ADS

21 February 2012

'Cyclo - Tourism': Klang, Bandar Diraja Selangor, Bahagian 3

Sambungan dari bahagian lalu

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi dapat dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. 

Masjid Bandar Diraja

Dari IMS Park, saya memasuki laluan sikal di Lebuhraya Persekutuan menghala ke pusat bandar Klang. Laluan sikal tersebut berakhir di sebuah bulatan, dari situ saya memasuki arah kiri ke sebuah persimpangan tiga berlampu isyarat. Di lampu isyarat tersebut, saya menghala ke arah kanan memasuki Jalan Batu Tiga Lama. Jalan ini adalah berselari dengan Lebuhraya Persekutuan di sebelah kanannya.


Memasuki laluan sikal di Lebuhraya Persekutuan hala bandar Klang

Melepasi Dewan Perhimpunan Hokkien diikuti Klinik Kesihatan Bukit Kuda, stesyen minyak Petronas, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kong Hoe dan Bank Simpanan Nasional yang kesemuanya terletak di sebelah kiri jalan, saya tiba di persimpangan empat berlampu isyarat yang memisahkan Jalan Batu Tiga Lama dengan Jalan Tengku Kelana, Jalan Pos Bharu dan Jalan Pasar. Sebelum persimpangan tersebut terdapat deretan kedai lama yang menarik pada pemerhatian saya. Sempat juga berhenti seketika untuk mengambil gambar suasana di situ.


Seorang penjaja basikal roda tiga membawa muatan jualannya
 
Gabungan bangunan lama dan peralatan baru saling berharmoni melengkapi keduanya



Di persimpangan lampu isyarat simpang empat itu, saya menghala terus dan tidak lama kemudian ternampaklah Masjid Bandar Diraja yang terletak bersebelahan Pasar Jawa di sebelah kirinya. Jarak kayuhan dari IMS Park ke Masjid Bandar Diraja adalah sejauh lebih kurang tiga perpuluhan enam kilometer.


Masjid Bandar Diraja yang terletak bersebelahan Pasar Jawa


Menurut sebuah laman web milik seorang ahli dewan undangan negeri (ADUN), sebelum ini bandar Klang hanya mempunyai sebuah masjid lama dikenali sebagai "Masjid India" yang terletak di Jalan Tengku Kelana, Klang Selatan. Sementara itu di bahagian Klang Utara iaitu di pusat bandar yang lebih nyata kepesatan pembangunannya masih belum mempunyai masjid sendiri. Pembinaan Masjid Bandar Diraja Klang memenuhi keperluan ini. Masjid yang menelan belanja sebanyak RM 24 juta ini sepatutnya siap pada 24 Februari 2006 tetapi hanya siap pada 21 Ogos 2009.


Kubah yang berwarna keemasan
 
Binaan puncak menara berbentuk seakan jaring
 


Memetik pula artikel dari Selangor Kini Online, nama asalnya ialah Masjid Klang Utara. Ia berkeluasan 0.72 hektar, dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM24.3 juta dan boleh menampung seramai 1,500 jemaah pada satu-satu masa. Ia dirasmi dan diberi nama baru (Masjid Bandar Diraja Klang) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena keputeraan baginda yang ke-64 pada Disember 2009 lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, masjid tersebut mula dibina pada 30 Ogos 2003 bagi mengatasi masalah limpahan jemaah di Masjid India dan Masjid Sultan Sulaiman, Klang. Pembinaan masjid itu juga selaras dengan pembangunan pesat yang sedang dan akan dilaksanakan di bandar Klang di samping memberikan kemudahan tempat beribadat yang lebih selesa kepada masyarakat Islam yang berurusan dan juga bekerja di Klang.

Katanya, tapak masjid ini juga amat strategik kerana terletak di tengah pusat bandar dan menjadi mercu tanda yang baru bagi bandar Klang. “Pembinaan masjid ini adalah berkonsepkan masjid terapung bersesuaian dengan kedudukannya yang terletak di tebing Sungai Klang. “Bagaimanapun di atas sebab teknikal air sungai Klang tidak dapat disalirkan di sekeliling kompleks masjid ini, sebaliknya kitaran air bersih terpaksa digunakan secara mekanikal untuk menimbulkan impak apungan kepada kompleks masjid ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Masjid Bandar Diraja Klang. Klik sini untuk membaca lanjutan info mengenai masjid ini.


Pemandangan dari kawasan meletak kereta masjid


Dari bahagian luar masjid, saya mula masuk ke dalam untuk melihat kawasan sekitarnya pula. Oleh kerana tiada tempat yang sesuai untuk meletakkan basikal, saya hanya sempat  bersiar-siar seketika di kawasan siarkaki bahagian tepi masjid yang mempunyai pemandangan ke arah Sungai Klang. Siarkaki itu mempunyai pintu pagar kecil untuk kemudahan jemaah mengakses ke masjid tersebut.

Kemudahan siarkaki tepi masjid seakan waterfront yang terdapat di banyak kawasan pelancongan dalam negara kita tetapi pada skala yang lebih kecil. Keadaan Sungai Klang yang tidak bersih mencacatkan segalanya. Ohh, adakah impian saya untuk melihat Sungai Klang menjadi lokasi tumpuan pelancong bagi aktiviti river - cruise menjadi kenyataan? Hanya masa dan keadaan yang akan menjadi penentunya.


Pemandangan kubah utama, kubah kecil dan menara

Selesai menikmati pemandangan di laman siarkaki tepi sungai dan hadapan masjid, saya keluar dari laman masjid untuk melihat kawasan di belakangnya pula. Terdapat sebuah kawasan bertar lapang yang saya rasa dijadikan kawasan meletak kereta untuk jemaah. Puas melihat kawasan sekitar, saya beredar dari situ melalui siarkaki tepi masjid melawan arus lalulintas untuk ke hentian seterusnya iaitu Jambatan Kota. Di pintu masuk utama, sempat saya merakamkan dinding yang bertulisan Masjid Bandar Diraja berserta alamat Jalan Pasar, 41400 Klang dalam tulisan jawi.


Bendera apa pula yang berwarna hijau tu ?
 
Pemandangan bahagian belakang Masjid Bandar Diraja
 
Tulisan di dinding bahagian pintu masuk utama dalam bahasa Jawi


Meninggalkan Masjid Bandar Diraja Klang untuk ke destinasi seterusnya, saya menyusuri Jalan Pasar mengikuti semula arah saya datang sebelum ini dengan melalui Pasar Jawa di sebelah kanan. Kemudian, saya memasuki sebuah jambatan besi lama dua tingkat yang melintasi Sungai Klang dan ternampaklah pemandangan masjid tersebut dari kejauhan. Dengan aliran air sungai yang seakan terhenti, langit membiru dengan kepulan awan yang menarik. Masjid Bandar Diraja berdiri megah dengan bebayangnya kelihatan di permukaan air.


Subhanallah, cantiknya pemandangan ...
 
Lokasi Masjid Bandar Diraja mengikut Google Maps
 
Pemandangan Masjid Bandar Diraja dari udara, ihsan Google Maps


Hentian seterusnya, Jambatan Kota. Akan menyusul di entry selepas ini. Tungguuu ...


"The path of spiritual growth is a path of lifelong learning from our mistakes and observations around us." - Mehernosh Kapadia
 

2 comments:

Telor Power said...

sgt menarik....

dan aku suka pic beskal berada di tembok masjid dan di dalam kawasan masjid tu

Azizan Zolkipli said...

Telor Power: Terima kasih atas ziarahan kamu, juga terima kasih kerana meminati gambar-gambar itu. Saya budak baru belajar, jika salah tolong tunjukkan ( :