikut sana jalan, banyak bukit ooo ... Terima kasih ane aaa ..."
Tuan kedai: "Sama-sama ... Bawa basikal baik-baik aaa adik ..."
Meninggalkan tuan kedai, saya yang tadinya merasa 50/50 untuk mengikut jalan yang mana satu. Kini telah pasti untuk mengikuti laluan ke Sungai Pelek - Bagan Lalang ini. Walaupun di sudut hati pernah melalui jalan tersebut dengan berkereta dan merasakan ianya jauh, tapi perkataan "sikittttt jauh" tadi masih terngiang-ngiang di kepala dan itu membuatkan saya lebih nekad melalui jalan itu.
Pisang dan setin air isotonik yang dibeli, saya makan dengan bersila di atas lantai jalanraya di luar kedai tersebut. Beberapa kereta yang lalu lalang di situ kelihatan memandang saya dengan perasaan yang pelik, ini dizahirkan dengan melihat mimik muka mereka. Hehehe, pedulikan mereka yang penting saya hepi lalalalala ...
Sesisir pisang dibeli bersama setin minuman isotonik buat penambah tenaga ketika berhenti rehat di pekan Sepang |
Nota selingan:
Ketika membuat artikel ini, barulah saya tahu yang penjodoh bilangan sesisir dan sesikat pisang adalah sama dari segi maksud dan kuantitinya. Aduhhh, lemah sungguh perbendaharaan kata Bahasa Melayu saya ... Terima kasih pada rakan-rakan di Facebook yang sudi berkongsi pengetahuan mereka, terutamanya pada abang Rahman Rasul yang memberikan contoh berikut: Sikat rambut = Sisir rambut // sesisir pisang = sesikat pisang.
Penjodoh bilangan bagi pisang, sumber dari Wikipedia |
Sepang ke Sungai Pelik Pelek
Selesai makan dan minum, saya membuang sampah ke bakul sampah yang disediakan di luar kedai buah-buahan tersebut. Dengan tekad ingin melalui laluan yang dipilih ini, saya meneruskan kayuhan melalui Jalan Persekutuan No. 5 bagi mengelakkan melalui jalan berbukit di Jalan Negeri B48 dan Jalan Kuarters KLIA berhampiran Litar F1 Sepang. Perjalanan pada peringkat awal memang menyenangkan hati, dengan laluan sikal khas di sepanjang bahu jalan disertai dengan jalan yang landai dan melalui beberapa perkampungan di kiri kanan jalan. Tidak syak lagi, inilah keputusan tepat yang telah saya ambil !
Lebih kurang dua kilometer meninggalkan pekan Sepang, saya melalui sebuah jambatan yang melintasi Sungai Kelembai. Teringat pula kisah mitos Sang Kelembai yang suka menyumpah sesuatu yang melintasi di hadapannya menjadi batu. Mungkinkah sungai tersebut mempunyai ceritanya yang tersendiri ?
Enam kilometer dihadapan meninggalkan Sungai Kelembai, saya melepasi sebuah pekan yang lebih besar dari pekan Sepang, iaitu Sungai Pelik Pelek. Kelihatannya pekan ini lebih pesat membangun dari pekan Sepang, dengan dilengkapi Sekolah Rendah Agama, stesyen minyak, klinik kesihatan, pejabat pos, SRJK (C) [Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina], masjid, balai polis, SRJK (T) [Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil], sekolah menengah, tokong Hindu, medan selera, bank, kedai makanan segera juga kedai 24 jam. Deretan kedai-kedainya juga lebih banyak dari pekan Sepang. Terfikir pula akan saya, kenapa harus mendapat nama daerah Sepang sedangkan Sungai Pelek ini lebih besar keluasannya. Mungkinkah kerana nama Sungai Pelik Pelek ini tidak komersial ? Cuba bayangkan, daerah Sungai Pelik Pelek. Hmm, pelek, pelik, pelik ... Hehehe ...
Pekan SungaiPelik Pelek ke Persimpangan Bagan Lalang
Kepesatan sebuah pekan kecil ditinggalkan, saya kini melalui laluan landai lurus yang terdapat estet-estet kelapa sawit dikiri kanan jalan. Angin yang boleh dikatakan kuat, mula bertiup dari arah depan dan memperlahankan kelajuan kayuhan saya. Jika dari Telok Kemang ke pekan Sepang kelajuan purata yang tercatat pada meter saya ialah 20 km/j, kini mula menurun ke angka 17 km/j. Lebih kurang tiga kilometer meninggalkan pekan Sungai Pelek, saya tiba di simpang memasuki Bagan Lalang.
Berhasrat pada mulanya ingin masuk ke dalam, tetapi setelah memikirkan harus berkayuh pada jarak enam kilometer pergi dan balik, hmmm lupakan ajelah niat itu. Kalau menaiki kenderaan berenjin, memang jarak tersebut adalah sangat dekat. Tapi bila dah berkayuh ni, kenalah berkira beb ! Ohh iye, Bagan Lalang ini terkenal dengan pantai serta restoran makanan laut yang sering dikunjungi bagi penggemar siput pepahat. Tarikan terbaru pengunjung di situ ialah Sepang Gold Coast Resort & Spa, sebuah tempat percutian yang bangunannya dibina di atas laut dan mempunyai bentuk seperti susunan pokok palma. Berkonsepkan seperti pulau buatan The Palm di Dubai, tapi pada skala yang jauh lebih kecil.
Pekan Sungai
Kepesatan sebuah pekan kecil ditinggalkan, saya kini melalui laluan landai lurus yang terdapat estet-estet kelapa sawit dikiri kanan jalan. Angin yang boleh dikatakan kuat, mula bertiup dari arah depan dan memperlahankan kelajuan kayuhan saya. Jika dari Telok Kemang ke pekan Sepang kelajuan purata yang tercatat pada meter saya ialah 20 km/j, kini mula menurun ke angka 17 km/j. Lebih kurang tiga kilometer meninggalkan pekan Sungai Pelek, saya tiba di simpang memasuki Bagan Lalang.
Berhasrat pada mulanya ingin masuk ke dalam, tetapi setelah memikirkan harus berkayuh pada jarak enam kilometer pergi dan balik, hmmm lupakan ajelah niat itu. Kalau menaiki kenderaan berenjin, memang jarak tersebut adalah sangat dekat. Tapi bila dah berkayuh ni, kenalah berkira beb ! Ohh iye, Bagan Lalang ini terkenal dengan pantai serta restoran makanan laut yang sering dikunjungi bagi penggemar siput pepahat. Tarikan terbaru pengunjung di situ ialah Sepang Gold Coast Resort & Spa, sebuah tempat percutian yang bangunannya dibina di atas laut dan mempunyai bentuk seperti susunan pokok palma. Berkonsepkan seperti pulau buatan The Palm di Dubai, tapi pada skala yang jauh lebih kecil.
Jam 16:13:28 petang. Berhampiran persimpangan masuk ke Bagan Lalang. |
Ooppss, ini gambar pahat daaa ... Jangan marah haaa ... |
Haaa, ini rupabentuk siput pepahat yang telah dimasak. Haiwan cengkerang ini berbentuk seperti pokok buluh |
Bagan Lalang ke Tanjung Sepat
Tidak mahu membuang masa (sebenarnya tenaga !), perjalanan diteruskan melalui jalan lurus yang sangat panjang. Angin masih kuat bertiup dari arah depan, dan sedikit sebanyak menurunkan jatidiri saya yang berkayuh di kawasan panas terbuka berseorangan. Di sini, saya mulai terasa sudah membuat keputusan yang salah iaitu untuk mengelak jalan berbukit yang pendek, tetapi harus menempuh jalan landai lurus yang panjang dengan pemandangan kiri kanan yang membosankan ditambah lagi harus meningkatkan kuasa kayuhan untuk melawan angin yang datang dari arah depan. Keadaan saya ketika itu, bolehlah diibaratkan seperti perumpamaan 'terlepas dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya' ... Apa-pun, keputusan yang diambil tidak boleh dibatalkan dan saya mesti menguatkan diri untuk meneruskan perjalanan agar sampai ke destinasi yang dituju.
Lebih kurang sepuluh kilometer berkayuh melepasi persimpangan ke Bagan Lalang, saya berhenti rehat di sebuah batu penanda jalan yang menunjukkan jarak perjalanan ke Morib masih bersisa dua puluh lima kilometer. Kesempatan berhenti di situ saya ambil untuk menghabiskan kesemua pisang yang dibeli dan minum air untuk membasahkan tekak. Memang hebat dugaan berkayuh di situ berseorangan. Di kiri dan kanan jalan hanya terdapat semak, kekadang ladang kelapa sawit tinggal, kebun kelapa dan juga estet-estet kelapa sawit yang masih diusahakan memberikan satu pemandangan yang membosankan. Teringat pada kes kematian seorang jutawan kosmetik membuatkan saya berasa sedikit gentar, takut-takut jika ianya terjadi kepada saya. Semasa berhenti rehat, saya dihiburkan oleh gelagat gembala menghambat lembu-lembu peliharaan mereka.
Jam 16:46:42 petang. Perjalanan berbaki 25 kilometer ke Morib |
Meninggalkan Port Dickson & Sepang jauh di belakang |
Berada di tengah-tengah, nak berpatah balik dah jauh. Nak tak nak, harus meneruskan perjalanan |
B E R S A M B U N G ...
"The world is the great gymnasium where we come to make ourselves strong"
- Swami Vivekananda
2 comments:
wah..bestnyer ko pergi berbasikal camni..
Amer@TendToTravel: mengembara secara berbasikal adalah bagi saya kos yang paling murah, iaitu dapat dijimatkan pada kos pengangkutan (tak perlu isi minyak, isi perut aje) dan penginapan (bawa khemah, menginap di mana2 sahaja).
lebih bagus dari berkenderaan iaitu terlalu laju & kita akan missed out banyak lokasi/benda, dan juga lebih laju jika banding dengan jalan kaki hahahaha ...
so apalagi, jom 'basikal touring' !
Post a Comment