ADS

30 January 2011

Slowly2 Go Down: Hari Keempat (Bhgn 1)

08.11.2010, Isnin

Setelah tiba di Malim Nawar hampir jam 0200 pagi, dengan jarak perjalanan terjauh sepanjang lima hari kayuhan kami (134.99 kilometer). Pagi itu semua bangun lambat dari tidur, akibat keletihan dicampur dengan terlalu mengantuk. Kami mandi dan menggunakan tandas seorang demi seorang, bilangan bilik mandi dan tandas yang lebih dari seunit membuatkan perjalanan 'memerut' (buang air besar) lancar pada pagi itu hehehe ... Sesudah bersalin pakaian dan mengemaskan beg, kami bersarapan pagi bersama encik Supian, bapa kepada Zulhabri.

[Nota: setiap perkataan berwarna biru adalah mempunyai pautan (link) dan boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi juga boleh dilihat dengan cara klik pada gambar]


jam 1013: Semua bersarapan bersama ayah Zulhabri, encik Supian


Selesai bersarapan, kami semua memasang beg pannier masing - masing (kecuali Zul, sebab dia bawa dry bag) dan bersedia untuk perjalanan pada hari itu. Sebelum meninggalkan kediaman encik Supian, kami sempat bergambar kenangan di hadapan rumahnya. Sesudah berfoto, bersalaman dan mengucapkan terima kasih. Kami memulakan perjalanan bermula lebih kurang jam 1045 memasuki jalan besar menuju ke stesyen minyak yang terletak di persimpangan masuk utama jalan Malim Nawar. Setelah lebih kurang empat perpuluhan tujuh kilometer berkayuh, kami sampai di stesyen minyak tersebut dan berhenti seketika untuk membeli air minuman dan makanan peribadi.


 "Ape ke pelik bebenor name jalan ni ekk" ? ...


jam 1041: Bergambar kenangan bersama encik Supian


jam 1049: Memulakan perjalanan dengan hari yang begitu cerah dan ceria : )


jam 1107: Singgah di stesyen minyak membeli air minuman masing2


Selesai membeli - belah (beli, kemudian blah ahaksss) di stesyen minyak, perjalanan diteruskan dengan memasuki kembali jalan Persekutuan No. 1 menuju ke pekan Kampar. Setelah berkayuh tujuh perpuluhan lima kilometer dari persimpangan jalan Malim Nawar, kami tiba di pekan Kampar. Di sini perjalanan diteruskan dengan tidak membuat sebarang hentian, disebabkan kami telah merancang untuk berhenti di pekan Temoh. Berdasarkan pengalaman berkayuh beberapa hari sebelumnya dan tiba di lokasi pada malam hari, adalah didapati selain halangan cuaca (hujan) dan mula berkayuh lewat, kayuhan yang terlalu santai menjadi faktor kami tiba di lokasi pada waktu malam. 

Kayuhan waktu malam seharusnya dielakkan kerana selain tidak dapat menikmati pemandangan, terdapat risiko untuk dirempuh dari belakang oleh pengguna jalanraya lain walaupun basikal dipasangkan dengan lampu blinker keselamatan. Setelah berbincang dengan Muzammil, kami membuat perancangan iaitu dengan berhenti rehat hanya setelah jarak kayuhan mencapai dua puluh kilometer di mana - mana pekan ataupun stesyen minyak berhampiran. 

Pekan Kampar pada ingatan saya, terkenal di kalangan masyarakat Cina dengan keenakan biskut perisa ayamnya (status Halal diragui). Semasa berkayuh, ternampak papantanda bertulis Tapak Peringatan Perang Dunia Ke 2 di sebelah kiri jalan dimana terdapat kawasan berbukit. Saya berazam untuk datang lagi ke sini bagi melihat sendiri kesan sejarah tanahair memandangkan hari ini tidak berkesempatan untuk berbuat demikian. Dalam perjalanan dari Kampar menuju ke Temoh, kami melintasi beberapa tasik yang mana antaranya dijadikan sebagai tempat penternakan itik.


jam 1158, persamaan: menghala ke utara, pangkal 4. menghala ke selatan, pangkal 1 - 6. unik kan ?


jam 1214: Antara satu dari beberapa tasik yang kami lalui sepanjang perjalanan Kampar - Temoh


jam 1215: Memasuki pekan Temoh setelah lebih 20 kilometer berkayuh dari kediaman encik Supian


Meter di basikal saya menunjukkan jarak kayuhan kami mencapai angka dua puluh dua kilometer ketika saya dan Ah Chong tiba di pekan Temoh. Kami cuba mencari Zulhabri, Subki dan Muzammil yang tidak kelihatan. Setelah dihubungi, rupanya mereka telah sedikit terlajak ke hadapan. Mereka bertiga kemudian berpatah balik ke lokasi kami setelah saya memberikan panduan. Tempat yang saya rancang untuk berehat itu terletak di jalan menuju Behrang Stesyen, di sebuah padang berdepan dengan satu bangunan lama tidak jauh dari pejabat pos. Malangnya, pokok besar yang terdapat di situ telah tiada. Mujurlah terdapat satu penjaja yang menggunakan van berniaga betul - betul di hadapan bangunan lama itu. Masing - masing tidak ketinggalan untuk membasahkan tekak dengan air kelapa selain bergambar kenangan.


Pit stop kami di Temoh


 Kenali Temoh, cintai Temoh ...


 "Ah Chong, kamu buat aksi apa tu ? Tak senonoh betul huhuhu" ...


 Gelagat kami, dari perspektif penjaja air kelapa


Bridgestone berlatarbelakangkan warisan bangunan lama yang menarik


 Jubin lama yang terdapat pada dinding bangunan


Minum air kelapa - sudah. Bergambar kenangan - sudah. Tibalah masa untuk kami meninggalkan pekan Temoh dan menyambung perjalanan. Sebelum itu, kami singgah di stesyen minyak berhampiran untuk membeli minuman dan ada yang mengambil kesempatan untuk menambah tekanan angin tayar kerana merasakan ianya berkurangan. Dari Temoh, hentian kami seterusnya yang direncanakan iaitu di mana - mana stesyen minyak di pekan Bidor. Bidor adalah terletak sejauh dua puluh satu kilometer dari Temoh dan pekan di antaranya ialah Tapah. 

Dalam perjalanan dari Temoh menuju Tapah, kami melepasi persimpangan menuju ke Lata Kinjang yang terletak di Chenderiang. Lata Kinjang merupakan sebuah airterjun tinggi yang dapat dilihat oleh pengguna lebuhraya PLUS dalam perjalanan menuju ke Ipoh. Dalam beberapa kilometer sebelum kami tiba di pekan Tapah, bermula dari sebuah kawasan R & R di tepi laluan. Perjalanan melalui kawasan pendakian dengan beberapa bukit perlu ditempuh sebelum kami sampai di Tapah selepas sepuluh kilometer meninggalkan Temoh.


jam 1309: Papantanda yang dijumpai dalam perjalanan Temoh - Tapah


jam 1310: Lagi kawasan tasik ditempuhi dalam perjalanan kami hari itu


jam 1315: Berhampiran persimpangan masuk ke Chenderiang / Lata Kinjang


Lebih kurang tiga puluh minit meninggalkan Temoh, kami mula memasuki kawasan Tapah. Tapah merupakan persimpangan untuk naik ke Cameron Highlands selain Simpang Pulai.


jam 1331: Tiba di  Tapah


 Menghampiri persimpangan Tapah - Cameron Highlands


Bersambung ...






No comments: