ADS

11 October 2012

S24O Bukit Ramli - 3 Jun 2012 (Bahagian kedua)

Kesinambungan dari bahagian lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota: Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. Terima kasih. 


Ahad, 3hb Jun 2012 

Puncak Bukit Ramli 

- jam 0820 pagi: Hendak menyambung tidur, malangnya mata tidak mahu terpejam. Mungkin kerana perut sudah mula berkeroncong minta diisikan, mana mungkin mendapatkan tidur yang lena ! Kami berdua mengeluarkan bahan-bahan makanan dan minuman serta peralatan memasak untuk menyediakan sarapan pagi. Proses memasak dilakukan di lantai bersimen luar perkarangan surau.


Gambar 1. Antara barangan makanan - minuman dan peralatan yang dibawa

Gambar 2. Periuk belanga, dapur memasak dan bahan api dalam tin

Gambar 3. Masterchef Mawi sedang bermain masak-masak


- jam 0950 pagi: Sarapan pagi selesai disediakan, dua minuman iaitu kopi o kaw dan minuman coklat beserta nasi goreng ikan bilis perasa ikan bilis siap sedia untuk dihidang dan dinikmati.


Gambar 4. Siap siaga untuk bersarapan pagi. Bismillah ...


- jam 1030 pagi: Sedang kami melepak setelah menghabiskan sarapan pagi, kelihatan beberapa orang penunggang mountain bike menaiki puncak Bukit Ramli dari arah laluan curam yang kami elak dari laluinya malam tadi. Seorang daripadanya menghampiri kami berdua lalu menegur saya, "Wakjan ekk ?" "Ya", jawab saya. "Saya kawan Facebook Wakjan, En Mka", katanya. "Berjumpa kita di sini ekk", tambahnya lagi. Ketika berbual-bual, beliau turut menampakkan minat dengan peralatan memasak dan stail kembara berbasikal kami.

- Kenalan saya itu, encik Muhd Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai En Mka dalam laman sosial Facebook kemudian meminta kami mengambil gambar kenangan mereka sekumpulan bersama kenderaan Perodua Kancil berwarna biru yang diubahsuai untuk membawa penunggang acara basikal menurun bukit (downhill) yang suatu masa dahulu cukup popular di Bukit Ramli.


Gambar 5. En Mka dan rakan-rakan kayuhan bergambar kenangan


- melihatkan mereka bergambar dengan kenderaan biru tersebut, saya dan Mawi turut ingin merakamkan kenangan di Bukit Ramli bersama 'Kancil" yang diubahsuai itu. Salah seorang dari mereka menawarkan diri untuk mengambil gambar kami berdua.

 
Gambar 6. Kami juga mahu bergambar kenangan bersama 'kenderaan biru'
  
Gambar 7: Mawi bersama En Mka dan rakan-rakan kayuhan
 
Gambar 8. Pasangan sehati berdansa berbasikal.
  
Gambar 9. Sebuah kenderaan pacuan empat roda membawa dua buah basikal MTB. Tidak diketahui arah tuju mereka.
 
Gambar 10. Bergambar solo untuk merakamkan kenangan tiba di puncak Bukit Ramli
 
Gambar 11. Berlegar-legar sementara menunggu untuk menuruni bukit ke laluan lain


- jam 1200 tengahari: Peralatan memasak kesemuanya telah dicuci, dijemur agar kering dan disimpan. Kini, masa untuk menyegar dan mencuci badan di bilik mandi yang terdapat bersebelahan surau. Kami berdua bercadang untuk turun dari puncak Bukit Ramli jam 1400 petang, selepas menunaikan fardu Zohor terlebih dahulu.


Gambar 12.  Bersedia untuk meninggalkan Bukit Ramli



- jam 1345 petang: Kelihatan tiga orang pemuda membawa basikal mereka, salah seorang darinya saya cam mukanya. Ya, sudah pasti ! Dia adalah salah seorang rakan kembara gunung, tidak pernah saya mengembara bersamanya cuma sebagai penggiat aktiviti rekreasi luar kami memang saling mengenali walaupun tidak mengetahui nama sebenar masing-masing.

- Menurutnya, mereka ingin membersihkan laluan downhill yang terdapat di situ memandangkan sebahagian daripadanya telah pun rosak akibat tanah runtuh dan bersemak. Saya kemudiannya meminta jasa baik beliau untuk merakamkan gambar kenangan kami berdua bersama basikal masing-masing dan 'kenderaan biru' Bukit Ramli.



Gambar 13. Bergambar kenangan di Bukit Ramli bersama basikal masing-masing dan 'kenderaan biru


- jam 1400: Tepat jam 2 petang, kami berdua menuruni puncak Bukit Ramli. Sayonara Bukit Ramli, Wak Ramli, Fairus dan air nenas cincau !


Gambar 14. Beberapa minit sebelum meninggalkan puncak Bukit Ramli


- jam 1415 petang: Kami berdua tiba di persimpangan masuk ke Jalan Awin. Berehat sebentar dan bergambar kenangan sebelum melalui jalan besar untuk ke Meru.

Gambar 15. Menolak basikal di permulaan laluan masuk ke Jalan Awin yang sedikit berpasir
Gambar 16. Di persimpangan masuk ke Jalan Awin, berlatarbelakangkan laluan pendakian naik menuju ke Bukit Ramli.


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ...



Nota terima kasih:
Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

05 October 2012

S24O Bukit Ramli - 3hb Jun 2012 (Bahagian pertama)

Lanjutan dari kisah lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. Terima kasih.

Ahad, 3hb Jun 2012 

Puncak Bukit Ramli 

- jam 0000 tengah malam ke 0130 pagi: Tidak diingati sehingga jam berapa saya dan Mawi menonton televisyen, lalu kemudian memindahkan basikal dan segala barangan ke surau bersebelahan kedai makan apabila diberi kebenaran oleh Fairus untuk bermalam di situ. Surau itu dua tingkat, dengan bahagian bawah dijadikan rumah penginapan bagi keluarga Wak Ramli. Apapun, malam itu apabila jam menghampiri satu setengah pagi barulah saya dapat melelapkan mata. 

- jam 0630 ke 0700 pagi: Saya bangun dan bermalas-malasan sebentar di tempat tidur, kemudian menjengah keluar melihat basikal yang masih berada di tempatnya sejak malam tadi ("fuhhh, lega basikal tidak hilang..."), lalu bergegas ke bilik mandi untuk membasuh muka dan berwudhuk sebelum menunaikan solat Subuh. Selepas bersolat, mata tidak boleh tidur lagi dan mulalah terfikir untuk bersiar-siar menikmati suasana pagi. 

- jam 0700 - 0800 pagi: Keluar menikmati keindahan pagi di puncak Bukit Ramli. Melihat-lihat ke sekeliling ladang nenas di persekitaran bukit. 


Gambar 1. Seawal pagi Fairus membersihkan perkarangan kedai makannya
Gambar 2. Sebatang pokok tongkat ali ditanam di Bukit Ramli
 
Gambar 3. Nama jenis pokok nenas yang ditanam di sekitar Bukit Ramli
  
Gambar 4. Jalan naik ke puncak Bukit Ramli, yang kami lalui berdua pada malam sebelumnya
 
Gambar 5. Tanaman pokok nenas dan keratan daun, tidak pasti, mungkin untuk disemai barangkali.
  
Gambar 6. Perca kain diletakkan pada setiap buah nenas. Tujuan ? Jangan tanya saya ( :
  
Gambar 7. Banner acara kayuhan Cycle4Care yang telah dilaksanakan pada 6hb Mei 2012 lalu
 
Gambar 8. Asap yang keluar dari serombong Stesyen Janakuasa Elektrik Kapar, kelihatan jelas di waktu awal pagi
 
Gambar 9. Bangunan baru dibina di Bukit Ramli, kelihatannya seperti hendak dibuat chalet
 
Gambar 10. 'Blue hour' di waktu pagi atas Bukit Ramli
 
Gambar 11. Tanaman nenas berlatar belakangkan langit membiru
 
Gambar 12. Cantik kan kebiruan langit hari itu ?


- jam 0810 pagi: Puas kesana kemari, saya pulang semula ke surau. Cadangnya, hendak menyambung tidur kembali. Hari Ahad yang indah dan tenang lalalalala ...


Gambar 13. Keadaan bahagian dalam surau tempat kami bermalam
  
Gambar 14. Selepas melihat Mawi masih tidur, selepas gambar ini diambil saya pun menyambung kembali tidur ( :

B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

 *Nota ingatan kasih:
Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :
Episod seterusnya boleh dibaca di sini.

02 October 2012

S24O Bukit Ramli - 2hb Jun 2012 (Bahagian kedua)

Kesinambungan dari episod lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.


Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. 

Sabtu, 2hb Jun 2012

Kampung Bukit Cherakah ke simpang Bukit Ramli

- jam 1900 malam: Melepasi Sekolah Kebangsaan Bukit Cherakah, kami meneruskan perjalanan ke hadapan, mengikuti jalan bertar yang pernah saya lalui sebelum ini dengan bermotorsikal. Sampai di sebuah persimpangan, ke kanan menghala ke laluan offroad Cycle4Care manakala jalan terus ke laluan yang saya yang tidak pernah ikuti sebelum ini. Dengan keyakinan melampau (over confident), saya meyakinkan Mawi yang jalan ini akan bertemu dengan simpang tiga menuju ke puncak Bukit Ramli.

- Kami melalui beberapa rumah, dan kemudian jalan mulai tidak bertar. Penduduk tempatan yang kebetulan berada di tepi jalan kami tanyai, katanya jalan yang kami lalui ini tidak akan bertemu dengan jalan ke Bukit Ramli. "Ahhh sudah," bisik hati saya. OK tidak mengapa, saya mengambil keputusan untuk menggunakan konsep 'redah saja'.

- Perjalanan seterusnya membawa kami ke sebuah laluan yang terdapat beberapa ekor lembu tertambat dan menghalang perjalanan. Di tepinya terdapat himpunan ranting dan pokok kering sedang terbakar. Masing-masing takut untuk mara, kerana bimbangkan lembu dewasa yang seolah-olah ingin menanduk kami. Hendak ketepi, api sedang marak membakar dan terpaksa pula melalui tebing bukit. Mujurlah gembala lembu ada di situ, beliau menenangkan kami dengan mengatakan yang lembu tersebut tidak garang.

- Dari kawasan itu, kami menjumpai sebuah rumah, sempat juga bertanyakan pada seorang lelaki separa umur yang sedang berada di luar rumah. Menurut beliau, tiada jalan yang menghubungkan terus ke Bukit Ramli, sebaliknya kami harus keluar kembali ke jalan besar. Tambahnya lagi, beberapa rumah di jalan yang akan kami lalui nanti terdapat banyak anjing. Tidak tahulah samada terdapat kebenaran ataupun beliau sengaja menakutkan kami.

- jam 1915 malam: Beberapa rumah dan kebun kami lalui, di akhir perjalanan terdapat laluan berpasir sebelum ianya menemukan kami ke jalan besar. Meter saya menunjukkan kami telah melalui jalan dalam tersebut sejauh 2.5 kilometer. Sebelum meneruskan perjalanan di jalan besar, kami menghidupan lampu keselamatan (blinker) masing-masing. Beberapa bukit harus kami tempuhi sejauh lebih kurang sekilometer, sebelum menemukan simpang masuk ke Bukit Ramli.Sempat juga kami berhenti seketika di tepi jalan bagi menghormati seruan azan Maghrib yang sedang berkumandang.

- jam 1935: Kami tiba di simpang masuk ke Bukit Ramli, berhenti seketika untuk bergambar kenangan. Yesss, akhirnya, jalan yang benar menuju Bukit Ramli !   


Gambar 1. Simpang masuk ke Bukit Ramli, berlatarbelakangkan balam-balam senja
 
Gambar 2. Jalan Awin, menuju ke Bukit Ramli


Simpang Bukit Ramli ke Bukit Ramli

- jam 1945: Perjalanan disambung, menuju ke puncak yang telah kelihatan lampunya dari bahagian bawah. Melepasi beberapa meter jalan berpasir sebelum jalan bertar, lebih kurang 150 meter dihadapan jalannya kemudian mula mendaki dan pendakiannya makin lama makin curam. Di satu selekoh kemudian ternampak lampu kenderaan datang dari arah hadapan, saya amati dan cam yang pemandu tersebut ialah Wak Ramli ! Beliau kemudian menyapa kami, saya memberitahunya yang kami akan bermalam di puncak.

- Sampai di simpang tiga, saya mengecam sebuah batuan tanda beserta anak panah ke Bukit Ramli, kawasan yang saya pernah lalui ketika membuat  penandaaan Kayuhan Cycle4Care lalu. Kami memasuki hala kiri dan terus berkayuh hinggalah menemui satu simpang tiga, samada terus ataupun ke kanan. Di sini, saya menjadi keliru lantas mengambil ke arah kanan. Tidak sampai 200 meter berkayuh, saya mulai mendapati yang kami telah tersalah arah. Berpatah balik, naik ke atas dan kami sampai lagi di sebuah simpang tiga.

- Di simpang tiga itu, saya mula pasti laluan sebenar dan mengambil arah ke kanan. Jalan terus juga boleh membawa kami ke puncak Bukit Ramli, tetapi laluan yang curam membuatkan saya mengambil keputusan untuk mengambil jalan selamat dan mudah. 

Puncak Bukit Ramli

- jam 2045 malam: Meninggalkan simpang tiga jalan besar - Jalan Awin sejauh 1.3 kilometer, akhirnya kami berdua selamat sampai di puncak Bukit Ramli ! Bagi individu lain, mungkin hanya biasa kerana telah banyak kali ke situ, tetapi bagi kami berdua ia merupakan satu lagi pencapaian peribadi. Tambahan pula berbasikal dengan membawa beg pannier melalui laluan berbukit dan tiba pada waktu malam, rasanya belum pernah lagi dilakukan oleh orang lain.

- Tiada orang lain di atas itu selain kami berdua; Fairus yang bertugas di kedai makan puncak bukit tersebut dan seorang wanita yang merupakan isteri Wak Ramli atau ibu kepada Fairus. Saya terus singgah di kedai makan lalu memesan air nenas cincau pada Firdaus. Untuk info, air nenas merupakan menu istimewa kedai makan tersebut. Mawi turut memesan air yang sama, setelah saya mencadangkannya kepada beliau.

- Kami berdua ke pelantar di tebing bukit untuk berehat dan menikmati pemandangan malam. Fairus menghantarkan minuman kami ke meja yang terdapat di pelantar pemandangan tersebut.


Gambar 3. Pelantar pemandangan bagi pengunjung menikmati suasana malam
  
Gambar 4. Menikmati pemandangan Meru dan Klang,  sambil menghirup udara segar yang bertiup di muka
 
Gambar 5. Pemandangan kedai makan dari arah pelantar pemandangan

 
- sambil minum, kami berdua berbicara tentang pengalaman kayuhan masing-masing disamping melihat tempat sesuai untuk kami memasang khemah. Tiba-tiba, saya mendapat SMS dari abang Naz memberitahu akan naik ke Bukit Ramli bersama keluarganya. Tulisnya lagi, tempat makan kegemarannya tidak dibuka pada malam itu. Ohhh OK, ada juga peneman kami malam ini ...  

- sementara menunggu kehadiran abang Naz sekeluarga, saya meninjau keadaan persekitaran, menjengah sebuah papan yang dilekatkan pelbagai gambar dan tidak lupa juga masih terfikir lokasi sesuai untuk mendirikan khemah.


Gambar 6. Papan bergambar merakamkan segala program yang pernah dibuat di situ.


Makan malam di puncak Bukit Ramli

- jam 2055 malam: Abang Naz, kak Zai dan famili sampai di puncak Bukit Ramli dengan sebuah kereta. Mereka terus ke kedai makan, memesan makanan - minuman dan turut mengajak Mawi serta saya menyertai mereka makan malam.


Gambar 7. Sebuah basikal tua diletakkan di bahagian bumbung kedai makan sebagai hiasan. Menarik bukan ?

Gambar 8. Keluarga abang Naz & kak Zai
 
Gambar 9. Mawi dan  saya, turut menyertai keluarga abang Naz makan malam

Gambar 10. Menu hidangan makan malam kami


- Ketika makan bersama, kami turut berbual-bual mengenai pengalaman berkayuh dari petang ke malam untuk ke puncak Bukit Ramli ini.

- jam 2310 malam, keluarga abang Naz dan kak Zai memohon untuk pulang. Malam itu, abang Naz membelanja makan malam saya dan Mawi. Terima kasih banyak-banyak diucapkan, moga Allah SWT melimpahkan rezeki kepada mereka sekeluarga. Aaamiin ... Sebelum pulang, kami sempat bergambar kenangan beramai-ramai.


Gambar 11. Bergambar kenangan bersama keluarga abang Naz dan isteri Wak Ramli (paling kanan). Petikan kamera, ihsan Fairus
  
Gambar 12. Satu lagi gambar kenangan


- jam 2315 malam: Setelah masing-masing bersalaman, mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal, keluarga abang Naz dan kak Zai bergerak meninggalkan kami. Tinggallah kami berempat iaitu Mawi dan saya serta Fairus dan ibunya.

- Fairus menawarkan kami untuk bermalam di surau, memandangkan pada malam itu angin kencang dan kelihatan kilat sekali sekala menyabung di kejauhan. Kami yang pada mulanya keberatan, akhirnya bersetuju juga kerana memikirkan faktor keselamatan kerana puncak Bukit Ramli adalah lapang dan terdedah kepada bahaya kilat jika kami berkhemah dalam cuaca yang kurang baik.

- jam 1145 malam: Kami berdua masih belum tidur, masing-masing menonton televisyen sambil makan makanan ringan yang dijual di kedai makan tersebut. Tidak diingati cerita apa yang ditayangkan, tetapi  cukup menarik lantas membuatkan saya tidak merasa mengantuk di ketika itu.


Gambar 13. Menonton televisyen sambil mengunyah keropok ikan dari Terengganu. Terbaikkk ...
  
B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

 *Nota ingatan kasih:
Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :
Episod seterusnya boleh dibaca di sini.