ADS

24 February 2012

'Cyclo - Tourism': Klang, Bandar Diraja Selangor, Bahagian 4

Sambungan dari bahagian lalu.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. 

Jambatan Kota 

Semasa berfotografi di sekitar kawasan Masjid Bandar Diraja, saya terpandang akan sebuah jambatan dua tingkat yang dirasakan sebuah jambatan lama jika melihat pada struktur besinya. Dengan melawan arus aliran trafik tetapi pada keselamatan yang terkawal, saya berpatah balik di Jalan Pasar. Tidak sampai dua ratus meter meninggalkan pintu masuk utama Masjid Bandar Diraja, berhampiran sebuah jambatan konkrit yang terdapat deretan bas Rapid berhenti, saya mengambil arah ke kanan. Di situ terdapat sebuah kedai makan yang bersambung dengan binaan laluan sikal untuk naik ke tingkat atas jambatan besi tersebut. Sebuah jalan bertar pendek menghubungkan Jalan Pasar dengan lorong ke jambatan tersebut.


Jambatan Kota dilihat dari waterfront Masjid Bandar Diraja

Pemandangan dari kawasan meletak kereta Pasar Jawa


Memasuki sahaja penghujung jambatan, saya mula kagum dengan binaan dan struktur jambatan tersebut. Ia kelihatan kukuh dan tidak dimakan zaman. Penghujung arah utara jambatan itu terdapat banyak basikal yang dikunci pada besi penghadang, mungkin basikal-basikal itu dimiliki oleh pekerja asing ataupun murid-murid sekolah. 

Terdapat laluan utama di tengah yang pada anggaran mata kasar saya selebar hampir empat meter, dengan laluan pejalan kaki di kiri dan kanan selebar lebih kurang satu perpuluhan lima meter.


Pemandangan menghala ke arah utara jambatan
Seorang penunggang basikal dari arah selatan jambatan
 
Jambatan Kota menjadi saksi bisu kemajuan Klang sejak mula dibina pada tahun 1957


Dari kawasan utara dan tengah, saya beralih ke penghujung selatan jambatan tersebut. Terdapat dua buah tangga, satunya menghubungkan kepada tingkat atas jambatan dan kawasan rekreasi Taman Pengkalan Batu manakala satu lagi betul-betul di hujung selatan menghubungkan ke tempat meletak kereta yang bersempadankan pagar laluan tren komuter KTM.


Penunggang basikal dari arah utara jambatan
Pejalan kaki di bahagian paling selatan Jambatan Kota
 
Penunggang motorsikal dan basikal sama berkongsi lorong


Laluan selatan jambatan ini kemudiannya bersambung di hadapan Taman Pengkalan Batu. Saya sempat meninjau kemudahan yang terdapat di situ, iaitu disediakan medan selera, tandas awam dan surau oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Klang. Dari bahagian paling selatan, saya kemudian ke hujung paling utara jambatan untuk melalui laluan khas lorong sikal bagi naik ke bahagian atas jambatan. Panjang jambatan ini, saya anggarkan hampir mencecah lima ratus meter.

Di bahagian atas, ianya telah diubahsuai menjadi laman siar kaki berlanskap dan ditutup pada laluan kenderaan. Selain tidak berbumbung seperti di bawah, permukaannya juga telah diletakkan jubin bagi menggantikan permukaan jalan yang asal.



Bahagian atas Jambatan Kota yang telah ditutup pada lalulintas

Bendera Malaysia dan Selangor megah berkibar

Jambatan Kota merupakan salah satu dari lokasi pelancongan di Klang

Jambatan konkrit dibina bersebelahan bagi menampung aliran trafik yang meningkat


Mengikut laman web MPK, Jambatan Kota mula dibina pada bulan Mei 1957 oleh sebuah syarikat British bernama Dorman Long Bridge and Engineering Ltd. Jambatan dua tingkat sepanjang lima ratus meter ini dibina dengan menggunakan struktur besi merentasi Sungai Klang serta menjadi penghubung utama antara Klang Utara dan Klang Selatan. Ianya telah ditutup untuk kegunaan orang ramai pada 21hb Jan 1992. Untuk pembacaan lanjut, bolehlah dirujuk di sini.

Lokasi berikutnya, Gedung Raja Abdullah dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz. Nantikan di siri yang akan datang. Tungguuu ...


"Education is a progressive discovery of our own ignorance." - Will Durant

21 February 2012

'Cyclo - Tourism': Klang, Bandar Diraja Selangor, Bahagian 3

Sambungan dari bahagian lalu

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. 

Masjid Bandar Diraja

Dari IMS Park, saya memasuki laluan sikal di Lebuhraya Persekutuan menghala ke pusat bandar Klang. Laluan sikal tersebut berakhir di sebuah bulatan, dari situ saya memasuki arah kiri ke sebuah persimpangan tiga berlampu isyarat. Di lampu isyarat tersebut, saya menghala ke arah kanan memasuki Jalan Batu Tiga Lama. Jalan ini adalah berselari dengan Lebuhraya Persekutuan di sebelah kanannya.


Memasuki laluan sikal di Lebuhraya Persekutuan hala bandar Klang

Melepasi Dewan Perhimpunan Hokkien diikuti Klinik Kesihatan Bukit Kuda, stesyen minyak Petronas, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kong Hoe dan Bank Simpanan Nasional yang kesemuanya terletak di sebelah kiri jalan, saya tiba di persimpangan empat berlampu isyarat yang memisahkan Jalan Batu Tiga Lama dengan Jalan Tengku Kelana, Jalan Pos Bharu dan Jalan Pasar. Sebelum persimpangan tersebut terdapat deretan kedai lama yang menarik pada pemerhatian saya. Sempat juga berhenti seketika untuk mengambil gambar suasana di situ.


Seorang penjaja basikal roda tiga membawa muatan jualannya
 
Gabungan bangunan lama dan peralatan baru saling berharmoni melengkapi keduanya



Di persimpangan lampu isyarat simpang empat itu, saya menghala terus dan tidak lama kemudian ternampaklah Masjid Bandar Diraja yang terletak bersebelahan Pasar Jawa di sebelah kirinya. Jarak kayuhan dari IMS Park ke Masjid Bandar Diraja adalah sejauh lebih kurang tiga perpuluhan enam kilometer.


Masjid Bandar Diraja yang terletak bersebelahan Pasar Jawa


Menurut sebuah laman web milik seorang ahli dewan undangan negeri (ADUN), sebelum ini bandar Klang hanya mempunyai sebuah masjid lama dikenali sebagai "Masjid India" yang terletak di Jalan Tengku Kelana, Klang Selatan. Sementara itu di bahagian Klang Utara iaitu di pusat bandar yang lebih nyata kepesatan pembangunannya masih belum mempunyai masjid sendiri. Pembinaan Masjid Bandar Diraja Klang memenuhi keperluan ini. Masjid yang menelan belanja sebanyak RM 24 juta ini sepatutnya siap pada 24 Februari 2006 tetapi hanya siap pada 21 Ogos 2009.


Kubah yang berwarna keemasan
 
Binaan puncak menara berbentuk seakan jaring
 


Memetik pula artikel dari Selangor Kini Online, nama asalnya ialah Masjid Klang Utara. Ia berkeluasan 0.72 hektar, dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM24.3 juta dan boleh menampung seramai 1,500 jemaah pada satu-satu masa. Ia dirasmi dan diberi nama baru (Masjid Bandar Diraja Klang) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena keputeraan baginda yang ke-64 pada Disember 2009 lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, masjid tersebut mula dibina pada 30 Ogos 2003 bagi mengatasi masalah limpahan jemaah di Masjid India dan Masjid Sultan Sulaiman, Klang. Pembinaan masjid itu juga selaras dengan pembangunan pesat yang sedang dan akan dilaksanakan di bandar Klang di samping memberikan kemudahan tempat beribadat yang lebih selesa kepada masyarakat Islam yang berurusan dan juga bekerja di Klang.

Katanya, tapak masjid ini juga amat strategik kerana terletak di tengah pusat bandar dan menjadi mercu tanda yang baru bagi bandar Klang. “Pembinaan masjid ini adalah berkonsepkan masjid terapung bersesuaian dengan kedudukannya yang terletak di tebing Sungai Klang. “Bagaimanapun di atas sebab teknikal air sungai Klang tidak dapat disalirkan di sekeliling kompleks masjid ini, sebaliknya kitaran air bersih terpaksa digunakan secara mekanikal untuk menimbulkan impak apungan kepada kompleks masjid ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Masjid Bandar Diraja Klang. Klik sini untuk membaca lanjutan info mengenai masjid ini.


Pemandangan dari kawasan meletak kereta masjid


Dari bahagian luar masjid, saya mula masuk ke dalam untuk melihat kawasan sekitarnya pula. Oleh kerana tiada tempat yang sesuai untuk meletakkan basikal, saya hanya sempat  bersiar-siar seketika di kawasan siarkaki bahagian tepi masjid yang mempunyai pemandangan ke arah Sungai Klang. Siarkaki itu mempunyai pintu pagar kecil untuk kemudahan jemaah mengakses ke masjid tersebut.

Kemudahan siarkaki tepi masjid seakan waterfront yang terdapat di banyak kawasan pelancongan dalam negara kita tetapi pada skala yang lebih kecil. Keadaan Sungai Klang yang tidak bersih mencacatkan segalanya. Ohh, adakah impian saya untuk melihat Sungai Klang menjadi lokasi tumpuan pelancong bagi aktiviti river - cruise menjadi kenyataan? Hanya masa dan keadaan yang akan menjadi penentunya.


Pemandangan kubah utama, kubah kecil dan menara

Selesai menikmati pemandangan di laman siarkaki tepi sungai dan hadapan masjid, saya keluar dari laman masjid untuk melihat kawasan di belakangnya pula. Terdapat sebuah kawasan bertar lapang yang saya rasa dijadikan kawasan meletak kereta untuk jemaah. Puas melihat kawasan sekitar, saya beredar dari situ melalui siarkaki tepi masjid melawan arus lalulintas untuk ke hentian seterusnya iaitu Jambatan Kota. Di pintu masuk utama, sempat saya merakamkan dinding yang bertulisan Masjid Bandar Diraja berserta alamat Jalan Pasar, 41400 Klang dalam tulisan jawi.


Bendera apa pula yang berwarna hijau tu ?
 
Pemandangan bahagian belakang Masjid Bandar Diraja
 
Tulisan di dinding bahagian pintu masuk utama dalam bahasa Jawi


Meninggalkan Masjid Bandar Diraja Klang untuk ke destinasi seterusnya, saya menyusuri Jalan Pasar mengikuti semula arah saya datang sebelum ini dengan melalui Pasar Jawa di sebelah kanan. Kemudian, saya memasuki sebuah jambatan besi lama dua tingkat yang melintasi Sungai Klang dan ternampaklah pemandangan masjid tersebut dari kejauhan. Dengan aliran air sungai yang seakan terhenti, langit membiru dengan kepulan awan yang menarik. Masjid Bandar Diraja berdiri megah dengan bebayangnya kelihatan di permukaan air.


Subhanallah, cantiknya pemandangan ...
 
Lokasi Masjid Bandar Diraja mengikut Google Maps
 
Pemandangan Masjid Bandar Diraja dari udara, ihsan Google Maps


Hentian seterusnya, Jambatan Kota. Akan menyusul di entry selepas ini. Tungguuu ...


"The path of spiritual growth is a path of lifelong learning from our mistakes and observations around us." - Mehernosh Kapadia
 

20 February 2012

Pautan telah berpindah !

Salam sejahtera semua.

Saya ingin memaklumkan yang segala pautan (link) telah dipindahkan ke laman baru di sini. Ianya bertujuan untuk menyedapkan pemandangan dan mempercepatkan kadaran masa loading untuk membuka laman ini. Disediakan juga pautan ke laman baru tersebut di bahagian PINTASAN, penjuru sebelah kanan atas laman ini, seperti dalam gambar di bawah. Seperti biasa, klik untuk melihat pembesaran imej pada setiap gambar.


Penghubung ke laman baru kompilasi pautan, di kotak merah

Pautan asal seperti dahulu masih tetap dikekalkan, cuma dalam format susunatur yang berbeza berbanding asal. Jika dahulunya ia di bahagian sisi kanan bawah laman, yang terbaru ini di bahagian tengah.


Susunatur pautan memudahkan rujukan

Untuk rakan-rakan kembara tidak berbasikal juga jangan khuatir, pautan anda masih tetap saya kekalkan. Terima kasih atas sokongan, saya takkan lupakan kamu semua dan akan menziarahi [sambil klik iklan yang ada hehehe...] bila berkelapangan ...


Pautan laman rakan kembara tidak berbasikal masih dikekalkan demi persahabatan ( :

Proses naik taraf sedang berlangsung, akan memuatkan pautan ke semua laman blog pengembara-pengembara berbasikal dari A ke Z. Jika ada yang saya terlepas pandang, pembaca bolehlah menghantar saranan kepada azizanzolkipli@gmail.com.

Sekian, dimaklumkan. Stay tuned ! Terima kasih ...


"A real friend is one who walks in when the rest of the world walks out." - Walter Winchell
 

15 February 2012

'Cyclo - Tourism': Klang, Bandar Diraja Selangor, Bahagian 2

Sambungan dari bahagian lalu.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar.

IMS Park - Projek Komuniti Taman

Lokasi kedua yang saya singgahi iaitu IMS Park, sebuah taman awam yang dibina oleh organisasi swasta berhampiran sebuah pusat komersial. Dari Tugu Keris, saya kembali di persimpangan lampu isyarat simpang tiga Jalan Sungai Rasau - Jalan Batu Tiga Lama berhampiran stesyen minyak BHP.

Dari situ, di lampu isyarat ketiga selepas meninggalkan Tugu Keris saya mengambil ke arah kanan menuju ke Bukit Raja Shopping Centre dan IMS Park terletak di sebelah kiri jalan tidak jauh dari persimpangan lampu isyarat di bawah ramp Lebuhraya Persekutuan.


Lokasi IMS Park mengikut Google Maps
 
IMS Park dilihat dari udara. Ihsan dari Google Maps


Terdapat empat ikon dibina di situ iaitu Layar (The Sail), Roda Stereng (The Steering Wheel), Dataran Palma (Palm Square) dan Struktur Rukunegara (The Rukunegara Structures). Setiap satunya mempunyai keunikan dan definisi yang tersendiri.


'The Sail' berlatarbelakangkan Menara Trend

Oooo ... IMS bermaksud International Maritime Square rupanya ...

Dari belakang, 'The Sail' diikuti 'The Palm Square' (tengah) dan paling hadapan 'The Steering Wheel''

Pandangan hadapan 'The Rukunegara Structures'

Basikal Bridgestone saya bersama 'The Rukunegara Structures'

Papantanda informasi IMS Park mengenai ikon-ikon yang terdapat di situ


Penerangan mengenai keempat-empat ikon yang dibina di taman itu saya lampirkan seperti di bawah untuk pembacaan lanjut. Ianya disalin bulat-bulat dari papantanda informasi dengan tidak diterjemahkan bertujuan mengekalkan ayat dan maksud asal (yang sebenarnya, malas nak buat terjemahan hehehe jangan marah ...)

The Sail 
The sail represents the shipping community's pride and happiness in His Royal Highness Sultan Sharafuddin Idris Shah - the Sultan of Selangor's, successful solo sailing mission round the world on his boat “Jugra” in 1995 – 1996 covering 27,940 nautical miles. His Royal Highness’s extraordinary achievement serves an inspiration to many, especially his subjects who come to realize that nothing is impossible if you put your heart and mind to what you want to achieve. The Sail also serves as an icon of the port-city of Klang, or Klang Bandar Diraja being part of the internationally significant and most important port of Malaysia, namely Port Klang. 

The Steering Wheel

The symbolic structure of the Steering Wheel serves to motivate visitors to take the Captain’s seat by focusing on a mental picture of their journey to “targeted destination”. In the shipping world there i a saying “You cannot change the course of the wind, but ou can steer your ship to where you want to go. The winds of uncertainly may blow for a while but they will not push you off course if you are clear about what you want ...”

The Palm Square
The Palm Square is made up of 16 palm trees rising from 16 planter boxes arranged on a diagonal axis in the Park. Each planter box has a seating platform around its four-sided perimeter. The 16 planter boxes combined provide a total of 64 seating benches. When fully lighted with spot lights at night, the Palm Square appears like a jewel with 16 glittering diamonds. This feature is designed to represent the meaning of the name of the location of the Park, namely Taman Intan. Translated in Bahasa Malaysia Taman Intan, is a Garden of Diamonds.

The Rukunegara  Structures
“Rukunegara” proclaimed in 1970 i the five-point national principle which serves as the “beacon” for nation building.

The five leaning pillars bearing the five principles of Rukunegara in the Park are dedicated:
- to achieve a greater unity of all her peoples;
- to maintain a democratic way of life;
- to create a just society in which the wealth of the nation shall be equitably shared;
- to ensure a liberal approach to her rich and diverse cultural traditions; and
- to build a progressive society which shall be oriented to modern science and technology.

We, the people of Malaysia, pledge our united efforts to attain these ends guided by these principles:

- BELIEF IN GOD
- LOYALTY TO KING AND COUNTRY
- UPHOLDING THE CONSTITUTION
- RULE OF LAW
- GOOD BEHAVIOUR AND MORALITY

Sebelum saya meninggalkan IMS Park, sempat juga mengambil satu gambar terakhir. Gambar yang diharap dapat mengingatkan saya terhadap kelima-lima prinsip Rukunegara ( :

Lima 'tiang' utama kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan Malaysia
 
"The true secret of happiness lies in taking a genuine interest in all the details of daily life." 
- William Morris

13 February 2012

9,999.9 ... 34 ...


[Klik untuk pembesaran imej]


9,999.9
Mengikut terjemahan bersumberkan DBP, angka bermaksud nombor, bilangan atau digit. Sesebuah angka mungkin dalam kuantiti yang amat banyak, mahupun terlalu kecil bilangannya bergantung pada unit yang digunakan.

Dalam sisipan gambar di atas, odometer saya telah mencecah angka 10,000 kilometer pada malam Isnin, bertarikh 6hb Feb 2012 lalu. Ianya dicatatkan semasa melalui persimpangan Jalan Kebun Tambahan – Jalan Bukit Kemandol, ketika pulang dari menjelianah daerah Kuala Langat bersama tiga orang rakan kembara berbasikal. 

Mungkin pada sesetengah individu, angka ini hanyalah jumlah kecil bagi mereka. Tetapi tidak bagi saya secara peribadinya. Jumlah perjalanan ini terkumpul sejak mula menggiatkan diri untuk berbasikal pada penghujung tahun 2008. Dari meminjam basikal milik rakan kepada memiliki basikal sendiri, dari tidak tahu apa-apa mengenai aspek teknikal basikal kepada mula mempelajari dan membaikinya sendiri apa yang termampu, dari hanya mengikuti acara kayuhan anjuran organisasi besar mahupun anjuran rakan kepada boleh merancang sendiri laluan dan membawa rakan-rakan lain untuk menyertai.

Banyak pengetahuan dan pengalaman diperolehi sepanjang perjalanan lalu. Dan masih banyak lagi yang menunggu di luar sana untuk dilalui. Slogan "Success is a journey, not a destination" yang saya lihat ketika berkembara ke Tanjung Piai seakan membakar lagi semangat untuk meneruskan pengembaraan.


Klik untuk pembesaran imej


34
Sila rujuk surat beranak atau nama sopannya sijil kelahiran pada gambar di atas. Ohhh ya, hari ini tanggal 13hb Feb 2012 bersamaan 20 Rabiulawal 1433H merupakan hari ulangtahun kelahiran saya yang ke 34. Untuk info, entry ini telah saya siapkan awal terlebih dahulu dan di'auto-update' pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Harap maklum !

Watikah Ulangtahun Edisi ke 34 

Terlebih dahulu, syukur Alhamdulillah pada Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Di atas izin dan kehendakNya saya masih mampu bernafas, diberikan kesihatan dan melalui fasa umur seterusnya. Terima kasih pada ibu yang melahirkan, bapa yang membanting tulang mencari rezeki dan menjadi ketua keluarga. Adik beradik, saudara mara terdekat mahupun jauh, guru-guru dari peringkat pra-sekolah mahupun ke pengajian peringkat tertinggi serta rakan-rakan dari kecil sehinggalah sekarang.

Ketika anda sedang membaca artikel ini, saya mungkin belum pulang dari kembara berbasikal di destinasi berhampiran. Suprise  !!

Seolah sudah menjadi tradisi tahunan saya menyambut hari kelahiran dengan kembara berbasikal. Dimulai pertama kali dengan destinasi Kuala Lumpur - Port Dickson - Kuala Lumpur pada tahun 2009 diikuti ulangtahun kelahiran ke 32 dengan mengadakan kayuhan Cherating - Kuala Terengganu - Cherating. Pada tahun lepas pula, kembara Temerloh - Tasik Bera - Tasik Chini - Temerloh atau apa yang dipanggil sebagai Kayuhan Dua Tasik di Pahang telah diadakan dan boleh dianggap seperti jaringan 'hatrik' jika dipandang dari perspektif permainan bolasepak. Diharapkan tradisi ini dapat saya teruskan di tahun mendatang selagi termampu dan berkesempatan masa.

Untuk ucapan selamat harilahir yang telah atau bakal saya terima dari pihak tuan/puan/abang/kakak/adik melalui pelbagai medium seperti laman sosial, email, sms dan panggilan telefon, Ianya amat saya hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. InsyaAllah akan membalas kesemuanya sekembalinya saya dari perjalanan kembara berbasikal. Bukan hadiah yang saya pinta, bukan juga kad ucapan yang saya harapkan. Cuma sekadar doa dari semua mendoakan kesejahteraan saya di dunia dan akhirat, itu sudah memadai. Wassalam.

Azizan Zolkipli,
12hb Feb 2012, 0136 hrs
Shah Alam.


Basikal pertama yang dimiliki, beroda tiga
 
Basikal kedua yang dimiliki


"Life is like riding a bicycle.
To keep your balance you must keep moving ..."
- Albert Einstein
 

08 February 2012

'Cyclo - Tourism': Klang, Bandar Diraja Selangor, Bahagian 1

Hari itu, 12hb Okt 2011 Masehi, bersamaan 14 Zulkaedah 1432 Hijrah. Pagi Rabu yang cerah dan saya berkelapangan. Sudah lama teringin hendak bersiar-siar di sekitar bandar Klang secara berbasikal. Saya ada mengajak Adnan untuk mengikuti, tetapi malangnya beliau bekerja shift pagi dan tidak dapat mengikuti saya.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar.

Samada berdua atau berseorangan, saya tekad untuk pergi juga kerana hari yang bercuaca baik seperti ini tidak harus dipersiakan begitu sahaja. Setelah membawa cukup peralatan seperti tiub gantian, pam tangan, tyre lever (untuk membuka tayar dari rim dan mengeluarkan tiub), beberapa peralatan asas seperti playar (plier), pemotong (cutter), pemutar skru (screwdriver) serta bekalan minuman yang mencukupi maka saya pun memulakan perjalanan.

Turut dibawa bersama, sebuah kamera DSLR berjenama Nikon model D90 dilengkapi lensa 18 - 105 mm yang dipinjam dari teman serumah. Saya meninggalkan perkarangan rumah sekitar jam 1055 pagi untuk bersarapan terlebih dahulu. Sebelum saya hendak bercerita lebih lanjut, satu soalan mahu diajukan terlebih dahulu. Kelang, atau Klang ?


Kesian BEL 6689 kena tinggal ) :


Kedai makan bernama Restoran Sabar Subur yang terletak di Jalan Lumpit 18/35A Seksyen 18 Shah Alam menjadi pilihan saya untuk bersarapan pada pagi itu. Menu biasa, dua keping roti telur bawang bersama segelas air teh o. Setakat ini mengikut selera tekak saya, inilah roti canai tersedap pernah ditemui di kawasan Shah Alam selatan. Tak tahulah pula di lokasi lain sebab belum menemuinya lagi. Selesai makan dan membayar harga makanan, saya menyusuri jalan-jalan dalam di seksyen 18 untuk keluar ke Persiaran Jubli Perak. Sempat juga berhenti bergambar apabila menemui sesuatu yang dirasakan menarik.


Tak dapat cara 'kasar', guna cara 'halus' pula. Hanya untuk hutang berjuta-juta sahaja ( :

Graffiti di tembok taman rekreasi berhampiran SRJK (T) Sg. Renggam dan Kampus INTEC UITM Seksyen 18

Dari Persiaran Jubli Perak yang menghubungkan antara seksyen 24, 18 dan 17 Shah Alam, saya memasuki Persiaran Kemajuan dan Persiaran Selangor yang menempatkan kawasan industri Seksyen 16 sebelum keluar ke simpang empat berlampu isyarat di pertembungan Persiaran Selangor - jalan Padang Jawa dan jalan Sungai Rasau. Di simpang itu, saya mengambil arah jam dua belas menghala ke Jalan Sungai Rasau, dengan melepasi PUSPAKOM Padang Jawa di sebelah kanan.

Saya meneruskan kayuhan hingga satu selekoh yang terdapat sebuah stesyen minyak BHP di sebelah kiri jalan dan bertemu simpang tiga berlampu isyarat, pertembungan jalan Sungai Rasau dan jalan Batu Tiga Lama. Di simpang itu, saya menghala ke kanan dan tidak jauh dari situ akan menemui satu tempat letak kereta berpapantanda batu bertulis Tugu Keris Klang berlatarbelakangkan warna kuning di sebelah kiri jalan.


Batu penanda Tugu Keris Klang mudah dilihat dari Jalan Batu Tiga Lama

Kedudukan Tugu Keris dari plaza tol Sungai Rasau Lebuhraya Persekutuan arah Klang

Dari tempat meletak kereta berhampiran papantanda batu tersebut, saya menghala ke sebuah jambatan kecil melintasi parit untuk masuk ke kawasan taman Tugu Keris. Ketika itu, hanya beberapa orang yang berada di kawasan sekitar, dengan majoriti darinya merupakan pekerja sebuah syarikat pembersihan swasta, seorang pemuda yang mungkin seorang penghantar cepat (despatch) jika dilhat dari motor dan cara berpakaiannya selain diri saya sendiri.

Saya mundar mandir di dalam kawasan taman untuk melihat dan mengetahui apakah objektif tugu ini didirikan. Jawapan pada persoalan itu saya berjaya temukan setelah membaca plet yang diletakkan di situ sebagai rujukan. Walaubagaimanapun, plet penerangan mengenai keris agak sukar untuk dibaca kerana telah pudar dek hujan dan panas.


Tugu Keris berdiri megah seakan menunjang langit

Bersempena jubli perak ulangtahun pemerintahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah


Tugu Peringatan Jubli Perak yang dibina di sempadan kawasan Majlis Perbandaran Klang ini bertujuan untuk memperingati sambutan jubli perak pemerintahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Tugu ini dirasmikan pada 30 September 1985, berbentuk sebilah keris, alat senjata yang melambangkan kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu di zaman silam.

Terletak berhampiran plaza tol Sungai Rasau, Lebuhraya Persekutan menghala ke arah Klang. Ia berkeluasan 1.5 ekar serta dilengkapi dengan gazebo, pancuran air, lanskap taman rekreasi dan alat permainan kanak-kanak.


Penerangan mengenai keris yang sukar dibaca akibat keuzuran papan tanda maklumat
 
Zoom in dilakukan untuk membantu pembacaan

Jika gagal membaca sendiri maklumat pada gambar di atas, sila rujuk penulisan seterusnya (seperti tulisan asal pada plet maklumat).

KERIS

ASAL - USUL

* BERASAL DARI JAWA TENGAH

* PERKATAAN KERIS BERASAL DARI PERKATAAN JAWA, IRIS, YANG BERMAKSUD MEMOTONG

* SARUNG DAN HULU DIPERBUAT DARIPADA KAYU ATAU GADING

* MATA KERIS DIBUAT DARIPADA BESI YANG BERKELOK - KELOK DIPANGGIL LOK DAN MEMPUNYAI JUMLAH YANG GANJIL IAITU TIGA, LIMA, TUJUH ATAU SEMBILAN

KEGUNAAN

* MERUPAKAN SALAH SATU SENJATA UNTUK MEMPERTAHANKAN DIRI PADA ZAMAN DAHULU DAN JUGA MELAMBANGKAN KEBERANIAN SESEORANG

* DI ZAMAN SEKARANG, KERIS DIJADIKAN SEBAGAI LAMBANG KEAGUNGAN, KEBERANIAN DAN KEDAULATAN SESEBUAH KERAJAAN YANG BERAJA

* ANTARA KERIS YANG TERKENAL IALAH KERIS CERITU, KERIS TAMING SARI DAN KERIS MAJAPAHIT


Tugu Keris dikelilingi oleh pancuran air
Basikal Bridgestone berlatarbelakangan Tugu Keris
Tugu Keris, dilihat dari celah rimbunan pokok di hujung taman


Setelah puas menekan picu kamera dan ingin beredar, kelihatan dua wanita Melayu warga emas tiba ke situ untuk beriadah. Terdapat sebuah pintu masuk utama yang terletak paling hampir dengan monumen tersebut. Saya tidak melalui kawasan di situ, tetapi dianggarkan kenderaan boleh dibawa masuk sehampir mungkin dengan monumen keris ini. Selain itu, akibat terlalu memfokuskan pada lokasi hentian berikutnya, saya terlupa untuk memeriksa adakah terdapat sebarang kemudahan tandas dan surau di situ. Andai kata tidak terdapat tandas di situ, terdapat sebuah stesyen minyak BHP bersebelahan persimpangan lampu isyarat jalan Sungai Rasau - jalan Batu Tiga Lama yang jaraknya tidak sampai empat ratus meter berjalan kaki.


BERSAMBUNG KE BAHAGIAN SETERUSNYA. TUNGGU ...


"Everyday in everyway. Start your day in an amazing way."
- Meher Amalsad